Rabu, 22 Julai 2009

MASALAH ZAKAT

Pada setiap tahun pihak berkenaan dengan pengurusan zakat setiap negeri di seluruh negara akan mengumumkan jumlah kutipan zakat mereka. Jumlah wang zakat yang diperolehi memang banyak; berpuluh juta. Tapi kenapa masih ramai orang-orang miskin tegar yang diketahui dari akhbar, tv dan sebagainya.?

Saya pernah terbaca dalam sebuah majalah kisah seorang tua miskin yang telah berumur lebih daripada 80 tahun terpaksa bekerja dengan mencari tin-tin buruk untuk dijual dan hanya mendapat sekitar RM120 sebulan. Pusat zakat berkenaan hanya menyumbang sebanyak RM 137.40 sebulan. Apabila diminta peruntukan memperbaiki rumah, ditolak dengan alasan bahawa rumah orang tua itu didirikan di atas tanah yang tidak punyai geran. Maka hiduplah si tua itu dalam rumah yang bocor di sana sini.

Pada edisi lain saya membaca kisah seorang perempuan yang berusia lebih 60 tahun terpaksa menumpang di kilang orang lain sebagai tempat tinggal. Kerena kemiskinannya anak-anaknya tidak mendapat pendidikan sewajarnya.

Kalau disalim di sini segala kisah kemiskinan umat Islam maka laman blog akan jadi berpuluh jilid jika dijadikan buku.

Punca semua ini ialah samada zakat tidak diagihkan secara sebenarnya, sebaliknya wang zakat terbiar disimpan dalam bank, dan tidak semua fakir miskin diberikan wang berkenaan kerana pihak yang berkenaan malas mencari fakir miskin ke seluruh negeri terbabit. Pusat urus zakat hanya tahu berbangga dengan jumlah perolehan mereka, tapi amat tidak pandai membahagikan zakat kepada yang berhak menerima.

Punca lain ialah kerana wang zakat itu diselewengkan oleh pihak pengurusannya. Ini mungkin tidak berlaku, dan kita bersangka baik kepada mereka. Tapi sekiranya berlaku, sila bertaubat dan kembalikan wang yang telah dicuri sebelum ajal menjemput dan akan diazab dengan sepedih-pedihnya di neraka kelak.

Sebab lain ialah cara pengagihan zakat yang sangat tidak munasabah, contohnya seorang miskin hanya diberi RM137.40 sebulan. Dari manakah kaedah pembahagian ini diambil oleh pihak berkenaan? Hanya orang bodoh sahaja yang merasa wang sebanyak itu cukup untuk sebulan.

Menurut mazhab Imam Syafii, zakat yang diberikan kepada fakir miskin hendaklah mencukupi selama setahun. Pendapat lain dalam mazhab ini mengatakan bahawa diberi untuk cukup selama umur kebiasaannya (60 tahun) dan dengan wang itu fakir miskin boleh membeli perlatan untuk bekerja sendiri samada berniaga atau bertukang.

Sekiranya zakat diagihkan mengikut cara yang digariskan oleh para ulamak, dengan adil dan dan penuh kejujuran pastilah nasib orang miskin akan berubah. Setiap orang yang bekerja di mana-mana pusat urus zakat sama ada orang atas atau orang bawah wajib menunaikan amanah mengagihkan zakat. Orang yang memberikan zakat mengharapkan pahala dan agar zakat mereka sampai kepada orang yang berhak. Kalau tak mampu laksanakan dengan tugas baik cari kerja lain. Kalau teringin nak sapu duit orang lain kuatkanlah iman dan banyaklah bersabar, kalau tak mampu melawan keinginan tersebut, sila kerja di tempat lain. Sesiapa yang bekerja di sana tapi tidak menunaikan tanggungjawab dengan sempurna, maka ia telah menyebabkan orang miskin makin miskin, dan orang yang membayar zakat tidak mendapat pahala penuh kerana zakatnya tidak sampai kepada mereka,.ini adalah dosa besar yang mengundang azab berat di akhirat.

Telah banyak diketahui daripada akhbar dan lain-lain bagaimana orang yang berhak zakat tidak dilayan dengan sebaik-baiknya, malah pegawai yang bertugas terlalu cerewet dan banyak soal tapi akhirnya zakat tidak diberi juga. Akhirnya ada yang melakukan jenayah untuk memenuhi keperluan hidup seharian.

Penyelewengan lain ialah wang zakat dilaburkan pada tempat yang salah. Contohnya ia digunakan untuk didirikan bangunan kemudian bangunan itu disewakan dan wang hasilnya diberikan kepada faqir miskin. Ada penulis dahulu yang mengesyorkan cara ini. Cara ini adalah amat merugikan orang miskin. Kerana keuntungannya pelaburan tersebut belum tentu diperoleh dan sampai kepada orang miskin. Kenapa cadangan ‘bodoh’ ini disokong pula oleh orang yang juga tidak nertanggungjawab?

Kerana kelemahan pembahagaian zakat inilah ramai umat Islam yang tidak mahu memberikan zakat kepada pusat zakat, sebaliknya menghulurknnya terus kepada orang berhak. Tidak ada gunanya berkempen menyuruh umat Islam membayar zakat kepada pusat berkenaan sekiranya wang zakat tidak sampai kepada faqir/miskin.

Punca lain ialah ada orang-orang kaya yang tidak mahu membayar zakat. Mereka terus menjadi kaya, dan membiarkan si miskin terus miskin. Jenayah akan bertambah, dan akan menyusahkan orang kaya juga akhirnya.

Tidak perlu difikirkan pinjaman dengan skala kecil kepada orang susah, hanya uruskan zakat dengan adil, maka tidak akan timbul masalah ah long mendera peminjam. Kerajaan akan dianggap bijak dan amanah jika berjaya menyelesaikan masalah kemiskinan. Jangan hanya kecoh di akhbar nak basmi kemiskinan supaya rakyat pangkah dalam pilihanraya. Tunjukkan bukti bahawa para menteri memang bijak. Dan jangan sampai pembangkang menuduh menteri kurang cerdik dan tidak amanah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan