Jumaat, 8 Januari 2010

KALAU DAH KAMPUNG, KAMPUNG JUGALA.


Pada akhir-akhir ini datang kembali trend mengadakan kenduri kahwin diheboh dan diporak perandakan dengan lagu dari kaset atau set hi fi atau home theater. Ia datang kembali kerana kenduri seperti ini telah bermula era 80 an. Pada masa itu biasanya akan disangkut speaker di atas pokok dan seumpamanya. Tiada hifi dan tiada bass woofer, hanya yang ada rintihan loud speaker tua yang biasanya digunakan di surau dan masjid. Orang kampung menganggap itulah cara memeriahkan kenduri, tapi sebenarnya itulah cara meriuh rendahkan kenduri dan heboh sekampung. Macam riuh ayam selepas betinanya bertelur.

Yang lebih meriah lagi, pada pandangan mereka, ialah adanya DJ yang merepek tak tentu hala. Yang berangan nak jadi DJ radio Perak FM atau Kedah FM, tapi sebab tak ada apa kelayakan, maka jadi juruheboh kenduri sajalah. Yang lebih meriah lagi selepas jam 2 petang ada pula sessi karaoke, yang disertai oleh semua lapisan masyarakat. Yang tua nak dekat nak mati pun layan juga sebab juruheboh dok kipas kata suara dia sedap. Siap duet sengan anak dara lagi. Ada juga budak belasan tahun yang sama nak asah bakat yang memang sangat tumpul, tetapi perasan suaranya amat menghiburkan. Pada jam 3 petang ada juri pun dari kampung yang sama, berkata: secara keseluruhannya mutu nyanyian semakin baik. DJ orang kampung yang tak tahu apa dia seni sebenarnya, penyanyi pun orang kampung, dan juri pun orang kampung yang tak tahu apa pun tentang seni.

Saya bukan nak bercakap tentang seni nyanyian, tetapi nak bercakap tentang cara orang kita berhibur. Pada pandangan saya, berhibur ertinya mencari ketenangan daripada sumber hiburan yang dinikmati. Nikmat tersebut adalah hasil daripada mendengar nyanyian nasyid (contohnya), yang akan menghasilkan kepuasan dan ketenangan. Nikmat itu hanya akan diperolehi dengan cara santai dan tanpa kesusahan.

Ertinya jika kita mendengar lagu, yang walaupun sedap didengar, dengan volume yang terlalu tinggi sehingga menyakitkan telinga dan dada, maka itu buka lagi dipanggil hiburan. Apabila kita datang ke kenduri kahwin, kita akan menemui saudara mara yang jarang kita berjumpa, kawan-kawan lama dan baru. Maka kita perlu berbual-bual dan bermesra dengan mereka untuk merapatkan hubungan yang telah ada atau baru terjalin. Tapi sekiranya juruhebohnya yang bermentaliti kelas tiga memasang lagu terlalu kuat maka segala akan menyusahkan, dan tiada lagi nama hiburan dan kerehatan.

Pada saya, memasang lagu kuat-kuat ini hanyalah cara budak remaja yang belum cukup akal lagi. Mereka memang seronok dengar lagu yang boleh merobohkan rumah mereka sendiri. Apabila mereka telah matang dan berumur, biasanya lagu (atau nasyid) akan dinikmati dengan perlahan untuk berhibur dan merehatkan jiwa.

Jadi sekiranya di tempat kenduri di pasang lagu kuat-kuat bermakna DJ yang walaupun dah berumur 50 tahun, masih bermentaliti remaja belasan tahun. Kalau kita pergi ke bandar di pejabat, dan bank atau hotel pun tidak ada yang pasang lagu kuat macam tempat kenduri. Inilah cara berhibur orang matang atau orang bandar. Orang bandar lebih lebih tinggi mentaliti daripada orang kampung, sebab lebih berpelajaran tinggi. Orang berpelajaran berhibur dengan cara santai dan tidak menyusahkan orang lain. Tetapi orang kampung berhibur dengan cara bingit yang memeritkan telinga dan badan, dan mengganggu orang lain.

Saya lihat perangai kampungan ini ada di mana-mana saja. Di taman-taman perumahan di sekitar Seberang Perai pun sama dengan cara orang pedalaman berhibur. Malah cara kuno ini pun ada di Sarawak. Kalau di Sarawak mungkin kita boleh maafkan sebab mereka memang sebahagain mereka masih ketinggalan, masih mundur dan rendah mentaliti. Tapi kalau di Semenanjung buruk sangatla. Ada orang tuduh sebahagaian orang Kelantan mentaliti rendah sebab bakar kereta dan stadium selepas kalah bola, tapi kalau pasang lagu kuat-kuat kat kenduri kahwin dan lain-lain, sama sajala. Sama-sama kampung. Sama-sama darat.



NYAYO SUNGGOH LA KENO LAGU NI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan