Jumaat, 9 April 2010

MAKRUH TAHRIM: KESALAHFAHAMAN PARA USTAZ

Saya pernah dengar sendiri seorang ahli majlis fatwa negeri Kedah mengatakan bahawa makruh tahrim ialah makruh yang dekat-dekat nak haram. Dan sekarang ini ada buku fiqh terjemahan yang mentakrifkan seperti yang tersebut.

Ini adalah penyelewengan dalam ilmu sama dengan hukum air mustakmal yang dikelirukan oleh para ustaz yang tidak mahir dalam fiqh sebagaimana yang saya telah nyatakan sebelum ini.

Makruh tahrim ialah sama dengan haram yang bererti diazab jika dilakukan dan diberi pahala jika ditinggalkan. Bezanya dengan haram, ialah haram adalah perkara yang berdosa dilakukan dan diberi pahala melakukannya yang sabit dengan dalil qati’iyy. Manakala dalil, bagi makruh tahrim ialah yang masih boleh ditakwilkan.

Dalil qat’iyy ialah dalil yang tidak boleh ditakwil atau dengan makna lain, tidak ada kebarangkalian hukum haram. Dalil yang boleh ditakwilkan bermaksud dalil berkenaan masih ada kebarangkalian untuk tidak bermaksud haram.

Sila rujuk kitab Al Bujairimi hasyiah Al Iqna’ jilid 2, halaman 116.

Dalam mazhab Hanafiyyah haram ialah hukum yang lahir daripada dalil qati’yy, dan makruh tahrim ialah perkara haram yang dihasilkan daripada dalil zonniyy. Dalil zonniyy ialah hampir sama dengan dalil yang boleh ditakwilkan, cuma dalam Mazhab Hanafiyyah dalil zonniyy termasuk juga hadis ahad (bukan mutawatir). Hadis ahad adalah termasuk dalam kumpulan zonniyy thubut.

Dalil qat’iyy terbahagai kepada dua: qat’iyy thubut dan qat’iyy dilalah. Qat’iyy thubut ialah Al Quran dan hadis mutawatir, yang bererti ianya pasti dari Allah dan Rasul. Qat’iyy dilalah ialah dalil yang tidak ada kebarangkalian dan tidak boleh ditakwilkan seperti bilangan sebatan dalam kes zina, dan lain-lain.

Ada juga ayat Al Quran yang zonniy dilalah, iaitu apabila ayatnya mempunyai kebarangkalian banyak maksud, seperti kaliamah quru’, yang mana sebahagaian ulama mengatakan maksudnya ialah suci dan yang lain mengatakan haid. Hadis ahad walaupun bersifat zonniy thubut tapi ada yang menjadi qat’iyy dilalah.

Kekeliruan orang yang mengatakan makruh tahrim ialah makruh yang hampir ke tahap haram ialah kerana mereka tidak terbaca takrif sebenarnya, dan juga kerana mereka tidak belajar Usul Fiqh ke tahap yang membolehkan mereka mengetahui maksud sebenarnya.

Takrif makruh tahrim ada dinyatakan dalam kitab Hasyiah Bujairimi dan I’anah Tolibin. Boleh juga dilihat dalam kitab-kitab usul fiqh.

Perkara ini perlu dijelaskan kerana ianya adalah haram tapi telah disalah anggap dan menjadi makruh sahaja. Mungkin ada orang yang akan melakukannya dan berkata: tak haram, makruh saja, baru dekat-dekat nak haram.

Hairan juga macam mana ada orang yang tak mahir fiqh boleh dilantik jadi ahli majlis fatwa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan