Ahad, 29 Ogos 2010

SOLAT TARAWIH MAZHAB EMPAT


Bilangan rakaat tarawih menurut mazhab empat:


KENAPA MESTI MENGIKUT ULAMA MAZHAB EMPAT? KERANA MEREKA ADALAH ULAMAK-ULAMAK MUJTAHID PAKAR DALAM AGAMA YANG NABI TELAH MENGIKTIRAF MEREKA DIBERI PAHALA KETIKA MENGHUKUM.

Di dalam kitab Rahmatul Ummah fi ikhtilafil A’immah halaman 33, ditulis: Dan sebahagian solat yang disunatkan ialah solat Tarawih dalam bulan Ramadhan, di sisi Abu Hanifah, as-Syafi’e dan Ahmad bin Hanbal sebanyak 20 rakaat. Diceritakan dari Malik solat tarawih ialah sebanyak 36 rakaat.

Di dalam kitab Al Anwar As Sati’ah (Mazhab maliki): sunat muakkad solat tarawih, dua puluh rakaat dengan sepuluh kali salam, pada tiap-tiap malam bulan Ramadhan.


Dalil tarawih mengikut mazhab yang berpegang dengan 20 rakaat.

Ulama mazhab berkenaan berhujah dengan hadis-hadis berikut:

Dalil Pertama

Riwayat al-Baihaqi dengan sanad sahih bahawa: “orang ramai semasa pemerintahan Umar bin al-Khattab solat pada bulan Ramadhan sebanyak dua puluh rakaat.”

Dalil Kedua

Imam Malik bin Anas meriwayatkan dari Yazid bin Ruman: “manusia mengerjakan solat pada masa Umar pada bulan Ramadhan sebanyak dua puluh tiga rakaat.” (Al-Muwata’ m 102, sahih). Imam al-Baihaqi mengatakan itu adalah bersama witir tiga rakaat.”
Dalil Ketiga

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas bahawa “Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam solat pada bulan Ramadhan dua puluh rakaat selain witir.” (hadis dhaif riwayat Ibnu Abi Syai-bah, at-Tabarani dan al-Baihaqi)

(Riwayat Ibnu Abi syaibah dalam Musannaf, jil 3, 355; Abd ibn Humaid, dalam Musannafnya; Al Baghawi dalam kitab Mukjam; Tabrani dalam Mukjam Kabir; Al Baihaqi dalam kitab Sunan; semua mereka dari jalan Abu Syaibah Ibrahim ibn Uthman, dia seorang yang dhaif,)

Riwayat lengkap dari Ibni Abi Syaibah ialah: menceritakan kami Yazid ibn Harun, ia berkata: menceritakan kami Ibrahim ibn Uthman, dari al Hakam, dari Miqsam, dari Ibnu Abbas.

Hadis ini menjadi kuat dengan adanya ijma’ para sahabat. (Fathul Mulhim, 5, 118)

Dalil Keempat

Diriwayatkan dari Ali (ra) bahawa beliau menyuruh seorang lelaki bersolat dengan orang ramai sebanyak dua puluh rakaat. (Sunan Kubra Baihaqi, j 2, ms 699)

Al-A’masy meriwayatkan bahawa Abdullah bin Masud solat dua puluh rakaat dan witir tiga rakaat. Ini juga sahih dari Ubay bin Kaab.

Para tabiin yang berpegang dengan tarawih 20 rakaat ialah Syutair bin Syakl, Ibnu Abi Mulaikah, al-Harith al-Hamdani, ‘Ata bin Abu Rabah, Abul Bahtari, Said bin Abul Hasan al-Basri saudara al-Hasan al-Basri, Abdur Rahman bin Abu Bakr dan Imran al-‘Abdi. (Umdatul Qari, j 11, 180)

Tersebut di dalam al-Iqna’ fi Masa’il Ijma’: diriwayatkan dua puluh rakaat dari Ali (radhiyallahu anhu) dan Syutair bin Syakl, dan ianya sahih dari Ubayy bin Kaab tanpa ada yang menentang dari kalangan sahabat, dan inilah qaul jumhur. (j 2, m 508)

SUNNAH KULAFA AR RASYIDIN

Syaikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariyya berkata: pengarang kitab al Fathul Rahmani menukil kata-kata al Allamah Al ‘Aini: para sahabat Imam Syafie dan Imam Ahmad ibn Hanbal berhujjah dengan riwayat sahih dari al Baihaqi dari Saib ibn Yazid: adalah mereka solat pada masa Umar dua puluh rakaat, dan pada masa Uthman dan Ali seperti itu.

Di dalam kitab al Mughni diriwayatkan dari Ali bahawa beliau menyuruh seorang lelaki solat sebanyak dua puluh rakaat. (Aujaz Masalik, j2, ms 534)

Tersebut di dalam kitab Mirqatul Mafatih karangan Mulla ‘Ali Qari: keadaan so-lat tarawih dua puluh rakaat ialah sunnah Khulafa Rashidin. Sabda Nabi (saw): “Lazimkan ke atas kamu sunnahku dan sunnah khulafa rashidin” (riwayat Abu Daud dan Tarmizi)

Di tempat lain Nabi (saw) bersabda: ikutilah dua orang selepasku Abu Bakr dan Umar (radhiyallahu anhuma). Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi dan ia mengatakannya hasan, dan Ibnu Majah dari Abdul Malik bin Umair dari Rib’ie dari Huzaifah bin al-Yaman.

Kata al-Hafiz Ibnu Hajar: telah berlaku khilaf ulama ke atas Abdul Malik, ia dilemahkan oleh Abu Hatim. Kata al-Bazzar seperti Ibnu Hazm: hadis ini tidak sahih kerana Abdullah tidak mendengarnya dari Rib’ie dan Rib’ie tidak mendengarnya dari Huzai-fah, tetapi hadis ini mempunyai shahid (penyokong.) (Faidhul Qadir syarah al-Jamius Saghir, j 2, 56)
Penyokong yang dimaksudkan ialah hadis di bawah:

Diriwayatkan oleh at-Tirmizi dari Ibnu Mas’ud ar-Ruyani dari Huzaifah,dan ia mengatakannya hasan; Ibnu ‘Adi dari Anas, dan al-Hakim dari Ibnu Mas’ud dengan sanad lemah: sabda Nabi (saw) ikutilah orang-orang selepasku dari kalangan sahabatku: Abu Bakr, Umar, dan ikutlah petunjuk Ammar (bin Yasar), dan berpeganglah dengan pesanan (Abdullah) ibnu Mas’ud. (Faidhul Qadir, 2, 57)
Sabda Rasulullah (sallallahu alaihi wa sallam): “...dan kamu akan lihat selepas ketiadaanku perselisihan yang banyak, maka lazimkanlah ke atas kamu dengan sunnahku dan sunnah khulafa rashidin, gigitlah dengan geraham kamu..” (riwayat Imam Ahmad, at-Tarmizi katanya: hasan sahih, Abu Daud, Ibnu Majah, ad-Darimi dan al-Hakim)

Ibnu Umar meriwayatkan, telah bersabda Baginda (saw) “Sesungguhnya Allah telah meletakkan kebenaran (al-haq) di atas lidah Umar dan hatinya. (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi, katanya: hasan gharib, ‘Aridhatul Ahwazi, jz 13, ms 121)

Sabda Nabi (saw) “Sesungguhnya Allah telah meletakkan kebenaran (al-haq) di atas lidah Umar yang ia berkata dengannya.” (Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Zarr; al-Hakim dan ia berkata di atas syarat Al Bukhari dan Muslim dan az-Zahabi mengakuinya; dan Abu Ya’la dari Abu Hurairah; dan at-Tabarani dari Bilal dan Mu-awiyyah.)

Hadis-hadis di atas jelas menunjukkan bahawa Nabi Muhammad (selawat dan salam ke atas baginda) menyuruh kita mengikut apa yang dilakukan oleh Sayyidina Umar. Apabila kita solat terawih sebanyak lapan rakaat (sebelas rakaat bersama witir), maka bererti kita tidak mengikut perbuatan Umar, dan tidak mengikut perbuatan Umar bererti tidak mengikut perintah Rasulullah.

Sabda Nabi (saw): “sesungguhnya umatku tidak akan sepakat ke atas kesesatan, maka apabila kamu lihat perselisihan pendapat maka berpeganglah dengan kumpulan paling ramai.” (Ibnu Majah dan ad-Daruqutni dari Anas bin Malik, Faidhul Qadir, 2, 431.) Tersebut di dalam Sirajul Munir, j 1, h 492, Muhammad Hijazi as-Sha’rani berkata: hadis ini sahih.

Ini ialah kerana kesepakatan mereka hampir menjadi ijma. Kata as-Suyuti: Hadis ini menunjukkan bahwa kita sepatutnya beramal dengan pendapat jumhur ulama (Ta’liq Muhammad Muhammad Fuad Abdul Baqi)

IJMA’ SAHABAT

Di sini di terangkan secara ringkas perkara-perkara yang berkaitan dengan ijma’ supaya pembaca akan lebih jelas kekuatan hujah ulama yang berpegang bahawa solat tarawih adalah dua puluh rakaat.

Apabila disebut sesuatu hukum berdasarkan ijma, maka hukum itu adalah qat’iy (pasti tepat). Ini adalah pandangan ulama yang paling ramai. Maksud (dalalah) ijma’ adalah lebih kuat dari Al Quran dan hadis mutawatir, apatah lagi hadis ahad. Kerana ayat-ayat Al Quran dan hadis banyak yang mempunyai kemungkinan lebih daripada satu makna dan maksud. Sedangkan ijma menetapkan hukum adalah satu sahaja dan tiada lagi kebarangkalian.

Contohnya ayat al Quran: “diharamkan ke atas kamu ibu-ibu kamu dan anak-anak perempuan kamu.” (An Nisa, 23) Ayat ini tidak menerangkan samada ibu sahaja atau pun nenek ke atas juga haram, dan juga samada anak perempuan atau semua cucu ke bawah haram juga. Tetapi para sahabat telah ijma’ (sepakat) bahawa ibu dan semua nenek ke atas adalah haram, sebagaimana anak dan semua cucu ke bawah adalah haram dinikahi. Maka tiada lagi kebarangkalian maksud ayat al Quran tersebut. Di sini ijma berfungsi menetapkan hukum yang dikehendaki oleh ayat Al Quran.

Apabila dikatakan bahawa para sahabat telah ijma (sepakat) melakukan solat tarawih dua puluh rakaat, maka itulah yang bilangan rakaat solat tarawih yang sebenarnya, dan semua dalil-dalil yang mengatakan bilangan selain daripadanya hendaklah diletakkan dibawah pengaruh ijma’ tersebut, iaitu dalil-dalil tersebut tidak boleh menjejaskan ijma berkenaan. Lebih-lebih lagi dalil tersebut mempunyai kebarangkalian yang akan disebutkan selepas ini. Dalil qat’iyy yang berdasarkan ijma mestilah didahulukan daripada dalil yang sabit hanya dengan dalil zhonniyy yang mempunyai kebarangkalian.

Jika benarlah Nabi (saw) solat tarawih lapan rakaat sahaja, maka sudah pasti para sahabat akan membantah perbuatan Umar yang menyuruh mereka solat tarawih dua puluh rakaat. kerana para sahabat tidak akan membiarkan pendapat yang salah dikemukakan di hadapan mereka sebagaimana dilakukan oleh seorang wanita yang membantah pandangan Umar radiyallahu anhu yang sedang berkhutbah di atas mimbar, tanpa takut sedikit pun untuk mempertahankan sesuatu yang haq. Begitu juga Bilal pernah membantah Umar sehingga ia bercakap kasar kepada Umar kerana mempertahan kebenaran. (Dr Abdul Karim Zaidan, Al Wajiz, 191)

Apabila Umar melakukan tarawih sebanyak dua puluh rakaat tanpa ada yang membantah maka itu bermakna semua sahabat setuju dengan beliau, dan ini menunjukkan semua sahabat sama pendapat dengannya. Dan kerana para sahabat telah solat bersama-sama maka itu dinamakan ijma’ sorih.

Kata Abdul Karim Zaidan: ijma’ sorih tidah harus berlawanan (mukhalafah) dengannya dan membatalkannya. (Al Wajiz, 184)

Salah satu syarat berlaku ijma adalah adanya dalil (mustanad, sanad) yang samada dari Al Quran, Hadis ataupun Qiyas. Dalil mengenai tarawih ini ialah hadis riwayat Ibnu Abbas bahawa “Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam solat pada bulan Ramadhan dua puluh rakaat selain witir.” (hadis dhaif riwayat Ibnu Abi Syai-bah, at-Tabarani dan al-Baihaqi).

Walaupun hadis ini dhaif tetapi setelah adanya ijma maka hadis ini menjadi kuat dan qat’iyy dilalah. Dan kemungkinan tarawih 20 rakaat telah menjadi satu kebiasaan di kalangan para sahabat dan tidak perlu kepada riwayat khusus mengenainya. Tidak ada riwayat yang sampai kepada kita bukan bermakna perkara itu tidak wujud pada masa Nabi Muhammad (saw).

Kata Maulana Zakariyya: tidak syak bahawa tidak ada hadis sahih yang menetapkan bilangan tarawih dua puluh rakaat, dan hadis riwayat Ibnu Abbas (seperti di atas) dipertikaiakan ulama hadis. Tetapi bersama itu hadis ini tidak boleh diingkari benar adanya kerana perbuatan Umar dan diamnya para sahabat terhadap tarawih dua puluh rakaat. Dan ijma mereka menerimanya sama dengan nas yang menunjukkan bahawa merekas mempunyai dalil mengenainya. (Aujaz Masalik, j 3, ms 534)

Dari apa yang tersebut maka tidak harus dikatakan dua puluh rakaat adalah sunnah Umar dan lapan rakaat adalah sunnah Nabi kerana jika benar Nabi solat lapan rakaat sahaja maka mustahil sahabat akan sepakat melakukan apa yang berlawanan dengan sunnah Nabi.

Dari sini kita dapati bahawa solat tarawih sebelas rakaat tidak mempunyai dalil yang kuat. Dan sekiranya dalil tersbut kuat tetapi kerana ia berlawanan dengan ijma’ maka dalil tersebut tidak boleh digunakan sebagai hujjah kerana ia bukan bermaksud seperti itu.


Lapan rakaat bersama witir:

Kebelakangan ini telah datang kebiasaan pada sebahagian umat Islam untuk solat lapan rakaat bersama witir tiga rakaat. Semakin ramai umat Islam yang terpengaruh dengannya dan mula meninggalkan solat dua puluh rakaat walaupun pada mulanya ber-pegang dengan Mazhab Imam Syafi’. Mereka merasakan tidak ada dalil kukuh untuk dua puluh rakaat kerana tidak mengetahuinya dan kerana terlebih dahulu terdedah kepada hujah mereka yang mengamalkan tarawih sebelas rakaat termasuk witir tersebut.
Dalil yang dikemukakan oleh pengamal lapan rakaat ialah seperti berikut:

KENAPA TIDAK BOLEH IKUT PENDAPAT DI LUAR MAZHAB EMPAT? KERANA MEEKA TIDAK DIIKTIRAF OLEH NABI SEBAGAI ORANG YANG BERHAK MEMBUAT HUKUM. KERANA MEREKA BUKAN MUJTAHID

Dalil Pertama:

Mereka yang mempertahankan bilangan rakaat tarawih ialah lapan dengan witir menjadi sebelas rakaat berdalil dengan hadis riwayat Imam al-Bukhari: Abu Salamah ibn Abdir Rahman meriwayatkan bahawa ia bertanya Aisyah bagaimanakah cara solat Ra-sulullah (saw) di dalam bulan Ramadhan. Aisyah menjawab:

“Ertinya: Nabi tidak pernah menambah di dalam Ramadhan dan lainnya melebihi sebelas rakaat.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam bab Solat Malam Nabi (saw) di dalam Ramadhan dan selain Ramadhan di bawah Kitab Tahajjud; dan di dalam Kitab Solat Tarawih.

SOALAN:

Kenapa hadis ini tidak diterima oleh Mazhab Empat sebagai dalil tarawih sebelas rakaat?

JAWAPAN:

Hadis ini tidak diterima oleh Mazhab Empat sebagai dalil tarawih sebelas rakaat kerana ada juga hadis dari ‘Aisyah sendiri dan sahabat lain bahawa Nabi pernah solat malam sebanyak tiga belas rakaat, dan juga diriwayatkan lebih dari 13 rakaat. Kerana itulah kata-kata ‘Aisyah dianggap bermaksud Nabi hanya solat sebelas rakaat pada kebanyakan masa sahaja (bukan sentiasa begitu), dan hadis lain yang meriwayatkan baginda solat lebih dari sebelas rakaat ialah pada masa-masa lain, yang jarang berlaku. (rujuk Fathul Mulhim, 5, 117)

Di dalam kitab Talkhis, Hafiz Ibnu Hajar menulis bahawa diriwayatkan rakaat yang paling banyak di dalam solat malam ialah 19 rakaat. (Hudannabi fi solawat khassah, Doktor Nuruddin ‘Atar,162.)

Aisyah mengatakan Nabi tidak pernah tambah lebih daripada sebelas rakaat mengikut apa yang beliau tahu sahaja. Ini adalah perbuatan Nabi semasa berada bersama Aisyah.

Para sahabat yang lain melihat bahawa Nabi pernah solat lebih daripada sebelas rakaat. Bahkan Aisyah sendiri pun pernah meriwatkan lebih daripada sebelas rakaat.

SOALAN:

BOLEHKAN HADIS INI DIJADIKAN SEBAGAI DALIL SOLAT TARAWIH?

Hadis ini sebenarnya bukan dalil solat tarawih, apatah lagi untuk menetapkan bilangannya lapan rakaat. Kerana Aisyah mengatakan “di dalam Ramadhan dan luarnya.” Kalau dijadikan dalil tarawih berdasarkan pendapat golongan berkenaan, maka hadis ini akan berbunyi “nabi tidak pernah menambah bilangan solat tarawihnya melebihi sebelas rakaat di dalam bulan Ramadhan dan selain Ramadhan.” Soalnya, apakah solat tarawih disyariatkan di dalam semua bulan, dalam Ramadhan dan bulan Syawal, Zul Hijjah, Zul Qaadah dan seterusnya? Kalau begitu kenapa kaum berkenaan tidak pun solat tarawih dalam selain bulan Ramadhan?

Kata-kata Aisyah itu menunjukkan bahawa itu bukanlah solat tarawih. Malah itu ialah solat tahajjud bersama witir.

Dalil Kedua:

Mereka berhujjah dengan hadis riwayat Jabir ibn Abdillah, kata Jabir:
Ertinya: “Nabi (saw) telah solat bersama kami pada bulan Ramadhan lapan rakaat kemudian baginda solat witir. Pada malam berikutnya kami berkumpul di dalam masjid dan kami berharap baginda akan keluar tetapi baginda tidak keluar ke masjid sehinggalah waktu subuh. Kemudian kami masuk menemuinya seraya berkata: ya Rasulullah malam tadi kami berkumpul di masjid dan berharap tuan bersolat bersama kami. Rasullullah (saw) bersabda: “aku takut ianya akan diwajibkan ke atas kamu. “

Kata Maulana Muhammad Zakariyya: Hadis Jabir adalah riwayat Isa ibn Jariah; kata Az Zahabi: Ibnu Main berkata: Isa mempunyai banyak hadis-hadis munkar. Kata an Nasai: ia meriwayat hadis munkar. An Nasaie juga mengatakan ianya (Isa ibn Jariah matruk (riwayatnya ditinggalkan). Kata Abu Daud ia meriwayat hadis munkar. Kata Abu Zar’ah: tidak mengapa dengannya. Ibnu Hibban menganggapnya thiqah.
Hadis ini adalah lemah pada pendapat sebahagian ulama.

Para ulama mengatakan bahawa Jabir, yang meriwayatkan hadis, hanya solat bersama Rasullullah (saw) pada bulan Ramadhan dua atau tiga kali kali sahaja. Solat tarawih mula disyariatkan pada tahun kedua hijrah, dan Nabi telah solat tarawih selama sembilan tahun sebelum wafat pada bulan Rabiul Awal tahun kesebelas hijrah. Ini memungkinkan sahabat-sahabat lain juga mengetahui solat tarawih yang Nabi (saw) pada masa-masa lain sebagaimana Umar mengambilnya.

Muslim meriwayatkan bahawa Anas juga pernah solat dengan Nabi pada bulan Ramadhan tanpa menerangkan bilangan rakaat.

Kata Syaikh al-Utmani, hadis Jabir ini tidak menerangkan kecuali sebahagian perbuatan Nabi (saw) pada satu malam sahaja, bukannya setiap malam. Bahkan tidak ada di dalamnya penafian tambahan ke atas lapan rakaat larangan secara jelas. Kerana sesungguhnya ada kemungkinan Nabi (saw) solat di rumahnya seberapa banyak yang ia mahu, sebelum keluar kepada para sahabat di masjid dan solat bersama mereka lapan rakaat.di masjid. Kerana malaikat Jibril (as) bertadarus al-Quran bersama Nabi (saw) pada setiap malam Ramadhan pada setiap tahun. (Riwayat al-Bukhari, j 3, 1612) Maksud tadarus ialah seorang dari mereka membaca dan yang lain akan mendengar secara bergilir-gilir. Di dalam hadis riwayat Tabrani bahawa bacaan al-Quran di dalam solat adalah lebih afdhal daripada di luar solat, oleh kerana itu, bererti Nabi telah solat bersama Jibri (as) di rumah sebelum keluar untuk solat bersama para sahabat di masjid. (Fathul Mulhim, j 5, 116)

Anda mengetahui bahawa hadis riwayat Ibnu Abbas diperkuatkan oleh perbuatan sahabat yang solat tarawih dua puluh rakaat. Maka hadis riwayat Ibnu Abbas lebih aula diterima daripada hadis Jabir. (Aujaz 2, 503)

Dalil Ketiga:

Malik bin Anas meriwayatkan dari Muhammad bin Yusuf, dari Saib bin Yazid katanya: “Umar menyuruh Ubayy bin Kaab dan Tamim ad-Dari bersolat dengan orang ramai dengan sebelas rakaat…” (Muwatta Imam Malik, 102)

Kata Al Baji (pengarang syarah Muwatta): Ubayy solat dengan mereka mengikut kemampuannya, kemudian Tamim Ad Dari solat pula bersama mereka. Dan yang benarnya ialah imam kedua meyambung bacaan imam pertama kerana ia ganti imam pertama. Dan sunnah ialah membaca Al Quran mengikut tertib ayat. Kata Maulana Zakariyya inilah pendpat yang lebih kuat. (Aujaz, 2, 527)

Dari kata-kata al Baji nyata bahawa mereka tidak solat hanya sebelas rakaat sahaja, tetapi bergilir-gilir untuk mencukupkan dua puluh rakaat. Mungkin imam pertama solat dua belas rakaat, dan imam kedua solat sebelas rakaat bersama witir.

Namun sebahagian ulama mengatakan bahawa hadis Saib bin Yazid di atas adalah waham, kerana itulah tidak ada imam mazhab yang berpegang dengannya. (Shaikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariyya, Aujazul Masalik syarah Muwatta’ Malik, 2, 532)

Kata Ibnu Abdil Barr: ulama selain daripada Malik meriwayatkan di dalam hadis Saib bin Yazid ini dengan lafaz dua puluh satu rakaat, dan ianya sahih.

Hadis-hadis yang meriwayatkan tarawih dua puluh rakaat ialah seperti di bawah:

-Dari Daud bin Qais dan lainnya, dari Muhammad ibn Yusuf, dari As Saib ibn Yazid bahawa Umar telah mengumpulkan manusia pada bulan Ramadhan, solat diimamkan oleh Ubayy ibn Kaab dan Tamim As Dari sebanyak dua puluh satu rakaat. (Musannaf Abdir Razzaq, no hadis 7730, hal 260, jilid 4, )

-Abdur Razzaq dari dari Al Aslami dari Al Harith ibn Abdur Rahman dari As Saib ibn Yazid, berkata (as Saib): adalah solat pada masa Umar ialah dua puluh tiga rakaat.

-Muhammad ibn Nasr meriwayatkan dalam kitab Qiyamul Lail, daripada riwayat Yazid ibn Khasifah dari As Saib ibn Yazid, ia berkata: bahawa mereka mendirikan solat pada masa Umar sebanyak dua puluh rakaat.

-Ibnu Abi Syaibah dari Yahya bin Said bahawa Umar menyuruh seorang lelaki solat dengan mereka sebanyak dua puluh rakaat.

-Ibnu Abi Syaibah dari Hasan ibn Abdul Aziz: sesungguhnya Ubayy solat dengan orang ramai di Madinah sebanyak dua puluh rakaat, dan solat witir dengan tiga rakaat.

-Baihaqi dari Saib: adalah mereka solat tarawih pada masa Umar sebanyak dua puluh rakaat, dan pada masa Usman dan Ali.

-Dari Atha ia berkata: aku mendapati manusia solat sebanya dua puluh tiga rakaat dengan witir. (Ibnu Abi Syaibah, jil 3, 355, sanad hasan, dan Muhammad ibn Nasr dalam kitab Qiyamul Lail)

-Dari Abi Khasib, katanya: Suwaid ibn Ghaflah mengimamkan kami dalam bulan Ramadhan, maka ia solat lima kali tarawih, sebanyak dua puluh rakaat. (Riwayat Al Baihaqi, sanad hasan)

-Dari Nafe dari ibnu Umar, katanya adalah Ibnu Abi Mulaikah solat dengan kami pada bulan Ramadhan dua puluh rakaat. (Ibnu Abi Syaibah, Musannaf jil 3, 354, sanad sahih)

-Dari said bin Ubaid bahawa Ali ibn Rabi’ah solat dengan mereka pada bulan Ramadhan lima kali tarawih dan witir dengan tiga rakaat. (Ibnu Abi Syaibah, sanad sahih)

Di samping itu ada hadis lain yang diletakkan oleh Imam Malik berdekatan dengan dua hadis tadi. Hadis itu riwayat dari al-A’raj katanya: “aku tidak mendapati manusia melainkan mereka melaknat orang-orang kafir di dalam ramadhan. (di dalam qunut witir.) Katanya adalah qari (imam) membaca surah al-Baqarah di dalam lapan rakaat, maka apabila sampai rakaat yang kedua belas, mereka dapati ia telah meringankan bacaannya.”

Jelas riwayat ini menyebutkan bahawa imam solat sehingga dua belas rakaat dan tidak terhad kepada sebelas rakaat sahaja.

Dalil Keempat:

Diriwatkan oleh Abu Ya’la dari Jabir bin Abdillah (ra), katanya: telah datang Ubayy kepada Nabi (saw) lalu berkata: wahai Rasulullah, sesungguhnya aku ada sesuatu pada malam ini, yakni pada malam Ramadhan. Sabda Nabi (saw) apakah itu? Kata Ubayy: para wanita di rumah saya telah berkata: Kami tidak hafal al-Quran, jadi kami hendak solat bersama kamu, lalu aku bersolat dengan mereka lapan rakaat, kemudian berwitir. Maka itu adalah sunnah redha (dari Nabi) dan baginda tidak berkata apa-apa.

Kata al-Haithami diriwayatkan oleh Abu Ya’la dan at-Tabarani seperti itu di dalam Mu’jam al-Ausat, dan sanadnya hasan. (Hayatus Sahabah, j 3, 230.)

Hadis ini dijawab bahawa Nabi membenarkan lapan rakaat kerana memberi kelonggaran kepada kaum wanita di rumah Ubayy, sebagaimana baginda juga memberi kelonggaran kepada orang-orang lelaki di masjid untuk solat lapan rakaat. Sekiranya tarawih terhad kepada lapan rakaat sahaja pasti Ubayy akan membantah Umar yang menyuruhnya menjadi imam di dalam tarawih solat dua puluh rakaat. Kerana para sahabat diketahui umum bahwa mereka akan menentang setiap kemungkaran atau perkara yang berlawanan dengan sunnah Nabi (saw.)

Di dalam hadis ini tidak dinyatakan bahawa Ubayy solat lapas rakaat sahaja, kerana barangkali dia solat bersama sahabat yang lain di masjid Nabawi kemudia baru solat dengan kaum wanita tersebut. Kerana Ubai pernah menjadi imam solat tarawih di masjid nabawi.

والله أعلم بالصواب

1 ulasan:

  1. ada orang kata 20 rakaat bukan ijma' kerana ada banyak khilaf. mereka kata ijma adalah sepakat semua mujtahid. sebenarnya ijma' ialah pendapat semua mujtahid pada satu masa sahaja, bukan keseluruhan mujtahid pada semua zaman. depa tu mengaji usul fiqh ka tidak?

    ada yang kata hadis aisyah jelas bahawa Nabi (saw) hanya solat tarawih 11 rakaat saja. inipun salah. tengok apa yang saya terangkan.

    BalasPadam