Ahad, 19 Disember 2010

NAMPAK/KASYAF SAJAK


Allamah Iqbal pernah menulis dalam bukunya Asrar –i- Khudi (Secrets of The Self): (terjemahannya) “it is in poets breast that Beautiful unveil.”

Apabila melihat kepada langit cerah yang berwarna biru tanpa awan sedikit pun, seperti yang terjadi di daerah Gerik apabila musim kemarau pada bulan Februari dan seterusnya, atau di tempat-tempat lain, ada orang yang merasa langit cantik, dan ada orang yang merasakan ia terlalu cantik.

Apabila melihat kepada sekuntum (atau beberapa kuntum) bunga mawar merah berlatarkan kehijauan daunnya, ada orang yang merasa ia cantik, dan ada orang yang akan merasa ia begitu cantik sehingga terpegun.
















Keindahan langit adalah amat memukau bagi manusia yang kedua sehingga Sapardi Djoko Damono pernah menukilkan perkataan (liriks) The Beatles: “because the sky is blue it makes me cry” dalam permulaan sajaknya dalam antologi Sihir Hujan. Lihat juga pada kata-kata A Samad Said: “bagi setiap penyair gundah, daun gugur pun dirasakan indah.” (Benih Semalu). Tidak hairan jika penulis lirik menulis: “berguguran daun jatuh lembut ke rambutmu” kerana bagi insan tertentu semuanya adalah amat indah.



Manusia kedua dalam peristiwa di atas adalah sifat orang yang “NAMPAK SAJAK” atau boleh juga dipanggil “kasyaf sajak.” Keadaan seperti itu adalah amat jarang, dan saya rasa di Gerik tidak orang seperti itu. Maksud saya tidak ada orang di Gerik yang NAMPAK SAJAK atau mempunyai KASYAF SAJAK. Bukan sahaja di Gerik malah di negara Malaysia yang tercinta ini pun ramai yang meminati sajak tapi tak pernah tahu wujudnya kasyaf sajak ini. Guru yang mengajar sastera di sekolah-sekolah menengah pun ramai tak tahu, para pelajar universiti yang mengambil bidang yang sama masih ramai yang jahil mengenainya. Ini kerana saya pernah temui mereka. Ketika memberi ceramah mengenai sajak pada tahun 90 an di SMSIS II Gerik, selepas memberikan huraian ringkas mengenai sajak, seorang guru yang juga pengacara, berkata: saya tak pernah dengar benda macam ni.

Mari saya mulakan untuk mempelajari apakah sebenarnya “NAMPAK SAJAK.”
Kalau kita melihat sebuh buku antologi sajak, kita akan melihat ada yang mempunyai pelbagai warna (colorful), ada yang dua tiga warna sahaja, dan mungkin yang hanya ada dua warna sahaja. Apa tujuan warna-warna tersebut? Sebenarnya warna-warna tersebut adalah warna di dalam sajak-sajak yang termuat di dalam buku berkenaan. Kita lihat contonya antologi ‘Sihir Hujan’ karya Sapardi Djoko Damono. (terbitan DBP) Kulit luarnya berwarna hitam, dua tiga lembar kerta di dalamnya juga berwarna hitam.dan rupa taip (font) isi sajak di’bold’kan. Ini adalah kerana dunia latar antologi ini adalah berwarna hitam. Sekiranya kulit buku ini diwarnakan merah sudah pastilah dunia buku ini akan rosak dan pembaca tak akan dapat menikmatinya sehingga kemuncak.

Kemudian di belakang antologi sajak pula selalunya ada gambar penulisnya. Gambar ini ada berbagai-bagai gaya samada pandangan depan atau sisi. Ini ialah kerana apabila kita membaca karya tersebut kita akan dapat melihat gambaran penyair berkenaan bercakap dalam gaya seperti di dalam gambar tersebut. Gambarnya perlu disesuaikan dengan rupa penulis ketika berucap dalam sajak-sajaknya. Contohnya seperti Sapardi dalam buku tersebut adalah dengan gaya agak tersenyum dan menghadap dengan cara sepeti yang di belakang antologi tersebut.

Rupa bentuk font dalam setiap antologi juga berbeza. Lihatlah font bagi antologi Sajak-sajak Sejarah Melayu karya Muhammad Haji Saleh berbeza dengan font di dalam antologi ‘Kalau Atau Dan Maka’ dan ‘Aksara Usia’ karya beliau juga. Kenapa begitu? Jawapanya ialah kerana itulah dunianya yang tampak pada setiap antologi.

Kemudian kepada peringkat seterusnya, bagi mereka yang nampak sajak, setiap sajak mempunyai suara khusus penulisnya. Mereka akan dapat mengenali suara Usman Awang, A Samad Said, Muhamad Haji Salleh, A Latif Mohidin dan lain-lain. Suara ini bagaikan (atau memang) terdengar di dalam ucapan bait-bait sajaknya. Merintih, merayu, agak bergurau atau nada tenang. Mengikut pengalaman saya,suara Latif Mohidin agak perlahan berbanding suara A Samad Said, suara Muhammad Hj Saleh hampir sama dengan nada Usman Awang.

Peringkat menikmati sajak selalunya akan datang selepas latihan/training untuk nampak sajak. Bagi orang biasa kata-kata hanyalah kata yang mungkin akan menjadi enak didengar hnya bila ia mempunai rima tertentu di akhir. Tetapi bagi penyair yang nampak sajak (penulis sajak yang belum nampak sajak tak layak digelar penyair), setiap kata-kata mempunyai sentuhan indah sendiri, yang berbeza mengikut setiap penulisnya. Semua nama-nama besar dalam dunia sajaka di Malaysia mempunyai sentuhan keindahan sendiri yang sekiranya pembaca yang nampak sajak menemui mood khas untuk buku tersebut, ia dapat mengecap nikmat setiap sajak ke tahap paling maksima. Mood yang dimaksudkan ialah hari tertentu untuk menkmati sesebuah karya. Misalnya pada minggu ini mood/selera kita untuk membaca ‘Pesisir waktu’ karya A Latiff Mohidin, maka selera ini akan berkekalan untuk beberapa hari; seminggu atau dua minggu, kita hanya kan dapat menikmati isi buku ini sahaja. sekiranya kita cuba untuk membaca dan menikmati ‘Balada Hilang Peta’ A Samad Said, maka buku Pak Samad ini dirasakan tak mempunyai nilai sedikit pun. Waktunya mungkin dua tiga hari lagi.

Keindahan ketika menikmati sajak ini akan dirasakan di dalam diri pembaca. Sebagai mana seseorang merasakan rindu, sayang, cinta, sedih dan sebagainya. Begitulah juga keindahan ketika membaca sajak ketika pada tahap teritinggi, akan terasa di dalam diri pembaca. Tahap tertinggi ialah keadaan selera atau mood pembaca untuk terbuka kepada semua output dari bada sajak yang dibaca. Contohnya seperti signal wifi, jika berwarna hijau maka kita akan dapat surf internet dengan cemerlang. Begitu juga sekiranya mood dan keselesaan ketika menikmati sajak dalam tahap rendah maka keindahan sajak mungkin hanya 60-70 peratus saja. Saya pernah tak boleh tidur selepas membaca Mathnawi Jalaluddin Rumi kerana zauq dengan nikmat selepas menikmati ‘rintihan seruling yang dipisahkan daripada rumpun buluh’ dalam buku tersebut. Terasa begitu mendalam dan menyentuh jiwa rintihan Rumi dalam karyanya. Kenimatan ini akan disempurnakan oleh pemilihan kata-kata dan rima oleh penulis. Semakin pakar ia dalam pemilihannya maka semakin indah sebuah karya itu.

Saya rasa kerohanian penulis memainkan peranan untuk tahap kenikmatan ini. Kerana terasa ada perbezaan antara Rumi, Iqbal, Imam Syafie dengan penulis-penulis lain. Terasa seolah-olah Rumi ‘berlari’ lebih laju daripada penulis-penulis Malaysia. Dan Imam Syafie di dalam Diwannya terasa lebih bersih.

Dunia Rumi juga lebih luas, lebih putih dan kudus, manakalah penulis-penulis di Malaysia yang bukan alim ulama, dirasakan berbeza.

Patah-patah perkataan mempunyai sentuhan tersendiri.Perkara ini mungkin disedari oleh ramai manusia lebih-lebih lagi yang mempunyai bakat kepenyairan. Mari kta lihat kalimah-kalimah dari Usman Awang:

Dayang,
Siapakah di antara kamu
Dapat mengatakan padaku
Dan menyanyikan seperti pada rajamu
Akan kemerduan suara buluh perindu?

(Matinya Seorang Pahlawan, DBP, 1992)

Secara keseluruhannya sudah tentu karya Sasterawan Negara ini mempunyai kata-kata yang kental dan padat. Contohnya beliau memilih perkataan ‘kamu’ dan tidak menggunakan perkataan ‘kalian’, yasng menjadikan ‘siapakah di antara kalian’ yang memang tidak sedap langsung. Bait ini dipadatkan oleh perkataan ‘kamu’ dan diteruskan oleh ‘padaku, ‘ dan dimerdukan oleh ‘mengatakan,’ ‘kemerduan’ dan ‘perindu’, ia di kentalkan oleh ‘buluh’. Sukar memilih bahasa untuk menerangkan perkara ini.

Apabila berada dalam mood terbaik pembaca akan dapat merasakan nikmat dari kalimah dan bait di atas.

LATIHAN UNTUK MENCAPAI KASYAF SAJAK


Untuk mencapai tahap ini syarat wajib yang perlu ada pada seseorang ialah bakat. Ataupun boleh dipanggil tapak asas untuk menerima futuh atau kasyaf. Seseorang yang tidak punya bakat seni ini memang tidak layak untuk mencapainya.

Langkah awal ialah dengan membaca sebuah antologi sajak-sajak pendek, saya dibimbing oleh shifu saya menggunakan buka Pesisir Waktu Latif Mohidin. Antologi sajak ini hendaklah dibaca sehingga tamat berulangkali, tiga atau empat kali. kemudian tukar ke karya pengarang lain contohnya Benih Semalu A Samad Said. Selepas membaca sampai tamat beberapa kali kita akan mula dapat menilai perbezaan antara dua pengarang ini.

Caranya ialah membacanya dalam hati, dengan suara senyap sahaja, ini bukan deklamasi. Selepas tamat dua buah buku tadi, bolehlah dicari karya-karya lain yang ringan. Selepas ini kemungkinan trainee tadi dah mula terbuka satu tahap selain mampu membezakan antara karya. Selepas ini bolehlah dicuba karya-karya pertengahan seperti ‘Ayn Kemala, Pelabuhan Putih atau Kalau Atau Dan Maka. Setelah biasa dengannya bolehlah masuk kepada karya berat dan panjang seperti Sajak-sajak Sejarah Melayu dan Matinya Seorang Pahlawan dan seumpamanya.

Kelebihan yang ada pada kasyif sajak ialah dapat menikmati keindahan lebih daripada orang lain. Keindahan wujud pada berbagai-bagai tempat. Dan yang paling indah ialah dalam agama. Al Quran adalah disusun dengan kata-kata yang terbaik yang sudah pasti ia dapat dinikmati oleh kasyif sajak yang tahu bahasa Arab. Manakala terjemahannya jika dibuat oleh selain kasyif sajak ia agak kurang indah. Begitu juga setiap karya besar contohnya Mathnawi Rumi jika diterjemah oleh bukan kasyif sajak dari Inggeris ke Melayu maka ia akan akan mengurangkan keindahan yang telah saya nyatakan sebelum ini.

Kasyif sajak juga akan mahir menilai hasil penulisan dan sudah tentu ia sendiri mahir menulis, menyusun kata dalam penulisan samada sajak atau karya ilmiah. Ia akan tahu manakah ayat yang padat dan kental dan manakah yang longgar dan lemah.

2 ulasan:

  1. Salam ustaz, bgaimana Kalau sy tanpa membaca buku2 sajak sprti ustaz swktu trainee? Adakah sy boleh mengarang sesuatu y dipanggil sajak/puisi atau itu hnya bebelan sendiri ttg dunia sekeliling?

    BalasPadam
  2. Menulis sajak sepatutnya ada kemahiran, dan kemahiran terbentuk dengan banyak membaca karya penulis besar.

    BalasPadam