Ahad, 13 Jun 2010

ADAB-ADAB SOLAT JEMAAH YANG DIPANDANG REMEH TETAPI MENGHAPUSKAN PAHALA ORANG YANG TIDAK MENJAGANYA.


Pahala solat berjemaah adalah dua puluh tujuh kali berbanding solat berseorangan. Ertinya orang yang solat fardhu berjemaah akan diberi pahala seperti ia melakukannya sebanyak dua puluh tujuh kali. Pahala setiap bacaansetiap huruf al Quran, zikir, tasbih dan doa di dalam solat jemaah akan digandakan sebanyak dua puluh tujuh kali.

Apabila ia menyebut takbiratul ihram “Allahu akbar”, ia mempunyai sembilan huruf termasuk huruf alif bagi mad dalam kalimah Allah, maka orang yang sembahyang berseorangan akan mendapat sembilan puluh (90) pahala. Orang yang solat berjemaah pula akan mendapat dua ratus empat puluh tiga (243) pahala, iaitu hasil dari darab 9 dengan 27. dan mungkin juga boleh didarab dengan sepuluh kerana sepuluh ialah pahala bagi setiap ganjaran asas. Jika begitu, pahala takbiratul ihram dalam solat berjemaah adalah sebanyak dua ribu empat ratus tiga puluh (2430). Ringkasnya adalah seperti berikut: 9 x 10 x 27 = 2430. sembilan adalah jumlah huruf takbiratul ihram, didarab dengan sepuluh yang merupakan asas gandaan bagi setiap amalan. Dua puluh tujuh adalah gandaan bagi solat berjemaah.

Apabila setiap amalan baik diganjari dengan sepuluh kali pahala, maka bererti sepuluh inilah yang akan digandakan dengan 27 di dalam solat berjemaah. Inilah kemungkinan yang lebih hampir. Ini berdasarkan hadis bahawa solat berjemaah adalah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak dua puluh tujuh kali ganda, dan setiap satu solat adalah sama dengan sepuluh kali solat.

Apabila kita membaca doa iftitah pula kita akan mendapat sepuluh pahala untuk setiap hurufnya, dan didarabkan jumlah itu dengan 27. maka kita dapat bayangkan betapa banyaknya pahala untuk solat berjemaah.Begitu jugalah apabila dibacakan taawuz.
Surah al Fatihah yang bermula dengan basmalah akan diganjari dengan 100 pahala bagi setiap hurufnya dan dan didarab dengan 27. Saiyyiduna Ali, semoga Allah redha kepadanya, berkata: sesiapa yang membaca Al Quran ketika berdiri di dalam solatnya akan mendapat seratus pahala bagi setiap huruf; sesiapa yang membaca al Quran ketika duduk akan solatnya akan mendapat 50 pahala bagi setiap hurufnya. (Syaikhul Hadeeth Maulana Muhamad Zakariyya, Fadhilat Al Quran, ms 41). Begitulah pahala ketika membaca surah selepas Fatihah.

Rukuk yang dilakukan adalah sama dengan 27 kali rukuk, dan tasbih di dalam rukuk adalah diberi sepuluh pahala bagi setiap hurufnya dan didarab dengan 27. begitulah rukun dan rakaat seerusnya. Pembaca yang rajin mengira, dipersilakan mengira jumlah kesemua rukun dan sunat-sunat dalam solat Zohor (contohnya) dan sila letakkan dalam komen.

Jadi kita akan memahami betapa banyaknya ganjaran yang diberikan kepada orang yang solat berjemaah.

Namun untuk mendapat pahala tersebut solat yang dilakukan mestilah solat yang betul rukun dan syaratnya. Jika rukunnya tidak betul maka solat itu tidak akan memberikan apa-apa ganjaran malah hanya mendatangkan dosa.

Kemudian adab solat berjemaah juga mesti dipelihara. Antara adabnya ialah:

1. Merapatkan dan meluruskan saf

Selalu dilihat di kebanyakan masjid para makmum yang solat jemaah tidak merapatkan saf mereka. Walaupun mereka istiqamah solat jemaat lima kali sehari, tapi amat rugi kerana mengabaikan perkara yang mudah diamalkan. Apakah mereka tidak suka dan rimas apabila bersentuhan dengan orang di sebelah mereka? Sikap itulah yang merugikan mereka, dan di situ ada sedikit unsur ego dan besar diri

Sabda Nabi kita, selawat dan salam ke atasnya, ertinya: luruskan saf-saf kamu, dan rapat-rapatlah (Al Bukhari dan Muslim, Dalilul Falihin, j 3, ms 586
Sabda Nabi Muhammad, selawat dan salam ke atasnya, ertinya: luruskan saf-saf kamu, kerana sesungguhnya meluruskan saf adalah menyempurnakan solat. (Muttafaqun alaih, Dalilul Falihin, j 3, ms 585)

Kata Anas bin Malik: adalah seorang daripada kami merapatkan bahu dan kakinya dengan orang di sebelahnya. (Bukhari, ibid)

Sabda Nabi, selawat dan salam ke atas baginda, ertinya: janganlah kamu berbeza kedudukan dam saf, maka sebab itu hati kamu semua akan berbeza (pandangan) (Abu Daud, isnad hasan)

Sebab tidak rapat saf ialah kerana rasa rimas bersentuhan dengan orang lain. Dan rasa rimas ini biasanya datang kerana rasa besar diri dan tidak mesra dengan oarang lain. Rasa besar diri inilah menjadi punca pergaduhan dan perpecahan umat Islam.

KELEBIHAN SOLAT BERJEMAAH DARI SUDUT SAINS

Saya pernah terbaca sebuah buku ketika berada di masjid Felda Lawin Selatan lebih dari sepuluh tahun lepas, yang diterbitkan oleh Jakim atau IKIM memuatkan isi mengenai kajian seorang professor di US terhadap kelebihan solat berjemaah dari sudut sains. Saya merasakan seolah-olah mengetahui nama professor tersebut melalui buku itu.

Setelah mencari dengan tidak begitu teliti saya hanya dapat men ‘copy-paste’ kan dari sebuah blog yang sama dengan beberpa blog yang lain. Isinya adalah seperti di bawah:

Seorang professor fizik di Amerika Syarikat telah membuat satu kajian tentang kelebihan solat berjemaah yang disyariatkan dalam Islam. Katanya tubuh badan kita mengandungi dua cas elektrik iatu cas positif dan cas negatif. Dalam aktiviti harian kita sama ada bekerja, beriadah atau berehat, sudah tentu banyak tenaga digunakan. Dalam proses pembakaran tenaga, banyak berlaku pertukaran cas positif dan cas negatif, yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam tubuh kita. Ketidakseimbangan cas dalam badan menyebabkan kita rasa letih dan lesu setelah menjalankan aktiviti seharian. Oleh itu cas-cas ini perlu diseimbangkan semula untuk mengembalikan kesegaran tubuh ke tahap normal.

Berkaitan dengan solat berjemaah, timbul persoalan di minda professor ini mengapa Islam mensyariatkan solat berjemah dan mengapa solat lima waktu yang didirikan orang Islam mempunyai bilangan rakaat yang tidak sama. Hasil kajiannya mendapati bilangan rakaat yang berbeza dalam solat kita bertindak menyeimbangkan cas-cas dalam badan kita.

Semasa kita solat berjemaah, kita disuruh meluruskan saf, bahu bertemu bahu dan bersentuhan tapak kaki. Tindakan-tindakan yang dianjurkan semasa solat berjemaah itu mempunyai berbagai kelebihan. Kajian sains mendapati sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah lain yang berada di kiri dan kanan kita akan menstabilkan kembali cas-cas yang diperlukan oleh tubuh. Ia berlaku apabila cas yang berlebihan-sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita.

Menurut beliau lagi, setiap kali kita bangun dari tidur, badan kita akan merasa segar dan sihat setelah berehat berapa jam. Ketika ini tubuh kita mengandungi cas-cas positif dan negatif yang hampir seimbang. Oleh itu, kita hanya memerlukan sedikit lagi proses pertukaran cas agar keseimbangan penuh dapat dicapai. Sebab itu, solat Subuh didirikan 2 rakaat.

Seterusnya, setelah sehari kita bekerja kuat dan memerah otak semua cas ini kembali tidak stabil akibat kehilangan cas lebih banyak daripada tubuh. Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak pertukaran cas. Solat jemaah yang disyariatkan Islam berperanan untuk memulihkan keseimbangan cas-cas berkenaan. Sebab itu, solat Zohor didirikan 4 rakaat untuk memberi ruang yang lebih kepada proses pertukaran cas dakam tubuh. Situasi yang sama turut berlaku di sebelah petang. Banyak tenaga dikeluarkan ketika menyambung kembali tugas. Ini menyebabkan sekali lagi kita kehilangan cas yang banyak. Seperti mana solat Zohor, 4 rakaat solat Asar yang dikerjakan akan memberikan ruang kepada proses pertukaran cas dengan lebih lama.

Lazimnya, selepas waktu Asar dan pulang dari kerja kita tidak lagi melakukan aktiviti-aktiviti yang banyak menggunakan tenaga. Masa yang diperuntukkan pula tidak begitu lama. Maka, solat Maghrib hanya dikerjakan sebanyak 3 rakaat adalah lebih sesuai dengan penggunaan tenaga yng kurang berbanding 2 waktu sebelumnya. Timbul persoalan di fikiran professor itu tentang solat Isyak yang mengandungi 4 rakaat. Logiknya, pada waktu malam kita tidak banyak melakukan aktiviti dan sudah tentu tidak memerlukan proses pertukaran cas yang banyak. Setelah kajian lanjut, didapati terdapat keistimewaan mengapa Allah mensyariatkan 4 rakat dalam solat Isyak. Kita sedia maklum, umat Islam amat digalakkan untuk tidur awal agar mampu bangun menunaikan tahajjud di sepertiga malam. Ringkasnya, solat Isyak sebanyak 4 rakaat itu akan menstabilkan cas dalam badan serta memberikan tenaga untuk kita bangun malam (qiamullail).

Dalam kajiannya, professor ini mendapati bahawa Islam adalah satu agama yang lengkap dan istimewa. Segala amalan dan suruhan Allah Taala itu mempunyai hikmah yang tersirat untuk kebaikan umat Islam itu sendiri. Beliau merasakan betapa kerdilnya diri dan betapa hebatnya Pencipta alam ini. Akhirnya, dengan hidayah Allah beliau memeluk agama Islam.

2. Tidak membiarkan saf dihadapan tidak penuh.

Para makmum hendaklah memenuhkan saf yang pertama dahulu sebelum membuat saf yang kedua. Sebagaimana mereka dikehendaki memenuhkan saf kedua sebelum membuat saf yang ketiga. Ini adalah perbuatan yang menyebabkan hilangnya pahala berjemaah.

3. Tidak berada seorang diri dalam mana-mana saf

Syaikh Ibnu Hajar Al Haitami berkata ia menyebabkan kehilangan fadhilat/pahala berjemaah. Bahkan Nabi Muhamad, selawat dan salam ke atas baginda pernah menyuruh seorang sahabat yang solat bersendirian dalam saf paling belakang mengulangi solatnya. (Riwayat Imam Tirmizi dan ia menganggapnya hasan, dipetik dari kitab Mughniul Muhtaj)

4. Seorang makmum berdiri di sebelah kanan imam, tidak di sebelah kirinya atau belakangnya.

5. Tidak berada terlalu jauh daripada imam atau saf di hadapan dengan jarak melebihi tiga hasta.

Disebutkan di dalam kitab-kitab fiqh Mazhab Imam Syafie, semoga Allah merahmatinya, bahawa adab-adab tersebut di atas jika tidak diamalkan akan menghilang/meluputkan pahala jemaah. (Ianah, 2, 25)

6. Tidak mendahului, menyamai imam atau terkemudian daripada imam sehingga selesai satu rukun.

Pengarang kitab I’anah Talibin mengatakan bahawa yang hilang pahala ganda 27 ialah pada rukun yang dilakukan katika mendahului, serentak, atau terkemudian selepas imam selesai dari rukun berkenaan. Misalnya ia melakuka tiga perkara tersebut ketika rukuk, maka ia tidak akan mendapat pahala 27 kali rukuk. (jilid 2, ms 39)
Kalau rajin solat berjemaah setiap waktu, tetapi tidak menjaga adab-adab tersebut maka tidak jauh bezanya dengan orang yang solat sendirian di rumah. Pahala 27 kali ganda tidak akan diperolehi sepenuhnya. Barangkali hanya sepuluh kali ganda atau kurang daripada itu.

Wallahu a’lam.