Sabtu, 12 Mac 2011

GURU PERLUKAN PEMBELAAN


Apabila seorang pelajar kena rotan atau ditampar oleh guru maka surat-surat khabar pun kecoh sebagaimana kecohnya ibu bapa pelajar yang kena rotan itu. Lebih ‘meriah’ lagi apabila perkara ini sampai menjadi repot polis.

Surat khabar biasanya akan menggunakan ayat-ayat yang menjadikan guru yang merotan atau menanmpar tadi kelihatan bersalah, dan pembaca pula kan merasa marah kepada guru berkenaan. Ibu bapa pula sudah tentu akan menyebelahi anaknya dan merasakan bahawa membuat laporan polis adalah jalan terbaik.

Kita telah dengar terlalu banyak kes rotan di sekolah dan, seperti biasa, guru akan dijadikan bersalah oleh media.

Adakah pernah kita bertanya kenapa guru berkenaan sampai hati memukul pelajar? Apakah sampai begitu ganas guru-guru sekolah pada masa sekarang?

Jawapan ini hanya ada pada guru,. semua guru, samada menengah atau rendah. Apakah kita telah cuba mencari penyelesaiannya, atau hanya pandai menyalahkan guru? Sebenarnya selama ini guru tidak diberikan pembelaan sewajarnya. Ibu bapa dan media terus menyalahkan guru dan tidak pernah memberikan ruang sedikitpun untuk warga pendidik ini memberikan sedikit penjelasan.

Sebenarnya punca para guru merotan pelajar adalah pelajar sendiri. Kita boleh buat hujah mudah: adakah guru akan merotan pelajar yang tidak buat apa-apa masalah disiplin? Jawapnnya adalah tidak. Hanya orang gila sahaja yang akan memukul orang yang tak bersalah. Ringkasnya jika semua pelajar baik-baik semua maka tidak akan ada seorang pun pelajar yang kena rotan.

Ibu bapa zaman sekarang ramai yang macam ibu dan bapa ayam sahaja. Beranak pandai tapi jaga anak tak pandai. Orang seperti inilah yang mustahil akan menerima kesalahan anak mereka sehingga dirotan. Kata mereka: anak saya di rumah sangat baik dan bersopan santun, macamana cikgu boleh rotan dia? Anak yang tidak didik dengan baik (ayam mana pandai didik anak) memang pandai berlakon baik depan mak bapa dia sebab takut kena belasah oleh bapa yang berwatak seperti ketua samseng dengan anak-anak. Tetapi kerana tak pandai hormati guru sebab tak dididik, maka ia kan dirotan oleh guru yang terasa mereka tidak lagi dihormati.

Akhlak kebanyak para pelajar sangat buruk ketika ini. Maka guru rasa sangat tertekan ketika berada di kelas. Ada yang terpaksa tidak ambil peduli samada pelajar nak buat kerja ataupun tidak. Kalau menegur atau memarahi mereka akan menerima akibatnya. Mau tak mau terpaksa diamkan sahaja. Guru wanita akan lebih terasa bebanan ini.

Tugas guru sebenarnya adalah membimbing pelajar, tetapi sekarang mereka terpaksa menjadi kuli murid dan ibu bapa. Ibu bapa hanya tahu serang, dan, bapa terutamanya, sampai ke tahap menumbuk guru yang haknya adalah dihormati dan disegani sebagaimana yang berlaku pada masa-masa dulu.

Pada masa dulu tidak ada ibu bapa yang akan mempertikaikan walaupun guru menampar anaknya kerana mereka amat waras dan beranggapan bahawa: kalau anak aku tak jahat takkan guru nak tampar dia. Dan menganggap itulah yang terbaik untuk anaknya. Sekarang disebabkan ibu bapa terlalu banyak mempertikaikan maka mereka tidak pernah menghiraukan apa yang akan terjadi kepada anaknya. Dan biasanya anak-anak yang ibu bapanya sering mempertikaikan guru tidak akan berjaya ke mana-mana.

Di sekolah agama, khususnya madrasah tahfiz dan kelas kitab, bapa yang sering mengkritik guru/ustaz biasanya anaknya akan gagal dalam pelajaran. Samada anaknya lari dan tidak mahu menamatkan pengajian tahfiz sehingga mendapat syahadah, atau lulus syahadah tetapi ia tidak menjadikan anaknya seorang yang benar-benar beragama, atau hanya belajar beberapa tahun sahaja dalam kelas pengajian kitab. Sedangkan maksud asal bapanya ialah menjadikan anaknya tadi hafiz Quran dan alim ulama.

Bahkan mengeluarkan kenyataan yang tidak baik kepada para ustaz juga membawa akibat buruk kepada anak mereka. Pernah ada seorang bapa yang menghantar tiga orang anaknya ke madrasah tahfiz dengan maksud anaknya akan jadi hafiz kemudian setelah khatam tahfiz akan sambung belajar kelas alim (kelas kitab). Tetapi ketiga-tiga mereka tidak dapat menjadi ulama seperti yang dia idam-idamkan. Walaupun anak-anaknya cerdas kesemuanya.

Ketika ada ustaz mencadangkan madrasah memasang internet untuk memudahkan mencari bahan rujukan, bapa tersebut telah berkata saya takut ada orang guna untuk perkara tak elok. Maksudnya melayari laman-laman lucah.

Di sini difahami betapa biadabnya dia terhadap para ustaz kerana mempunyai sangka buruk kepada mereka. Dia barangkali terbawa-bawa dengan dunia di pejabatnya yang kakitangannya ada yang melakukan perkara buruk itu. Tetapi dengan para ustaz dia wajib sangka baik dan haram mengeluarkan pandangan sebodoh itu.

Ada juga bapa lain yang menyedari kesilapannya mempertikaikan ustaz, akhirnya salah seorang daripada anaknya telah gagal menamatkan syahadah tahfiz. Sehingga kini dia tidak lagi komplen apa-apa pun. Kerana dia faham para ustaz adalah manusia yang berilmu, yang pastinya mereka bertindak di atas ilmu mereka, dan dia hanya seorang jahil yang tidak punyai panduan untuk mempersoalkan mereka. Bapa itu sendiri yang berkata dia tidak akan mempertikaikan ustaz lagi kerana takut anaknya ‘tak jadi.’
Imam Al Ghazzali pernah menulis bahawa seorang murid tidak boleh mempertikaikan gurunya kerana gurunya lebih mengetahui daripadanya. Sama juga dengan bapa yang tidak mempunyai ilmu setarafnya.

Ada pelajar di madrasah tahfiz yang dirotan kerana lambat lima minit masuk ke kelas. Pelajar lain pula tidak dirotan walaupun terlewat sepuluh minit. Pelajar pertama tadi memberitahu bapanya bahawa dirotan kerana lambat lima minit dan pelajar kedua tidak dirotan walaupun terlewat sepuluh minit. Bapanya menyuarakan tidak puas hati kepada ustaz mereka. Ustaz itu menjawab anak pakcik kena rotan sebab ia lewat lima minit masuk kelas setiap hari. Pelajar yang lewat sepuluh minit tu tak kena rotan sebab itulah kesalahan pertama dia sejak dua tahun.

Dari kisah ini, seorang bapa yang bijak tidak akan percaya kepada anaknya dan tidak akan mempertikaikan apa-apa pun tindakan ustaz berkenaan. Bapa yang kurang waras pula barangkali buat keputusan berhentikan anaknya kerana menuduh ustaz pilih kasih dan tidak adil.

Pemberita yang jujur tidak akan bersikap menyebelahi para pelajar, selalunya laporan yang ditulis ialah tuduhan dan alasan para pelajar dan ibu bapa yang macam bapa dan ibu ayam, sedangkan jawapan dan alasan guru yang menghukum tidak pernah diketahui sesiapa pun. Memang media berat sebelah dalam soal ini.

Saya mempunyai ramai kawan-kawan dari kalangan guru, memang kita terasa muak dengan perangai macam setan para pelajar sekolah menengah sekarang, lelaki dan perempuan sama sahaja: setan jantan dan setan betina bersepah di mana-mana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan