Isnin, 28 Mac 2011

HAKIKAT DEMOKRASI



Apakah erti demokrasi? Demokrasi ialah menyerahkan kuasa kepada majoriti rakyat untuk memilih pemimpin.

Di dalam masyarakat seluruh dunia, orang yang paling ramai, atau majoriti masyarakat ialah yang rendah intelek mereka. Dalam bahasa lain orang yang bodoh adalah yang paling ramai. Ini boleh dilihat di mana-mana pun, di Malaysia contohnya, lihatlah di kampung, bandar atau, khususnya, di sekolah-sekolah, nyatalah bahawa yang berotak cemerlang adalah amat sedikit. Yang cerdik ramai juga tapi tidak seramai yang lemah. Maka ertinya, demokrasi adalah menyerahkan kuasa kepada orang yang paling lemah akal mereka atau yang bodoh.

Ini menunujukkan bahawa demokrasi tidak adil. Apakah yang boleh difahami oleh orang yang lemah akal mereka. Maka sebab itu mereka akan memilih orang tidak sepatutnya dipilih untuk jadi pemimpin mereka. Mereka akan memilih walaupun pemimpin yang dipilih itu akan menipu mereka.

Dari sini kita akan fahami kenapa Islam tidak membenarkan selain ahli hilli wal aqdi untuk menentukan pemimpin. Mereka itulah yang dipanggil ahli syura. Ahli syura ialah orang yang bersifat adil, iaitu orang tidak melakukan dosa, dan mestilah yang luas ilmu pengetahuan mereka.

Di dalam masyarakat Islam orang yang paling ramai ialah yang lemah amalan agama atau yang fasiq. Lihat sahaja masjid, surau, dan majlis-majlis ilmu adalah amat sedikit umat Islam yang datang. Sebaliknya majlis maksiat seperti konsert dan lain-lain adalah terlalu ramai. Sekiranya Islam membenarkan demokrasi dalam memilih pemimpin maka pemimpin akan dipilih oleh orang yang fasiq, dan sudah tentu mereka akan memilih yang fasiq sebangsa mereka juga.

Pilihanraya yang dibenarkan oleh Islam ialah pilihanraya yang para pengundinya adalah manusia cerdik dan taat mengamalkan perintah agama. Maka ketua kampung hanya boleh dipilih oleh ahli masjid yang berpendidikan agama yang cerdas akal mereka. Ketua kampung juga mestilah ahli masjid, berpendidikan agama dan cerdas akalnya. Ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri dipilih oleh ketua-ketua kampung tersebut. Maka dari sinilah akan lahir para menteri yang adil yang akan melaksanakan hukum Islam dengan sebaik-baiknya.

Perkara ini dibuktikan dengan ayat Al Quran, surah Al A’raf, ayat 159, ertinya:

“ Dengan rahmat dari tuhanmu kamu berlemah lembut dengan mereka, sekiranya kamu kasar dan keras hati , mereka akan menjauhi diri dari kamu; maka maafkanlah mereka dan mintalah ampun untuk mereka dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan. Apabila kamu telah (bermesyuarat dengan mereka dan) berazam (melakukannya), berserahlah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berserah (mutawakkil)”

Tersebut di dalam Ad Durrul Manthur karya As Suyuti (rahmatullah ‘alaih), kata Ibnu Abbas: maksud perkataan ‘bermesyuaratlah dengan mereka’ ialah bermesyuarat dengan Abu Bakar dan Umar (radiyallahu anhuma). (Riwayat Al Baihaqi dan Al Hakim dan ia mensahihkannya) Ia juga diriwayatkan oleh Al Kalbiy dari Abu Soleh, dari Ibnu Abbas.

Hadrat Ali bin Abu Talib berkata: Nabi (selawat dan salam ke atas baginda) telah ditanya maksud azam, jawab baginda: Bermesyuarat dengan orang cerdik pandai, kemudian mengikut cadangan mereka. (Riwayat Ibnu Marduyah).

Al Baghawi meriwayatkan daripada Maimun bin Mehran, katanya: adalah Abu bakar apabila mengahadapi perbicaraan, ia akan melihat di dalam Al Quran; ia akan menghukum dengan apa yang ia temui di dalamnya. Sekiranya ia tidak menemuinya, ia akan mencari dalam perbuatan Rasulullah (sunnah). Sekiranya tidak dapat ditemui ia akan mengumpulkan para pemimpin kaum dan orang-orang baik mereka. Sekiranya mereka sepakat di atas sesuatu perkara, ia akan memutuskan dengannya. Begitulah juga yang dilakukan oleh Umar. (Al Wajiz fi Usul Fiqh, Az Zuhaili, 22)

Umar pernah berkata kepada Syuraih yang menjadi qadhi di Kufah: hukumlah dengan kitab Allah, jika kamu tidak temui maka dengan keputusan Rasulullah. Jika kamu tidak temui maka hukumlah dengan yang jelas bagi kamu daripada pandangan pemimpin-pemimpin yang mendapat hiadayat. Jika kamu tidak temui, maka berijtihadlah (berusaha sedaya upaya) dengan pemikiran kamu dan mintalah pandangan ahli ilmu dan orang soleh. (Al Wajiz, Abdul Karim Zaidan, 151)

Ketika Hadrat Umar hampir wafat selepas ditikam, beliau telah menyerahkan urusan pemilihan khalifah selepasnya kepada jemaah seramai enam orang yang terdiri daripada Uthman, Ali, Talhah, Az Zubair, Saad dan Abdur Rahman ibn 'Auf. mereka kemudiannya sepakat memilih Hadrat Uthman Affan sebagi pengganti Umar. Inilah demokrasi para sahabat: pemilihan dibuat oleh orang-orang soleh dalam masayarakt. Bukannya semua rakyat termasuk orang yang tak sembahnyang pun boleh pilih dan pangkah ikut kepala otaknya.

Dalam surah Syura, ayat 38, Allah taala berfirman, ertinya:

“dan orang-orang yang menyahut seruan tuhan mereka, dan mendirikan solat, dan urusan mereka (dilaksanakan dengan) mesyuarat antara mereka.”

Diriwayat oleh Abd ibn Humaid, dan Al Bukhari dalam Al Adab Al Mufrad, dan Ibnu Munzir bahawa Al Hasan berkata: Tidaklah bermesyuarat sesuatu kaum, melainkan mereka akan diberi petunjuk dan dan dibimbing dalam urusan mereka.

Diriwayatkan oleh Al Khatib dari Abu Hurairah bahawa Nabi (selawat dan salam ke atas beliau) bersabda: mintalah panduan daripada orang yang bijak, nescaya kamu akan terbimbing. Dan jangan meninggalkan panduannya nescaya kamu akan menyesal. (Durrul Manthur, 13/168)

Di dalam nas-nas di atas tiada satu pun yang menyuruh kita bermesyuarat dengan orang ramai atau orang awam. Kita sedia maklum dengan apa yang saya nyatakan sebelum ini. Maka dengan itu mesuarat agung adalah berlawanan dengan syariat. Tapi inilah yang kita amalkan dengan istiqamah setiap tahun.

Bermesyuarat dengan orang berilmu yang soleh amat menguntungkan kerana mereka akan memberikan cadangan yang benar-benar mengikut syariat. Bermesyuarat dengan orang yang banyak pengalaman akan melahirkan banyak cadangan-cadangan yang amat baik diikuti.

Sementara bermesyuarat dengan orang jahil dan fasiq, cadangn mereka sudah tentulah yang tidak mengikut syariat dan mengandungi kepentingan diri dan kroni. Dan meminta pandangan orang yang tiada pengalaman cadangan mereka lebih membawa keburukan daripada kebaikan. Ataupun mereka tidak ada apa pun yang nak dicadangkan

Sabda Nabi Muhammad (selawat dan salam ke atas baginda), ertinya: Tidak rugi orang yang melakukan istikharah, dan tidak menyesal orang yang bermesyuarat, dan tidak miskin orang yang berjimat. (Tabarani dalam Mukjam Ausat) (Durrul Manthur, jld 4, ms 88)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan