Khamis, 18 Ogos 2011

KEJAHILAN PENCERAMAH MENGENAI MIMPI MALAM DAN MIMPI SIANG HARI


Saya ingin menarik perhatian pembaca kepada seorang penceramah yang mengatakan bahawa mimpi siang hari tak boleh pakai. Ini sebenarnya kata-kata yang lahir daripada manusia yang tidak cukup ilmunya. Sepatutnya ustaz berkenaan mengambil masa yang banyak untuk metelaah kitab-kitab agama berkenaan dengan mimpi sebanyak yang mungkin kemudian barulah mengeluarkan kenyataan berkenaan mimpi. Tidak boleh bergantung dengan peribahasa Melayu “Mimpi di Siang Hari” atau hanya pengalaman.

Banyak berlaku di negara ini ustaz-ustaz yang bercakap, dan tak mahu mengaku tak tahu, walaupun apa yang ia cakapkan itu tidak dikutip dari mana-mana sumber pun. Ini adalah penyumbang terbesar kepada kekeliruan umat Islam Malaysia terhadap hukum Islam.

Sebenarnya peribahasa Melayu yang berkata “Mimpi di siang hari” yang bermaksud mimpi di siang hari tidak boleh diambil kira adalah tidak benar dalam syariat. Ini kerana ramai ulama yang mengatakan bahawa mimpi di siang hari adalah sama dengan mimpi pada waktu malam, bahkan ada yang mengatakan bahawa mimpi pada siang adalah lebih kuat kebenarannya daripada mimpi pada waktu malam.

Di dalam kitab Sahih Al Bukhari dinyatakan bahawa Muhammad Ibnu Sirin berkata bahawa mimpi pada waktu siang adalah sama seperti mimpi pada waktu malam. (Fathul Bari, 12/409.) kata Abul Hasan dalam kitab Nurul Bustan bahawa tiada beza antara mimpi siang dan mimpi malam, dan hukum kedua-duanya adalah satu (sama) pada ibarat. (Umdatul Qari syarah Bukhari, 24/216)

Dalam hadis yang diriwayatkan dari Abu Said Al khudri, Nabi Muhammad (selawat dam salam ke atas baginda) bersabda, ertinya: mimpi yang paling benar ialah pada waktu sahur (akhir malam) (Hadis sahih Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu hibban, Hakim)(Faidhul Qadir, 1/530)

Dalam sebuah hadis daif riwayat dari Jabir dinyatakan bahawa: Mimpi yang paling benar ialah pada waktu siang. (Hakim dalam Tarikh, dan Dailami)
Walaupun hadis ini daif namun ulama tidak terus berkata: mimpi pada waktu siang tidak boleh pakai sebab hadis ini daif.

Tetapi mereka berkata boleh dikatakan bahawa mimpi siang lebih benar daripada mimpi malam selain daripada waktu sahur. Kerana mengumpulkan dua hadis di atas. Dan memang terdapat ulama yang berkata bahwa mimpi siang lebih kuat daripada mimpi malam.

Mungkin ada orang yang menganggap perkara ini tidak begitu penting, tetap pada saya apabila berlaku kesalahan maka memperbetulkannya adalah amat penting apatah lagi ia dilakukan oleh penceramah yang terkenal, yang mengajar di merata tempat yang sudah pasti orang akan percaya kepada cakapnya, lebih-lebih lagi orang-orang jahil yang akan berpegang bulat-bulat tanpa usul periksa, kerana kepopularannya, padahal si ustaz yang mereka minat sangat tu telah membuat kesalahan, yang barangkali sekiranya perkara yang sebenarnya disebut oleh ustaz lain mungkin mereka tidak akan menerimanya.

Apabila si ustaz itu mengajar di banyak tempat maka barangkali kesalahan itu akan tersebar ke seluruh tempat ia mengajar. Kebenaran di dalam mimpi ini wajib ditegakkan kerana ia ada kaitan dengan banyak perkara lain lagi. Yang amat pentingnya orang awam tidak menolak kebenaran hanya kerana semata-semata berpegang dengan cakap seorang ustaz yang tidak betul dengan fakta sebenarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan