Isnin, 27 Ogos 2012

KENAPA UMAT ISLAM TIDAK DITOLONG?




Allah telah berjanji untuk menjadikan umat Islam lebih tinggi daripada orang bukan Islam. ini telah tertera di dalam firman-Nya, ertinya:

“dan Allah tidak akan menjadikan orang-orang kafir berkuasa ke atas orang Islam” (an Nisa, 141)

dalam surah Ali Imran, friman-Nya, yang bererti:

“Janganlah kamu menjadi lemah dan bersedih, sedangkan kamulah yang paling tinggi jika kamu beriman” (ayat 139)

dalam surah Taubah, ayat 36, ertinya:

“sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertaqwa.”

Di dalam tafsir Syaukani: maksudnya  dengan membantu mereka dan menetapkan mereka. Dan sesiapa yang Allah bersamanya adalah orang yang menang. (571)

Tetapi apa yang berlaku sekarang ialah umat Islam dihina dan ditindas oleh orang bukan Islam di banyak tempat di dunia ini.

Soalnya sekarang di manakah bantuan Allah untuk umat Islam di seluruh dunia?

Di dalam surah Muhammad ayat 7, Allah berfirman, ertinya: “wahai orang-orang beriman, jika kamu bantu Allah nescaya Ia akan bantu kamu.”

Di dalam ayat di atas kita lihat syarat asas untuk umat Islam mendapat nusrah (bantuan) Allah ialah beriman, bertaqwa dan membantu agama Allah.

IMAN

Iman yang dimaksudkan di dalam ayat ialah iman yang sebenarnya, ertinya umat Islam akan ditolong jika iman mereka telah mencapai tahap yang tinggi yang menjadikan mereka layak mencapai nusrah.

MEMBANTU AGAMA ALLAH

Membantu agama Allah adalah syarat untuk mencapai nusrah daripada Allah, tapi apakah cara membantu agama Allah yang melayakkan umat Islam menerima nusrah dan bantuan Allah?

AYAT-AYAT AL QURAN MENGENAI MEMBANTU AGAMA ALLAH

Firman Allah, ertinya:

“Wahai orang-orang beriman jadilah kamu pembantu-pembantu Allah, seperti mana berkata Isa ibnu Maryam kepada Hawariyyun: siapakah yang akan menolongku bersama Allah? Berkata Hawariyyun: kamilah penolong-penolong Allah; maka telah beriman sekumpulan daripada Bani Israil dan telah kufur satu kumpulan; maka Kami telah menguatkan orang-orang yang telah beriman ke atas musuh mereka, maka mereka telah menang.” (Saff, 14)

Firman-Nya lagi, ertinya:

“Wahai orang-orang beriman jika kamu tolong Allah nescaya Allah akan bantu kamu dan menetapkan tapak kami kamu.” (Muhammad, 7)

Firman-Nya, dalam ayat 40 surah Hajj, ertinya:

“Dan sesungguhnya Allah akan membantu  orang yang membantu-Nya.”


APAKAH ERTI MEMBANTU AGAMA ALLAH?

Di dalam surah  Saff ayat 14 yang dinyatakan di atas Allah telah memerintahkan umat Islam membantu agama Allah seperti yang telah dilakukan oleh Hawariyyun kepada Nabi Isa (alaihis salam). Ertinya Allah memerintahkan kita mengambil contoh daripada mereka dalam membantu agama Allah.


SIAPAKAH HAWARIYYUN?

Di dalam surah Ali Imran ayat 52, disebut Hawariyyun, firman-Nya:

“Maka ketika Nabi Isa (alahissalam) merasakan bahawa mereka (Kuffar Bani Israil) akan kekal dalam kekafiran, maka ia berkata siapakah yang akan menolongku kepada Allah? Berkata Hawariyyun: kamilah pembantu-pembantu agama Allah, kami beriman kepada Allah, maka bersaksilah bahawa kami adalah muslim. Wahai tuhan kami, kami telah beriman dengan apa yang Kau turunkan (Injil), dan kami telah ikuti Rasul ini (Isa), dan tuliskanlah kami bersama orang-orang yang menyaksikan.

Firman Allah, ertinya:

“Wahai orang-orang beriman jadilah kamu pembantu-pembantu Allah, seperti mana berkata Isa ibnu Maryam kepada Hawariyyun: siapakah yang akan menolongku bersama Allah? Berkata Hawariyyun: kamilah penolong-penolong Allah; maka telah beriman sekumpulan daripada Bani Israil dan telah kufur satu kumpulan; maka Kami telah menguatkan orang-orang yang telah beriman ke atas musuh mereka, maka mereka telah menang.” (Saff, 14)

Firman Allah dalam surah al Maidah, ayat 112, ertinya:

“(ingatlah wahai Muhammad) ketika Hawariyun berkata: wahai Isa bin Maryam, adakah mampu tuhan kita menurunkan kepada kita hidangan dari langit? Berkata Isa bertaqwalah kepada Allah jika kamu beriman.”

Disebut di dalam kitab-kitab tafsir hawariyun adalah 12 orang lelaki pertama yang beriman dengan Nabi Isa (alaihis salam). Baginda telah mengutuskan mereka ke beberapa tempat antaranya ia ke Babil, Afrika, ke kampung Ashabul Kahfi,  Baitul Maqdis, Hijaz dan Barbar.

Di dalam surah Ya sin, dinyatakan kisah Hawariyyun bersama Habib an Najjar, ertinya:

“dan wahai Muhammad buatkanlah perumpamaan kepada mereka mengenai penduduk kampung itu (Antokiah), ketika datang kepada mereka para utusan; (13)

ketika Kami utuskan kepada mereka dua orang, lalu mereka mendustai, kemudian kami perkuatkan dengan yang ketiga, maka mereka berkata sesungguhnya kami diutuskan kepada kamu; (14)

mereka berkata tidaklah kamu melainkan seperti kami, dan tuhan yang rahman tidak menurunkan sesuatu pun,  tidaklah kamu melainkan berdusta sahaja; (15)

(para utusan menjawab) tuhan kami mengetahui bahwa kami adalah utusan kepada kamu; (16)

tidak wajib kepada kami selain menyampaikan dengan jelas; (17)

(penduduk Antokiah) berkata: kami mendapat malang kerana kamu; sekiranya kami tidak berhenti daripada dakwah ini kami akan rejam kamu dengan batu dan akan mengenai kamu azab yang pedih dari kami; (18)

(Utusan) menjawab: nasib malang kamu adalah bersama kamu (sebab kekafiran kamu),  adakah selepas kamu didakwah dan diberi peringatan kamu masih bernasib malang? Bahkan kamu kaum yang melampaui batas. (19)

Dan datanglah dari hujung kampung seorang lalaki (Habib) dengan tergesa-gesa, ia berkata: wahai kaumku ikutilah para utusan ini. (20)

Ikutilah orang yang tidak meminta upah daripada kamu, sedangkan mereka mendapat hidayat. (21)

Tidak ada yang menghalang daripada aku menyembah tuhan yang telah menciptaku, dan kepada-Nya kamu akan dikembalikan. (21)

Dalam ayat 26-27, surah Yasin dinyatakan (ertinya):

“dikatakan kepada Habib (ketika matinya) masuklah ke dalam syurga; berkata (Habib): wahai, kalaulah kaumku mengetahui pengampunan tuhanku untukku, dan bahawa  Ia menjadikanku dalam golongan orang yang dimuliakan.”


MEMBANTU ALLAH YANG DILAKUKAN OLEH HAWARIYUN

Tersebut di dalam tafsir Ibnu Katheer: halaman 1870 (cetakan Daru Ibn Hazm) mengenai tafsiran ayat 14 surah Saff:

Allah Taala berfirman memerintahkan hamba-hamba-Nya menjadi penolong-penolong-Nya pada semua keadaan; dengan kata-kata, perbuatan, diri dan harta mereka. dan Ia memerintahkan mereka supaya menerima perintah Allah dan Rasul-Nya, sebagaimana Hawariyun telah menerima kata-kata Nabi Isa ketika ia berkata kepada mereka “siapakah pembantu-pembantu-Ku kepada Allah?” ertinya: ialah siapakah yang akan menolongku untuk BERDAKWAH KEPADA ALLAH? … Dan kerana itulah Isa (alaihis salam) telah mengutuskan mereka sebagai pendakwah ke negeri Syam kepada bangsa Israil dan Yunanis.

Seperti inilah juga bersabda Nabi Muhammad (selawat dan salam ke atas baginda selama-lamanya) pada musim-musim haji: “siapakah yang akan membantuku supaya aku dapat menyampaikan risalah tuhanku, kerana Qurasy telah menahanku daripada menyampaikan risalah tuhanku.”

Sehinga Allah menguatkan baginda dengan Aus dan Khazraj daripada Madinah, lalu mereka berbaiat dengan baginda dan berjanji akan mempertahankan baginda sekiranya berhijrah ke tempat mereka. Dan ketika baginda berhijrah  bersama sahabat-sahabatnya mereka telah menunaikan janji mereka tersebut, dan sebab itulah Allah telah menamakan mereka dengan nama ANSAR.(PARA PEMBANTU). Dan ia telah menjadi nama khas mereka.

Riwayat mengenai perkara di atas boleh dilihat di dalam kitab-kitab: Jame’Tarmizi no: 2925; Abu Daud, 4738; Ibnu Majah 201;  dan Tuhfatul Ahwazi syarah Tarmizi, j 8/242

Ketika menafsirkan ayat 52 surah Ali Imran, Ibnu Katheer berkata:

Yang zahir ertinya Nabi Isa bermaksud “siapakah yang akan membantuku untuk BERDAKWAH KEPADA ALLAH.?” (Tafsir Ibni Katheer, hal 367)

Erti ‘yang zahir’ ialah tafsiran yang paling kuat.

Tafsiran ayat 52 Ali Imran dan ayat 14 surah Saff, adalah sama penerangannya oleh Ibnu Katheer.

Jadi kesimpulannya maksud membantu agama Allah yang diperintahkan di dalam surah Saff ayat 14 ialah ‘DAKWAH ILALLAH.’

Daripada ayat-ayat di atas disimpulkan bahawa dengan membantu agama Allah umat Islam akan mendapat:

1. Bantuan dari Allah

2. Keampunan dan masuk syurga


REALITI DAKWAH PADA MASA KINI

Jelasnya umat Islam kini amat mengabaikan dakwah di mana-mana saja – di seluruh dunia. Boleh dilihat di setiap kampung dan bandar amat sedikit yang melakukan dakwah. Sebaliknya ramai yang berdiam diri malah ada yang menentang.

Dakwah yang sempurna dan menyeluruh sekarang ini hanya ada pada Jamaah Tabligh. Saya kata lengkap dan menyeluruh kerana mereka melakukan dakwah setiap hari (2 ½ jam), dua kali setiap minggu jaulah (gasyt) pertama dan jaulah kedua; 3 hari setiap bulan, 40 hari setiap tahun dan lain-lain. Mereka juga sering mengadakan ijtima’ pada tiap-tiap tahun. Contohnya Ijtima Sedunia di Tongi, Bangladesh.

Dan juga kerana mereka melakukan dakwah tanpa sempadan, iaitu kepada seluruh umat Islam di mana sahaja mereka berada, hatta kepada Orang Asli di hutan pun mereka akan pergi berdakwah.

Maksud mereka ialah untuk mengembalikan umat islam kepada amalan Islam yang lengkap. Supaya umat Islam kembali melakukan semua perintah Allah, dan meninggal-kan segala larangan Allah.

Dan ini memang terbukti daripada pengalaman. Ramai yang dahulunya hidup bergelu-mang dengan maksiat tetapi setelah keluar 3 hari maka berubah sama sekali daripada keadaannya sebelum itu.

Inilah amar makruf dan cegah mungkar sebenarnya. Kalau kita membakar sebuah kedai menjual nombor ekor (4D) di sesebuah negeri, maka akan berlaku beberapa keadaan. Antaranya ialah penagih ekor akan membelinya di negeri lain berdekatan. Keduanya mereka akan merasa marah kerana terasa hak mereka dirampas.

Tetapi sekiranya seorang penagih ekor dibawa keluar 3 hari dan insaf, maka ia pasti akan menjauhi kedai  ekor selama-lamanya dengan penuh ketaqwaan dan keikhlasan.

Jadi difahami bahawa mencegah mungkar dengan hanya memusnahkan tempat maksiat sahaja bukanlah perkara yang terbaik. Tapi ia mesti diiringi dengan tarbiah yang menim-bulkan keinsafan yang mendalam yang melahirkan ketaqwaan.

Disebabkan pengabaian kepada dakwah amat ketara sekarang maka maksiat makin bertambah. Dan ini tak perlu dibuktikan lagi di sini. Apabila maksiat makin berleluasa maka bencana akan datang menimpa uumat Islam. Dan hari ini bencana yang menimpa umat Islam tidak perlu disebut lagi, kerana meraka lebih mengetahui keadaan mereka. Puncanya ialah mengabaikan dakwah, mengabaikan dakwah menyebabkan umat menjadi lalai dan melakukan maksiat, maksiat mengundang berbagai azab dan bencana di dunia dan akhirat.


DAKWAH YANG DILAKUKAN OLEH PUSAT PENGAJIAN ISLAM.

Apakah ada mana-mana sebuah pondok, sebagai contoh, yang menghantar jemaah dakwah untuk membawa peringatan tabsyir dan inzar kepada penduduk kampung berdekatan? Jawapannya sudah tentu tidak! Jawapan yang barangkali akan dikemukakan oleh para guru-guru pondok ialah orang kampunglah yang wajib datang ke pondok belajar agama, dan kami dah terlepas tanggungjawab dakwah.

Adakah in yang dilakukan oleh para rasul? Jawapan para tok guru pondok tersebut sudah tentulah salah.  Salah kerana para rasul termasuk baginda Muhammad (selawat dan salam ke atas baginda) telah menghantar amat banyak jemaah ke tempat berdekatan Madinah untuk melakukan dakwah di samping jemaah untuk qital.

Dan kerana jawapan yang tidak diasaskan di atas dalil itulah maka semakin ramai umat Islam sekitar pondok dan sekolah-sekolah agama yang semakin lagha dan semakin kuat menentang Islam. Kenapa jadi begitu? Kerana mereka tidak pernah dengar sedikitpun berita akhirat  dan hidup mengikut hawa nafsu.

Memang terdapat ramai umat Islam jahil yang berada di luar pondok, di kampung berdekatan, tapi sayangnya para tok guru pondok tak pernah terlintas  untuk menghantar anak-anak murid mereka ke kampung berkenaan dan membawa berita-berita akhirat kepada mereka. Jadi tidak hairanlah makin ramai yang hidup mengikut nafsu, bergelumang dengan dosa, dan merekalah yang akan mula-mula menyokong parti yang menggalakkan maksiat dan menentang parti yang ingin menegakkan Islam. Jangankan hudud, suruh pakai tudung pun melawan. Nak bercakap tentang hudud, basuh kencing pun  masih tak pandai-pandai.

Jadi, keadaan umat islam sekarang yang adalah hasil daripada pengabaian oleh para ulama terhadap dakwah kepada seluruh umat Islam. Tiada siapa yang boleh nafikan ini. Lebih buruk lagi apabila para ilmuan mula mengejar ribuan RM, sehingga orang-orang soleh pun dah mula meluat dengan para ustaz tamak yang hanya terbayang RM di matanya. Malah ada yang masih belajar dah terbayang untuk mengejar RM 4k-5k setiap bulan dengan ilmu yang akan diajarkan.

Lihat kembali surah Ya sin ayat 21:

“Ikutilah orang yang tidak meminta upah daripada kamu, sedangkan mereka mendapat hidayat.”

Ustaz tamak ini juga adalah antara makhluk perosak yang membina kesenangan di atas beban orang lain. Tanyalah mana-mana AJK masjid memang mereka merasa bosan dengan ustaz seperti ini yang merasa merekalah pejuang Islam.

Saya pernah mendengar bahawa permulaaan kejatuhan Chechen ialah sikap ulamak yang mementingkan dunia, yang mana Russia telah menghasut orang-orang awam membunuh mereka. Kata mereka: apa gunanya ulama kamu, mereka hanya menghabiskan duit kamu, lebih baik kamu bunuh mereka.

Ada ustaz yang mendakwa dia telah melakukan dakwah yang terbaik kerana setiap minggu mengajar di dalam radio. Agaknya ustaz tersebut percaya bahawa semua orang-orang fasik yang ada di negerinya akan mendengar siaran tersebut dengan penuh khusyuk. Dia terlupa yang puak-puak ni awal-awal lagi dah tukar stesen lain, sebelum siarannya bermula.


KEPERLUAN DAKWAH MASA KINI

Yang paling penting dilakukan ialah semua Islam berpadu tenaga melakukan dakwah kepada seluruh umat Islam, tua  muda, lelaki dan wanita.

Semua umat Islam tahu maksiat yang berleluasa sekarang; zina antara yang paling banyak berlaku, maka adalah amat menghairankan para pejuang Islam (atau yang perasan dia memperjuangkan Islam lebih banyak menumpukan perkara lain dan amat sedikit masa yang digunakan untuk berdakwah kepada orang-orang muda di negara ini.

Daripada mengadakan konvoi motosikal beramai-ramai atau berakit di sungai, adalah lebih baik menemui seluruh para orang muda di setiap pelusuk kampung dan memberikan tazkirah mengenai bahaya zina dan segala yang berkaitan agama seperti solat, puasa, dan lain-lain.

Setiap tindakan dalam agama adalah mengikut keutamaan (awlawiyyah) jadi pada masa ini yang paling penting dilakukan ialah berdakwah kepad orang muda. Tapi nampaknya kerja dakwah untuk mereka telah terabai dengan begitu ketara. Para pejuang lebih tumpukan kepada kerja yang kurang penting berbanding yang lebih penting. Malah yang paling buruk kerja dakwah menyeluruh kepada semua umat Islam tidak pernah menjadi agenda utama, sebaliknya yang dikejar ialah kuasa memerintah. Tanpa mereka sedari orang muda yang bergelumang maksiat inilah yang akan mewakili parti yang akan menentang mereka yang sudah pasti akan merugikan mereka.

Hairan sungguh sebuah parti politik yang memerlukan majoriti undi untuk memerintah amat lemah melakukan dakwah sedangkan dakwah itulah menjadi sebab untuk meramaikan orang yang soleh. Dan orang yang soleh inilah yang paling ramai akan mengundi mereka. Dan dakwah jugalah manjadi punca mereka mendapat bantuan Allah, tapi dakwah diabaikan maka sebab itulah masih tidak dibantu untuk memerintah walaupun selepas lebih daripada 50 tahun.

Sebaliknya Jamaah tabligh yang tidak pernah mengharap apa-apa majoriti, merekalah yang paling aktif melakukan dakwah, siang dan malam.  Saya percaya sekiranya PAS melakukan dakwah lebih aktif daripada Tabligh, sudah pasti ramai orang akan jadi soleh, dan orang soleh inilah yang akan memangkah mereka, dan rasanya mereka sudah dapat memerintah 30 tahun dulu.

Berbagai usaha telah dijalankan untuk memusnahkan iman umat Islam, dan sekarang usaha itu telah berhasil dengan lahirnya beratus ribu anak haram. Namun apa yang telah PAS telah lakukan untuk menghasilkan anak-anak soleh? Sekiranya PAS lebih kuat melakukan dakwah dan mengatasi usaha meruntuhkan iman umat Islam, maka anak haram tidak akan seramai itu.

Pada masa saya remaja tidak ada seorang pun orang PAS yang berdakwah kepada saya. Dan tidak pernah diketahui PAS melakukan dakwah secara umum, sebaliknya dilakukan secara senyap-senyap. PAS lebih banyak membelasah orang yang jauh dari Islam dengan maki hamun. Sebaliknya orang-orang Tabligh lebih berjaya kerana pendekatan memujuk mereka, jauh untuk memaki. PAS lebihh lebih banyak megucapkan kafir dan munafik. Tetapi Tabligh lebih banyak mengarapkan hidayat.

Apabila ada seseorang pemuda yang ikut Jemaah Tabligh, maka orang-orang PAS akan mula mengacau dengan hujah bahawa Tabligh tidak mengajak orang belajar ilmu. Setelah termakan hujah begitu pemuda itupun mulai renggang dari tabligh dan akhirnya terus menjauhi Tabligh. Kerana PAS kosong dari targhib dan tarhib, maka pemuda itupun mulai rasa jemu mengaji dan akhirnya juga renggang dan menjauhi PAS. Namun orang-orang PAS membiarkannya terus bersendirian. Nak dakwah tak pandai, sebab dah terlatih menuduh orang munafik dan sebagainya, maka pemuda itu tidak berdaya dipujuk juga.

Ada yang ikut Tabligh, namun selepas balik dari 3 hari, abangnya  juga mempertikaikan bahawa Tabligh tidak pernah ajak ahlinya mengaji. Maka adikanya itupun tidak berani ikut Jemaah tabligh lagi. Lama kelamaan selepas itu si adik itu pun pakai seluar pendek balik seperti sebelum keluar tabligh. Tapi abangnya, tak buat apa-apa pun untuk suruh adiknya pakai kopiah semula sepeti selepas keluar 3 hari bersama Tabligh.

Ini adalah dua contoh daripada beberpa peristiwa yang pernah saya dengar yang membuktikan bahwa orang PAS amat lemah melakukan dakwah.

Memang semua  orang yang berfikrah Islamiah amat mengharap PAS akan memenangi pilihanraya dan memerintah negara ini supaya tertegaknya sebuah kerajaan yang melaksanakn seluruh sistem Islam. Tetapi kerana kelemahan ketara yang ada pada PAS ini maka harapan ini dirasakan sukar untuk dicapai.


KESIMPULAN

Dakwah ialah membantu agama Allah, dengan membantu agama Allah umat Islam akan dibantu oleh Allah.

Meninggalkan dakwah bererti tidak membantu agama Allah. Itulah punca umat Islam dihina dan ditindas oleh musuh mereka sekarang. Dengan meninggalkan dakwah bererti umat Islam tidak mempunyai kelayakan untuk mendapat bantuan dari Allah.

Wallahu a’lam.





Rabu, 4 Julai 2012

ZURIAT HAJI HAMID BIN ABDULLAH AHMAD (LAHAMAD)

Nama bapa saya ialah Muhammad Taib bin Abdul Hamid bin Lahamad (Abdullah Ahmad). Lahamad berasal dari Cempaka, Pahang, berhijrah ke Selama, Perak pada masa Pahlawan Mat Kilau berjuang menentang Penjajah Inggeris kerana melarikan diri daripada kezaliman mereka.

Saya pernah membaca sebuah novel yang nama Lahamad disebutkan bersama Mat Kilau, namun tidak ada penjelasan lanjut mengenai watak tersebut.

Lahamad mempunyai anak-anak:

1. Abdul Hamid, meninggal di Ulu Mengkuang Selama, Perak.

Anak-anak beliau ialah:
Almarhum Lot, (meninggal di Felda Trolak; )
Almarhum Muhammad Taib (meninggal di Gerik, Perak);
Almarhum Ismail (meninggal di Felda Trolak)
Maimunah tinggal di Ulu Mengkuang Selama, Perak
Ishak, tinggal di Felda Trolak
Ibrahim, tinggal di Felda Besout.
Meklong (nama sebenar tidak diketahui)

2. Sharifah (Maklang Seripah)

Anak-anak beliau ialah:

Fatimah (isteri Almarhum Lot bin Abdul Hamid) beralamat di Felda Trolak.
Aminah (zuriat-zuriatnya  di Sungai Bayor, Selama, Perak)
Mat (keluarganya  di Kemunting Taiping, Perak)

3. Makcik Halimah (Limah)

anak-anak beliau:
Wahab
Ismail
Jusuh

4. Paksu Husain

anak-anak beliau:
Ismail
Rahmah

Haji Abdul hamid berkahwin dengan Saerah binti Said

Saerah mempunyai adik beradik:

Tahir (berlainan ibu)
Seman
Wahab, kaum kerabatnya di Batu 20 Changkat Lobak

Ini adalah keterangan ringkas yang diambil daripada Pakcik Ishak bin Abdul Hamid ketika bertemu beliau di Selama Perak, baru-baru ini.

Sesiapa yang mempunyai maklumat lanjut mengenai silsilah keluarga di atas sila tambah dalam komen di blog ini.

Rabu, 2 Mei 2012

SUKATAN PELAJARAN DI BAHAGIAN PENGAJIAN ILMU-ILMU ISLAM, MADRASAH TAHFIZUL QURAN PENANTI, BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG.

TAFSIR AL QURAN:

KELAS 3-5: TERJEMAHAN AL QURAN
KELAS 6: TAFSIR JALALAIN (AL QURAN JUZ 1-15)
KELAS 7: TAFSIR JALALAIN (JUZ 16-30)  

HADIS

 KELAS 1. HADIS 40 IMAM NAWAWI
KELAS 2. MUKHTASAR ABI JAMRAH
KELAS 4. RIYADUS SOLIHIN
KELAS 5-6. MISYKATUL MASABIH
KELAS 7-8. SAHIH BUKHARI,, TARMIZI, SUNAN ABI DAUD
KELAS 8. SAHIH BUKHARI, TARMIZI, SUNAN ABI DAUD SAHIH MUSLIM, SUNAN NASAIE DAN IBNU MAJAH.

TAUHID:
 
KELAS 4: SYARQAWI SYARAH HUDHUDI
KELAS 5: MISYSKATUL MASABIH KITAB IMAN

FIQH 

KELAS 1. MATAN GHAYAH
KELAS 2: FATHUL QARIB
KELAS 3: UMDATUL MASALIK
KELAS 4: IQNA’
KELAS 5: IQNA
KELAS 6: IQNA
KELAS 7: MAHALLI SYARAH MINHAJ TOLIBIN
KELAS 8: MAHALLI

TASAWWUF:

KELAS 3: PENAWAR BAGI HATI
KELAS 4: RIYADUS SALIHIN  

NAHU

KELAS 1: MATAN AJURRUMIAH
KELAS 2: MUKHTASAR SYARAH AJURRUMIAH, KAWAKIB DURRIAH
KELAS 3: QATRUN NADA
KELAS 4: IBNU AQIL SYARAH ALFIYYAH
KELAS 5: IBNU AQIL SYARAH ALFIYYAH


SEBARANG PERTANYAAN HUBUNGI NO: 019 412 4637 (US AHMAD KAMAL TAIB)

Isnin, 19 Mac 2012

DEDIKASI UNTUK INSAN YANG MENGALAMI

Dalam Al Quran Allah telah berfirman, ertinya:

“Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang yang apabila ditimpa bala bencana, mereka berkata: “sesungguhnya kita adalah milik Allah dan sesungguhnya kita akan kembali kepada-Nya. Mereka itulah yang mendapat keampunan dan rahmat dari tuhan mereka. Merekalah yang mendapat hidayat.” (Al Baqarah, 155-157)

Sabda Nabi Muhammad, selawat dan salam ke atas baginda selama-lamanya, ertinya:
“tidaklah mengenai sesuatu bencana kepada seorang lelaki atau lebih dari itu, sehingga duri yang mengenainyam melainkan kerana salah satu daripada dua perkara; samada untuk diampuni dosanya oleh Allah, yang tidak terampun melainkan dengan memberikan kesusahan seperti itu; ataupun untuk dia mencapai kemuliannyang ia tidak dapat sampai kepanya selain dengan kesusahan seperti itu.
(Riwayat Ibnu Hibban, Az Zawajir, 1/267)

Dalam sebuah hadis dinyatakan sabdaan Nabi Muhammad, selawat dan salam ke atas baginda, ertinya:“tidaklah ditimpa bencana seseorang hamba, melainkan kerana dosa yang tidak diampunkan melainkan dengan cara itu; ataupun kerana satu darjat (kedudukan)yang ia tidak akan sampai kepadanya melainkan dengan ditimpa bencana seperti itu. (Az zawajir, 266)

Sabda baginda lagi, ertinya:
“orang-orang yang semasa di dunia hidup dalam keadaan sejahtera, menginginkan supaya kulit mereka pernah digunting di dunia dahulu, ketika mereka melihat pahala diberikan kepada orang yang di dunia dahulu hidup dalam bala bencana” (Imam tirmizi, hadis no 2402)

dalam sebuah hadis, Bagind bersabda, ertinya:
“..Dibawa seorang yang ditimpa bala bencana dalam hidupnya semasa di dunia dulu, tidak diletakkan neraca (untuk menimbang amalan mereka) dan tidak diberikan buku catatan amalan kepada mereka, bahkan dicurahkan kepada mereka pahala sehingga orang-orang yang hidup selesa di dunia dahulu terasa ingin kulit mereka digunting-gunting kerana melihat kehebatan pahala untuk mereka dari Allah.” (Tabaroni, Az Zawajir, 1/270)

Diriwayatkan bahawa seorang wanita yang mempunyai penyakit gila meminta Rasulullah, selawat dan salam ke atasnya, berdoa supaya ia sembuh. Rasulullah bersabda: jika kamu mahu aku boleh berdoa dan Allah akan menyembuhkan kamu, dan jika kamu mahu, kamu bersabar dan tidak ada hisab ke atas kamu pada hari akhirat. Kata wanita itu, bahkan saya bersabar dan tiada hisab ke atas saya.” (riwayat Imam Ahmad ibnu Hanbal, Musnad 1/347)

Hadis ini juga diriwayat oleh Imam Bukhari bahawa perempuan ini selalu diserang sakit sawan yang mana akan terbuka sebahagian auratnya ketika itu. Rasulullah bersabda: kamu boleh bersabar dan kamu dapat masuk syurga, dan jika kamu mahu aku berdoa kepada Allah supaya menyembuhkan kamu. Kata wanita itu saya bersabar, dan doakanlah supaya saya, sekiranya diserang sawan, tidak terbuka aurat lagi.” (hadis no 5652)

Wanita tersebut namanya Su’airah dari qabilah Asad, kuniah (gelarannya) Ummu Zufar.
Daripada dua hadis di atas jelas bahawa orang yang mempunyai penyakit yang kekal tidak akan dihisab di hari akhirat. Dan ia juga menunjukkan bahawa berubat tidak diwajib.

Dalam sebuah hadis, ertinya:
“sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan padanya, Ia akan menimpakannya musibah,” (Imam Bukhari, no 5645)

Ertinya Allah mengenakannya musibah dan akan diberi pahala yang banyak di akhirat, sebagaimana hadis di atas. Dengan hanya semata-mata ditimpa bencana seorang akan mendapat pahala, dan dengan bersabar akan mendapat pahala lain pula. (lihat Al Fajr As Sati’, 12/343)

“Sesungguhnya seorang lelaki mempunyai satu kedudukan (darjat) di sisi Allah, ia tidak akan sampai kepadanya dengan amalan soleh, maka Allah akan mengenakan bencana kepadanya supaya ia sampai kepada darjat tersebut yang telah ditetapkan oleh Allah.” (Az Zawajir, 1/270)

“Sesungguhnya seorang hamba apabila Allah telah menetapkan untuknya satu kedudukan yang tidak akan sampai ia kepadanya dengan amalan soleh, Allah akan menimpakan bencana ke atas tubuh, harta, atau anaknya, kemudian Allah menjadikannya bersabar ke atas bencana tersebut, sehinggalah ia sampai ke darjat yang telah ditetapkan oleh Allah.” (riwayat Ahmad, Abu Dawud, Abu Yaala, dan Tabarani, Zawajir, 1/270)

“Tidaklah mengenai seorang mukmin keletihan, penyakit, kesedihan atau kerunsingan sehinggalah duri yang menyucuknya, melainkan Allah akan menghapuskan sebahagian dosanya.” (Syaikhan, Zawajir, 1.270. Bukhari, no 5641)(Fathul Bari, 10/107)

Sabda Nabi, selawat dan salam ke atas baginda, ertinya: ”apabila seseorang hamba sakit ataupun bermusafir, akan ditulis untuknya pahala amalan yang ia sentiasa lakukan ketika sihat.”

Sabda baginda lagi, ertinya: “Orang yang sakit akan gugur dosanya sepertimana gugurnya daun-daun pokok.”

Dalam sebuah hadis Baginda bersabda, ertinya:
“Sesiapa yang mendahulukan (meninggal dunia) tiga orang anak yang belum baligh, adalah mereka benteng untuknya daripada neraka. Maka berkata Abu Darda: saya telah dahulukan dua orang anak saya. Jawab baginda: dua orang anak pun sama. Seorang sahabat lain berkata saya telah mendahulukan seorang anak saya, bagaimana pula? Jawab baginda: seorang anak pun sama juga.”

Dalam riwayat Imam Bukhari Baginda telah bersabda, ertinya:
“mana-mana perempuan yang kematian tiga orang anaknya, adalah mereka menjadi pelindung dari api neraka.” Seorang wanita bertanya: dua orang macamana? Jawab baginda: “dua orang pun sama (jadi benteng dari api neraka.” (Imam Bukhari, hadis no 1249)

Semoga sesiapa yang pernah ditimpa sesuatu musibah dapat bersabar dan memperolehi sedikit manfaat dari tulisan saya yang serba kekurangan ini. Kita semua adalah hamba ALLAH, kita akan bertemu dengan-Nya juga pada suatu hari nanti.

Isnin, 23 Januari 2012

KEKELIRUAN MENGENAI MANDI WILADAH

Saya ingin menarik perhatian mengenai kejahilan umat Islam sekarang mengenai hukum mandi wiladah atau mandi sebab beranak. Pernah tersiar di dalam akhabr satu soalan daripada pembaca kepada ustaz yang menjawab soalan-soalan dalam ruangan berkenaan:

Soalannya adalah seperi berikut:

SELEPAS berapa hari bersalin, bolehkah saya mandi wajib atau saya perlu menunggu sehingga selesai berpantang?

Jawapan daripada ustaz berkenaan:

“Berkenaan bersalin, mazhab Maliki, Hanafi dan Shafie berpendapat wajib mandi apabila melahirkan anak. Mazhab Hanbali berpendapat tak wajib apabila tidak keluar darah.

Dengan itu anda boleh terus mandi wajib selepas bersalin kerana melahirkan anak. Sekiranya ada darah nifas, anda sekali lagi perlu mandi wajib apabila kering darah nifas atau habis pantang.”

Ini adalah kejahilan yang sangat buruk pada seorang wanita Islam, yang tidak sepatutnya berlaku kerana hukum mengenai beranak dan kawasan yang sewaktu dengannya adalah perkara lumrah yang akan dialami oleh wanita, maka sepatutnya dan sewajibnya perkara itu telah dipelajari sejak kecil lagi, bukan selepas beranak baru nak tanya ustaz.

Kejahilan yang kedua ialah yang ada pada ustaz yang menjawab soalan tersebut. Sebenarnya dalam mazhab Imam Syafie, seorang perempuan yang baru lepas bersalin tidak wajib mandi kalau dia datang nifas. Selepas kering nifasnya barulah dia wajib mandi sekali sahaja dan terangkat kedua-dua hadas wiladah dan nifas sekali, tak perlu mandi dua kali.

Alasan ini adalah kerana kewajipan mandi hanya bermula apabila masuk waktu solat dan ibadat yang sepertinya. Selepas bersalin, perempuan yang datang nifas masih dalam kedadaan berhadas nifas maka dia tidak wajib solat, apabila tidak wajib solat maka tidak wajib juga mandi wiladah. Menyuruh perempuan mandi wiladah dan mandi nifas sekali lagi setelah kering nifas adalah perbuatan yang tidak disuruh oleh hukum dan meyusahkan.

Ustaz berkenanna mungkin nampak hebat sebab tahu berbagai mazhab, tapi sebenarnya Mazhab Syafie pun dia tidak faham. Kan lebih baik jawab dengan ringkas satu mazhab sahaja, tak payah sebut mazhab banyak-banyak.

Rabu, 21 Disember 2011

PESANAN UNTUK PARA ISTERI

Dari Abu Hurairah, sabda Nabi Muhammad, selawat dan salam ke atas baginda, ertinya:
“Sekiranya aku boleh menyuruh seseorang sujud kepada seseorang manusia, nescaya aku akan suruh perempuan sujud kepada suaminya.” (riwayat Imam Tirmizi, hasan sahih, Ibnu Hibban, sahih)

Dalam riwayat Abu Daud, dari Qais bin Saad:
“Sekiranya dibenarkan aku menyuruh seseorang sujud kepada orang lain aku akan menyuruh para wanita sujud kepada suaminya kerana hak yang Allah berikan kepada suami mereka.”

Dalam riwayat lain: “tidak boleh seorang manusia sujud kepada seorang manusia, kalaulah dibenarkan aku akan suruh perempuan sujud kepada suaminya kerana besar haknya ke atas isterinya.” (Mirqatul Mafatih, 6/378)

Dalam sebuah hadis, Aisyah bertanya Rasulullah, selawat dan salam ke atas baginda: apakah hak yang paling besar ke atas seorang perempuan? Jawab baginda: Hak suaminya. (Al Bazzar, dengan sanad hasan)

“Seorang perempuan telah berkata: wahai Rasulullah, saya adalah wakil orang-orang perempuan untuk menemui tuan, kemudian perempuan itu menyebutkan pahala yang orang lelaki dapat di dalam jihad pada jalan Allah bersama harta rampasan perang,ia berkata: apakah habuan untuk kami pula? (kerana kami tak boleh turut berjuang). Jawab baginda: Sampaikanlah kepada perempuan yang kamu temui, bahawa sesungguhnya taat kepada suami dan mengakui dengan hak mereka adalah menyamai pahala jihad, dan tidak ramai dari kalangan kamu yang dapat melakukannya. (taat dan mengetahui hak suami) (Al Bazzar dan Tabarani, Az Zawajir, 2/64)

Rasulullah (selawat dan salam kea tas baginda) bertanya kepada seorang perempuan, “apakah kamu mempunyai suami? Jawabnya; Ya. Sabda Rasulullah, maka bagaimana kamu berkhidmat kepadanya? Jawab wanita itu, saya tidak cuai melainkan perkara yang saya tidak mampu sahaja. Sabda nabi, bagaimana kamu lakukan, sedangkan ia adalah syurga dan neraka kamu. (Ahmad dan Nasaie)

Ertinya dia adalah sebab untuk kamu masuk syurga kalau kamu berkhidmat dengan baik kepadanya dan sebab masuk neraka kalau kamu cuai berkhidmat kepadanya.

Dalam riwayat Al Bazzar dan Ibnu Hibban, dinyatakan bahawa seorang lelaki membawa anak perempuannya kepada Rasulullah, selawat dan salam ke atasnya, lalu ia berkata bahawa anak perempuanya itu enggan berkahwin. Sabda Rasulullah, taatilah bapamu. Kata anak perempuannya: demi Allah yang mengutuskan kamu dengan haq, aku tidak akan berkahwin sehingga kamu beritahuku apakah hak suami yang isteri mesti tunaikan? Sabda Rasulullah: hak suami ke atas isteri ialah sekiranya ada pada suami kudis maka isteri menjilatnya, ataupun keluar darah atau nanah dari lubang hidungnya kemudian perempuan itu menelannya, belumlah ia menunaikan hak suaminya. Kata anak perempuan itu: Demi Allah yang mengutuskanmu dengan haq, aku tidak akan berkahwin selama-lamanya. Sabda Rasulullah: janganlah kamu nikahkan dia melainkan dengan izinnya.”

Dari Ibnu Abi Aufa, sabda Rasulullah:
“demi tuhan yang mengutuskanku dengan haq, belumlah seorang perempuan menunaikan hak tuhannya sehinggalah dia menunaikan hak suaminya.” (Ibnu Hibban, Az Zawajir, 2/65)

Dari Muaz, erti hadis:
“seseorang perempuan tidak akan merasakan kemanisan iman sehinggalah ia menunaikan hak suaminya, sekiranya suaminya meminta melakukan jimak walaupun di atas belakang unta. (riwayat Hakim, Az Zawajir, 2/64)

Sabda Rasulullah, selawat dan salam ke atas baginda selama-lamanya, ertinya:
“apabila seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya, tetapi isterinya enggan, sehingga suaminya bermalam dalam keadaan marah, para malaikat melaknatnya sehingga pagi.” (Bukhari dan Muslim)

Sabda Rasulullah, selawat dan salam ke atas baginda, ertinya: Mahukah aku beritahu kamu isteri-isteri yang akan bersama kamu di dalam syurga? Kata shabat, bahkan beritahulah. Sabda baginda: iaitu setiap yang menyayangi suaminya, yang banyak anaknya; apabila ia marah atau diperlakukan dengan tidak baik kepadanya, atau suaminya merasa marah, ia akan berkata kepada suaminya: ini tangan aku ada pada tangan kamu, aku tidak akan tidur selagi kamu belum redha kepadaku.”
(Mukjam Tabrani Saghir, hadis nombor 118. Kata Ibnu Hajar al Haitami: Sanad hadis ini sahih kecuali seorang perawi; kata al Munziri saya tidak tahu kedaannya thiqah atau tidak)

Dalam riwayat lain: “apabila ia dizalimi (oleh suaminya, seperti suaminya cuai pada nafkah atau giliran)ini tangan (tubuh) aku pada tangan kamu (ertinya buatlah apa saja yang kamu mahu). (Jamius soghir, Sirajul Munir. 2/96)

Sabda Rasulullah, selawat dan salam ke atas baginda, ertinya:
“sekiranya aku dibenarkan menyuruh seseorang manusia sujud kepada manusia, nescaya aku akan menyuruh seorang isteri sujud kepada suaminya. Sekiranya suaminya menyuruhnya memindahka batu dari sebuah bukit berwarna kuning ke bukit berwarna hitam, atau dari bukit hitam ke bukit putih adalah sepatutnya isteri melakukannya. (Riwayat Ahmad, Mirqat syarah Misykat, 6/377, juga diriwayatkan oleh Ibnu majah, no 1852)

Ertinya walaupun perkara itu meletihkan dan tidak ada apa-apa faedah tetapi kerana besarnya hak suami ke atas isteri maka isteri masih patut melakukannya, apatah lagi perkara lain yang tidak seperti itu. Warna bukit disebut untuk menunjukkan jauh jarak antara bukit tersebut, kerana bukit yang berbeza warna tidak berdekatan antara satu dengan yang lain.

Dari Ummu Salamah, semoga Allah redha kepadanya, Nabi Muhamad, selawat dan salam ke atas baginda, telah bersabda, ertinya:
“Mana-mana perempuan yang mati sedangkan suaminya redha/suka kepadanya, pasti ia masuk syurga.” (Riwayat Imam Tirmizi, hadis hasan)

Dalam riwayat Ibnu Hibban: apabila seorang perempuan mengerjakan solat lima waktu, menjaga kemaluannya (dari zina) dan ia taat kepada suaminya, ia akan masuk syurga melalui mana-mana pintu yang ia kehendaki.”

Dari Abu Umamah, semoga Allah redha kepadanya, Rasulullah, selawat dan salam ke atas baginda telah bersabda, ertinya:
“ Tiga golongan yang solat mereka tidak melepasi telinga mereka (tidak diterima) : hamba yang lari dari tuannya sehingga ia kembali; seorang perempuan yang bermalam dalam keadaan suaminya merasa marah kepadanya; imam kepada satu kaum sedangkan mereka tidak suka kepadanya.” (Imam Tirmizi)

Dari Ibnu Abbas, semoga Allah redha kepada mereka berdua, sabda Rasulullah, selawat dan salam ke atas baginda, ertinya:
“Tiga golongan yang solat mereka tidak diangkat walaupun sejengkal dari kepala mereka: seorang lelaki yang menjadi imam kepada satu kaum sedangkan mereka tidak suka kepadanya; seorang perempuan yang bermalam sedangkan suaminya merasa marah kepadanya; dua orang saudara yang bersengketa.” (Ibnu Majah, hasan)

Dari Jabir, semoga Allah redha kepadanya, sabda Rasullullah, selawat dan salam ke atas baginda, ertinya: “tiga golongan yang Allah tida menerima solat mereka dan tidak diangkat ke langit kebaikan mereka: hamba yang lari dari tuannya sehingga ia kembali kepadanya; perempuan yang suaminya marah kepadanya sehingga ia redha/suka kepadanya; orang yang mabuk sehingga ia pulih dari mabuknya.” (Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, Baihaqi)

Dari Ibnu Abbas, semoga Allah redha kepada beliau dan bapanya, bersabda Rasulullah, selawat dan salam ke atasnya, ertinya:
“Diperlihatkan neraka kepadaku, maka aku lihat paling ramai penghuninya ialah para wanita. Mereka kufur.” Ditanya kepada baginda: apakah mereka kufur kepada Allah? Jawab baginda: “mereka kufur kepada suami mereka, kufur kepada kebaikan suami mereka; kalau kamu buat baik kepada salah seorang daripada mereka (perempuan) sepanjang umur kamu, kemudian ia lihat sesuatu dari kamu (yang tidak sesuai dengan keinginannya atau ia tidak sukai) ia akan berkata: akau tidak pernah lihat apa-apa kebaikan dari kamu sekali-kali.” (Imam Al Bukhari dan Imam Muslim, Irsyadus Sari, 1/157)

Dalam riwayat Nasaie dan lain-lain dinyatakan bahawa Rasulullah, selawat dan salam ke atas baginda, telah bersabda, ertinya: “Allah tidak memandang kepada perempuan yang tidak mensyukuri suaminya, dan ia merasa bebas dan tidak perlu kepada suaminya.” (Zawajir, 2/66)

Sabda Rasulullah, selawat dan salam ke atasnya selama-lamanya, ertinya:
“tidaklah seorang isteri menyakiti suaminya di dunia ini, melainkan berkatalah isterinya dari kalangan al hurul ain (bidadari): janganlah kamu sakitinya, Allah melaknati kamu, suamimu hanyalah tetamumu, tak lama lagi ia akan meninggalkan kamu dan datang kepada kami.” (Ahmad, Tirmizi dan Ibnu Majah, Mirqat, 6/370)

Selasa, 15 November 2011

SANGGAHAN TERHADAP JAWAPAN ABU NUMAIR

Dalil Pertama:

“... Dan orang-orang lelaki yang berzikir menyebut nama Allah dengan banyak dan perempuan yang berzikir, Allah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar.” (Surah al-Ahzaab, 33: 35)

Kata Abu Numair Nawawi Subandi:

Tidak dihadkan atau dibataskan hanya semata-mata dengan zikir lisan. Tetapi ia merujuk kpd maksud zikir secara umum, iaitu "mengingati Allah." Ibnu Katsir menyebutkan antaranya dengan solat di malam hari.

Bahkan termasuk juga dengan ibadah2 lain yg umum. Kalau hendak dimaksudkannya sbg zikir umum dengan bilangan2 yangg banyak sehingga melepasi apa yg dianjurkan oleh Rasulullah dan para sahabatnya, maka jelas itu tidak tepat.

Sedangkan Rasulullah adalah org yg paling bertaqwa, dan. beliau sendiri tidak mengamalkan zikir tahlil sebanyak itu? Kalau ada, silalah kongsikan riwayatnya yg sahih

Dalil yg bersifat umum, maka kita biarkan ia dgn keumumannya, knp kita pandai2 mengkhususkannya, malah meletakkan fadhilat2 tertentu yg tidak pernah ditetapkan oleh beliau Shallallahu 'alaihi wa Sallam?

[Kata Abu Numair juga]

Fadhilat Zikir/ibadah hanya dapat ditentukan dengan nash. Bukan dengan mimpi, kasyaf, mahupun andaian. Maka, cukupkanlah amalan kamu dengan as-sunnah. Jgn ditokok tambah dgn kasyaf, mimpi, dan wahyu baru yg entah dari mana datangnya.

Aku tidak akan merasa hairan dengan hebatnya org yg mampu berjalan di atas air mahupun yang terbang melayang di udara. Yang penting bukan itu semua, tp lihatlah aqidah dan amalannya, sama ada bertepatan dgn as-sunnah atau sebaliknya.

Kerana ahli sihir dan wali syaitan juga boleh-boleh saja berlaku demikian.

Syaikh Abu Yazid al-Qurthubi ni kalau benar meriwayatkan dari Nabi, maka buktikanlah dengan sanadnya yg sahih marfu' kpd nabi dgn methologi para ulama hadis yg absah.

Jangan berprasangka itu dan ini. Kerana agama ini tidaklah didirikan dgn prasangka!


Kata Fikri Zahabi, penyokong Abu Numair.

Cerita Imam Qurtubi lawan dengan hadis Nabi SAW

Rasulullah menjawab: “Janganlah mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib.” (Hadis Riwayat Muslim, 11/269, no. 4133)

Siapa yang mesti kita dahulukan?

Ada kaedah kat sini yang ulama dah ajar.

Dengar sini elok2 ustaz kampung gerik.

Iza Ja'a An-Nassu, Batula al-Faslu.

Apabila telah datang nass, maka batal selainnya.


Jawapan:

Memang betul ayat itu bermakna umum. Apa maksud umum? Umum bermaksud semua bentuk ibadat yang mengandungi zikir adalah termasuk dalam umum ini. Ertinya solat boleh dimasukkan dalam ayat ini sebab ia mengandungi erti zikir. Tahajjud boleh termasuk dalam ayat ini kerana ada erti zikir dan kerana hadis mengenainya. Maka zikir lisan yang beribu kali pun termasuk dalam di bawah ayat ini.

Apabila zikir beribu kali termasuk dalam ayat ini maka boleh dan sah ayat ini dijadikan dalil zikir lisan dengan jumlah yang banyak. Kata Abu Numair: dalil ini bersifat umum, maka biarkannya dengan keumumannya. Saya sokong pandangan ini, saya dan juga orang lain tidak berhak mentakhsis ayat ni tanpa ada dalil.

Tapi apabila abu Numair tidak membenarkan saya istidlal dengan ayat ini sebagai dalil berzikir dengan banyak, saya mulai merasa hairan. Kenapa tadi dia suruh kekalkan ayat ini dengan keumumannya, tetapi pada masa yang sama tidak membenarkan saya istidlal bagi makna zikir banyak. Kalau begitu bermakna Abu Numair menghadkan istidlal pada yang selain zikir lisan. Itu bererti dia telah menyempitkan umum ayat ini. Maka ini bererti ayat ini bukan lagi umum, tetapi telah menjadi khusus. Siapa yang mentaksis-kannya? Orang itu tidak lain dan tidak bukan ialah Abu Numair sendiri.

Pada mulanya dia kata ayat ini hendaklah dikekalkan dalam keumumannya. Kemudian dia juga berkata ayat ini khusus pula.

Ini adalah terang-terang berlawan dengan kaedah umum. Sebagai contoh apabila ayat Al Quran menyatakan, ertinya:

“telah berjaya orang-orang beriman , (iaitu) yang khusyuk dalam solat mereka.” (Surah al Mu’minun)

Kalimah ‘al mu’minun’ adalah umum kerana ia adalah lafaz jama’ yang mempunyai alif dan lam. Jadi ayat ini bererti: telah berjaya semua orang mukmin, (iaitu) yang khusyuk dalam solat mereka.”

Maka termasuk ke adalam ayat ini semua orang yang beriman tak kira di mana ia berada dan tak kira bangsa apa pun.

Apabila seorang tablgh (sebagi contoh) mengatakan telah: berjaya orang Islam Malaysia yang khusyuk dalam solatnya. Tetapi kalau Abu Numair berkata: tak betul kau cakap, sebab ayat itu umum untuk semua umat Islam. Maka bererti pemikirannya telah bercelaru. Dengan kata-kata itu juga bererti Abu Numair telah secara tidak langsung telah mentahksiskan ayat Al Mukminun ini.

Tidak ada siapa yang berhak mentkhasiskan ayat tanpa ada dalil. Tapi inilah yang dilakukan oleh salaf-wahabi ini.

Mungkin dia banyak ilmu hadis tetapi ia terlalu lemah dalam kaedah usul. Mungkin dia tidak belajar langsung Usul Fiqh,a tau hanya belajar kitab kecil-kecil sahaja. Dan kalau dia mempelajari kitab Usul Tafsir juga , saya percaya pemikirannya tidak akan celaru seperti ini.

Apakah ilmu Usul Fiqh? Usul Fiqh ialah ilmu untuk berfikir secara tepat dalam dalil syariat berdasarkan kaedah Bahasa Arab. Apabila Abu Numair telah gagal menterjemah dengan tepat takhrij hadis kitab Fadhilat Zikir itu, maka itu bukti ia tidak faham Usul Fiqh, sebab ilmu ini berdasarkan bahasa Arab.

Apabila dia mengatakan ayat ini umum untuk semua bentuk zikir, tetapi selepas itu menolak ayat sebagai dalil ‘zikir yang banyak’ , bererti dia telah menerima sebahagaian ayat ini dan menolak sebahagainnya.

Apabila terdapat ayat umum seperti surah Al Mu’minun tadi, maka jumhur ulama telah menetapkan bahawa masuk ke dalamnya semua orang beriman tanpa ada tertinggal seorang pun, secara zonniy. Erti zonni ialah ayat ini meyeluruh kepada semua umat Islam tetapi ada juga sedikit kebarangkalian pengecualian.

Tetapi Mazhab Hanafiiyah berpendapat menyeluruh secara qati’iyy, tanpa ada sedikit pun kebarangkalian pengecualian.

Kata Abu Numair:

Sedangkan Rasulullah adalah org yg paling bertaqwa, dan. beliau sendiri tidak mengamalkan zikir tahlil sebanyak itu? Kalau ada, silalah kongsikan riwayatnya yg sahih.

Jawapan:

Kata-kata yang paling tepat ialah: saya belum menemui bahawa Nabi selawat dan salam ke atas baginda) berzikir sebanyak itu .

Sebenarnya Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam dan para sahabat berzikir lebih daripadan 25 ribu kali kerana mereka sentiasa dalam keadaan berzikir dengan hati mereka.

Ini dijelaskan oleh sebuah hadis, ertinya: “hendaklah lidahmu sentiasa basah mengingati Allah.” (Tarmizi, hasan. Hakim mensahihkannya dan Zahabi mengakuinya. Maulana Zakariyya, Fadhilat Zikir, 28, hadith 2)

Mengingati Allah dengan hati adalah lebih utama. Ingatan kepada dengan Allah cara berterusan akan berlaku apabila seseorang itu mempunyai kecintaan dan kerinduan yang mendalam kepada Allah. Kerana Rasulullah dan para sahabat mempunyai sifat seperti itu maka mereka tidak perlu kepada jumlah-jumlah yang tertentu. Sebaliknya manusia yang lemah seperti kita sekarang perlukan kepada zikir yang banyak supaya termasuk di dalam ‘orang yang lidahnya sentiasa basah dengan menyebut nama Allah,’

[Kata Abu Numair]

Fadhilat Zikir/ibadah hanya dapat ditentukan dengan nash. Bukan dengan mimpi, kasyaf, mahupun andaian. Maka, cukupkanlah amalan kamu dengan as-sunnah. Jgn ditokok tambah dgn kasyaf, mimpi, dan wahyu baru yg entah dari mana datangnya.

Sikh abu yazid al-qurthubi ni nabi ke? mampu mengambil alih tugas nabi dan rasul menetapkan fadhilat tahlil sekian dan sekian? contohnya sebagaimana disebutkan dalam kitab fadhail zikir di atas, iaitu 70 ribu tahlil akan menyelamatkan dari api neraka?

Kalaulah demikian keadaannya, nescaya akan ada pula nanti kelompok2 lain selain sufi/tablighi menetapkan dengan angka sekian bagi zikir sekian, maka fadhilatnya sekian...

Jawapan:

Antara fadhilat zikir ialah menyelamatkan dari azab neraka da mengharamkan dari apa neraka. Ini jelas mengikut nas-nas yang telah saya nyatakan. Sekiranya dalam hadis dinyatakan bahawa zikir dapat menyelamatkan dari azab neraka tetapi ada orang yang tidak percaya 70 ribu boleh menyelamatkan dari azab neraka bererti dia telah menolak madlul nas yang sama. Untuk mentakhsiskan sesuatu nas, mesti ada dalil. Sila bawakan dalil untuk mentakhsiskan dalil-dalil tersebut.

Kalau seseorang berkata zikir sebanyak seribu kali boleh menyelamatkan dari neraka maka itu betul kerana ada nas umum mengenainya. Apabila ada orang mengatakan zikir sebanyak 10 ribu boleh menyelamatkan daripada azab neraka maka itu juga betul kerana nas umum tadi . Maka kalau orang berkata 70 ribu boleh menyelamatkan dari azab neraka atau berapa jumlah sekalipun maka itu adalah betul dengan nas umumnya.
Tetapi apabila ada orang berkata dalil itu umum tetapi fadhilat 70 ribu tidak termasuk di dalamnya, bererti ia telah mentakhsiskan keumumannya. Mula-mula dia kata nas zikir umum, tapi lepas itu kata khusus untuk yang bukan berjumlah 70 ribu pula. Ini juga menunjukkan kecelaruan pemikirannya.

Dia hanya boleh kata 70 ribu tidak termasuk dalam keumuman itu sekiranya ada dalil menafikannya. Kalau tak ada dalil maka keumumannya masih kekal.

Saya sendiri tidak akan merima kata-kata bahawa 70 ribu akan menyelamatkan dari azab sekiranya tidak ada dalil dari al Quran atau hadis. Apabila ada dalil umum maka itu sudah cukup untuk menerima kata-katanya.

Saya terima kerana berpegang dengan nas yang umum, bukan berpegang dengan semata-mata kata-kata Qurtubi atau siapa pun. Maka apabila ada orang yang berkata zikir sebanyak 10 ribu boleh menyelamatkan dari azab Allah maka saya masih percaya. Bukan berpegang dengan kata-katanya, tetapi berpegang dalil umum Al Quran dan hadis.

Sebagaimana di bawah:

“dan orang-orang lelaki yang berzikir menyebut nama Allah dengan banyak dan perempuan yang berzikir, Allah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar.” (Al Ahzab, 35)

Sabda Nabi Muhammad (selawa t dan salam ke atas baginda), ertinya:

“tidaklah datang seorang lelaki pada hari kiamat yang mengucapkan ‘la ilaha illallah’ kerana mencari wajah Allah, melainkan ia diharamkan daripada api neraka.”

Riwayat Ahmad, Al Bukhari, Muslim, Ibnu Majah, Al Baihaqi dalam kitab Asma was sifat.

Apabila Abu Numair berkata tidak boleh diterima, maka bererti dia telah mentakhsiskan keumuman ayat dan hadis di atas. Takhsis tanpa dalil adalah adalah perbuatan yang salah sama sekali.

Lebih celaru lagi kalau ada manusia yang berkata zikir yang banyak boleh meyelamatkan dari azab neraka, tetapi zikir 70 ribu tu bukan zikir banyak. Dan penolakan fadhilat zikir 70 ribu oleh sesetengah salafi-wahabi menunjukkan begitu. Kanak-kanak betullah dia orang ni.

Kata Fikri Zahabi

Cerita Imam Qurtubi lawan dengan hadis Nabi SAW

Rasulullah menjawab: “Janganlah mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib.” (Hadis Riwayat Muslim, 11/269, no. 4133)

Siapa yang mesti kita dahulukan?

Ada kaedah katsini yang ulama dah ajar.

Dengar sini elok2 ustaz kampung gerik.

Iza Ja'a An-Nassu, Batula al-Faslu.

Apabila telah datang nass, maka batal selainnya.

Jawapan

Ini juga tanda kecelaruan pemikiran Fikri Zahabi sama dengan Abu Numair yang menggunakan hadis ini untuk menafikan kasyaf. Hadis ini khusus untuk kahin/kuhhan, tetapi diterjemahkan dengan lafaz umum ‘orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib.’ Barangkali mereka merasakan terjemahan umum begitu dapt menafikan apa saja bentuk mengkhabarkan perkara ghaib.

Di sini dia menggunakan terjemahan umum untuk semua dakwaan mengetahui perkara ghaib, tetapi apabila saya gunakan ayat ‘orang yang zikir dengan banyak,dia kata tak boleh jadi dalil untuk setiap erti zikir pula. Sedangkan dia sendiri yang kata ayat itu umum.

Namun keumuman tersebut tidak benar sama sekali. Kerana kalimah kuhhan ialah mereka yang MENGKHABARKAN PERKARA GHAIB MELAUI PERANTARAAN SYAITAN. Sedangkan wali Allah yang ada kasyaf mengetahui berita ghaib melalui rukya salihah, firasat dan nur ilahi. Maka dalil hadis tersebut tidak boleh sama sekali digunakan untuk membatalkan atau menafikan kasyaf.

Bandingannya seperti orang yang menujukan ayat khusus untuk orang kafir kepada orang Islam.

Fikri Zahabi keliru kerana ia membantah saya tidak menggunakan nas sebaliknya mengambi l yang lainnya. Habis tu nas yang berderet-deret yang saya datangkan itu apa dia, bukan nas?

Kata Fikri Zahabi lagi:

Penulis ini faham bahasa Melayu ke Gagal SRP dia. Cuba sebut kalimah tauhid 200 kali sekali nafas.?

Dia bantai 3 minit plak. 3 minit banyak kali daa boleh tarik nafas....

Jawapan:

Mengikut kitab terjemahan Fadhilat zikir terbitan Era Ilmu cetakan keenam dinyatakan dengan satu nafas dan bukannya satu lafaz. Satu nafas adalah yang betul setelah disemak oleh penterjemah yang lebih mahir.

Fikri ni mungkin dia tidak mengetahui kaedah zikir berkenaan. Cara yang pernah saya lihat ialah dengan menarik nafas pertama dan menahan nafas kemudian berzikir beberapa kali barulah menarik nafas kali kedua. Jadi cara yang dinyatakan oleh Shah Waliyullah ialah bapanya menarik nafas pertama dan menahannya, kemudian ia menyebut la ilaha illallah sebanyak 200 kali. Selepas habis 200 kali barulah dia menarik nafasnya yang kedua.

Saya sebut 3 minit sebagai contoh bahawa memang manusia boleh menahan nafas selama tempoh mngucapkan la ila illallah sebanyak 200 kali yang masanya adalah selama 3 minit.

Saya datangkan rekod menahan nafas dalam air kerana ia sama saja dengan menahan nafas ketika berzikir. Perkara ini adalah dalam kemampuan manusia. Kenapa perkara ini nak dipertikaikan sangat sedangkan ia tidak berlawanan dengan mana-mana nas. Ada ke nas yang melarangnya?

Kata Abu Numair:

Para Nabi mengetahui sebahagian perkara ghaib sebagaimana yg Allah perlihatkan dan khabarkan. Ini sebagaimana dalil dalam Surah al-Jiin. Maka, perkara ghaib atau khabar ghaib hanya dapat ditetapkan melalui wahyu yg diwahyukan kpd nabi.

Bukan kpd para masyaikh Tablighi yg mendakwa mengetahui khabar dari syurga dan neraka!

Jawapan:

Syaikh Abu Yazid bukan masyaikh tabligh. Siapakah masyaikh tabligh yang mendakwa tahu khabar dari syurga atau neraka? Tidak ada satu riwayat pun yang mengatakan masyaikh tabligh mengetahui khabar dari syurga atau neraka. Ini adalah tuduhan palsu sama sekali.

Abu Numair berkata kasyaf tidak boleh mengetahui perkara ghaib.
Tapi Ibnu Atoillah berkata: pengetahuan sesetengah wali-wali Allah mengenai perkara ghaib adalah harus dan benar-benar berlaku. Kerana ia melihat dengan nur Allah. (Faidhul Qadir, 1/143)

Kata Ibnu Taimiyyah dala Mamu’atul Rasail Kubra: (1/51-52): adapun hujjah ahli zauq, wujd, dan mukasyafah, maka ahli hak dari kalangan mereka mempunyai ilham-ilham yang sahih dan tepat. Seperti dalam Sahihain, Nabi (selawat dan salam ke atas baginda) bersabda: sesungguhnya ada di dalam umat sebelum kamu orang-orang yang diberi ilham, sekiranya ada dalam umat ini Umarlah orangnya.

Umar berkata: hampirilah mulut orang-orang taat dan dengarlah apa yang mereka katakan, kerana datang kepada mereka perkara-perkara yang benar.

Di dalam sahih Tarmizi, dari Abu Said Al Khudri, Nabi (selawa dan salam ke atas baginda) bersabda, ertinya: takutilah firasat orang beriman, kerana mereka melihat dengan nur Allah. Kemudian baginda membaca ayat al Quran: sesungguhnya di dalamnya terdapat tanda-tanda bagi ‘mutawassimin’. Kata sebahagian sahabat, aku percaya, demi Allah itulah haq yang Allah letakkan pada hati dan pendengaran mereka.

Dalam sahih al Bukhari, dari Abu Hurairah sabda baginda (selawat dan salam ke atasnya) ertinya: sentiasa hambaku menghampiri diri kepadaku dengan ibadat-ibadat sunat sehingga aku mencintainya. Apabila aku mencintainya adalah Aku pendengarannya yang ia mendengar dengannya, dan aku penglihatanya yang ia melihat dengannya, dan aku tangannya yang ia memegang dengannya, dan aku kakinya yang ia berjalan dengannya.

Dan mereka berkata adalah sakinah berbicara di atas lidah Umar radiyallahu anhu.
Dan Nabi (selawat dan salam ke atas baginda) bersabda, ertinya: sesiapa yang meminta untuk menjadi qadhi dan ia meminta orang lain menolong untuk mendapatkanya, ia akan diserahkan kepada dirinya (tidak ditolong); dan barangsiapa yang tidak memintanya dan tidak minta bantuan untuk mendapatkannya, Allah akan menurunkan malaikat uutuk menolongnya…

Ini adalah pendapat sebahagian ulama yang menerima kasyaf. Kalau Abu Numair tak nak terima biarlah dia terus begitu.

Kata Abu Numair:

Perkara ghaib atau khabar ghaib hanya dapat ditetapkan melalui wahyu yg diwahyukan kpd nabi.

Jawapan:

Apakah yang dimaksudkan dengqn kalimah ‘ghaibihi’ dalam surah jin itu. Dan apakah maksud ‘al ghaib yang tertera dalam seluruh al Quran?

Dalam surah jin dinyatakan:

“Katakanlah (wahai Muhammad) aku tidak mengetahui apakah dekat azab yang dijanjikan kepada kamu, atau tuhanku telah menjadikannya lambat lagi. Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib (turunnya azab), maka Dia tidak menjelaskan perkara ghaib (turun azab tersebut) yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun; melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya (Surah al-Jin 26-27)

Maksud ghaib dalam surah jin itu salah satunya sudah tentu azab yang dijanjikan, kerana dimulai dengan “aku tidak mengetahui apakah dekat azab yang dijanjikan kepada kamu”. Ertinya antara yang dinamakan ghaib ialah berita mengenai masa hadapan. Maka apabila Abu Numair menggunakan ayat ini untuk menafikan pengetahuan ghaib oleh wali Allah maka ini adalah tidak tepat, kerana selain nabi-nabi juga mengetahui masa depan dengan rukya salihah. Ini dibuktikan oleh banyak dalil:

Pertama:

Ayat 36, surah Yusuf.

Ayat ini mengisahkan dua pemuda yang dipenjarakan bersama Nabi Yusuf alihis salam, seorang dari mereka bermimpi memerah anggur, dan seorang lagi bermimpi membawa roti di atas kepalanya, dan kemudian datang seekor burung memakan sebahgaian roti itu.

Dalam ayat 41, diterangkan tafsiran mimpi mereka berdua oleh Nabi Yusuf, alaihissalam, ertinya: “wahai sahabatku berdua yang sepenjara, salah seorang dari kamu akan memberi minum arak kepada tuannya. Dan yang seorang lagi akan disalib dan burung akan memakan sebahgaian kepalanya.”

Ini jelas menyatakan peristiwa yang akan berlaku pada masa hadapan. Jika perkara pada masa hadapan dianggap perkara ghaib, maka ertinya buka nabi juga boleh mengetahuinya melalui mimpi.

Dalam surah Jin, ayat 26 tersebut dinyakan “fala yuzhiru” ertinya maka ‘Ia tidak menjelaskan’. Ia tidak dinyatakan dengan “fala yukhbiru”’ dengan erti ‘ia tidak memberitahu’. Ini tepat dengan keadaan mimpi bukan para nabi yang tidak jelas dan perlu kepada takbiran orang ahli mengenai mimpi.

Ayat itu menyatakan tidak menjelaskan perkara ghaib, bukan tidak memberitahu langsung. Banyak bezanya antara menerang dan memberitahu. Ini lagi satu kegagalan Abu Numair memahami bahasa Arab dengan tepat.

Kata As Sowi, pengarang Hasyiah Jalalain, “maksud ‘fala dzhiru’ ialah Allah tidak menzahirkan/menjelaskan perkara-perkara ghaib sejelas-jelasnya (izhar tamm) kepada selain daripada nabi. “

“Maka oleh kerana itu tidak ada dalil dalam ayat ini yang menunjukkan kepada penafian karamah para wali Allah yang berkaitan dengan kasyaf. Tetapi pengetahuan mengenai perkara ghaib dari para nabi adalah lebih kuat daripada pengetahuan para wali, kerana pengetahuan para nabi dengan wahyu dan ia maksum (terpelihara) dari segala kekurangan. Maksum para nabi adalah wajib, dan maksum para wali adalah harus.” (Sawi Alal jalain, 4/336)

Dari sini boleh dibuat kesimpulan bahawa nabi mengetahui perkara ghaib dengan jelas dan sempurna tetapi oleh para wali tidak jelas dan tidak sempurna seperti itu.


Dalil Kedua:

Kata Ibnu Umar, “sesungguhnya orang ramai telah diperlihatkan dalam mimpi Lailatul Qadr ialah pada tujuh malam yang terakhir, dan ada sebahagian manusia diperlihatkan bahawa ia adalah pada sepuluh malam yang terakhir. Maka bersabda Nabi (selawat dan salam ke atasnya) carilah Lailatul Qadr pada tujuh malam yang terakhir.” (Riwayat Al Bukhari, dalam bab Takbir, Umdatul Qari, 24/205)

Kata Al Hafiz Ibnu hajar, ertinya diberitahu kepda mereka di dalam mimpi bahawa Lailatul Qadr ialah pada tujuh malam terakhir Ramadhan.

Ini menunjukkan mimpi juga boleh dijadikan alasan dan sandaran untuk syariat selagi ia tidak bercanggah dengan kaedah syar’iyyah . (Fathul bari, 4/302)

Jelas daripada nas-nas ini bahawa bukan nabi pun boleh mengetahui perkara ghaib.

Khamis, 22 September 2011

SOLAT TIDAK DIBERI PAHALA TANPA KHUSYUK


Khusyuk dalam solat adalah suatu perkara yang sukar ditemui oleh ramai umat Islam. Adakalanya seseorang muslim solat tapi dari permulaan hingga akhir solatnya dia tidak mengingati apa-apa pun kecuali khayalan-khayalan dan fikiran yang melayang ke seluruh alam. Sebenarnya solat yang tidak ada khusyuk di dalamnya tidak mempunyai pahala.

Walaupun pendapat yang dipakai dalam mazhab Imam Syafie ialah hukum sunat khusyuk dalam solat. Namun ramai juga ulama yang menghukumkan wajib khusyuk dalam solat.
Di sini didatangkan petikan dari sebuah kitab yang popular pada warga madrasah dan pondok, iaitu Fathul Muin karangan Syaikh Zanuddin Al Malibari. Kata beliau:
“dan disunatkan khusyuk dalam solat dengan hatinya dan anggotanya. Khusyuk dengan hati ialah bahawa tidak datang dalam hatinya perkara yang selain daripada solat, dan jika perkara yang berkaitan dengan akhirat sekalipun. Dan khusyuk dengan anggota ialah ia tidak bermain-main dengan mana-mana anggota pun.

Hukum ini adalah berdasarkan firman Allah taala yang memuji orang yang khusyuk dengan firman-Nya:

“Sungguhnya telah berjaya orang yang beriman, (iaitu) yang khusyuk dalam solat mereka.” (Mukminun 1-2)

Dan juga kerana tiada pahala pada solat yang tidak dilakukan dengan khusyuk, sebagaimana yang dinyatakan oleh banyak hadis-hadis sahih.

Di samping itu kerana ada juga pendapat di kalangan ulamak mazhab Imam Syafie yang mengatakan bahawa kusyuk adalah syarat bagi sahnya solat.”
(Fathul Mu’in bersama hasyiah I’anah Talibin, 1/181)

Apabila terdapat perbezaan pendapat ulama dalam sesuatu hukum maka kita disunatkan melakukan ihtiyat. Maksud ihtiyat ialah melakukan sesuatu perkara mengikut jalan yang terbaiknya. Di sana terdapat satu kaedah yang bererti: “keluar dari perbezaan pendapat adalah disunatkan.”

Contoh hukum yang menjadi perbezaan pendapat ulama ialah hukum menggosok anggota wudhuk. Ulama mazhab Syafie berpendapat sunat kerana Imam Malik bin Anas berpendapat wajib.

Syaikh Al Malibari berkata: tidak disunatkan melakukan perkara-perkara sunat dalam wudhuk sekiranya ia menyebabkan terlepas solat jamaah. Tetapi perkara yang ada sebahagian ulama menghukumnya wajib, seperti menggosok anggota ketika wudhuk, sunat dilakukan juga walaupun akan menyebabkan terlepas solat jamaah.

Kata-kata Syaikh Al Malibari ini menunjukkan kepentingan menjaga khilaf (perbezaan pendapat) yang berlaku di antara ulama. Kita tidak boleh berkata: alah sunat je, kerana pendapat ulama yang berkata wajib hendaklah dihormati juga, kerana barangkali pendapatnya adalah yang benar di sisi Allah.

Begitu jugalah dengan hukum khusyuk dalam solat walaupun pendapat yang muktamad dalam Mazhab Imam Syafie adalah sunat, tetapi kerana ada ulama dalam mazhab ini dan juga dari mazhab lain mengatakan khusyuk adalah wajib, maka kita hendaklah cuba dan berusahah untuk solat dengan khusyuk. Tambahan pula banyak hadis-hadis yang mengatakan solat yang dilakukan tanpa khusyuk adalah tidak ada pahala.

Di antara ulama yang mengatakan wajib khusyuk di dalam solat ialah Imam Al Ghazzali di dalam kitabnya Ihya Ulumiddin dan diikuti oleh sebahagian ulama seperti Ibnu Hamid pengikut Imam Ahmad, dan ada dua pendapat Imam Ahmad, Ibnu Taimiyyah juga mengatakan wajib khusyuk.

Imam Ar Razi mengatakan khusyuk ialah syarat sah dan bukan syarat untuk diterima solat.

DALIL-DALIL ULAMA YANG MENGATAKAN KHUSYUK ADALAH SYARAT.

Firman Allah, ertinya:

“dan dirikanlah solat kerana mengingati-Ku” (Toha, 14)

Zahir dalam perintah ini adalah wajib (menginti Allah dalam solat), dan lalai adalah berlawanan dengan mengingati Allah. Maka orang yang lalai dalam seluruh solatnya bagaimana boleh dikata sebagai orang mendirikan solat untuk mengingati Allah?

Dan firman Allah, ertinya:

“ Dan ingatlah tuhanmu dalam hatimu dengan rendah diri dan takut, tanpa menguatkan suara pada waktu pagi dan petang , dan jangan kamu jadi orang yang lalai.” (A’raf, 205)

Ini adalah larangan yang zahirnya ialah untuk mengharamkan sifat lalai.

Dan firman Allah (ertinya):

“sehingga kamu tahu apa yang kamu katakan dalam (solat)

Ayat ini adalah alasan kepada larangan mabuk, sedangkan mabuk ( tak tahu apa yang ia katakan dalam solat ) adalah perkara yang biasa berlaku pada orang yang sibuk berfikir dengan dunia.

(ertinya ayat itu melarang seseorang mendirikan solat ketika mabuk, dan dia hanya dibenarkan solat setelah sedar dan tahu apa yang dia baca dalam solat. Sama juga dengan orang yang tidak khusyuk dalam solatnya, dia hanya dibenarkan mendirikan solatnya ketika dia telah tidak ada khayalan-khayalan dalam fikirannya dan dapat menumpukan perhatian dalam solatnya.

Ayat di atas melarang solat ketika mabuk bermakna tidak boleh minum arak ketika hampir waktu untuk bersolat. Sama juga dengan keadaan orang yang akan solat hendaklah ia membuang pemikiran-pemikiran yang mengganggunya ketika solat.)

HADIS MENGENAI KHUSYUK

Dari Ammar bin Yasir: sabda Nabi Muhammad (selawat dan salam ke atas baginda), ertinya: seseorang yang telah selesai bersolat maka hanya dituliskan pahala baginya sebanyak sepersepuluh, sepersembilan, seperlapan, sepertujuh, seperenam, seperlima, seperempat, sepertiga, seperdua. (Abu Daud)

Sabda Nabi Muhammad (selawat dan salam ke atas baginda) ertinya: sesungguhnya hamba melakukan solat, dan tidaklah ditulis pahala untuknya seperenam, dan tidak sepersepuluhnya. Hanya ditulis pahalanya mengikut apa yang ia menyedari daripadanya.

PANDANGAN PARA SALAFUS SOLEH

Kata Muaz bin Jabal (radiyallahu anhu): sesiapa yang mengetahui sesiapa yang berada di kiri dan kanannya semasa bersolat maka tidak ada solat untuknya.

Kata Al Hasan: solat yang tidak hadir hati (tidak khusyuk)adalah lebih cepat mendatangkan azab.

Kata Abdul Wahid bin Zaid: ulama telah sepakat bahawa hamba tidak mendapat pahala malainkan apa yang ia sedari ketika solatnya.

CARA-CARA MENDATANGKAN KHUSYUK DALAM SOLAT

Menghilangkan segala perkara yang mengganggu tumpuan di dalam solat: antaranya :

MENGANTUK


Apabila berjaga sampai tengah-tengah malam sebab facebook atau tengok perlawanan bolasepak maka subuh esoknya sudah tentu dikerjakan dalam keadaan sangat mengantuk, dan khusyuk ketika ini adalah hampir mustahil. Nampaknya FB dan bola lebih berharga daripada pahala solat pada sebahagian umat Islam.

RASA TERINGIN KEPADA MAKANAN

Kerana inilah umat Islam tidak dibenarkan solat ketika menghadapi makanan dan terbuka seleranya untuk makan. Malah hendaklah makan hingga hilang ingatan kepada makanan tersebut walaupun sehingga menyebabkan terlepas solat berjemaah.

TERASA INGIN BUANG AIR BESAR/ AIR KECIL/KENTUT

Kita hendaklah pergi ke tandas dahulu walaupun solat hampir atau telah diqamatkan. Begitu juga jika terasa ingin kentut tidak dibenarkan menahannya semasa hampir solat kerana mungkin ia akan mengganggu ketika di tengah-tengah solat.

Ini adalah sebahagian perkara yang dinyatakan dalam kitab fiqh. Salah satu perkara yang paling penting ialah keimanan kepada akhirat dan pengaruhnya kepada pemikiran seseorang setiap hari. Sekuat mana seseorang muslim mengingati akhirat di dalam kehidupan sehariannya maka sekuat itu solatnya menjadi khusyuk. Pengaruh akhirat ialah mengenai balasan pahala dan ganjaran serta janji-janji Allah di dunia dan di akhirat, yang akan disertai keikhlasan dan ihtisab (mengharap pahala).

Orang yang mengetahui bayaran lumayan yang akan diterima dari kerjanya akan bertekun dengan sepenuh hati dan sepenuh tumpuan. Dan akan melakukan apa sahaja untuk mejayakan kerjanya. Dengan semangat yang tinggi kerja tersebut masih boleh dilakukan walaupun ketika letih dan walau terpaksa berjaga sehingga tengah malam.

Begitulah juga solat yang diketahui segala balasan dan ganjarannya di dunia dan akhirat –dan ganjaran akhirat lebih hebat- sudah pasti akan melahirkan penumpuan terhadapnya, dan penumpuan inilah yang dinamakan khusyuk. Khusyuk akan melahirkan nikmat dan lazat bermunajat dengan Allah. Apabila nikmat telah mula dirasai maka solat itu akan dilakukan dengan qiyam yang panjang, rukuk dan sujud pun begitu.

Firman allah taala, ertinya:

“dan mintalah bantuan kepada Allah dengan sabar dan solat; dan sesunggunya solat itu berat kecuali bagi orang yang khusyuk; iaitu mereka yang yakin akan bertemu tuhannya, dan yakin akan kembali kepada-Nya. (Al Baqarah, 45-46)

Mengikut tafsir An Nasafi:

“dan mintalah pertolongan kepada Allah untuk menunaikan segala keperluan kamu dengan bersabar dan solat, iaitu kamu melakukan solat dengan bersabar di atas perintah solat dan segala kepayahan ketika melakukannya, dengan ikhlas, menolak segala bisikan-bisikan syaitan dan segala yang terlintas dalam fikiran, menjaga segala adab-adab solat, khusyuk, dan mengetahui bahawa ia sedang berdiri di hadapan tuhan penguasa seluruh alam.

Ataupun maksudnya: mintalah bantuan ketika menghadapi bala bencana dengan bersabar dan melakukan solat ketika berlakunya, adalah Nabi Muhammad (selawat dan salam ke atasnya) segera melakukan solat ketika berlaku sesuatu masalah. Diriwayatkan bahawa Ibnu Abbas pernah diberitahu kematian saudaranya ketika dia dalam musafir, ia pun membaca istirja’ dan solat dua rakaat, dan membaca ayat di atas.

Ada ulama berpendapat sabar itu ialah puasa, dan ada sebahagaian pendapat mengatakan solat ialah doa.

Sesungguhnya solat atau minta bantuan itu adalah berat, kecuali bagi orang yang khusyuk, kerana mereka mengharapkan apa yang disimpan untuk mereka sebagai balasan di atas penat lelah melakukan solat, sebab itu mereka merasakan ringan melakukan solat.

Lihatlah firman-Nya: “iaitu orang-orang yang percaya bahawa mereka akan bertemu tuhan mereka” yakni yang mengharap bertemu pahala mereka, dan mendapat apa yang ada di sisi-Nya, dan ghairah untuk mendapatnya.

Ada juga ulama mentakwilkan makna percaya dengan makna yakin berdasarkan qiraat Abdullah bin Masud, yang membaca “mengetahui bahawa mereka akan bertemu tuhan mereka” maksudnya mengetahui bahawa mereka pasti akan bertemu balasan pahala dan sebab itu mereka beramal dengan bersungguh-sungguh dan solat dirasakan ringan. Adapun orang yang tidak meyakini dan mengharapkan pahala maka semua itu hanya dirasakan kepayahan dan berat semata-semata. (Nasafi, 1/86)

Dari sini dapat dilihat dengan jelas kepentingan tabsyir dan inzar di dalam solat sebagaimana yang telah diterangkan dalam artikel “Ciri-ciri Wajib Sebuah Sekolah Agama” sebelum ini. Sayangnya tabsyir dan inzar telah menjadi ‘makhluk asing’ pada pandangan ramai umat Islam seluruh dunia.

Isnin, 5 September 2011

DOSA BESAR DI AIDIL FITRI

Selalunya khatib khutbah solat hari raya ataupun khutbah jumaat akan berpesan supaya umat Islam tidak melanggar perintah Allah semaSa menyambut hari raya. Yang sering dipesan ialah menjaga batas-batas pergaulan dan melarang daripada berjabat tangan antara lelaki dan perempuan bukan mahram.

Namun yang sentiasa dilupakan ialah kewajipan menjaga ketenteraman sesama jiran tetangga. Sebab itulah kita akan temui orang Islam yang bermain mercun sampai tengah-tengah malam walaupun berada di sebelah rumah jiran tanpa sedikitpun terlintas di fikiran mereka adakah jiran mereka terganggu ataupun tidak. Si buta perut itu pun terus bermain dengan perasaan amat puas dan bahagia. Malah ada yang yang merasakan dia telah menyambut hari raya dengan sebaik-baiknya kerana telah mengorbankan sehingga bertus ringgit untuk membeli mercun yang bunyinya amat menghiris perasaan jirannya apatah lagi yang ada anak-anak kecil yang menangis seriap kali dentumannya bergema.

Orang yang bermain mercun itu tidak lain dan tidak bukan ialah antara manusia-manusia jahil yang tidak pernah pijak surau ataupun masjid, yang tidak pernah dengar dosa dan azab yang dijanjikan orang yang menyakiti jirannya.

Inilah kepercayaan awal saya. Namun akhirnya saya temui bahawa orang-orang agama yang istiqamah pergi ke masjid ada juga yang tidak tahu hukum ini dan termassuk dalam kalangan orang yang menghabiskan beratus ringgit untuk dibakar pada malam raya dengan perasaan gembira.

Di sini dipersembahkan ubat yang terbaik untuk mengubati kejahilan mereka. Para pembaca sekalian sila sebarkan kepada orang lain yang tidak berminat membacanya.

Sebenarnya bermain mercun dan mengganggu jiran adalah dosa besar yang menjanjikan azab yang pedih di akihirat. Ini dapat dilihat daripada nas-nas yang akan dinyatakan di bawah:

Firman Allah dalam surah An Nisa ayat 36: ertinya:

“Dan sembahlah Allah dan jangan mensyirikkan-Nya dengan sesuatupun; dan berbuat baiklah kepada dua ibubapa, keluarga dekat, anak-anak yatim, JIRAN DEKAT dan JIRAN JAUH, kawan rapat, orang yang dalam perjalanan, dan hamba kamu. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang sombong dan bermegah.”

Sabda Nabi Muhammad (selawat dan salam ke atasnya selama-lamanya), ertinya:

Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, janganlah ia menyakiti jirannya; sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah ia memuliakan tetamunya; sesiapa yang beriman dengann Allah dan hari akhirat hendaklah berkata yang benar atau pun diam sahaja. (Bukhari, Muslim)

Demi Allah ia tidak beriman, demi Allah ia tidak beriman, demi Allah ia tidak beriman. Para sahabat bertanya siapakah dia wahai Rasulullah? Jawab baginda: orang yang jirannya tidak selamat dari keburukannya. (Bukhari, Muslim, Ahmad)

Tidak masuk syurga seseorang yang jirannya merasa takut terhadap keburukannya. (Tabrani)

Tidak akan masuk syurga seseorang hamba sehingga jirannya aman daripada keburukannya. (Ahmad, Ibnu Abiddunya)

Sesiapa yang menyakiti jirannya maka ia telah menyakitiku, dan sesiapa yang menyakitiku sesungguhnya ia telah menyakiti Allah. (Abu Syaikh)

Seorang sahabat berkata kepada Rasulullah (selawat dan salam ke atas baginda): wahai Rasulullah sesungguhnya si fulanah (seorang perempuan) disebut-sebut kerana banyak solat, sedekah dan puasanya, tetapi dia menyakitkan jirannya dengan lidahnya. Sabda baginda: dia akan masuk neraka. (Ahmad, Bazzar, Ibnu Hibban, dan Hakim mengang-gapnya sahih)

Kata Muawiyah bin Haidah, wahai Rasulullah, apakah hak jiran ke atas jirannya? Jawab baginda: jika ia sakit hendaklah kamu ziarahinya, jika ia mati hendaklah kamu uruskan jenzahnya, jika ia minta hutang darimu berilah hutang kepadanya, jika ia sangat memerlukan berilah sesuatu kepadanya yang menutup hajatnya. (Tabrani)

Dalam riwayat Abu Syaikh:

Jika ia dia minta tolong, kamu tolonglah ia, jika ia perlu berilah sesuatu kepadanya. Adakah kamu faham apa yang aku kata kepada kamu? Tidak akan dapat menunaikan hak jiran melainkan sedikit manusia yang Allah memberi rahmat kepadanya.

Belumlah beriman denganku seseorang yang bermalam dalam keadaan kenyang sedangkan jirannya kelaparan dan ia mengetahuinya. (Tabrani, isnad hasan)

Datang seorang lelaki kepada Nabi Muhammd (selawat dan salam ke atas baginda) dan berkata: wahai Rasulullah berikan aku pakaian. Maka Rasulullah berpaling daripadanya. Ia berkata lagi: berikanlah aku pakaian. Maka Nabi bersabda: apakah tidak kamu mempunyai jiran yang mempunyai lebihan dua helai pakaian? Ia menjawab: ya, lebih dari sehelai. Baginda bersabda: Maka kerana itu kamu berdua tidak akan diletakkan bersama dalam syurga. (yang punya pakaian yang lebih tidak akan masuk syurga kerana tidak memberikan kepada jirannya)
(Tabrani)

Ramailah manusia yang akan memgang jirannya pada hari kiamat, ia berkata wahai Tuhan, tanyalah kepadanya kenapa ia ia kuncikan pintunya dariku dan tidak memberikan kepadaku lebihan hartanya. (Asbahani)

Sahabat yang terbaik di sisi Allah ialah yang berbuat baik kepada sahabatnya; jiran terbaik di sisi Allah ialah jiran yang berbuat baik kepada jirannya. (Tirmizi, hasan gharib; Hakim, sahih; Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)

Jibril sentiasa berpesan kepadaku supaya berbuat baik kepada jiran, sehingga aku menyangka bahawa jiran akan mendapat harta pusaka jirannya. (Bukhari, Muslim)

Seorang sahabat berkata wahai Rasulullah tunjukkanlah kepada saya amalan yang apabila saya lakukannya saya akan masuk syurga. Jawab baginda: jadilah orang yang baik.Ia bertanya: bagaimana saya nak tahu saya seorang yang baik? Jawab baginda: tanyalah jiranmu. Kalau mereka berkata kamu seorang yang baik, itu menunjukkan kamu memang seorang yang baik. (Baihaqi)

Rasulullah bertanya kepada para sahabatnya: apa yang kamu kata mengenai zina? Mereka menjawab: Allah dan rasul-Nya telah mengharamkannya, maka ia haram sampai hari kiamat. Baginda bersabda: sekiranya seorang lelaki berzina dengan sepuluh orang perempuan dosanya tidak akan seberat dosanya berzina dengan isteri jirannya. Kata baginda lagi: apa yang kalian katakan pada mencuri? Kata mereka: Ia telah diharamkan oleh Allah dan rasul-Nya. Baginda berkata: jika seorang mencuri di sepuluh buah rumah dosanya tidak akan seberat ia mencuri di rumah jirannya. (Ahmad, Tabrani)

Zina adalah perbuatan dosa besar. Zina dengan isteri jiran adalah lebih daripada sepuluh kali ganda besar dosanya.

Kata Ibnu Masud: wahai rasulullah apakah dosa yang paling besar? Jawab baginda: Kamu jadikan sekutu bagi Allah (syirik). Kemudian dosa yang mana? Jawab baginda: Kamu bunuh anak kamu kerana takut ia makan bersamamu (takut miskin). Kemudian dosa apa? Baginda menjuawab: Kamu berzina dengan isteri jiran kamu. (Bukhari, Muslim)

Para sahabat bertanya: wahai Rasulullah siapakah orang Islam yang terbaik? Jawab baginda: orang yang selamat umat Islam daripada lidah dan tangannya. (Bukhari dan Muslim)

(Dipetik dari kitab Az Zawajir, Ibnu Hajar Al Haitami, 1/422)

Kata Thauban: mana-mana jiran yang menzalimi jirannya, sehingga jiranya terpaksa meninggalkan rumahnya, binasalah ia. (Bukhari dalam Adab Mufrad, Durru Manthur Suyuti, 4/418)
















Dari nas-nas di atas kita fahami bahawa jiran hendaklah dihormati dan tidak boleh diganggu ketenteraman mereka dengan bunyi bising mercun dan lain-lain. Saya dah tulis dulu kalau kita baca Al Quran pun kena perlahankan jika ada orang yang sedang tidur atau solat. Kalau bunyi mercun lebih-lebih lagi wajib dielakkan.

Perkara kedua yang wajib difahami bahawa haram hukumnya menghabiskan wang untuk membeli mercun kerana ianya adalah satu pembaziaran yang tidak memberi apa-apa faedah. Sama dengan hukum beli rokok. Ditambah lagi dengan mengganggu jiran maka haramnya semakin berat. Kata Syaikh Ibnu Hajar membelanjakan harta membeli benda yang haram adalah dosa besar walaupun dosa melakukannya dosa kecil. (Zawajir, 1/421)

Contohnya kalau bermain mercun jauh di dalam hutan tanpa mengganggu sesiapa adalah dosa kecil kerana ada unsur membuang harta dengan sia-sia, namun hukum mengeluarkan duit untuk membelinya adalah dosa besar.

Jumaat, 12 Ogos 2011

HUKUM BACAAN AL QURAN DENGAN PEMBESAR SUARA DI MASJID


Sekarang berlaku kekecohan apabila Majlis Fatwa Pulau Pinang telah melarang bacaan Al Quran dengan pembesar suara dengan alasan ia bukan dari syariat Islam. Maka riuh se Malaysia samada ustaz ataupun orang jahil.

Saya setuju kalau ustaz yang cuba memepertikai membawa dalil-dalil yang kuat dan bukan dengan hujah: "saya rasa."

Dan saya harap orang yang jahil jangan cuba cari dosa dengan alasan: kita dah buat berpuluh tahun dah. Kerana itu bukan hujah, sebaliknya hanya menambah lagi kejahilan kerana berpegang dengan perkara yang bukan syariat.

HUKUM DALAM MAZHAB IMAM SYAFIE

Dalam Mazhab Imam Syafie hukum membaca al Quran dengan kuat sehingga mengganggu orang yang sedang solat dan tidur adalah makruh.

Di dalam kitab bughyah Al Mustarsyidin: tidak dimakruhkan menyaringkan suara di dalam masjid dengan apa saja bentuk zikir, yang termasuk juga bacaan Al Quran, kecuali jika ia mengganggu orang yang sedang solat atau mengganggu orang sedang tidur. Bahkan sekiranya kuat gangguan maka haram hukumnya… (ms 66)

Di dalam Hawasyi Syarwani ala Tuhafatul Muhtaj:
Orang yang solat tidak boleh menyaringkan bacaannya jika mengganggu orang yang sedang tidur atau solat.

Di dalam kitab-kitab fiqh dinyatakan juga jika bacaan nyaring tersebut mengganggu orang yang sedang mengajar agama, yang sedang berfikir kebesaran Allah, yang sedang mengarang kitab maka makruh juga hukumnya. Jadi jika terdapat orang sakit atau anak kecil yang terganggu maka tidak boleh dipasang bacaan Al Quran dengan pembesar suara.

REALITI AMALAN KITA

DI Pulau Pinang memang ada masjid yang memasang bacaan Al Quran sebagai tanda berlakunya kematian. Dan ada juga yang memasang bacaan Al Quran beberapa minit sebelum masuk waktu solat. Di Gerik pun ada juga. Nampaknya AJK masjid terus pasang saja sebelum sempat bertanya fatwa mengenainya.

Jadi dari fatwa di dalam kitab-kitab di atas dapat disimpulkan:

-Sekiranya waktu bacaan Quran sedang dibunyikan (dimainkan) dan pada masa itu ada orang yang masuk ke masjid/surau berkenaan dan solat, maka bacaan Al Quran itu hendaklah dihentikan kerana mengganggunya.

-Sekiranya ada orang yang sedang tidur di rumah berdekatan atau di masjid sekalipun maka bacaan Quran dengan player itu juga hendaklah dihentikan.

-Sekiranya ada makmum masbuk yang bangun menambah satu rakaat lagi maka imam tidak boleh berzikir kuat-kuat dengan mikrofonnya dan hendaklah berzikir perlahan-lahan.

Alasan lain ialah kerana bacaan Al Quran adalah untuk dihormati. Maka sekiranya dipasang dengan kuat sehingga didengari oleh orang yang sibuk dengan kerja mereka, sudah tentu mereka tidak dapat istima’ (mendengar) dan insat (diam) kepada al Quran. Maka telah berlaku kurang sopan kepada Al Quran. Jadi supaya tidak berlaku perkara ini, yang terbaik ialah tidak dipasang dengan pembesar suara.

Di dalam surah Al A’raf: maksudnya:

“Dan apabila dibacakan al Quran, maka dengarlah dan berilah tumpuan, supaya kamu dirahmati.” (204).