Khamis, 28 Mei 2009

ALAHAI SEKOLAH ARAB

Ketika masih remaja saya amat kagum kepada orang yang mempunyai sijil Empat Sanawi. Saya anggap mereka mempunyai banyak ilmu. Dan saya rasa itulah juga pandangan masyarakat semuanya.

Tetapi setelah saya mulai belajar agama, dan beberapa tahun selepas saya berhenti daripada pengajian, saya dapati rupanya Sijil Empat Sanawi hanyalah asas yang amat lemah dalam pengajian Islam.

Sebab saya berkata begini ialah kerana saya telah temui ramai ustaz-ustaz lepasan sijil ini yang tidak pandai baca kitab Arab yang tidak berbaris. Ertinya mereka tidak mengetahui I’rab (sebab perubahan baris) pada setiap perkataan di dalam teks bahasa Arab. Apabila mereka tidak boleh membaca teks tidak berbaris, ertinya mereka tidak akan tahu maksud teks yang berbaris dengan sebenarnya. Saya telah temui mereka di merata tempat di Malaysia; di Gerik Perak, Kelantan, Johor, Kedah, Pulau Pinang, dan saya kira di tempat lain pun akan sama seperti ini.

Pada tahun 90 an, sekolah agama rakyat tempat saya mengajar ketika itu telah memilih saya mengikuti kursus yang dinamakan ‘Kursus Kitab Turath’ di Ipoh. Kursus yang dianjurkan Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Perak itu diadakan selama lima hari setiap bulan sehingga setahun. Kursus berkenaan adalah untuk memantapkan penguasaan kitab Arab di kalangan para guru yang mengajar di sekolah agama rakyat seluruh negeri Perak. Di dalam kursus/pengajian ini para peserta diminta membaca kitab dihadapan guru yang terdiri daripada ahli Majlis Fatwa Perak, termasuk Dato’ Mufti.. Kursus ini memang baik. Kerana ternyata para peserta yang terdiri daripada ustaz-ustaz lepasan Empat Sanawi memang tidak boleh membaca kitab Arab yang tidak ada baris! Yang boleh membaca, kalau tidak silap saya, lima enam orang sahaja, tak sampai sepuluh orang pun. Itupun yang pernah belajar di pondok. Sedangkan yang semata-mata belajar di sekolah arab sahaja, terkial-kial macam tadika arab. Jika ustaz yang mengajar tidak pandai baca kitab, macamana mereka nak ajar murid mereka jadi pandai? Macam ketam la.

Selepas itu barulah boleh difahami kenapa ustaz-ustaz Empat Sanawi yang saya temui di Gerik sama macam mereka juga. Macamana guru, begitulah muridnya.

Ada seorang ustaz lepasan sekolah arab yang terkenal di Baling, Kedah datang memohon mengajar di sekolah tempat saya mengajar, ketika itu saya masih muda, 20 an, hensem lagi. Sebab kami tak cukup guru, pengetua terima saja, dan maklumlah, Empat Sanawi. Tetapi bila dia mula mengajar, barulah saya tahu rupanya ustaz ini perkara yang amat asas pun ada yang dia tak tahu. Ketika ini sekolah kami dah mulakan pengajian STAM. Sekejap saja selepas itu, ustaz itupun berhenti. Tak lepas pi nak ngajar kot.

Saya mengajar selama lima tahun di sekolah ini, pelajar tingatan lima, semuanya, tidak boleh baca kitab Arab yang tidak berbaris.

Saya pernah pergi ke Kelantan dan bertemu seorang ustaz yang mengajar di sekolah menengah kerajaan. Beliau adalah lepasan sebuah maahad yang terkenal di sana, mengakui bahawa dia memang tidak pandai/mahir membaca teks bahasa Arab. Katanya, hanya pelajar pondok yang boleh membaca dengan baik.

Ketika berkunjung ke Batu Pahat, Johor saya temui seorang peguam yang pernah belajar di sekolah Darjah Khas Negari Johor. Apabila ditanya: anta boleh baca kitab yang tak berbaris? Dia menjawab boleh sikit-sikit. Tapi bila dia baca, rupanya dia tidak reti langsung.

Di Pulau Pinang, seorang bekas pelajar sekolah agama yang kini jadi sekolah cluster (kalau salah sila betulkan), yang mendapat SPM gred Satu, datang memohon belajar di sebuah madrasah yang mengajarkan kitab-kitab yang sama dengan kitab pondok. Ketika ditemuduga, pelajar ini rupanya hanya layak masuk kelas satu. Tetapi kerana dia dah tua, ustaz di madrasah itu kesian kat dia, bagi masuk kelas dua. Dan ketika di kelas dua, apabila ustaz menyuruhnya membaca kitab arab dalam waktu kelas, bacaannya adalah yang terburuk dalam kelas tersebut. Satu pun tak betul! Tak sampai enam bula dia pun berhenti.

Yang paling mengejutka, saya dengar ada lepasan PhD yang tidak boleh membaca kitab Arab. Ma sya Allah! Tapi syukur orang itu sekarang belajar balik bahasa Arab dengan kitab yang paling rendah. Ini menunjukkan bahawa selepas atau ketika mengambil SPM ia juga ambil Empat Sanawi, kemudian masuk universiti sampai PhD. Maka penguasaan Arabnya yang telah lemah berlarutan sampai ke PhD. Ini PhD, kalau setakat ijazah BA, memang bersepah yang tak boleh baca kitab Arab.

Kenapa Jadi Begini? Nama saja Sekolah Arab ataupun Sekolah Agama Rakyat, tapi baca teks Arab tak boleh pula. Ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena pada sistem pengajian mereka.

Ada pihak mendakwa punca pelajar sekolah arab tak boleh menguasai teks bahasa Arab ialah kerana mereka terpaksa belajar terlalu banyak mata pelajaran, iaitu pelajaran-pelajaran STAM dan SPM, sebab itu mereka lemah.

Dakwaan ini boleh diterima pada pelajar yang terlibat dengan Empat Sanawi atau STAM dan SPM serentak. Tapi sekiranya semasa STAM belum ada lagi alasan ini tidak boleh diterima. Ustaz-ustaz yang saya temui di atas ada sebahagian mereka yang hanya belajar subjek Empat Sanawi sahaja selepas mengambil SPM, tapi masih tak mahir teks bahasa Arab.

Selepas lima tahun mengajar di sekolah arab di Gerik, saya dapati punca bagi semua kelemahan itu ialah kesilapan sukatan pelajaran yang dipraktikkan di sekolah Arab. Sekolah-sekolah Arab tidak mengajar bahasa Arab pada peringkat permulaan pada yang betul-betul asas. Buku bahasa Arab yang paling asas terbaik ialah yang bernama “Dhammun.” Namun ada sekolah yang tidak memulai dari kitab ini tapi terus ke peringkat yang lebih tinggi. Dan untuk STAM pula Bahasa Arab yang diajarkan ialah berdasarkan buku teks yang diambil dari Maahad Al Azhar. Bayangkan orang Melayu belajar bahasa Arab dengan teks yang khusus untuk orang Arab. Tentu amat sukar mereka memahaminya jauh untuk jadi mahir bahasa Arab.

Saya yakin mereka semua akan mahir bahasa arab jika mereka bermula dengan buku Bahasa Arab seperti “Dhammun.” Ini terbukti di pondok-pondok, walaupun pelajarnya, sebelum masuk pondok hanya lulus SPM dengan pangkat 3, tapi amat baik penguasaan terhadap kitab-kitab Arab yang agak tinggi juga seperti Fathul Muin, Al Iqna dan seumpamanya. Pelajar yang SPMnya lebih baik dari itu, mereka lebih baik lagi dari segi penguasaan kitab. Paling lama hanya tiga tahun sahaja mereka boleh mahir bahasa Arab.

Kitab Dhammun dimulakan dengan tasrif ganti nama dan kata perbuatan. Ertinya semua pelajar Melayu mesti mahir dengan tasrif dengan baik, kemudian belajar nahu arab dengan asas yang baik barulah mereka akan mahir. Jika tidak akan lahirlah ulamak penipu yang tidak banyak ilmu. Saya pernah lihat sendiri ada mufti (tidak disebutkan mufti negeri mana) yang bila ia mengajar dan membaca kitab Arab apabila ditanya : kenapa berbaris depan? Ia menjawab dengan selamba: tak tahu.

Untuk menjadi mufti , seseorang itu mesti mahir ilmu fiqh (fekah), usul fiqh dan qawaid fiqhiyyah. Kitab yang terbaik untuk ilmu-ilmu itu hanya di dalam bahasa Arab, jika mufti tak mahir kitab arab maka itulah mufti palsu. Dengar kata ada mufti yang belajar ilmu asbabul wurudil hadith sahaja, fiqh tak setara mana pun. Mufti apa ni?

Pada pandangan saya sebab lain pelajar tidak mahir teks Arab ialah kerana niat untuk mendapatkan keduniaan dengan belajar agama. Niat seperti itu adalah haram, maka orang yang buat dosa tidak akan diberi taufik untuk mendapat ilmu. Syaikh Ibnu Hajar al Haitami, menulis di dalam kitabnya Az Zawajir: bahawa antara punca ulama tidak menghukum dengan syariat ialah kerana niat mereka yang salah ketika belajar dulu.

Cara kedua untuk mereka memahirkan bahasa/teks Arab ialah dengan belajar asas Bahasa Arab dahulu. Ilmu-ilmu lain yang bukan teras dalam pengajian Islam hanya dipelajari selepas benar-benar faham asas bahasa Arab.

Cara lain ialah dengan membuat syarat untuk naik kelas dengan kemahiran bahasa Arab. Contohnya untuk naik ke kelas tiga, pelajar diwajibkan boleh membaca teks Arab dengan betul 80 peratus (contoh) pada akhir sessi pengajian kelas dua.

Wallahu a’lam bissowab.

4 ulasan:

  1. Saya ambil lagi ye entri ni, menarik untuk disebarluaskan

    BalasPadam
  2. Salam UstazK,

    Saya seorang lulusan sekolah kebangsaan yg sudah pun berusia 30-an. Berasa sangat rugi & ralat kerana tidak mahir dalam bahasa arab.

    saya bercita2 untuk sambung semula belajar (di dalam bahasa arab) tetapi tidak tahu arah tuju untuk orang macam saya ni.

    adakah sekolah yang sesuai untuk saya daftarkan diri?

    mohon nasihat ustaz. terima kasih

    Hidayat

    BalasPadam
  3. salam hidayat. saudara boleh belajar bersendirian dengan mana-mana ustaz. tak masuk sekolah oun tak apa.

    BalasPadam
  4. seriously,sy stuju sgt2.ana uwafiq.tringin nk study kt pondok.huhu

    BalasPadam