Khamis, 30 Julai 2009

KETURUNAN HAJI HASAN BIN AWANG BESAR

IBU saya adalah anak kepada Al Marhum Haji Hasan bin Haji Awang Besar, seorang yang sangat disegani dan berpengaruh di Kampung Ulu Mengkuang, Selama, Perak. Haji Hasan adalah pengasas Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang. Pada tahun 1952 semasa beliau menjadi ketua kampung. Beliau lebih dikenali dengan nama Haji Ahmad di Daerah Selama.

Saya telah diberitahu oleh Al Marhum Haji Syafii bin Hashim bahawa keturunan Haji Hasan adalah seperti berikut:

HAJI HASAN bin Awang Besar, bin Abu, bin Ismail, bin Pedu


Kata Haji Syafii bahwa Pedu ialah asal bagi nama Daerah Pedu yang terkenal dengan Tasik Pedu. Pedu berasal dari Negeri Patani Darus Salam. Namun ada setengah penulis mengatakan bahawa Pedu adalah sempena nama seorang raja keturunan Kedah Siam. Nama baginda ialah Sultan Madzafar Shah III ibnu Khalifah Syarif Abu Bakar Shah, atau di gelar Tuanku Sulong atau Koya Long. Dalam bahasa Siam Pedu bererti abang atau abang sulong. Baginda pernah menjadi Raja di Kemboja Cempakasari pada tahun 1758 Masihi, juga pernah menjadi raja di Kuala kangsar Perak.

Perkara ini tidak semestinya bercanggah, kerana Patani dulu adalah daerah/negeri di bawah naungan Kerajaan Islam Kedah Siam dan terletak hampir dengan Kemboja.. Barangkali itu adalah orang yang sama. Jika perkara ini benar maka ertinya Haji Hasan adalah keturunan raja Kerajaan Islam Kedah Siam yang memerintah Patani atau Kemboja. Ini diperkuatkan oleh dakwaan ibu penulis bahawa kami adalah keturunan Long Jaafar. Mungkin dia orang yang sama dengan Tuanku syed Long Jaafar. Baginda ialah anak Panglima Bukit Gantang (1824-1862) cucu kepada Pedu (Tuanku Sulong). Ditambah lagi adanya anak Pedu yang bernama Syed Long Ismail, barangkali orang yang sama dengan Ismail, adinda Panglima Bukit Gantang (Syed Alang Alauddin). Kemudian dengan adanya Abu dalam silsilah yang diterangkan Haji Syafii yang mungkin adalah Abu Toha yang menjadi Raja Selama/Bagan Serai, dan digelar Keramat Perang, adinda Long Jaafar.

Namun perkara ini perlukan kajian dan bukti yang tepat.. Sesiapa mempunyai maklumat lanjut mengenai Pedu, saudara mara dan zuriatnya sila catatkan dalam blog ini.

Haji Hashim, Saerah dan Sabariah adalah saudara Haji Hasan. Nenda Sabariah saudaranya  yang masih hidup, berada di Batu Kurau, Perak. Semoga Allah memanjangkan usianya dengan kesihatan yang baik..

Anak-anak Haji Hasan ialah (Paklong) Badruzzaman kini tinggal di Taman Menteri, Changkat Jering, Taiping; (Pakngah) Azzahari, telah meninggal; (Maklang) Halimah, ibu penulis; (Maktih) Aishah tinggal di Kuala Lumpur; (Pakandak) Muhammad Nor, tinggal di Ulu Mengkuang, Selama. Sekarang ketua kampung di sana, mewarisi bakat bapanya. (Makcik) Badariah tinggal di Guar Petai, Selama; (Makanjang) Zaharah tinggal di Taiping.


silarujuk: www.sejarahnagarakedah.blogspot.com

BANK SIMPANAN NASIONAL DAN ZAKAT

Pada 28 Julai 2009, hari Selasa, Bank Simpanan Pulau Pinang telah mengadakan majlis pengagihan zakat kepada para asnaf yang terdiri daripada madrasah-madrasah tahfiz, rumah orang-orang tua dan anak-anak yatim yang dipilih dari seluruh Pulau Pinang.

Ini adalah satu contoh sumbangan zakat kepada orang yang memerlukan yang tepat kepada asnaf. Diharap ramai orang-orang kaya dan pelbagai intistusi kewangan mengikut teladan yang ditunjukkan oleh BSN. Bank ini telah menghantar wakil-wakil mereka ke seluruh Pulau Pinang untuk mengesan orang yang berhak mendapatkan hak mereka yang telah Allah tetapkan. Dengan bantuan tersebut diharapkan semoga madrasa-madrasah tahfiz semakin perkasa untuk berjuang memantapkan ilmu agama ke seluruh masyarakat Islam. Orang-orang tua dan anak-anak yatim dapat menikmati kehidupan sebenar mereka.

Saya telah sempat berbual dengan encik Azmi bin Ibrahim, pegerusi BSN Pulau Pinang,, kata beliau dia pernah menemui keluarga susah yang anak-anak mereka tidak mendapat pendidikan yang sepatutnya sebagai rakyat Malaysia. Saya hargai keprihatinan beliau. Memang terlalu ramai umat Islam Malaysia yang tercicir pelajaran kerana kemiskinan, sedangkan terlalu ramai orang-orang kaya di negara ini. Puluhan juta ringgit disimpan di pusat urus zakat, tapi orang-orang miskin terus terabai dan tersisih.

Keprihatinan seperti itulah yang perlu ada pada setiap orang Islam yang kaya. Zakat yang diberikan akan menyuburkan harta dan megembangkan lagi perniagaan para penyumbang. Semoga BSN terus memperkembangakan dan menambah lagi sistem Islamik mereka.

Kita tunggu bank-bank lain, yayasan-yayasan dan apa saja syarikat-syarikat besar mengikut contoh BSN. Bila lagi? Saya telah menulis sebelum ini bahawa zakat terbaik ialah yang sampai kepada tangan orang yang berhak dengan segera kerana pahalanya akan segera sampai kepada pemberinya. Bukannya terperap dalam bank. atau dilaburkan di tempat yang belum tentu mengeluarkan mereka daripada kemiskinan.

Rabu, 29 Julai 2009

KENAPA PONDOK MATI SATU DEMI SATU?

Semua umat Islam tahu bahawa university Al Azhar telah dibuka sejak beratus tahun yang lalu. Begitu juga Nadwatul Ulama di Lucknow dan Darul Ulum Deoband di India. Di Pakistan ada pula Madrasah Al Binuriah yang kekal hingga sekarang.

Kita pernah mendengar nama-nama besar ulama di Malaysia yang telah membuka pondok di merata tempat, yang mengajarkan kitab-kitab besar yang cukup untuk menjadikan lepasan pondok mereka sebagai ulamak yang mahir/pakar dengan ilmu-ilmu Islam.

Tapi sekarang nama-nama besar tersebut hanya tinggal sejarah yang hanya dikenang dalam buku-buku dan lisan masyarakat. Kini kitab-kitab besar tidak lagi diajarkan dan makin mengecilkan ruang ilmu umat Malaysia.

Apa yang menyedihkan umat Islam Malaysia terpaksa berkiblatkan Mesir dan lain-lain negara Arab untuk menghantar anak-anak mereka belajar ilmu agama. Tetapi bagi umat Islam India dan Pakistan mereka boleh berdiri setanding dengan negara-negara Arab yang lain dalam menghasil ulama dan tidak perlu mengharap Mesir dan lain-lain untuk mencipta ulama. Bahkan mereka terkenal dengan pengajian Dauratul Hadith yang mengajarkan Kitab Hadis Enam (Sunan/Sihah Sittah) dan Kelas Takhassus dalam berbagai bidang (fiqh, tafsir atau hadis) yang tidak ada di negara Islam yang lain. Bangladesh juga mempunyai pengajian seperti itu. Pengajian ini telah lama berjalan di sana. Dan ilmu mereka diimpot dari Mekah juga oleh para ulama yang termasuk Shah Wliullah Ad Dahlawi.

Soalnya sekarang kenapa ulama/umat Islam Malaysia tidak boleh jadi seperti umat Islam India dan Pakistan? Sedangkan telah berpuluh ribu orang yang belajar di Mekah, Al Azhar dan universiti lain di tanah Arab. Kenapa umat Islam di sini tidak sudah-sudah berkiblatkan Mesir dan lain-lain negara Arab untuk pelajaran Islam, dan tidak mampu mewujudkan sistem pengajian sendiri yang setaraf dengan dunia Islam yang lain. Kenapa Bangladesh yang amat mundur ekonomi lebih baik daripada Malaysia dalam sistem pengajian Islam mereka. Di sana amat banyak madrasah tahfiz dan madrasah yang mengajar kitab Sunan Sittah dalam masa yang singkat sahaja.

Jawapannya ialah kerana ulama kita tidak mampu untuk mendirikan madrasah/universiti sehebat Nadwah dan Darul Ulum ataupun Buniriah dan madrasah-madrasah lain di Bangladesh. Ini jawapan yang paling tepat saya kira.

Kenapa mereka tidak mampu? Jawapannya mungkin seperti di bawah:

1. Mereka belajar untuk kerja dengan kerajaan dan mendapat gaji lumayan, dan mereka tidak berniat untuk memperbaiki sistem pengajian yang ada ke peringkat yang lebih baik. Kalau dah niat begitu dia tidak akan belajar sehingga alim, cukup lulus dan boleh kerja. Orang berilmu tahap ini memang tak mampu mengajar kitab Sunan.

2. Mereka tidak sanggup berkorban untuk agama. Kerana orang yang mengajar kitab Sunan terpaksa bekerja keras dan dan tidak punyai banyak masa lapang kerana perlu untuk memberikan huraian teperinci kepada para pelajarnya. Dia lebih berminat buat ceramah/forum yang memberikan pulangan lumayan. Atau pergi memburu rusa di Hutan Belum di Gerik. Ataupun main golf.


3. Ulama pakar yang belajar sehingga lebih dari lima belas tahun di Mekah pada zaman dahulu lebih suka buka pondok bersendirian dan menjadi guru berseorangan. Apabila dia meninggal dunia maka pondoknya pun turut mati. Sekiranya mereka berpakat membuka sebuah pondok yang mempunyai ramai pengajar sudah tentu masalah ini tidak berlaku. Sekiranya Al Azhar, Nadwah dan Darul Ulum mengikut cara orang Malaysia ini, maka universiti ini akan tingggal nama juga seperti kebanyakan pondok-pondok di Malaysia. Kerana usia madrasah yang tua akan menambah pengalaman para pengajarnya, pengalaman itu akan melahirkan kaedah pengajian yang tebaik.

4. Tiada sokongan daripada umat Islam yang lain. Di Malaysia umat Islam amat kedekut untuk memberI sumbangan kepada madrasah/pondok, walaupun institusi itu mengajar agama. Agama mereka sendiri. Berbeza dengan negara Arab dan India/Pakistan/Bangladesh. Sila baca artikel berkenaan dalam blog ini.


Inilah antara punca-punca sistem pengajian agama Malaysia tidak boleh berdiri setanding dengan negara-negara lain.

Namun amat disyukuri telah ada sebahagian umat Islam yang telah mendirikan madrasah yang mempunyai Dauratul Hadith dan mengajarkan kitab-kitab yang bermutu tinggi. Usaha ini wajib disokong oleh semua umat Islam di negara ini.

BOIKOT USTAZ-USTAZ TAMAK

SAYA pernah mendengar bahawa ahli-ahli panel Forum Ehwal Islam yang disiarkan di RTM1 menerima bayaran ribuan ringgit untuk setiap kali forum. Walaupun isi forum itu adalah terlalu ringkas dan tiada jauh bezanya daripada kuliah-kulian di masjid.

Saya juga pernah dengar ada ahli majilis fatwa negeri (bukan Pulau Pinang) yang meminta RM200 untuk setiap kali kuliah di sebuah masjid Seberang Perai.

Di daerah tersebut juga ada ustaz yang mendapat RM100 untuk setiap kali kuliahnya yang hanya sebulan sekali.

Saya pernah dengar ada ustaz di Gerik (daerah tercinta) yang berkata: saya terpaksa berhenti mengajar di surau ini kerana harga minyak naik dan dapat (duit) sikit sahaja dari surau ini.

Saya mendengar daripada seorang wartawan Utusan Malaysia yang bertugas di Seberang Perai bahawa dia pernah bertemu dengan seorang exco di Pulau Pinang yang berkata bahawa mereka telah jemu dengan perangai ustaz-ustaz yang meminta bayaran terlalu tinggi. Tapi mereka terpaksa memanggil juga ustaz yang berkenaan untuk meyempurnakan majlis atau program yang telah ditetapkan.

Seorang kawan saya yang pernah belajar di Pakistan berkata: suatau ketika orang-orang Russia pernah menghasut pendudk Cechnya dengan berkata: apa perlunya ulama, mereka hanya meminta duit daripada kamu sahaja.

Sekiranya seorang ustaz yang telah punyai kerja tetap dengan gaji yang cukup ataupun lebih, maka adalah amat buruk jika ia menyusahkan orangramai dengan meminta wang yang banyak setiap kali mengajar agama, buruk kerana ketamakannya. Sepatutnya wang yang banyak itu disumbangkan kepada fakir/miskin yang amat memerlukan. Sedangkan ustaz berkenaan hidup mewah dengan rumah dan kereta besar, perabot yang mahal-mahal dan harta-harta lain yang banyak. Manakala si fakir/miskin hidup dalam rumah yang yang boleh dipanggil reban ayam atau kandang kambing.

Mereka akan membuat berbagai alasan untuk mencantikkan sifat tamak mereka itu, dan mereka terlupa keadaan umat Islam yang semakin hanyut dalam arus dosa. Mereka biasa beralasan, jika kamu boleh beri wang yang banyak untuk membeli benda sia-sia, mengapa tidak boleh beri wang untuk kuliah agama.

Tidak salah menerima wang hasil dari mengajar agama, tapi dengan syarat bahawa ustaz berkenaan memang tidak punya wang yang cukup untuk sara hidup dan tidak meminta bayaran yang terlalu tinggi sehingga RM100/200 sekali kuliah. Mereka kena ingat bahawa agama bukan untuk didagangkan, tetapi sebagai amanah yang perlu dipikul dan disampaikan kepada orang lain. Jangan kiaskan diri mereka dengan tv atau radio atau penyanyi yang memang sia-sia apabila mengeluarkan duit untuk dibayar kepada mereka. Yang lebih buruk lagi apabila ada sebahagain ustaz yang enggan menerima jemputan ceramah/kuliah di mana-mana surau/masjid kerana bayaran yang murah dan membuat alasan; saya sibuk. Tapi bila AJK masjid/surau berkenaan up dua kali ganda ia akan menjawab: boleh semak jadual saya dulu.

Memang saya pernah mendengar rungutan dari AJK masjid yang serba salah kerana hasil masjid tidak cukup untuk dibayar kepada ustaz yang mata duitan itu. Si mata duitan ini pula bukannya alim sangat pun. Isi kuliah lebih banyak hikayat daripada ilmiah. Memang tidak layak mengajar tafsir ataupun kitab apa-apa pun. Yang lebih saya rasa menyampah ada ustaz yang bercerita kisah Siti Nurhaliza dan Ashwarya Rai dalam masjid ketika mengajar. Masjid ialah tempat cerita akhirat bukan tempat bercerita perkara-perkara batil. Tapi AJK masjid tidak terfikir pula nak pecat ustaz karut ini.

Sikap sebegini akan menyebabkan seluruh umat Islam membenci mereka dan akan semakin jauh dari agama.

Marilah kita BOIKOT USTAZ TAMAK! Ramai lagi ustaz-ustaz yang tidak mengenakan apa-apa bayaran pun di atas kuliah/ceramah mereka dan mereka ini lebih berilmu daripada para mata duitan tadi.

PENDIDIKAN ISLAM YANG SYUMUL

Orang ramai sering berkata: untuk menjadikan remaja orang baik-baik mereka mesti diberikan didikan agama yang cukup. Apakah maksud ‘cukup’ itu? Sehingga sekarang tidak ada takrif mengenainya.

Pada saya pendidikan agama yang cukup ialah: didikan mengenai halal dan haram disertai dengan mengetahui balasan pahala kerana melakukannya, dan azab kerana meninggalkan amalan wajib atau melakukan perbuatan haram.

Semua umat Islam tahu solat lima waktu adalah wajib; diberi pahala jika dilakukan dan akan di azab di akhirat kerana meninggalkannya. Tapi peratus yang meninggalkan solat adalah lebih ramai daripada yang mengerjakannya. Kenapa jadi begini? Jawapanya ialah kerana mereka hanya tahu wajib dan haram sahaja tapi tidak mengetahui balasan-balasan nikmat dan azab mengenai solat dengan lebih terperinci.

Begitu juga puasa, semua orang Islam tahu ianya wajib, tapi ramai yang tidak puasa dan sering berlumba lari dengan pegawai pencegah maksiat kerana diserbu ketika makan pada waktu siang. Ini adalah kerana mereka tidak tahu secara detail pahala dan balasan nikmat di syurga untuk orang yang berpuasa dan jahil azab yang akan menimpa mereka kerana meninggalkannya.

Semua orang Islam tahu zina adalah haram, tapi kerana mereka tidak tahu azab-azab yang menanti mereka samada di dunia, alam kubur atau di akhirat, sebab itulah makin ramai umat Islam di negara melakukan amalan dosa besar itu. Tidak kira tua ataupun muda setiap hari melakukan zina.

Ringkasnya, setiap amalan daripada wudhuk, mandi wajib dan lain dalam bab taharah; solat, zakat, puasa, haji; muamalat, munakahat dan jenayah, mesti diajarkan kepada semua umat Islam lengkap dengan fadhail dan inzar (amaran azab). Dengan ini barulah dipanggil ‘pendidikan agama yang cukup.’ Kerana syariat Allah yang termaktub dalam Al Quran dan As Sunnah datang lengkap dengan kaifiyat melakukan, disertai dengan janji balasan baik di dunia, alam kubur dan alam akhirat; dan janji azab kerana meninggalkan/mengabaikan amalan wajib dan melakukan perkara haram.

Lihatlah dalam wudhuk, ulamak telah menggariskan syarat dan rukun berdasarkan Al Quran dan Sunnah. Di samping itu Quran juga menyebut kebaikan (fadhail) yang akan diperoleh umat Islam yang mengambil wudhuk. Di dalam Sunnah dinyatakan azab-azab kerana mengabaikan wudhuk. Inilah pakej lengkap pendidikan Islam, yang boleh dipanggil: pendidikan yang cukup.

Cuma sekarang ini umat Islam di Malaysia (atau seluruh dunia?) tidak lagi mendapat pendidikan yang syumul ini. Sebabnya kerana para ulama mengabaikan cara ini. Sepatutnya kaedah tarbiah syariat ini dimulakan sejak tahun satu lagi di sekolah rendah sehingga ke peringkart universiti. Pondok-pondok dan sekolah agama rakyat (SMAR) pun tidak mengajar kitab khusus mengenainya. Ertinya kejahilan mengenai balasan nikmat dan azab telah berleluasa di dunia Islam. Ulamak hanya sibuk dengan fiqh dan falsafah dan terlupa mendidik umat. Ada yang mengejar dunia sehingga lupa peranan sebenar mereka. Jika ceramah/kuliah yang diadakan dikenakan bayaran beratus ringgit, memang terbukti mereka menjadikan agama sebagai alat mengejar kemewahan. Sepatutnya ulama/ustaz yang dah bergaji cukup tidak mengenakan apa-apa bayaran untuk penyampaian ilmu mereka. Mari kita boikot ulama/ustaz yang minta duit mengajar walaupun dah punya dapat gaji beribu ringgit dan melebihi daripada tahap cukup. BOIKOT USTAZ TAMAK! Punca kejatuhan Islam ialah ulama/ustaz yang tamak yang tidak menegakkan hukum Islam dan lebih suka mengampu menteri-menteri supaya mendapat habuan lumayan.

Saya cadangkan supaya buku-buku teks pendidkan Islam dari Tahun Satu hingga ke peringkat paling tinggi dimuatkan kaedah tarbiah ini. Pondok-pondok hendaklah menjadikan kitab yang berkaitan dengannya sebagai kitab wajib. Sebagaimana nahu dan sorof dijadikan m/pelajaran wajib. Di masjid/surau juga perlu dibacakan kitab yang mempunyai isi yang telah disebutkan tadi.

Antara kitab yang boleh dijadikan bahan rujukan untuk penulis buku teks, dan digunakan di pondok dan iniversiti ialah Az Zawajir karangan Syaikh Ibnu Hajar Al Haitami, Riyadhus Solihin oleh Imam Nawawi dan Ihya Ulumiddin tulisan Imam Al Ghazzali. Kitab terkini yang lebih lengkap ditulis oleh Syaikhul Hadis Maulana Muhamad Zakariyya bernama Fadhail A’mal. Di dalam kitab-kitab tersebut ditulis ayat Al Quran dan Hadis mengenai balasan-balasan baik dan azab-azab pada semua amalan.

Syarat dan rukun yang dipelajari akan membetulkan amal ibadat. Balasan baik yang diketahui akan melahirkan semangat untuk melakukan amalan dan harapan (ihtisab) terhadap nikmat yang dijanjikan. Balasan azab yang diketahui akan melahirkan rasa takut untuk melakukan maksiat. Inilah tarbiah lengkap.

Sepatutnya semua jamaah Islam menggunakan cara ini untuk menerapkan tarbiah islamiah kepada para ahlinya. Saya pernah mencadangkannya kepada sebahagian ahli sesetengah jamaah Islam di Gerik supaya kaedah ini pakai di dalam program usrah mereka, tapi dijawab ini adalah cara Tabligh. Ini adalah tanda kejahilan mereka yang berkenaan, kerana ia bukan cara Tabligh tapi cara Allah dan semua nabi-nabi. Apabila Al Quran dan hadis menceritakan fadhail bererti itulah cara yang dilakukan oleh Allah taala dan Nabi kita Muhammad saw. Semua nabi-nabi adalalah diutus untuk menceritakan fadhail dan untuk inzar (memberitahu ancaman azab)

Ada pemimpin sesetengah gerakan/jamaah Islam di negara ini pernah berkata bahawa mereka ingin melahirkan ahli/umat yang ‘ruhban fil lail wa fursan fin nahar’ (ahli ibadat pada waktu malam dan tangkas berjuang pada waktu siang). Sekiranya cara yang saya bentangkan ini tidak digunakan, maka apakah cara yang mereka boleh buktikan lebih berkesan.


والله أعلم

SUKATAN PELAJARAN SEKOLAH AGAMA

Pada pandangan saya sukatan pelajaran Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) amat baik dan tepat sebagai sukatan pertengahan untuk melahirkan insan berilmu agama. Mata pelajaran STAM amat lengkap, hanya satu subjek yang amat penting iaitu Usul Fiqh dicicirkan daripada sijil berkenaan padahal mata pelajaran ini diajarkan di Maahad Al Azhar, yang kitab STAM berasal dari sana. Ini telah menjadikan sijil ini pincang dan tidak lengkap. Ilmu Arudh pada saya tidak perlu diajarkan di sini, ia patut diganti dengan Usul Fiqh.

Dan kitab-kitab STAM juga tidak boleh sama sekali dijadikan bahan asas untuk mengajar Nahu dan Sorof. (para pengajar STAM sila ambil perhatian). Kerana ia ditulis khas untuk anak-anak Arab yang bertutur dengan bahasa tersebut. Apabila diajarkan kepada umat Melayu yang tidak tahu cara bercakap dengan bahasa tersebut maka berlakulah pembaziran tenaga dan masa.

Nahu dan Sorof adalah untuk memahami teks bahasa Arab dengan lebih jelas dan mendalam. Maka ia keduanya mesti dimulai dari peringkat paling asas. Tiada asas bererti tiada pertengahan dan peringkat tinggi, sebagaimana lemahnya asas adalah punca lemahnya pertengahan dan tahap tinggi. Kitab nahu dan sorof kelas Peralihan STAM bukan peringkat asas dengan nisbah orang Melayu. Apabila guru yang mengajarnya tidak berfikir panjang, terus saja mengajar kitab berkenaan, maka boleh dilihat berlaku kesilapan dalam sistem pendidikan Islam di Malaysia.

Umat Melayu wajib memulai belajar sorof dahulu dan dimulai dengan tasrif gantinama, iaitu yang dmulai dengan huwa- huma –hum, (ila akhirih.) Kemudian tasrif fe’el madhi, mudhari’ masdar, isim fai;, isim maful, fe’el amar, fe’el nahi, isim tempat dan masa hingga isim alat. Ini mesti dikuasai dulu, barulah dimulai dengan kitab setaraf matan Al Ajurrumiyyah.

Kalau cara seperti ini tidak dilaksanakan kepada umat Melayu saya tidak percaya mereka akan dapat membaca kitab Arab sampai bila-bila pun. Sila baca artikel lain dalam blog ini.

Saya pernah terbaca bahawa Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah berkata: (maksud lebih kurang) “sekolah Arab kena perbaiki bahasa Arab.” Ini menunjukkan bahawa sistem sekolah Arab Malaysia memang LEMAH.

Saya pernah mengajar tuisyen bahasa Arab kepada para pelajar di JKR Base Camp di Gerik, selama hampir sebulan, ketika cuti semester. Apabila saya bertanya kepada seorang pelajar perempuan yang ketika itu belajar di tingkatan tiga di sebuah sekolah agama yang masyhur di Baling, cuba buat ayat: ‘saya telah pergi ke Baling’ dalam bahasa Arab, dia menjawab: Ana zahab ila Balinj/g (yang betul: zahabtu). Saya amat terkejut, kerana sepatutnya ayat begini dia telah boleh membuat dengan betul pada bulan pertama persekolahannya, bukannya pada tahun ke tiga masih tidak betul.

Cara yang saya cadangkan ini, telah membolehkan para pelajar membaca teks Arab seawal tahun kedua. Teks yang dibaca bukannya ayat pendek seperti yang disebut oleh pelajar perempuan tadi, tapi ialah kitab Taudihun Nahwi kelas empat STAM, yang merupakan syarah Alfiyyah Ibni Malik. Kitab ini kemudiannya saya ajarkan mereka bersama Kitab Taudihus Sorfi sampai khatam keempat-empat jilid.

Pelajar yang saya maksudkan ini bukannya pelajar yang terlalu pintar, sederhana sahaja, tetapi kerana cara yang betul, kaedah yang diamalkan secara tradisi oleh pondok-pondok ini telah menunjukkan bukti yang terlalu cemerlang. Anda akan berasa taajub melihat pelajar yang berusia 17 tahun boleh membaca Taudihun Nahwi 99 % betul barisnya. Pelajar berkenaan juga mampu membaca kitab Al Iqna, sebaik itu juga.

Saya tidak percaya ada pelajar yang mampu membaca kitab-kitab STAM, dengan belajar dari kitab STAM sahaja.

Selepas STAM, pelajar yang lulus dengan ‘mumtaz’ akan melanjutkan pelajaran di al Azhar. Selepas mendapar ijazah Sarjana Muda, ramai yang akan balik, samada untuk cari makan ataupun menyambung master di university tempatan. Namun amat diharapkan mereka benar-benar mampu menguasai kitab-kitab Arab, sebelum melanjutkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Saya syorkan kepada lepasan Azhar yang ingin (dan sepatutnya) mendalami ilmu tafsir dan hadis, melanjutkan pelajaran mereka di pusat pengajian yang menghajarkan tafsir secara mendalam, yang membahaskan qaul aimmah dan segala yang berkaitan dengan tafsir. Dan juga yang mengajarkan Sunnan Sittah dengann cara perbahasan yang sama. Kalau belajar ilmu separuh jalan saja akan lebih bahaya daripada orang jahil. Mereka juga sepatutnya mendalami ilmu fiqh. Jangan berpuas hati dengan sijil yang ada sahaja.

Sekarang di Malaysia telah ada madrasah yang mengajarkan sunnan sittah dengan perbahasan mendalam, dalam tempoh yang singkat sahaja, tidak perlu berbelas tahun. Madrasah ini juga mengajar ilmu tafsir dengan cara yang sama. Cara ini telah mulai luput daripada pondok-pondok di Malaysia, dan tiada lagi pondok yang mengajarkan Sunan Enam ini dalam masa singkat.

Di Bukit Mertajam ada madrasah yang mengajarkan kitab Misykah (sebanyak 6 ribu hadis) dengan perbahasan Empat Mazhab dan segala aqwal imam dalam masa dua tahun sahaja. Kitab tafsir Jalalain juga selama dua tahun dengan cara yang sama. Ini menunjukkan kemajuan dalam Ilmu Islam di negara ini. Berbanding dengan sesetengah pondok yang mengajar kitab sahih Bukhari dan Muslim hingga berbelas tahun, dan kitab Jalalain lebih daripada tiga tahun walaupn kitab-kitab ini tidak dihuraikan secara mendalam.

Adalah satu perkara yang amat buruk apabila ada ustaz yang memegang ijazah, master atau PhD yang tidak tahu membaca kitab bahasa Arab. Lebih buruk lagi ada manusia yang tidak mahir fiqh (fekah), usul fiqh dan qawaid fiqhiyyah dilantik menjadi mufti.

Inilah masa menyusun kembali system ilmu Islam di negara ini. Ini hanyalah sebahagian cadangan awal.

Khamis, 23 Julai 2009

POLIGAMI

Di dalam kes poligami, kaum lelaki dan wanita masing-masing mempunyai salah faham. Salah faham lelaki ialah menganggap poligami sebagai satu sunnah penting, yang patut di amalkan oleh semua lelaki. Sebenarnya sebahagian ulama, seperti Syaikh Ibnu Hajar al Haitami, mengatakan tidak perlu bernikah lebih dari seorang melainkan jika ada keperluan yang jelas. Ramai orang Islam di negara ini menganggap poligami adalah berpahala besar dan amat baik dilakukan. Entah darimana fatwa ini diambil. Wanita pula bersalah kerana tidak boleh menerima poligami dan menentangnya seolah-olah satu dosa besar suami apabila beritahu nak kahwin seorang lagi. sehingga ada yang minta cerai, walaupun si isteri itu amat solehah, pakai purdah (tutup muka) lagi. Jika Allah telah membenarkan di dalam Al Quran, maka sepatutnya ia boleh diterima dengan hati yang terbuka. Saya takut penentangan mereka boleh merosakkan aqidah mereka: kerana menentang perkara yang halal.

Rabu, 22 Julai 2009

MASALAH ZAKAT

Pada setiap tahun pihak berkenaan dengan pengurusan zakat setiap negeri di seluruh negara akan mengumumkan jumlah kutipan zakat mereka. Jumlah wang zakat yang diperolehi memang banyak; berpuluh juta. Tapi kenapa masih ramai orang-orang miskin tegar yang diketahui dari akhbar, tv dan sebagainya.?

Saya pernah terbaca dalam sebuah majalah kisah seorang tua miskin yang telah berumur lebih daripada 80 tahun terpaksa bekerja dengan mencari tin-tin buruk untuk dijual dan hanya mendapat sekitar RM120 sebulan. Pusat zakat berkenaan hanya menyumbang sebanyak RM 137.40 sebulan. Apabila diminta peruntukan memperbaiki rumah, ditolak dengan alasan bahawa rumah orang tua itu didirikan di atas tanah yang tidak punyai geran. Maka hiduplah si tua itu dalam rumah yang bocor di sana sini.

Pada edisi lain saya membaca kisah seorang perempuan yang berusia lebih 60 tahun terpaksa menumpang di kilang orang lain sebagai tempat tinggal. Kerena kemiskinannya anak-anaknya tidak mendapat pendidikan sewajarnya.

Kalau disalim di sini segala kisah kemiskinan umat Islam maka laman blog akan jadi berpuluh jilid jika dijadikan buku.

Punca semua ini ialah samada zakat tidak diagihkan secara sebenarnya, sebaliknya wang zakat terbiar disimpan dalam bank, dan tidak semua fakir miskin diberikan wang berkenaan kerana pihak yang berkenaan malas mencari fakir miskin ke seluruh negeri terbabit. Pusat urus zakat hanya tahu berbangga dengan jumlah perolehan mereka, tapi amat tidak pandai membahagikan zakat kepada yang berhak menerima.

Punca lain ialah kerana wang zakat itu diselewengkan oleh pihak pengurusannya. Ini mungkin tidak berlaku, dan kita bersangka baik kepada mereka. Tapi sekiranya berlaku, sila bertaubat dan kembalikan wang yang telah dicuri sebelum ajal menjemput dan akan diazab dengan sepedih-pedihnya di neraka kelak.

Sebab lain ialah cara pengagihan zakat yang sangat tidak munasabah, contohnya seorang miskin hanya diberi RM137.40 sebulan. Dari manakah kaedah pembahagian ini diambil oleh pihak berkenaan? Hanya orang bodoh sahaja yang merasa wang sebanyak itu cukup untuk sebulan.

Menurut mazhab Imam Syafii, zakat yang diberikan kepada fakir miskin hendaklah mencukupi selama setahun. Pendapat lain dalam mazhab ini mengatakan bahawa diberi untuk cukup selama umur kebiasaannya (60 tahun) dan dengan wang itu fakir miskin boleh membeli perlatan untuk bekerja sendiri samada berniaga atau bertukang.

Sekiranya zakat diagihkan mengikut cara yang digariskan oleh para ulamak, dengan adil dan dan penuh kejujuran pastilah nasib orang miskin akan berubah. Setiap orang yang bekerja di mana-mana pusat urus zakat sama ada orang atas atau orang bawah wajib menunaikan amanah mengagihkan zakat. Orang yang memberikan zakat mengharapkan pahala dan agar zakat mereka sampai kepada orang yang berhak. Kalau tak mampu laksanakan dengan tugas baik cari kerja lain. Kalau teringin nak sapu duit orang lain kuatkanlah iman dan banyaklah bersabar, kalau tak mampu melawan keinginan tersebut, sila kerja di tempat lain. Sesiapa yang bekerja di sana tapi tidak menunaikan tanggungjawab dengan sempurna, maka ia telah menyebabkan orang miskin makin miskin, dan orang yang membayar zakat tidak mendapat pahala penuh kerana zakatnya tidak sampai kepada mereka,.ini adalah dosa besar yang mengundang azab berat di akhirat.

Telah banyak diketahui daripada akhbar dan lain-lain bagaimana orang yang berhak zakat tidak dilayan dengan sebaik-baiknya, malah pegawai yang bertugas terlalu cerewet dan banyak soal tapi akhirnya zakat tidak diberi juga. Akhirnya ada yang melakukan jenayah untuk memenuhi keperluan hidup seharian.

Penyelewengan lain ialah wang zakat dilaburkan pada tempat yang salah. Contohnya ia digunakan untuk didirikan bangunan kemudian bangunan itu disewakan dan wang hasilnya diberikan kepada faqir miskin. Ada penulis dahulu yang mengesyorkan cara ini. Cara ini adalah amat merugikan orang miskin. Kerana keuntungannya pelaburan tersebut belum tentu diperoleh dan sampai kepada orang miskin. Kenapa cadangan ‘bodoh’ ini disokong pula oleh orang yang juga tidak nertanggungjawab?

Kerana kelemahan pembahagaian zakat inilah ramai umat Islam yang tidak mahu memberikan zakat kepada pusat zakat, sebaliknya menghulurknnya terus kepada orang berhak. Tidak ada gunanya berkempen menyuruh umat Islam membayar zakat kepada pusat berkenaan sekiranya wang zakat tidak sampai kepada faqir/miskin.

Punca lain ialah ada orang-orang kaya yang tidak mahu membayar zakat. Mereka terus menjadi kaya, dan membiarkan si miskin terus miskin. Jenayah akan bertambah, dan akan menyusahkan orang kaya juga akhirnya.

Tidak perlu difikirkan pinjaman dengan skala kecil kepada orang susah, hanya uruskan zakat dengan adil, maka tidak akan timbul masalah ah long mendera peminjam. Kerajaan akan dianggap bijak dan amanah jika berjaya menyelesaikan masalah kemiskinan. Jangan hanya kecoh di akhbar nak basmi kemiskinan supaya rakyat pangkah dalam pilihanraya. Tunjukkan bukti bahawa para menteri memang bijak. Dan jangan sampai pembangkang menuduh menteri kurang cerdik dan tidak amanah.