Isnin, 18 Mac 2013

PASTI YANG TIDAK BEGITU PASTI



Muslimat PAS pernah meminta supaya gaji guru-guru PASTI dinaikkan. Permintaan ini adalah amat wajar kerana ada di antara mereka yang hanya menerima gaji sebanyak RM200.00 sebulan. Bagi guru yang berkhidmat di PASTI yang membayar gaji yang mencukupi (adakah yang mencukupi?) mereka patut bersyukur dan semakin bersemangat memberikan khidmat terbaik untuk mendidik anak-anak kita mengenal agama sejak kecil.

Bagi yang masih menerima hanya RM 200 sebulan, maka semua ahli PAS di kawasannya adalah dipertanggungjawabkan menaikkan gaji mereka untuk menikmati kehidupan yang selesa. Adalah amat jumud berkata mereka telah berkhidmat dengan ikhlas maka Allah telah mencukupkan mereka. Kerana itu ialah tugas guru untuk terus berkhidmat dengan ikhlas walau bergaji 200 sebulan. Tapi kewajipan orang lain  ialah membantu mereka yang di dalam kesusahan. Tidakkah gaji RM 200 itu memang gaji orang susah?

Setiap pihak mesti bertindak mengikut tugas dan tanggungjawab masing-masing. Tidak menaikkan gaji dan menyuruh pekerja zuhud dan ikhlas ialah tindakan di luar bidang tugas masing-masing. Tugas pekerja ialah memberikan khidmat terbaik, dan tugas majikan ialah memberikan upah yang terbaik.

Adalah menghairankan di sebuah kawasan yang mempunyai ahli yang begitu ramai, misalnya di Gerik, setahu saya yang mengundi PAS pada PRU 12 ialah hampir seramai 7 ribu orang. Jadi kalau sesebuah kawasan guru PASTInya masih menerima gaji RM200. bermakna ahli-ahli PAS sangat lemah dalam menyumbang kepada PASTI.

Kalau setiap ahli meyumbang RM5 sebulan secara tetap maka PASTI di kawasan yang punya ahli seramai 7 ribu akan mempunyai pendapatan sebanyak RM 35,000.00, dan kalau RM10 ia akan memperoleh sebanyak RM70,000.00. sekiranya di sana mempunyai 5 buah pasti maka setiap satunya memperoleh RM7000.00 ke RM 14,000.00.

Sekiranya setiap PASTI mempunyai 5 orang guru mereka akan mendapat gaji RM 1,400.00 sebulan. Dan yang kawasan yang menyumbang RM10 gurunya boleh dibayar sehingga RM2,800.00 sebulan. Bersama itu PASTI boleh mengenakn yuran yang rendah kerana mempunyai pendapatan yang mencukupi. Mungkin mereka tidak perlu dibayar sehinga RM2,800. 00, wang serlebihnya boleh digunakan untuk membeli alat bantu mengajar, atau lebih baik lagi memberikan pendidikan PASTI percuma!

Apakah RM5-10 ringgit terlalu banyak untuk seorang manusia yang mengaku sebagai pejuang Islam yang bercita2 untuk menegakkan sistem Islam di negara ini? Tidak, malah terlalu ramai yang mampu menyumbang sehingga RM 20-50 sebulan. Jangan hanya garang bertakbir dan menghentam musuh politik, tapi apabila diminta menyumbang kepada pusat pengajian pra sekolah yang terbaik kita berikan seribu alasan yang kelihatan macam amat cerdik, tetapi sebaliknya adalah amat bodoh dan jahil.

Dan tidak perlu menyalahkan kerajaan sekiranya ia tidak memberi peruntukan, tetapi pernahkan kita bertanya: apakah yang telah aku berikan untuk memajukan PASTI.

Pemerintah yang tidak memberikan peruntukan mungkin bersalah, apakah kita yang amat kedekut untuk menyumbang walaupun sesedikit RM5 tidak bersalah? Apabila kerajaan menarik atau gagal memberi bantuan, maka inilah masanya kita untuk mendapat pahala. Sebab kalau semuanya kerajaan beri maka semua kita akan terlepas pandang masalah-msalah dalam PASTI, dan terlepas untuk buat pahala di sana.

PASTI adalah tadika yang terbaik yang kita ada buat masa ini, maka ia perlu, malah wajib diperkasakan. Antara caranya ialah dengan memberikan pendapatan yang cukup kepada guru2 supaya dengannya mereka dapat memberikan tumpuan yang lebih baik dan lebih bertenaga, dan tidak perlu mencari kerja lain yang akan meyebabkan mereka menjadi tidak bermaya kerana memikul dua tugas sekaligus. Dengan suasana kehidupan sekarang, gaji sebanyak RM 1000 belum tentu mencukupi.

Ada madrasah yang telah begitu maju kerana mampu menyara makan minum, bil elektrik, bil air, sewa rumah dan kadang-kadang memberi elaun memperbaiki kenderaan kepada guru-gurunya, walaupun tidak pernah menerima sesen pun dari kerajaan. Ini adalah kerana orang-orang sekeliling mereka telah dijadikan mempunyai semangat infaq yang tinggi yang tidak pernah berkata ‘para ustaz kena zuhud dan ikhlas walaupun bergaji RM600.00.'




Jumaat, 25 Januari 2013

ADAB TIDUR JEMAAH TABLIGH: BIDAAH ATAU SUNNAH?

Ada dua adab tidur yang didebut dalam kitab Ihya Ulumiddin (1/521, Maktabah Tauqifiyah)

Pertama: menghadap kiblat sebagaimana orang yang hampir mati, iaitu tidur terlentang dan muka dan tapak kakinya menghadap kiblat.

Kedua: Menghadap kiblat seperti mayat di dalam lahad, iaitu berbaring di atas rusuk/lambung kanan dan muka bersama bahagian hadapan badan menghadap ke arah kiblat.

DALIL DUA ADAB TIDUR TERSEBUT

Dalil Pertama:


Di dalam Ihya, Imam Ghazali tidak mengemukakan dalil bagi adab-adab tersebut. Ia hanya dibawa oleh Syaikh Az Zabidi, pengarang Ithafu Sadatil Muttaqin syarah Ihya Ulumiddin 5/161, dengan katanya bahawa sesungguhnya majlis yang paling mulia ialah yang dihadapkan ke kiblat, sebagaimana yang datang dalam hadis, tanpa menyebut perawi dan takhrij.

Setelah meneliti saya dapati hadis itu adalah riwayat Tabroni dengan lafaz bermaksud:

“Setiap sesuatu mempunyai penghulu/ ketuanya, dan ketua majlis-majlis  ialah yang dihadap ke  kiblat.”

Hadis hasan (Sakhawi, Maqasid Hasanah 77, Darul Kutub Ilmiyyah, 1979)

Hadis ini umum untuk kedua-dua adab tersebut. Hadis-hadis berikut adalah khusus untuk adab yang kedua – menghadap kiblat dengan berbaring di atas rusuk kanan.


Dalil Kedua:

Diriwayatkan oleh Abu Qilabah  seorang daripada keluarga Ummu Salamah “Adalah hamparan tidur Rasulullah seperti apa yang diletakkan  manusia (mayat) di dalam kuburnya, dan adalah masjid di arah kepalanya. (Sunan Abi Daud, no 5044, Bab Bagaimana Menghadap Ketika Tidur) di dalam Misykat no 4717.

Kata Al Hafiz Ibnu Hajar hadis ini mursal hasan. (Al Matalib al Aliah, 11/491). Pentahqiq mengghukum hadis ini doif kerana tidak diketahui dari siapa Abu Qilabah meriwayatkannya.

Maulana Yahya telah menulis di dalam taqrir, bahawa maksud masjid ialah Masjid Nabawi. Ayat ‘seperti diletakkan manusia dalam kuburnya’ itu menunjukkan keadaan tidur baginda yang menghadap kiblat di atas rusuk kanannya. (Bazlul Majhud, 19/281l, Darul Kutub Ilmiyyah)

Pengarang Aunul Ma’bud berkata: di atas keadaan manusia diletakkan di dalam kubur, sebagaimana pandangan pengarang Fathul Wadud. (13/387)

Di dalam Jamius Soghir (hadis no 6840) diriwayatkan dengan ayat bermakna: “adalah hamparannya seperti yang diletakkan untuk manusia dalam kuburnya” kata Mulla Ali Qari ini adalah jelas.

Al Allamah Munawi menghuraikan: sesungguhnya telah diletakkan di dalam kubur baginda sehelai qatifah (selimut) berwarna merah., dan hamparan tidurnya adalah sepertin itu juga. (Faidhul Qadir, 6/172, Darul Fikr)

Di dalam Misykat pula diriwayatkan dengan makna: “adalah firasy baginda, seperti yang diletakkan dalam kuburnya.”

Kata Mulla Ali Qari: adalah hamparan tidur Nabi hampir sama dengan yang diletakkan dalam kuburnya.

Kata Mulla Ali Qari: didalam satu naskhah kitab Misykat, dibaca dengan masjad (bukan masjid) itu bermakna sejadahnya atau hamparan solatnya berada di hujung kepalanya.

Kata pengarang Aunul Ma’bud: Lafaz Abu Daud, dan pandangan pengarang Fathul Wadud (tidur mengahdap kiblat) lebih sesuai dengan tabwib (membuat bab) oleh Abu Daud.

Kata Al Munziri, tidak diketahui apakah perawi dari kalangan keluarga Ummu Salamah itu sahabat ataupun tidak.

Di dalam Sunan  Ibni Majah, hadis no 1628, dinyatakan bahawa diambil sehelai selimut yang Rasululah selalu mamakainya dan diletakkan di dalam kubur bersama Rasulullah (selawat dan salam ke atas baginda)

Dalil ketiga:

Sabda Rasulullah (selawat dan salam ke atas baginda) ertinya: apabila kamu akan tidur maka berwudhuklah seperti wudhuk untuk solat, kemudian berbaringlah atas rusuk kananmu..”
Sahih Al Bukhari, no (247), dan Muslim.

Dalil Keempat.

Adalah Rasulullah (selawat dan salam untuk baginda) apabila berada di atas hamparannya, tidur ia di atas rusuk kanannya. (Bukhari, no 6315)


Dari keterangan di atas jelas bahawa adab yang mempunyai dalil yang kuat ialah tidur di atas rusuk kanan kerana ia perintah dan perbuatan Rasulullah (selawat dan salam ke atas baginda). Adapun menghadap kiblat ketika tidur tidak ada dalil yang dikemukakan dalam kitab-kitab yang pernah saya temui. Kalau sesiapa menemui hadis sahih sila nyatakan sumbernya.

Apabila sabit dengan hadis sahih bahawa baginda tidur di atas rusuk kanan, ertinya itulah adab tidur YANG SEBENARNYA. Tetapi tidak ada riwayat yang sahih mengatakan bahwa Rasulullah tidur menghadap kiblat. Hadis Abu Daud tersebut adalah mursal sebagaimana yang dinyatakan oleh Al Hafiz. Hanya yang ada ialah berpegang dengan umum hadis Tabaroni bahawa arah terbaik ialah kiblat.

Kerana telah sabit dalam hadis sahih adab tidur ialah di atas rusuk kanan, dikumpulkan bersama hadis umum arah kiblat, maka ada tidur yang sebenarnya ialah tidur di atas rusuk kanan dengan menghadap kiblat.

Saya sebenanrya merasa agak musykil untuk menentapkan adab tidur meghadap kilat kerana tidak ada hadis sahih. Kerana tempoh Rasulullah berada di Madinah adalah sepuluh tahun, kalau benar baginda tidur menghadap kiblat, mustahil tidak ada satu hadis sahih pun mengenainya.

Adab yang pertama iaitu menghadap kiblat dengan cara menjulurkan kaki dan menghadapkan muka ke arah kiblat, adalah berlawanan dengan dalil-dalil yang dinyatakan tadi. Dalil yang sahih ialah dengan mengiring di atas lambung kanan, maka tidur terlentang adakah berlawanan dengannya.

ADAB TIDUR JEMAAH TABLIGH


Adab tidur yang diamalkan oleh Jamaah Tabligh pula ialah kepala menghadap kiblat dan kaki ke timur (kalau di Malaysia). Ertinya kaki tidak boleh dilunjurkan kearah kiblat. Adab ini adalah berdasarkan Mazhab Hanafi yang ulama’nya menganggap tidak bersopan melunjurkan kaki kea rah kiblat. Malah ada yang berpendapat makruh atau haram.

Tersebut di dalam kitab Raddul Mukhtar ala Durrul Mukhtar, karya Ibnu Abidin, 2/427: (cetakan Darul Alam Kutub, tahun 2003)

“Makruh tahrim menghadap kiblat dengan kemaluan walaupun di dalam tandas, begitu juga membelakangkan kiblat, menurut qaul yang lebih tepat, sebagaimana dimakruhkan orang yang telah baligh memegang kanak-kanak menghadap kiblat ketika kencing; dan dimakruhkan juga melunjurkan kaki dengan sengaja ke arah kiblat, ketika tidur dan selainnya, kerana itu adab yang buruk, sebagaimana dikata oleh Mulla Nakir.”

Dalam kitab Fathul Qadir karya Ibnu Humam 1/298:

“Mereka (ulama Hanafiyyah)  berkata: dimakruhkan melunjurkan kaki ke arah kiblat..”

Makruh tahrim ialah perkara haram yang diambil daripada dalil zonni bukan qat’iyy. Antara dalil zonni ialah hadis ahad. Zonni bermaksud dalil tersebut diriwayatkan oleh sejumlah perawi yang tidak sampi taraf mutawatir. Dalil qat’iyy ialah Al Quran dan hadis mutawatir, kedua-duanya dipanggil dalil qat’iyy kerana ianya diyakini kebenarannya seratus peratus tanpa sedikit keraguan pun.

Saya menerangkan makruh tahrim kerana ia adalah istilah ulama Mazhab Hanafi, dan penganut mazhab lain mungkin tidak mengetahuinya khususnya orang awam di negara ini. Perkara ini penting kerana ada juga ustaz-ustaz yang tidak memahaminya dan berkata ia adalah makruh yang dekat kepada haram. Malah ada juga ahli majlis fatwa yang berkata begini, di dalam radio.

Di dalam sebahagian kitab fiqh Syafie juga digunakan istilah ini tapi dengan takrif: ianya adalah perkara haram yang sabit dengan dalil yang boleh ditakwilkan.


TUDUHAN ORANG YANG MEMBIDAAHKAN ADAB TIDUR TERSEBUT

Ada penulis blog telah menghukum JT telah melakukan bidaah kerana tidur seperti itu. Dan ia berkata adab tidur yang sebenarnya ialah seperti yang dinyatakan oleh Imam al Ghazzali dalam Ihya Ulumiddin, Syaikh Nawawi Banteni dalam Maraqil Ubudiyah dan Syaikh Abdus Somad al Palimbani dan Sairus Salikin, sebagaiman yang sanya nyatakan tadi.

Setahu saya kitab Maraqi dan Sairus Salikin hanya menukil daripada Ihya. Ertinya adab tidur seperti ini adalah fatwa Imam Al Ghzzali. Kata penulis blog tersebut:

…Di sini, dapatlah difahami bahawa Adab Tidur yang sebenar ialah muka kita, dada kita dan kedua tapak kaki kita mestilah menghadap ke arah Qiblat.

(dipetik daripada blog tersebut) http://jamaluddinab.blogspot.com/2011/02/taubat-si-jemaah-tabligh-1-adab-tidur.html

Kenyataan penulis blog yang mengatakan bahawa itulah adab tidur yang sebenar menimbulkan isykal, kerana ukuran kebenaran ialah dalil, sedangkan Imam al Ghazzali tidak  menyebutkan satu dalil pun bagi adab tidur tersebut.

Isykal yang saya sebutkan ialah keadaan tidur yang dianggap menghadap kiblat sedangkang menghadap (istiqbal) hanya akan berlaku dengan dada dan muka. Sedangkan pada masa tidur terlentang dada menghadap ke atas, dan muka juga akan menghadap ke atas, kecuali jika menggunakan bantal yang agak tinggi barulah mukanya akan menghadap ke hadapan (atau kiblat).

Penulis lain pula berkata:

“Di antara sunnah-sunnah tidur, hendaknya seseorang itu menghadap kiblat dalam tidurnya. (Shahih al Bukhari hadits (247 dan 1117), HR. Abu Dawud ( 5045), At Tirmidzi (3395), Ibnu Majah ( 3877) dan Ibnu Hibban ( 2350))”

Saya telah melihat kesemua hadis yang dinyatakan tapi sayangnya tidak ada satu pun hadis yang tersebut nombor itu menunjukkan bahawa Rasulullah tidur menghadap kiblat, yang sahih ialah baginda tidur di atas rusuk kanan. Dan ini memang jelas dari hadis-hadis tersebut. Tapi menghadap ke mana tidak dinyatakan sama sekali.

Hadis Bukhari 247:

Sabda Rasulullah (selawat dan salam ke atas baginda) ertinya: apabila kamu akan tidur maka berwudhuklah seperti wudhuk untuk solat, kemudian berbaringlah atas rusuk kananmu..”
Tidak ada kena mengena dengan menghadap kiblat.

Hadis Bukhari, no 1117:

Dari Imran bin Husain, dia berkata, saya terkena sakit buasir, maka saya bertanya Rasulullah mengenai cara solat bersamanya. Jawab baginda: “solatlah berdiri, jika tak mampu, dalam keadaan duduk, jika tak mampu berbaringlah atas rusuk (lambung).
Hadis ini  tidak ada  kena mengena dengan adab tidur.

Dalam hadis ini juga tidak dinyatakan atas rusuk kiri atau kanan. Cuma hadis ini dijelaskan oleh hadis Tabroni yang bernaksud: di atas rusuk kanan, menghadap kiblat dengan mukanya. (Fathul Bari, 2/685,)
Hadis Abu Daud (5045), At Tirmizi, (3395), dan Ibnu majah (3877) adalah sama dengan hadis Bukhari  di atas)

Hadis Ibnu Hibban pula saya tak menemuinya dengan nombor seoperti di atas, barangkali sama dengan yang dalam kitab yang ada pada saya ialah 5522, jilid 12/ ms 330, dengan maksud:
“adalah Rasulullah (selawat dan salam ke atasa bginda selama-lamanya) apabila ia mengambil hamparan tidurnya, ia meletakkan tangan kanannya di bawah pipi kanannya..”


 BIDAAHKAH CARA TIDUR JEMAAH TABLIGH

Ramai pembaca yang taqlid buta dengan penulis blog yang membidaahkan adab tidur ini. Dan seperti biasa ia dijadikan senjata untuk memaki hamun orang-rang yang tidak bersalah ini. Merek menuduh JT tidak mempunyai dalil dan berhujah dengan air liur sahaja, tapi sebebenarnya merekalah yang berhujah dengan air liur. Malah air liur basi rupanya.


APAKAH BIDAAH?


Bidaah secara ringkasnya ialah ibadat yang direka-reka yang tidak mempunyai dalil. Ia dilakukan atas maksud mendapat pahala.

Dengan takrif ini, menghukum JT melakukan bidaah dengan adab tidur tersebut adalah amat tidak adil. Kerana ada tidur tersebut dilakukan atas fatwa ulama yang menganggap tidak beradab menghulurkan kai ke arah kiblat. Dan fatwa ini masih mempunya dalil, antaranya ialah ayat al Quran:

“Begitulah, dan sesiapa yang membesarkan tanda-tanda (sya’air) kebesaran Allah maka itu adalah dari ketaqwaan di dalam hati.” Hajj 32.

Dia dalam tafsir Qurtubi, 14/388, dinyatakan maksud sya’air ialah segala tanda-tanda agama Allah lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan ibadat haji. (cetakan Muassasah Risalah, 2006)

Jadi sekiranya orang Tabligh tidak mahu melunjurkan kaki kerana menghormati Kaabah maka mereka telah melakukan sesuatu yang mempunyai asas dalam al Quran, oleh itu ia bukan bidaah.

Hadis:

Sabda Rasulullah kepada Wabisah: “mintalah fatwa kepada hatimu, kebaikan itu adalah perkara yang jiwa merasa lapang, dan hati merasa tenang, dosa pula ialah perkara yang gelisah di dalam hati dan dada, meskipun orang ramai telah berfatwa kepada kamu.”

Riyadussaolihin 202 (Riawayat Ahmad dan Darimi)

Jadi apabila hati merasa gelisah kerana melunjurkan kaki ke arah kiblat maka  wajar ditinggalkan, ditakuti ia membawa dosa.

Dalil seterusnya ialah hadis Tabaroni di atas yang disebut tadi:

“Setiap sesuatu mempunyai ketuanya, dan ketua majlis-majlis  ialah yang dihadap ke kiblat.”

Apabila disebut arah yang paling mulia, maka sudah pasti tidak bersopan melunjurkan kaki ke arahnya.

Jadi sekurang-kurangnya amalan JT tersebut masih ada dalilnya, oleh kerana itu ia bukanlah bidaah dolalalah sebagaimana yang dituduh oleh orang ramai kepada mereka kerana berdasarkan tulisan/blog dengan hujah yang sangat lemah itu.

Berbalik kepada adab tidur yang bentangkan oleh penulis blog tadi, maka dakwaannya bahawa itulah adab yang benar juga tidak boleh diterima sepenuhnya kerana ia tidak berdasarkan dalil yang sahih dan sarih. Sekurang-kurang ia boleh diterima kerana itu adalah fatwa daripada Imam Ghazzali kerana melihat kepada taraf ilmunya yang tinggi. Tapi dari segi dalil, ia masih ada sedikit masalah. Kerana yang sabit dari satu hadis sahih ialah Rasulullah tidur dia atas rusuk kanan, dan dari umum hadis hasan yang lain ialah menghadap kiblat.

Manakala tidur terlentang dengan kaki ke arah kiblat tidak mempunyai dalil.

Kesimpulannya adab tidur yang mengikut sunnah ialah yang tidur mengiring di atas rusuk kanan, dan berdasarkan umum hadis, menghadap kiblat. Sedangkan yang dengan terlentang dan melunjurkan kaki ke arah kiblat tidak mempunyai dalil, juga tidak dipanggil menghadap sepenuhnya.

Dalam keadaan melunjurkan kaki kearah kiblat berlawanan dengan adab menghormatinya sebagaimana padangan Mazhab Hanafiyah, sedangkan ia tidak mempunyai dalil yang jelas, maka tidak salah kalau mereka tidur menghadapkan kepala ke kiblat.

Mungkin timbul soalan kalau begitu kenapa mereka tidak tidur di atas rusuk kanan menghadap kiblat sedang ia mempunyai dalil umum tersebut dari riwayat Tabaroni?

 Jawapan:

Sebenarnya memang ada orang JT yang tidur begitu. Tapi apabila di dalam perhimpunan besar yang dihadiri ramai orang adab tidur begini tidak dapat dilakukan kerana perlukan ruang di dalam saf untuk solat thajjud, membaca al Quran, berzikir dan sebagainya. Kerana biasanya mereka akan solat tahajjud di atas hamparan tidur masing-masing jadi. Apabila hamparan  dihampar melintang kerana tidur mengiring ke arah kiblat,  ia perlu lagi diubah ke arah kiblat ketika solat, ini akan menimbuakan kesulitan. Jadi adab yang diamalkan ketika ini ialah kepala ke arah kiblat dan mengiring di atas rusuk kanan.

 PERINGATAN KEPADA ORANG AWAM

Haram kepada orang awam bercakap mengenai hukum hakam jika tidak mempunyai ilmu yang secukupnya. Amat salah jika menemui apa-apa kenyataan /statement di mana-aman sahaja, kemudian dijadikan hujjah tanpa mengetahui asalnya.

Pada masa ini orang-orang jahil merasa cukup berilmu dan faham hukum hakam walaupun baru membaca 2-3 buah buku agama, malah sampai mempertikaikan fatwa mufti dan ulama yang mempunyai dalil dan alasan yang baik, lebih-lebih lagi kalau ia berlawanan dengan nafsu dan kecenderungannya.

Pembaca blog akan share sesuka hati apa sahaja isi blog, kemudian berhujah dan menyesat dan membidaahkan orang lain.

Kepada penulis blog, silat buat rujukan tepat sebelum menyiarkan mana-mana hadis atau ayat Al Quran, supaya tida berlaku penipuan tanpa sengaja. Setiap rujukan perlu kepada nama buku dan nombor halaman. Kata ulama: sanad ialah sebahagian daripada agama, tanpa sanad orang akan berkata apa saja yang ia mahu. Dengan merujuk kepada kitab, sekurang-kurangnya orang lain boleh menilai kebenaran isi yang disampaikan.

Kepada sesiapa yang mempunyai apa saja dalil tambahan berkenaan dengan adab tidur, sila nyatakan di dalam komen tuan-tuan, dan jika ada kesalahan dalam artikel ini sila betulkan.

Allah lebih mengetahui perkara sebenar.