Rabu, 30 Disember 2009

AMALAN MEMURAHKAN REZEKI

Setiap orang yang mempunyai perasaan akan rasa kasihan kepada orang-orang miskin. Apatah lagi setelah melihat keadaan tempat tinggal mereka yang kadang-kadang lebih buruk daripada reban ayam, dan mengetahui keadaan hidup mereka yang tidak punya makanan yang cukup dan anak-anak mereka yang tidak dapat meneruskan persekolahan kerana kemiskinan.

Di sini bukan tempat untuk membuat rayuan kepada orang orang kaya supaya memberikan zakat yang mencukupi untuk keperluan mereka seperti yang telah saya jelaskan dalam atikel mengenai zakat sebelum ini. Sebaliknya ruangan ini ingin berkongsi ilmu dan maklumat mengenai amalan-amalan yang boleh dijadikan sebagai sebab untuk memurahkan rezeki khususnya kepada orang-orang miskin supaya dapat berusaha keluar daripada penjara kefakiran.

Allah telah menurunkan agama yang lengkap sebagai penyelamat manusia dan membawa kebahagiaan kepada mereka di dunia dan ahkirat. Di dalam Al Quran dan Hadis terdapat banyak nas-nas yang menyatakan bahawa amal ibadat adalah penyelamat manusia daripada segala kesusahan termasuk kemiskinan. Maka cara yang terbaik bagi para penyumbang bantuan kepada fakir miskin ialah memberi wang beserta dengan mengajar amalan berkenaan.



TAQWA DAN TAWAKKAL

Antara amalan yang boleh menambah rezeki ialah taqwa. Ini dinyatakan oleh Allah taala dalam surah at Talaq, ayat 2-3: ertinya:

“Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan menjadikan untuknya jalan keluar (dari kesusahan), dan memberikan rezeki kepadanya dari tempat yang ia tidak sangka, dan sesiapa yang bertawakkal kepada Allah maka Ia mencukupi untuknya, sesungguhnya Allah akan melaksanakan segala kehendaknya..”

Maksud ‘jalan keluar’:

Kata Ibnu Abbas “jalan keluar” bermaksud: Allah akan menyelamatkannya dari kesusahan di dunia dan akhirat.
Kata Rabi’: keluar dari segala kesempitan yang menimpa manusia,
Kata Qatadah: dari segala perkara yang meragukan dan kesusahan ketika kematian dan ketakutan hari kiamat. Maka lazimkanlah taqwa kepada Allah kerana darinya datang rezeki dari Allah di dunia dan pahala di akhirat. Dan maksud “dari tempat yang tidak disangka” ialah dari tempat yang ia tidak harapkan.

Sabda Nabi Muhamad, ertinya: “Sesungguhnya seorang hamba diharamkan (dihalang) daripada rezeki sebab dosa yang dilakukannya.” (Ahmad, Nasaie, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Al Hakim, hadis sahih)

“Jauhilah zina kerana terdapat empat keburukan padanya: menghilangkan seri wajah, memutuskan rezeki, membuatkan Ar Rahman (Allah) murka, dan kekal di dalam neraka.” (Tabrani, Ibnu Adi, dhaif)

“Zina mewariskan kefakiran” (Al Qudhaie, Baihaqi, daif)

“Berbuat baik kepada ibu bapa menambah panjang umur, dan berdusta mengurangkan rezeki.” (Abu Syaikh)

“Sekiranya kamu bertawakkal ke atas Allah sebenar-benar tawakkal Ia akan berikan kamu rezeki seperti mana ia berikan rezeki kepada burung: pada waktu pagi perutnya kosong dan kembali pada waktu petang dengan perutnya penuh kekenyangan” (Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah, Hakim. Kata Tirmizi hasan sahih, kata Hakim sahih dan Zahabi mengakuinya)

“Sesiapa suka menjadi orang yang paling kuat hendaklah ia bertawakkal kepada Allah” (Ibnu Abid Dunya, hasan)


MENUNTUT ILMU

“Nabi Sulaiman diberi pilihan antara harta, kerajaan dan ilmu, maka ia memilih ilmu, maka diberikan kepadanya kerajaan dan harta kerana memilih ilmu.” (Ibnu Asakir, dhaif)

Ilmu yang dipilih oleh Nabi Sulaiman ialah ilmu mengenali Allah dan hukum-hukam-Nya.


“Sesiapa yang menuntut ilmu Allah akan menjamin rezekinya” (Khatib, dhaif)


SOLAT

Firman allah taalaa dalam surah Toha, ayat 132, ertinya:

“Dan perintahkanlah ahlimu mengerjakan solat dan bersabarlah melakukannya, kami tidak minta rezeki darimu, Kami (Allah) yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat yang baik (di dunia dan akhirat) adalah untuk orang yang taqwa.”

Kata Ibnu Kathir: apabila kamu mendirikan solat , akan datang rezeki kepadamu dari tempat yang kamu tidak sangka, seperti yang Allah firmankan: “dan sesiapa bertaqwa kepada Allah, Dia akan menjadikan untuknya jalan keluar, dan memberinya rezeki dari tempat yang ia tidak sangka” (At Talaq). Sebab itulah Allah berfirman: “Kami tidak meminta rezeki darimu..” Kata Thauri: Kami tidak membebankan kamu mencari rezeki.

Kata Ibnu Abi Hatim dari Thabit: Adalah Nabi Muhammad, selawat dan salam Allah ke atasnya selama-selamanya, apabila ditimpa kesusahan, ia kan memanggil keluarganya dan bersabda: wahai keluargaku, solatlah. Kata Thabit: adalah para nabi apabila berlaku sesuatu perkara susah akan segera melakukan solat.

Sabda Nabi Muhammad selawat dan salam ke atasnya, semoga Allah menambahkah cinta kita kepadanya, ertinya: Allah taala berfirman: Wahai anak Adam lapangkanlah masa untuk menyembah-Ku (beribadat), nescaya Aku akan penuhkan dadamu dengan kaya dan aku tutupkan kefakiranmu, dan jika kamu tidak lakukan, aku akan penuhkan dadamu dengan kesibukan dan Aku tidak tutup kemiskinanmu. (Riwayat Termizi dan Ibnu majah dari Abu Hurairah, hadis hasan.)


BERSIFAT AMANAH

“Amanah menarik (memberi) rezeki, khianat menarik kefakiran.” (Dailami, hasan)


ISTIGHFAR

Allah taala berfirman dalam surah Hud, ayat 52, ertinya:

“(Nabi Hud berkata: wahai kaumku, minta ampun kepada tuhanmu dan bertaubatlah kepada-Nya, nescaya ia akan menghantar kepada kamu air hujan yang lebat dan menambahkan kekuatan kamu, dan jangan kamu kembali menjadi orang-orang yang berdosa.”

Air ialah punca bagi segala kemudahan dan akan menyuburkan tanaman yang menjadi sumber makanan.

Sabda Nabi, selawat dan salam ke atasnya, ertinya: “sesiapa yang sentiasa beristighfar Allah akan menjadikan kemudahan bagi kesusahannya, dan jalan keluar dari segala kesempitan, dan memberinya rezeki dari tempat yang ia tidak sangka.” (Abu Daud, Nasaie, dhaif)

MEMBACA AL QURAN

Sabda Nabi selawat dan salam ke atasnya, ertinya: “surah Al Waqiah adalah surah kekayaan, maka bacalah ia dan ajarkanlah anak-anak kamu membacanya.” (Ibnu Mardawaih)

Ajarkanlah ister-isteri kamu surah Al Waqiah kerana ia adalah surah kekayaan. (Dailami)

Walaupun hadis-hadis mengenai fadhilat surah Al Waqi’ah adalah dhaif kesemuanya, namun pengalaman-pengalaman yang pernah dialami oleh ramai umat Islam menunjukkan bahawa surah ini terbukti sebagai sebab kepada kemurahan rezeki kepada pembacanya.

Saya pernah diceritakan oleh kawan saya bahawa kawannya ketika berada di UK, setelah habis pengajiannya dan ingin pulang ke Malaysia, tetapi tidak ada wang yang cukup untuk membeli tiket. Dia telah bertemu seorang ustaz yang mencadangkannya membaca surah ini sebanyak 40 kali. Setelah melakukan apa yang dicadangkan, ada seorang lelaki yang tidak dikenali telah datang memberinya duit (ataupun tiket, saya terlupa mana satu yang sebenarnya.)

Seorang sahabat saya yang lain memberitahu kawannya telah membaca surah ini dengan niat supaya mudah baginya membeli motosikal, setelah membacanya dia akhirnya dapat membeli motosikal yang diingininya walaupun ada awalnya tidak ada duit yang cukup.

Ada orang yang kehabisan wang lalu membacanya maka pada waktu petang hari itu ada orang datang membayar hutangnya yang lama tidak dibayar.

Sabda Nabi: “Perbanyakkanlah membaca Al Quran di dalam rumah kamu, kerana sesungguhnya rumah yang tidak dibacakan Al Quran di dalamnya sedikit kebaikannya dan banyak keburukannya, dan disempitkan rezeki ahli rumah itu. (Daruqutni)


MENCARI REZEKI PADA AWAL PAGI

Sabda Nabi, selawat dan salam ke atasnya, ertinya: “Apabila kamu telah selesai solat subuh janganlah kamu tidur tanpa mencari rezeki.” (Tabrani)

Waktu yang terbaik ialah mencari rezeki selepas naik matahari kerana sebelumnya disunatkan duduk berzikir dan istighfar sehingga terbit matahari, sebagaimana yang dilakukan Nabi Muhammad.

“Pergilah awal pagi untuk mencari rezeki dan keperluan kerana pagi membawa keberkatan dan kejayaan.”(Tabrani, Ibnu Adi)

“Sesungguhnya tidur pada waktu pagi menghalang sebahgian rezeki” Abu Nuaim.


SEDEKAH

Sabda Nabi: “mintalah bantuan untuk mendapat rezeki dengan memberi sedekah.” (Dailami)

“Turunkanlah rezeki dengan melakukan sedekah.” (Baihaqi, Ibnu Adi, Abu Syaikh)

“Seringlah saling memberi hadiah makanan kerana itu akan melapangkan rezeki kamu” (Ibnu Adi)

“Rezeki menuju ke rumah orang yang pemurah lebih cepat daripada pisau membelah bonggol unta” (Ibnu Asakir, daif)

“Tetamu tiba dengan rezekinya (untuk orang yang dikunjungi), dan berangkat pergi dengan dosa orang (yang menerima mereka) dan membersihkan dosa daripada mereka” (Ibnu Hibban, dhaif dan mempunyai penyokong – shahid)

“Nafkahkanlah, aku akan nafkahkan ke atasmu” (Ahmad, Bukhari, Muslim)

Maksudnya: nafkahkanlah ke atas hamba-hamba-Ku. Aku akan nafkahkan ke atasmu bermaksud: aku akan gantikan apa yang telah kau belanjakan malah lebih banyak lagi.
TUAN/PUAN boleh merujuk kitab Fadhilat Sedekah karangan Maulana Zakariyya untuk maklumat lebih lanjut.

SILATUR RAHIM

“Ditulis di dalam Taurat: sesiapa yang suka umurnya panjang dan ditambah rezekinya maka hendaklah ia hubungkan silatur rahimnya.” (Hakim, sahih)

Barangsiapa suka diluaskan rezekinya dan dipanjangkan usianya, hendaklah ia hubungkan silaturrahimnya ” Bukhari, Muslim, Abu Daud, Nasaie dari Anas; Ahmad dan Bukhari dari Abu Hurairah)

HAJI

“Perikutkanlah antara haji dan umrah kerana di dalam memperikutkan antara keduanya menambah panjang umur dan menambah rezeki” (Ahmad, Ibnu Majah, Daruqutni, Tabrani)

“Orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah tetamu Allah, mereka berdoa akan diterima, mereka meminta akan diberi-Nya. Bazzar, hadis hasan)

NIKAH

Allah taala berfirman: “dan nikahkanlah orang-orang bujang dari kalangan kamu, dan orang-orang soleh dari hamba lelaki dan hamba perempuan kamu. Dan jika mereka orang-orang yang fakir nescaya Allah kan menjadikan mereka kaya, dan Allah sangat luas dan sangat mengetahui.” (surah An-Nur 32,)

Sabda Kekasih, selawat dan salam ke atasnya, ertinya: tiga golongan yang Allah mesti menolong mereka: orang yang bernikah untuk membersihkan diri daripada zina; orang yang berjanji merdeka hamba dan berniat menunaikannya, dan orang yang berperang pada jalan Allah.” (riwayat Imam Ahmad, Termizi dan Nasaie)

Sabda Nabi, selawat dan salam ke atasnya, ertinya: nikahilah perempuan kerana mereka akan membawa harta kepada kamu. (riwayat Bazzar, Daruqutni dan Hakim, hadis hasan)

Kata Ibnu Masud, semoga Allah redha kepada beliau, ertinya: carilah kekayaan dalam perkahwinan. (Riwayat Jarir)

Kata Sayyidina Umar ibnu Al-Khattab, ertinya: carilah kekayaan di dalam nikah. (riwayat Abdur Razzaq dalam Musannaf)

MEMBANTU ORANG-ORANG LEMAH

Sabda Nabi, selawat dan salam ke atasnya, ertinya: “carilah untukku orang-orang lemah kerana hanya kita diberi rezeki dan dibantu sebab orang-orang lemah dari kalangan kamu.” (Ahmad, Muslim, Ibnu Hibban, Al Hakim)

Maksudnya membantu mereka dan menunaikan keperluan mereka. Diberi rezeki bermaksud dapat mengambil manfaat daripada apa yang dikeluarkan oleh Allah.Apa yang tidak dapat digunakan tidak dinamakan rezeki. Dibantu bermaksud dibantu terhadap musuh dan menolak bala bencana. Sebab orang lemah bermakna sebab adanya mereka di kalangan kamu, atau kerana kamu memelihara hak mereka, atau kerana doa mereka.

Sabda Nabi: “Adakah kamu suka hatimu menjadi lembut, dan kamu memperolehi hajat keperluanmu? Kasihanilah anak yatim, usaplah kepalanya, dan berikanlah dia daripada makananmu, nescaya lembutlah hatimu dan kamu akan memeperoleh hajatmu.” (Tabrani)

Sabda Nabi, selawat dan salam ke atasnya, ertinya: “Allah taala membantu umat ini hanyalah sebab orang-orang lemah mereka, sebab doa mereka, solat mereka dan ikhlas mereka.”(Nasaie, sahih)

Sebab doa mereka meminta bantuan daripada Allah, dan kerana ikhlas mereka pada semua amalan mereka.












MENJAUHI ZINA

zina adalah salah satu dosa besar yang menyebabkan kemiskinan dunia dan akhirat. sila lihat artikel berjudul AZAB ZINA dalam blog ini.

Wallahu a'lam

Jumaat, 18 Disember 2009

DOSA MENGUMPAT


Kita akan dapat melihat umat Islam sering melakukan dosa ini di mana-mana sahaja malah di dalam masjid pun kadang-kadang ada majlis mengumpat, dan para pengumpatnya pula ialah ustaz ataupun orang-orang agama. Ada juga ustaz yang mengajar di madrasah tahfiz yang tidak pernah miss melakukannya sehingga orang-orang sekeliling naik meluat dan meyampah dengan perangainya. Barangkali umat Islam termasuk juga para ustaz, masih belum benar-benar mengetahui dan faham maksud mengumpat. Saya pernah menegur beberapa orang tua yang sedang enak mengumpat dengan kepuasan yang tak terhingga (barangkali), di dalam sebuah surau di Gerik, tapi mereka segera menjawab: ini buka mengumpat, ini cerita hal dia yang sebenar. Jawapan begini juga pernah saya dengar daripada orang lain.

Ini bukti bahawa amat jahilnya orang-orang Islam hari ini, kalau para ustaz dan orang yang pergi ke masjid setiap hari masih berfahaman salah begitu, maka yang duduk di rumah kemudian berangan akan masuk syurga, walaupun tidak pernah pijak tangga masjid dan surau, akan lebih tidak tahu dan tidak faham perkara yang berkaitan dengan mengumpat.

Takrif Mengumpat

Mengumpat ditakrifkan oleh kekasih kita Nabi Muhammad, semoga Allah mencurahkan rahmat ke atasnya selama-lamanya, dengan sabdaannya: mengumpat ialah kamu menceritakan hal saudara kamu yang ia membencinya. Sahabat bertanya: sekiranya perkara itu memang ada pada dirinya? Nabi bersabda: jika ada pada dirinya apa yang kamu katakan, maka kamu telah mengumpatnya. Sekiranya ia tidak lakukan seperti yang kamu katakan, maka kamu telah memfitnahnya (mereka-reka). (Hadis riwayat Imam Muslim, Dalilul Falihin, jld 4, ms 357)

Dari hadis ini para ulama telah menjelaskan bahawa mengumpat boleh terjadi kepada segala perkara yang kita ceritakan berkaitan saudara kita, samada mengenai tubuh badannya yang ada sebarang kekurangan dan kecacatan; atau kekurangan dalam agamanya yang berkaitan ibadat dan maksiatnya; atau mengenai kehidupan dunianya yang ada kekuranga dari segi harta; atau mengenai anak-anaknya yang tidak taat pada perintah Allah,; atau mengenai ibu-bapanya yang juga begitu; isterinya yang buruk perangainya; orang gajinya yang banyak melakukan masaalah; jawatan/pangkatnya yang rendah; kenderaannya; pakaiannya dan apa sahaja yang ia tidak suka orang lain mengatanya. (sila lihat kitab Tuhfatul Murid syarah Jauharah Tauhid, ms 121; juga kitab Az zawajir an Iqtirafil Kaba’ir, 2, 19.)

Syaikh Ibrahim al Baijuri menyebut dalam Tuhfatul Murid: sebahagian daripada kesesatan ialah kata-kata orang awam: ini bukan mengumpat, tapi ini menceritakan perkara yang sebenar berlaku. Kadang-kadang ini membawa kepada kekafiran kerana menghalalkan perkara yang haram. (ms 121) Kerana keharaman mengumpat adalah berdasarkan ijma ulama.

Mengumpat tidak hanya khusus dengan kata-kata sahaja malah setiap perkara yang kamu boleh memahamkan kelemahan seseorang Islam kepada orang lain. Samada dengan tulisan, atau isyarat dengan mata, tangan, kepala dan lain-lain.

Mengumpat adalah diharamkan apabila dilakukan terhadap seseorang atau kumpulan yang tertentu yang diketahui oleh orang ditujukan umpatan. Dan menjadi haram juga jika orang yang ditujukan umpatan mengetahui orang yang dimaksudkan walaupun digunakan bahasa yang tidak jelas.

Pendapat yang muktamad dalam Mazhab Syafie ialah mengumpat menjadi dosa besar jika orang diumpat adalah orang yang berilmu agama dan para hafiz Al Quran. Manakala mengumpat selain mereka dalah dosa kecil.


Saya berpendapat hikmah dihukumkan dengan dosa besar mengumpat orang alim dan hafiz ialah kerana mereka adalah tonggak kepada umat Islam. Segala perbuatan mereka adalah untuk dicontohi dan diikuti, setelah aib dan kelemahan mereka disebarkan, orang-orang akan memandang rendah kepada mereka dan tidak akan mencontohi mereka lagi walaupun kebaikan yang mereka lakukan adalah berdasarkan ajaran Islam sebenar. Apabila umat Islam tidak mengikuti ajaran Islam sebenar mereka akan sesat.

Sebagaimana haram melakukan ghibah (mengumpat) haram juga mendengarnya dan berdiam diri ke atas orang yang mengumpat. Maka wajib ke atas setiap orang yang mendengar melarang orang lain yang sedang mengumpat selagi ia tidak takut berlaku bahaya ke atas dirinya. Jika ia tidak mampu melarangnya maka wajib ia menjauhkan dirinya daripada orang yang sedang mengumpat.

Nas-nas yang melarang perbuatan mengumpat:

Al Quran:

”Dan janganlah sebahagian daripada kamu mengumpat sebahagian yang lain; adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging mayat saudaranya yang telah mati. Maka kamu tidak akan meyukainya (makan daging itu). Dan takutlah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah amat menerima taubat dan amat mengasihani”

Ayat ini mengandungi perkara yang menunjukkan beratnya dosa mengumpat yang sepatutnya tidak dilakukan oleh orang Islam kerana ia seumpama memakan daging saudara sendiri yang telah mati dalam keadaan mentah

Hadis:

”Setiap muslim ke atas setiap muslim adalah haram darahnya, nama baiknya dan hartanya” (Muslim)

Maksudnya haram membunuhnya dan mencederakannya, membuka aibnya kepada orang ramai, dan haram mengambil hartanya tanpa izinnya walaupun dengan bergurau.

”Riba yang paling buruk ialah menceroboh nama baik saudara seislamnya” (Al Bazzar, dengan sanad kuat)

Kata Aisyah kepada Rasulullah, selawat dalam salam Allah ke atasnya: cukuplah kepadamu dari Sofiyyah begini-begini (dia seorang yang rendah). Maka sabda Baginda: Kamu telah berkata satu perkataan yang jika dicampur dengan air laut dia akan bercampur (dan menyebabkan berubah baunya kerana busuk dan kejinya.) Aku (Aisyah) meniru perbuatan seseorang. Baginda bersabda: Aku tidak suka meniru perbuatan seseorang (untuk menghinanya) walaupun aku akan mendapat habuan dunia yang banyak. (Abu Daud, Tirmizi berkata hasan sahih)

”Ketika aku dinaikkan ke langit (mikraj) aku lalu berhampiran kaum yang mempunyai kuku daripada tembaga, mereka mencakar muka dan dada mereka dengannya. Aku berkata: siapakah mereka wahai Jibril. Ia menjawab: merekalah orang yang memakan daging manusia (mengumpat mereka) dan menceroboh nama baik mereka.” (Abu Daud, sahih)

”Dari Jabir bin Abdullah, katanya: Adalah kami bersama dengan Nabi, tiba-tiba datang suatu bau busuk. Maka Nabi bersabda: tahukan kamu ini bau apa? Inilah bau orang mengumpat orang-orang Islam” (Ahmad, sanad sahih)

Kata Abu Hurairah: kami sedang berada bersama Nabi (saw), maka berdiri seorang lelaki. Para sahabat berkata: Wahai Rasulullah, lemahnya dia. Nabi bersabda: ”Kamu telah mengumpat saudara kamu, kamu telah makan dagingnya.” (Abu Yaala)

Diceritakan kepada Nabi saw seorang lelaki yang tidak akan makan sehingga diberi makan. Maka bagibda bersabda: ”Kamu telah mengumpat saudara kamu.” (Asbahani, sanad hasan)

”Nabi saw lalu berhampiran sebuah kubur yang penghuninya sedang diazab. Maka baginda bersabda: sesungguhnya orang ini mengumpat manusia. Kemudian baginda meminta sebatang pelepah tamar, lalu meletakkannya di atas kubur itu, dan bersabda: Semoga diringankan azabnya selagi pelepah tamar ini masih basah. (Ahmad)

”Tahu kah kamu sipakah muflis. Sahabat menjawab: orang tidak mempunyai dirham dan harta. Sabda baginda: Muflis ialah orang yang datang pada hari kiamat dengan pahala solat, puasa, zakat, dia telah memaki orang ini, menuduh orang ini, dan makan harta orang ini, dan menumpahkan darah orang ini, dan memukul orang ini. Maka diberikan kepada orang ini pahalanya dan kepada orang ini pahalanya. Jika habis pahalanya diambil dosa mereka dicampakkan ke atasnya kemudian ia dihumban ke dalam neraka. (Muslim)

”Sesungguhnya seorang lelaki diberikan catatan amalannya. Maka ia berkata: wahai tuhan, di manakah amalan-malan baikku yang telah aku lakukan, ia tiada dalam buku amalanku. Allah menjawab: ia dihapus dengan umpatan engkau terhadap manusia.” (Asfahani)

”Sesiapa menuduh seseorang melakukan perkara yang ia tidak melakukannya, kerana ingin memalukannya, Allah akan menahannya dalam jahannam sehingga ia menunjukkan buktinya.” Tabrani, sanad baik)

MENGUMPAT YANG DIBENARKAN

Walaupun ghibah adalah haram namun ada beberapa sebab yang membolehkan kita melakukannya dan kadang-kadang menjadi wajib.

Pertama: Mengadukan kezaliman seseorang supaya kepada pihak yang mampu melepaskan diri daripadanya.

Kedua: Meminta bantuan untuk menghentikan kemungkaran. Seperti dia berkata: si fulan melakukan kemungkaran sila tolong saya menghentikan kemungkarannya. Dengan syarat tujuannya adalah untuk mencegah kemungkaran, jika tidak hukumnya adalah haram.

Ketiga: Meminta fatwa; seperti di berkata kepada mufti: dia melakukan kezaliman terhadap saya, adakah harus perbuatannya itu? Apakah cara untuk melepaskan diri daripadanya? Dan apakah cara saya mendapatkan hak saya? Yang paling baik ialah ia tidak menyebut nama orang yang menzaliminya secara jelas. Hanya dibolehkan menyebut nama secara jelas supaya mufti dapat mengetahui dengan lebih mendalam hal ehwal orang berkenaan dan dapat mengeluarkan fatwa dengan lebih tepat, juga berdasarkan hadis berkenaan Hindun isteri Abu Sufyan.

Keempat: Memberi peringatan/amaran. Seperti dia menyebutkan keburukan seseorang yang ingin dijadikan rakan kongsi dalam sesuatu perniagaan dan lain-lainnya, supaya ia tidak tertipu dan mendapat mudharat daripadanya. Termasuk dalam kes ini juga seseorang yang ingin mengahwini seseorang yang diketahui bahawa pasangannya mempunyai keburukan yang boleh menjejaskan kebahagiaan hidup pasangannya. Orang yang mengetahuinya wajib memberitahu pasangannya supaya tidak berkahwin dengannya. Sekiranya mereka masih ingin meneruskan juga wajib diberitahu keburukannya.

Sama seperti ini juga boleh menceritakan kelemahan/kekurangan seseorang guru agama kepada orang yang ingin belajar dengannya bahawa ia tidak mempunyai ilmu yang secukupnya untuk mengajar.

Termasuk dalam perkara ini juga sekiranya diketahui mana-mana pemimpin yang fasiq dan cuai/lalai boleh diceritakan keburukan mereka kepada pihak yang mempunyai kuasa untuk menasihatinya atau memecatnya dan menggantikan dengan orang lain yang taat melaksanakan perintah Allah.

Disyaratkan untuk mengharus/mewajibkan ghibah di sini bahawa niat seseorang itu hanyalah semata-mata kerana Allah untujk menyelamatkan umat Islam daripada kemudharatan, jika kerana niat yang lain maka tidak dibenarkan.

Kelima: Untuk memperkenalkan. Seperti katanya: Ahmad yang tempang, Ahmad yang berpanau dan seumpamnya. Tetapi dengan syarat untuk membolehkan orang mengenalinya, jika dengan niat untuk merendah-rendahkannya hukumnya adalah haram.

Keenam: Orang yang melakukan maksiat secara terang-terangan. Seperti dia minum arak di hadapan khalayak ramai. Maka harus diceritakan maksiat yang berkenaan sahaja. Dan haram menyebut maksiat lain yang dilakukan secara sembunyi.


















Sila rujuk kitab Az Zawajir ’aniqtirafil Kabair tulisan Syaikh Ibnu Hajar Al Haitami, jld 2, ms 24, untuk keterangan lebih lanjut.

Rabu, 23 September 2009

KEHORMATAN KEPADA KITAB

Kita sering melihat orang-orang di negara ini yang sedang mengaji dengan ustaz-ustaz di masjid meletakkan kitab di atas lantai, ataupun tempat yang rendah yang tidak lebih tinggi daripada lutut mereka. Ada yang datang untuk solat, disebabkan terlewat, ketika sampai di masjid imam dah mula solat, kerana untuk rukuk bersama imam dia meletakkan kitabnya di atas lantai masjid, selepas selesai sembahnyang barulah ia mengutip kitab yang telah ‘dibuang’ tadi. Ini perkara biasa ygn boleh kita lihat di merata masjid. Ketika bacaan surah Yasin pada setiap malam Jumaat pun kita akan dapat lihat orang-orang tua meletakkan naskhah surah Yasin di atas lantai, ketika mengaminkan doanya.

Di pondok pun ada yang meletakkan kitab di atas lantai sahaja. Saya juga sering melihat para lepasan sekolah agama yang sanggup meletakan cawan dan berbagai benda lagi di atas kitab dan Al Quran! Ma sya ALLAH! Sampai begitu sekali buruknya layanan umat Islam negara ni kepada sumber ilmu agama.

Di masjid-masjid kita akan lihat mushaf-mushaf Al Quran diletakkan di dalam rak yang terletak di bahagian belakang masjid. Yang apabila para jamaah berada dalam saf mereka akan membelakangkan mushaf tersebt. Kenapa tidak ada orang yang terasa nak pindahkan rak mushaf-mushaf itu ke saf paling hadapan. Ini menunjukkan bahawa umat Islam Malaysia telah tidak reti nak hormat sumber-sumber agama mereka.

Suatu ketika saya pernah pergi ke Bota dan solat tarawih di sebuah masjid di sana, disebabkan jamaah terlalu ramai, ada yang terpaksa rukuk sedangkan punggung mereka hampir-hampir terkena mushaf di rak belakang.

Pada saya inilah tanda ketidakfahaman umat Islam Malaysia terhadap cara nak hormati syair-syiar Islam.

Ini sangat berbeza dengan keadaan di Pakistan dan Bangladesh, ketika saya pergi ke sana, tidak satu pun masjid yang meletakkan mushaf Al Quran di bahagian belakang masjid. Pada satu hari di sebuah masjid di Malaysia, ketika ada seorang pemuda nak membaca kitab taalim fadhail, dia dengan tidak sengaja telah membelakangi mushaf-mushaf al-Qurang yang terletak di bahagian hadapan masjid., seorang ustaz yang telah belajar di Mazahirul Ulum, Saharanpur, India, berada di situ telah menegurnya supaya berpusing ke arah yang ia tidak membelakangi mushaf tadi.

Ini menunjukkan bahawa orang-orang yang terdidik di benua India amat menitik beratkan penghormatan kepada mushaf al Quran dan kitab-kitab/buku ilmu-ilmu Islam. Sementara dari tempat-tempat lain amat tidak hormat kepadanya. Saya pernah melihat sendiri ada ustaz yang walaupun telah belajar selama sembilan tahun di Syria dan amat fasih berbahasa arab, tapi masih meletakkan kitab di atas lantai.

Yang lebih buruk lagi, seperti yang saya dengar, ada pelajar Arab yang membuang kitab tafsir Ibni Kathir ke dalam tong sampah setelah tamat pengajiannya.

Saya rasa mungkin inilah antara punca umat Islam terus dihina dan tidak dapat keberkatan daripada ilmu mereka.

Ahad, 6 September 2009

PAHALA BACAAN AL QURAN

Saya pernah melihat satu CD kuliah agama yang di adakah di surau Taman Semilang Seberang Perai, ustaz yang menyampaikannya bertegas bahawa pendapat di dalam mazhab Imam Syafie adalah tidak sampai pahala bacaan Al Quran kepada orang yang telah meninggal dunia. Ustaz yang menggelarkan dirinya sebagai ‘mamak kelam kabut’ itu telah memetik daripada beberapa kitab yang dianggap hebat dalam dunia Islam. Antaranya ialah Tafsir Ibnu Kathir, Al Majmu’ syarah Al Muhazzab karya Imam Nawawi, Bahrul Mazi karya Syaikh Idris Al Marbawi (Lubuk Merbau, Perak).

Menurut ustaz itu, di dalam kitab tersebut dinyatakan bahawa pendapat yang masyhur di dalam mazhab Imam Syafie ialah tidak sampai pahala Al Quran kepada si mati, kemudian ia berkata lagi, bahawa ini adalah pendapat yang mutlak.

Saya tidak begitu faham maksud sebenar mutlak dalam kata-katanya itu. Tetapi berdasarkan kesungguhannya mempertahankan pendapat tersebut, saya dapati maksudnya ialah pendapt muktamad.

Ustaz berkenan sama dengan bekas mufti Perlis Asri Zainul Abidin yang berfatwa begitu, mereka menggunakan qaul Imam Syafie sendiri untuk menolak amalan yang telah dibuat oleh umat Islam Malaysia yang bermazhab Syafie.

Dalil yang dikemukakan oleh mereka untuk mengatakan bahawa tahlil dan bacaan Al Quran tidak sampai kepada si mati ialah ayat Al quran surah An Najm. Ertinya: “apakah dia tidak diberitahu dengan apa yang ada di dalam suhuf Musa, dan Ibrahim yang menyempurnakan (tugas kenabian), (iaitu) bahawa satu orang yang berdosa tidak berdosa dengan dosa orang lain (tidak menanggung dosa orang lain), dan tidak adalah (pahala) untuk manusia selain apa yang ia amalkan.

Dari sinilah mereka mempertahankan pendapat tersebut dan bersungguh-sungguh nampaknya.

Para pembaca boleh lihat sendiri di dalam kitab Mukhtasar (ringkasan) Tafsir Ibni Kathir ditulis selepas mentafsirkan ayat ini: dari ayat yang mulia ini As Syafie telah istinbat bahawa bacaan al Quran tidak sampai pahalanya kepada orang yang telah mati kerana ia (bacaan) itu buka amalannya. Kerana Nabi (sallahu alaihi wa sallam) tidak menggalakkan umatnya melakukannya, dan tidak pernah dinukil (amalan ini) dari seorang sahabat Nabi pun. Jika perbuatan ini baik tentulah mereka akan mendahului kita melakukannya…Adapun doa dan sedekah maka ijmak berlaku pada sampai pahala kedua-dua dan ada nas mengenainya. (jld 3, ms 404)

Terjemahan isi kitab ini pernah saya lihat ditampal di masjid Sungai Karangan, Kedah atas maksud untuk menghentikan perbuatan ‘bidaah’ yang telah berpuluh tahun dilakukan oleh pengikut Imam Syafie yang telah berfatwa bahwa tidak sampai bacaan yang dihadiahkan kepada mayat.

Di alam kitab Majmu’ tertulis: “dan para ulama telah berbeza pendapat pada sampainya pahala bacaan Al Quran kepada orang yang telah mati. Maka pendapat yang masyhur dalam mazhab Imam Syafie ialah tidak sampai pahala. Ahmad bin Hanbal dan sekumpulan ulama, dan sekumpulan sahabat-sahabat Imam Syafie berkata sampai pahala Al Quran. Dan pendapat yang dipilih daripada Ashab ialah pembaca hendaklah berdoa selepas membacanya: ya Allah sampaikan pahala bacaanku” (Al Majmu’, jld 16, ms 509)

Di dalam kitab Tuhfatul Muhtaj tulisan Syaikh Ibnu Hajar juga menyebutkan perkara yang sama, bahawa pendapat yang masyhur dalam Mazhab Syafie ialah tidak sampai pahala bacaan Al Quran.

Berdasarkan perkara tersebut maka ertinya kita para pengikut Imam Syafie telah membuat perkara yang sia-sia dengan menghadiahkan bacaan tahlil dan bacaan al Quran kepada si mayat. Inilah tuduhan Puak Wahhabi kepada kita.

Tapi sebenarnya puak Wahhabi itu telah melakukan pembohongan kepada orang-orang awam yang hanya tahu angguk sahaja dan terbukti mereka sebenarnya tidak faham fiqah mazhab Imam Syafie tapi berlagak pandai. Termasuk bekas mufti yang tak reti fiqh Syafie tu.

Sebenarnya bila disebut qaul masyhur dalam syafie, itu bermaksud Imam Syafie mempunyai banyak pendapat dalam hukum bacaan Al Quran ini. Hanya pendapat yang masyhur ialah pendapat yang lebih kuat hujahnya daripada pendapat yang tidak masyhur. Pendapat yang berlawanan dengan qaul masyhur itu pula daif. Ini ialah istilah yang digunakan oleh Imam An Nawawi.

Mereka menjaja ke sana sini qaul masyhur Imam Syafie itu supaya orang-orang jahil terpedaya dan mengikut kata-kata mereka yang sebenarnya mengandungi kepalsuan dan niat jahat.

Bukti kepalsuan ialah kerana qaul/pendapat yang muktamad dalam ulama mazhab Syafie ialah sampai pahala bacaan Al Quran, dan Qaul Masyhur Imam Syafie yang mereka heboh-hebohkan itu adalah pendapat yang lemah. Perkara ini dinyatakan oleh Syaikh Al Bujairimi dalam hasyiah Fathul Wahhab. (Hasyiah Bujairimi Ala Syarhi Manhajit Tullab, jld 3, ms 287). Tetapi perkara ini tidak disentuh sedikit pun oleh ustaz-ustaz Wahhabi. Inilah bukti kepalsuan kata-kata mereka: menyembunyikan kebenaran. Kalau betul nak mengajar aqwal aimmah dalam mazahib sila baca semua.

Perkara ini juga menunjukkan bahawa mereka tidak mengerti susur galur perjalanan mazhab Imam Syafie, hanya pandai buka kitab tebuk sana dan sini kemudia baca depan orang-orang awam, dan mendakwa itulah mazhab Imam Syafie. Barangkali ustaz-ustaz yang lagak lebih daripada ilmu ini tidak pernah dengar nama Al Bujairimi ini.

Mengenai ayat 39, surah An Najm pula, maka ayat itu ialah ialah syariat Nabi Ibrahim dan Nabi Musa, bukannnya syariat umat Nabi Muhammad. Kerana sebelum itu dinyatakan: “apakah kamu tidak lihat orang yang berpaling (dari iman)(33)yakni murtad. dia memberi sedikit dan menahan (yang baki)(34); apakah ia mempunyai ilmu ghaib maka ia melihat (mengetahui)(35) apakah dia tidak diberitahu dengan apa yang ada di dalam suhuf Musa, dan Ibrahim yang menyempurnakan”

Di dalam syariat Muhammadiyyah, pahala boleh didapati dari orang lain, seperti hadis: orang yang menunjukkan kebaikan (mendapat pahala) seperti pembuatnya.

Ibnu Taimiyyah yang dipuja oleh puak Wahhabi sendiri telah berkata: sesiapa yang mengatakan bahawa manusia hanya dapat manfaat daripada amalan sendiri sahaja maka ia telah menentang Ijmak. (sila rujuk kitab As Sowi, 4, 183 untuk keterangan lebih lanjut, juga kitab Hasyiah Jamal Jalalain, jld 7, 342))

Ditulis di dalam kitab Nahjut Taisir, karangan As Sayyid Muhsin, halaman174: Faedah yang kelapan mengenai sampainya pahala bacaan Al Quran kepada si mati:

Dalam Mazhab Malikiyyah: (ulama pengikut mazhab Malik bin Anas)

Telah berkata Al Qadhi Iyad dalam kitab Syarah Muslim, pada menghuraikan hadis pelepah tamar yang diletakkan oleh nabi di atas dua kubur yang penghuninya diazab. Para ulama telah mengambil dari hadis ini hukum sunat dibacakan al Quran ke atas mayat, kerana apabila tasbih pelepah tamar yang merupakan benda mati boleh menyebabkan diringankan azab kepada ahli kubur, maka membaca al Quran lebih aula (utama). Dalam kita Mi’yar, disebutkan bahawa mazhab Ahmad bin Hanbal dan Abu Hanifah bahawa pahala bacaan al Quran sampai kepada si mati, apabila dibaca dikuburnya, akan berhasil pahala mendengar al Quran kepada si mayat… begitu juga tahlil yang biasa diadakan oleh orang ramai sepatutnya diamalkan dan berharap kepada limpah kurnia Allah…Berkata Ibnu Al Hajj dalam kitab Al Madkhal: sesiapa yang ingin menyampaikan pahala bacaan al Qurannya hendaklah ia berdoa Ya Allah sampaikanlah pahala bacaanku kepada si fulan. Seperti berkata Imam Nawawi dalam kitab Azkar.

Al Hafiz As Suyuti menisbahkan hukum sampai pahala bacaan Al Quran kepada mazahib tiga: Malik, Abu Hanifah, dan Ahmad bin Hanbal.

Ibnu Rusyd ditanya mengenai ayat al Quran bahawa 'tidaklah mendapat manusia selain pahala apa yang ia lakukan'. Ia berkata: jika seorang lelaki membaca dan menghadiahkan pahala bacaan Al Qurannya kepada mayat, itu adalah harus dan sampai pahalanya.

Mazhab Hanabilah (ulama pengikut mazhab Imam Ahmad ibn Hanbal)

Berkata Imam Ibnu Qudamah dalam kitab Mughni: dan tidak mengapa membaca al Quran di kubur, kerana diriwayatkan daripada Ahmad ibnu Hanbal, dia berkata: apabila kamu masuk ke dalam kubur, bacalah Ayat Kursi, dan tiga kali Qul huwallahu ahad, kemudian berkatalah wahai Allah kelebihannya adalah (dihadiahkan) untuk ahli kubur.

Berkata Al Bazzar: aku telah melihat Ahmad ibnu Hanbal solat di belakang dharir (orang buta) yang membaca Al Quran di atas kubur.

Dan apa saja amalan baik yang seseorang lakukan dan ia jadikan (hadiahkan) pahalanya untuk si mati, nescaya memberi manfaat kepadanya. In sya Allahu taala. Adapun doa, istighfar, dan sedekah dan menunaikan kewajipan maka aku (Ibnu Qudamah) tidak mengetahui adanya perbezaan pendapat, sekiranya kewajipan tersebut adalah yang boleh digantikan….

Itu adalah ijmak Muslimin, kerana mereka pada setiap waktu dan tempat berkumpul membaca Al Quran dan menghadiahkan pahalanya kepada orang-orang yang telah mati dari kalangan mereka tanpa ada bantahan.

Mazhab Syafi’iyyah

Berkata Syaikh Zakariyya Al Ansori dalam kitab syarah Raudh: Upah membaca Al Quran untuk orang lain pada suatu tempoh yang ditetapkan atau kadar ayat tertentu adalah harus, kerana manfaat yang hasil iaitu turun rahmat ketika dibacakan Al Quran, hukumnya seperti mengupah orang melakukan azan dan mengajar Al Quran, dan adalah mayat sama seperti orang yang hidup yang hadhiri majlis bacaan Al Quran itu. (mendapat manfaat). Samada pembaca berdoa selepasnya atau mengahadiahkan pahala bacaan kepada mayat ataupun tidak. Maka manfaat bacaan sampai kepada mayat. Kerana doa dari orang lain adalah bermanfaat untuk mayat, dan doa selepas bacaan Quran adalah lebih diterima dan lebih banyak keberkatan. Dan kerana bahawa pembaca apabila ia menghadiahkan pahala bacaan Al Quran kepada si mati maka itu adalah doa dengan berhasil pahala, maka sebab itu si mati mendapat manfaat daripadanya.

Maka pendapat Imam Syafie bahawa pahala bacaan Quran tidak sampai kepada mayat (seperti yang disebutkan dalam Tafsir Ibni Kathir, yang diusung Wahabi) adalah dianggap bila tidak dilakukan seperti ini (contohnya tidak didoakan sebagai hadiah kepada mayat, bukannya tidak sampai secara mutlak) (ms 177)

Dari sini ada dua kemungkinan: ustaz-ustaz Wahhabi sengaja berbohong dengan menyembunyikan qaul/pendapat muktamad dalam Mazhab Syafie dan pendapat-pendapat ulama mazhab lain. Kedua, ilmu mereka amat cetek. Kedua-dua orang yang bersifat begini memang wajib dijauhi.

Niat jahat puak Wahabi boleh dilihat juga pada bantahan mereka terhadap amalan orang Malaysia membaca doa qunut dalam solat subuh. Mereka mengatakan itu bidaah. Tetapi di Pakistan mereka baca doa qunut pula. Ramai kawan-kawan saya yang belajar di sana berkata begitu.

Kesimpulannya pendapat yang muktamad dalam mazhab Imam Syafie ialah sampai pahala bacaan Al Quran kepada orang yang telah mati. Pendapat masyhur Imam Syafie yang mengatakan tidak sampai pahala dianggap jika si pembaca tidak berdoa supaya pahala dihadiahkan kepada si mati. Ulama-ulama lain dalam mazhab empat juga mengatakan sampai pahala bacaan Al Quran.

Selasa, 4 Ogos 2009

BENARKAH TABLIGH TIDAK MENCEGAH MUNKAR

RAMAI para ustaz yang tidak boleh menerima Jamaah Tabligh kerana kata mereka jamaah ini tidak cegah munkar. Mereka memetik kata-kata sebahagian ulama Tabligh yang berkata sebegitu di dalam buku mereka, kemudian para ustaz ini akan berkata: cara Tabligh ini berlawan dengan al Quran dan Hadis.

Para ustaz ini sepatutnya bertanya dulu maksud sebenar dan kaedah Tabligh. Bukannya terus menghukum sedemikian. Mereka sepatutnya boleh berfikir dengan waras bagaimana boleh berlaku ulamak yang terdidik dengan sempurna di dalam agama boleh berkata perkara yang bercanggah dengan syariat. Adakah patut seorang hafiz Al Quran kemudian belajar semua bidang ilmu-ilmu Islam di madrasah sehingga ke Dauratul Hadith kemudian bercakap perkara yang berlawanan dengan Syariat iaitu: kami hanya amar bil maaruf dan tidak mencegah munkar. Amat jauh untuk dierima orang yang sedemikian akan berkata begitu dan mengajak semua Jamaah Tabligh buat begitu. Oleh kerana itu ia menunjukkan bahawa tidak mencegah munkar itu ada kaedah mereka sendiri. Dan bahawa para ustaz yang mengkritik Tabligh tidak berfikir lebih mendalam, dan memadai dengan ilmu mereka yang tidak ke mana. Ada bahayanya jika ilmu sekerat jalan sahaja.

Aktiviti yang dijalankan oleh Jamaah Tabligh ialah untuk mengembalikan umat Islam kepada amalan Islam yang sebenar. Maksudnya mereka ingin jadikan seseorang Islam itu taat kepada Allah dengan mematuhi segala larangannya dan meninggalkan segala perkara-perkara yang dilarang-Nya. Perkara ini telah terbukti kerana ramai yang setelah keluar tiga hari mulai berubah dan kembali taat kepada Allah. Dahulunya adalah seorang yang tidak pernah solat, puasa dan sentiasa melakukan berbagai dosa, setelah menyertai Tabligh semua ibadat fardhu dan sunat dapat dilakukannya; dan semua perkara haram telah ditinggalkan

Apabila segala kemungkaran yang sering dilakukan dahulu telah ditinggalkan, bermakna cegah mungkar telah dilakukan oleh jamaah Tabligh dengan berjaya. Inilah cegah munkar yang sebenarnya, kerana kemungkaran terus dibencinya dan takut untuk melakukanya lagi.

Ada orang menganggap bahawa kita cegah munkar ialah dengan meronda di pantai, taman reakrasi, dan hotel-hotel kemudian tangkap mereka yang buat maksiat di sana. Ataupun undi PAS kemudian setelah menang pilihanraya dan memerintah, boleh tutup semua kasino, kedai arak dan segala tempat maksiat.

Barangkali ustaz-ustaz yang membenci Tabligh pun berfikiran sempit begitu. Sebenarnya, melalui cegah munkar dengan cara begitu, maksiat hanya akan ditinggalkan oleh orang melakukannya ketika ditangkap sahaja, dan selepas itu mereka akan melakukannya lagi. Apakah dapat dibuktikan bahawa orang ditangkap dan didakwa kemudian dihukum kerana khalwat atau berzina akan menjadi betul-betul insaf dan kemudian menjadi orang taat seperti yang terjadi pada orang-orang Tabligh. Adakah selepas menerima hukuman mereka akan pergi ke masjid setiap waktu solat dan menjauhi maksiat mereka dahulu?

Apakah selepas tutup kasino dan kedai arak, orang yang telah lama main judi dan minum arak di sana akan insaf dan bertaubat? Tak ada pun begitu.

Tetapi Tabligh hanya ajak orang yang sering buat maksiat itu keluar selama tiga hari, 40 hari dan selanjutnya, kemudian orang itu akan terus bertaubat dan insaf segala dosanya. Selepas balik mereka tidak akan melakukan maksiat lagi. Manakah cara cegah mungkar yang terbaik? Cara Tabligh atau cara yang difikir oleh orang lain. Lu fikirlah sendiri.

Inilah maksud: tidak mencegah munkar, yang disebut oleh ulamak Tabligh. Apabila Tabligh berjaya ‘mencipta’ manusia yang soleh melalui khuruj selama tiga hari dan lain-lain, maka secara automatik mereka berjaya ‘mematikan’ munkar. Takkan ini pun tak faham. Kalau tak faham takyah jadi ustazlah. Pegi noreh lagi baguih.

Khamis, 30 Julai 2009

KETURUNAN HAJI HASAN BIN AWANG BESAR

IBU saya adalah anak kepada Al Marhum Haji Hasan bin Haji Awang Besar, seorang yang sangat disegani dan berpengaruh di Kampung Ulu Mengkuang, Selama, Perak. Haji Hasan adalah pengasas Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang. Pada tahun 1952 semasa beliau menjadi ketua kampung. Beliau lebih dikenali dengan nama Haji Ahmad di Daerah Selama.

Saya telah diberitahu oleh Al Marhum Haji Syafii bin Hashim bahawa keturunan Haji Hasan adalah seperti berikut:

HAJI HASAN bin Awang Besar, bin Abu, bin Ismail, bin Pedu


Kata Haji Syafii bahwa Pedu ialah asal bagi nama Daerah Pedu yang terkenal dengan Tasik Pedu. Pedu berasal dari Negeri Patani Darus Salam. Namun ada setengah penulis mengatakan bahawa Pedu adalah sempena nama seorang raja keturunan Kedah Siam. Nama baginda ialah Sultan Madzafar Shah III ibnu Khalifah Syarif Abu Bakar Shah, atau di gelar Tuanku Sulong atau Koya Long. Dalam bahasa Siam Pedu bererti abang atau abang sulong. Baginda pernah menjadi Raja di Kemboja Cempakasari pada tahun 1758 Masihi, juga pernah menjadi raja di Kuala kangsar Perak.

Perkara ini tidak semestinya bercanggah, kerana Patani dulu adalah daerah/negeri di bawah naungan Kerajaan Islam Kedah Siam dan terletak hampir dengan Kemboja.. Barangkali itu adalah orang yang sama. Jika perkara ini benar maka ertinya Haji Hasan adalah keturunan raja Kerajaan Islam Kedah Siam yang memerintah Patani atau Kemboja. Ini diperkuatkan oleh dakwaan ibu penulis bahawa kami adalah keturunan Long Jaafar. Mungkin dia orang yang sama dengan Tuanku syed Long Jaafar. Baginda ialah anak Panglima Bukit Gantang (1824-1862) cucu kepada Pedu (Tuanku Sulong). Ditambah lagi adanya anak Pedu yang bernama Syed Long Ismail, barangkali orang yang sama dengan Ismail, adinda Panglima Bukit Gantang (Syed Alang Alauddin). Kemudian dengan adanya Abu dalam silsilah yang diterangkan Haji Syafii yang mungkin adalah Abu Toha yang menjadi Raja Selama/Bagan Serai, dan digelar Keramat Perang, adinda Long Jaafar.

Namun perkara ini perlukan kajian dan bukti yang tepat.. Sesiapa mempunyai maklumat lanjut mengenai Pedu, saudara mara dan zuriatnya sila catatkan dalam blog ini.

Haji Hashim, Saerah dan Sabariah adalah saudara Haji Hasan. Nenda Sabariah saudaranya  yang masih hidup, berada di Batu Kurau, Perak. Semoga Allah memanjangkan usianya dengan kesihatan yang baik..

Anak-anak Haji Hasan ialah (Paklong) Badruzzaman kini tinggal di Taman Menteri, Changkat Jering, Taiping; (Pakngah) Azzahari, telah meninggal; (Maklang) Halimah, ibu penulis; (Maktih) Aishah tinggal di Kuala Lumpur; (Pakandak) Muhammad Nor, tinggal di Ulu Mengkuang, Selama. Sekarang ketua kampung di sana, mewarisi bakat bapanya. (Makcik) Badariah tinggal di Guar Petai, Selama; (Makanjang) Zaharah tinggal di Taiping.


silarujuk: www.sejarahnagarakedah.blogspot.com

BANK SIMPANAN NASIONAL DAN ZAKAT

Pada 28 Julai 2009, hari Selasa, Bank Simpanan Pulau Pinang telah mengadakan majlis pengagihan zakat kepada para asnaf yang terdiri daripada madrasah-madrasah tahfiz, rumah orang-orang tua dan anak-anak yatim yang dipilih dari seluruh Pulau Pinang.

Ini adalah satu contoh sumbangan zakat kepada orang yang memerlukan yang tepat kepada asnaf. Diharap ramai orang-orang kaya dan pelbagai intistusi kewangan mengikut teladan yang ditunjukkan oleh BSN. Bank ini telah menghantar wakil-wakil mereka ke seluruh Pulau Pinang untuk mengesan orang yang berhak mendapatkan hak mereka yang telah Allah tetapkan. Dengan bantuan tersebut diharapkan semoga madrasa-madrasah tahfiz semakin perkasa untuk berjuang memantapkan ilmu agama ke seluruh masyarakat Islam. Orang-orang tua dan anak-anak yatim dapat menikmati kehidupan sebenar mereka.

Saya telah sempat berbual dengan encik Azmi bin Ibrahim, pegerusi BSN Pulau Pinang,, kata beliau dia pernah menemui keluarga susah yang anak-anak mereka tidak mendapat pendidikan yang sepatutnya sebagai rakyat Malaysia. Saya hargai keprihatinan beliau. Memang terlalu ramai umat Islam Malaysia yang tercicir pelajaran kerana kemiskinan, sedangkan terlalu ramai orang-orang kaya di negara ini. Puluhan juta ringgit disimpan di pusat urus zakat, tapi orang-orang miskin terus terabai dan tersisih.

Keprihatinan seperti itulah yang perlu ada pada setiap orang Islam yang kaya. Zakat yang diberikan akan menyuburkan harta dan megembangkan lagi perniagaan para penyumbang. Semoga BSN terus memperkembangakan dan menambah lagi sistem Islamik mereka.

Kita tunggu bank-bank lain, yayasan-yayasan dan apa saja syarikat-syarikat besar mengikut contoh BSN. Bila lagi? Saya telah menulis sebelum ini bahawa zakat terbaik ialah yang sampai kepada tangan orang yang berhak dengan segera kerana pahalanya akan segera sampai kepada pemberinya. Bukannya terperap dalam bank. atau dilaburkan di tempat yang belum tentu mengeluarkan mereka daripada kemiskinan.

Rabu, 29 Julai 2009

KENAPA PONDOK MATI SATU DEMI SATU?

Semua umat Islam tahu bahawa university Al Azhar telah dibuka sejak beratus tahun yang lalu. Begitu juga Nadwatul Ulama di Lucknow dan Darul Ulum Deoband di India. Di Pakistan ada pula Madrasah Al Binuriah yang kekal hingga sekarang.

Kita pernah mendengar nama-nama besar ulama di Malaysia yang telah membuka pondok di merata tempat, yang mengajarkan kitab-kitab besar yang cukup untuk menjadikan lepasan pondok mereka sebagai ulamak yang mahir/pakar dengan ilmu-ilmu Islam.

Tapi sekarang nama-nama besar tersebut hanya tinggal sejarah yang hanya dikenang dalam buku-buku dan lisan masyarakat. Kini kitab-kitab besar tidak lagi diajarkan dan makin mengecilkan ruang ilmu umat Malaysia.

Apa yang menyedihkan umat Islam Malaysia terpaksa berkiblatkan Mesir dan lain-lain negara Arab untuk menghantar anak-anak mereka belajar ilmu agama. Tetapi bagi umat Islam India dan Pakistan mereka boleh berdiri setanding dengan negara-negara Arab yang lain dalam menghasil ulama dan tidak perlu mengharap Mesir dan lain-lain untuk mencipta ulama. Bahkan mereka terkenal dengan pengajian Dauratul Hadith yang mengajarkan Kitab Hadis Enam (Sunan/Sihah Sittah) dan Kelas Takhassus dalam berbagai bidang (fiqh, tafsir atau hadis) yang tidak ada di negara Islam yang lain. Bangladesh juga mempunyai pengajian seperti itu. Pengajian ini telah lama berjalan di sana. Dan ilmu mereka diimpot dari Mekah juga oleh para ulama yang termasuk Shah Wliullah Ad Dahlawi.

Soalnya sekarang kenapa ulama/umat Islam Malaysia tidak boleh jadi seperti umat Islam India dan Pakistan? Sedangkan telah berpuluh ribu orang yang belajar di Mekah, Al Azhar dan universiti lain di tanah Arab. Kenapa umat Islam di sini tidak sudah-sudah berkiblatkan Mesir dan lain-lain negara Arab untuk pelajaran Islam, dan tidak mampu mewujudkan sistem pengajian sendiri yang setaraf dengan dunia Islam yang lain. Kenapa Bangladesh yang amat mundur ekonomi lebih baik daripada Malaysia dalam sistem pengajian Islam mereka. Di sana amat banyak madrasah tahfiz dan madrasah yang mengajar kitab Sunan Sittah dalam masa yang singkat sahaja.

Jawapannya ialah kerana ulama kita tidak mampu untuk mendirikan madrasah/universiti sehebat Nadwah dan Darul Ulum ataupun Buniriah dan madrasah-madrasah lain di Bangladesh. Ini jawapan yang paling tepat saya kira.

Kenapa mereka tidak mampu? Jawapannya mungkin seperti di bawah:

1. Mereka belajar untuk kerja dengan kerajaan dan mendapat gaji lumayan, dan mereka tidak berniat untuk memperbaiki sistem pengajian yang ada ke peringkat yang lebih baik. Kalau dah niat begitu dia tidak akan belajar sehingga alim, cukup lulus dan boleh kerja. Orang berilmu tahap ini memang tak mampu mengajar kitab Sunan.

2. Mereka tidak sanggup berkorban untuk agama. Kerana orang yang mengajar kitab Sunan terpaksa bekerja keras dan dan tidak punyai banyak masa lapang kerana perlu untuk memberikan huraian teperinci kepada para pelajarnya. Dia lebih berminat buat ceramah/forum yang memberikan pulangan lumayan. Atau pergi memburu rusa di Hutan Belum di Gerik. Ataupun main golf.


3. Ulama pakar yang belajar sehingga lebih dari lima belas tahun di Mekah pada zaman dahulu lebih suka buka pondok bersendirian dan menjadi guru berseorangan. Apabila dia meninggal dunia maka pondoknya pun turut mati. Sekiranya mereka berpakat membuka sebuah pondok yang mempunyai ramai pengajar sudah tentu masalah ini tidak berlaku. Sekiranya Al Azhar, Nadwah dan Darul Ulum mengikut cara orang Malaysia ini, maka universiti ini akan tingggal nama juga seperti kebanyakan pondok-pondok di Malaysia. Kerana usia madrasah yang tua akan menambah pengalaman para pengajarnya, pengalaman itu akan melahirkan kaedah pengajian yang tebaik.

4. Tiada sokongan daripada umat Islam yang lain. Di Malaysia umat Islam amat kedekut untuk memberI sumbangan kepada madrasah/pondok, walaupun institusi itu mengajar agama. Agama mereka sendiri. Berbeza dengan negara Arab dan India/Pakistan/Bangladesh. Sila baca artikel berkenaan dalam blog ini.


Inilah antara punca-punca sistem pengajian agama Malaysia tidak boleh berdiri setanding dengan negara-negara lain.

Namun amat disyukuri telah ada sebahagian umat Islam yang telah mendirikan madrasah yang mempunyai Dauratul Hadith dan mengajarkan kitab-kitab yang bermutu tinggi. Usaha ini wajib disokong oleh semua umat Islam di negara ini.

BOIKOT USTAZ-USTAZ TAMAK

SAYA pernah mendengar bahawa ahli-ahli panel Forum Ehwal Islam yang disiarkan di RTM1 menerima bayaran ribuan ringgit untuk setiap kali forum. Walaupun isi forum itu adalah terlalu ringkas dan tiada jauh bezanya daripada kuliah-kulian di masjid.

Saya juga pernah dengar ada ahli majilis fatwa negeri (bukan Pulau Pinang) yang meminta RM200 untuk setiap kali kuliah di sebuah masjid Seberang Perai.

Di daerah tersebut juga ada ustaz yang mendapat RM100 untuk setiap kali kuliahnya yang hanya sebulan sekali.

Saya pernah dengar ada ustaz di Gerik (daerah tercinta) yang berkata: saya terpaksa berhenti mengajar di surau ini kerana harga minyak naik dan dapat (duit) sikit sahaja dari surau ini.

Saya mendengar daripada seorang wartawan Utusan Malaysia yang bertugas di Seberang Perai bahawa dia pernah bertemu dengan seorang exco di Pulau Pinang yang berkata bahawa mereka telah jemu dengan perangai ustaz-ustaz yang meminta bayaran terlalu tinggi. Tapi mereka terpaksa memanggil juga ustaz yang berkenaan untuk meyempurnakan majlis atau program yang telah ditetapkan.

Seorang kawan saya yang pernah belajar di Pakistan berkata: suatau ketika orang-orang Russia pernah menghasut pendudk Cechnya dengan berkata: apa perlunya ulama, mereka hanya meminta duit daripada kamu sahaja.

Sekiranya seorang ustaz yang telah punyai kerja tetap dengan gaji yang cukup ataupun lebih, maka adalah amat buruk jika ia menyusahkan orangramai dengan meminta wang yang banyak setiap kali mengajar agama, buruk kerana ketamakannya. Sepatutnya wang yang banyak itu disumbangkan kepada fakir/miskin yang amat memerlukan. Sedangkan ustaz berkenaan hidup mewah dengan rumah dan kereta besar, perabot yang mahal-mahal dan harta-harta lain yang banyak. Manakala si fakir/miskin hidup dalam rumah yang yang boleh dipanggil reban ayam atau kandang kambing.

Mereka akan membuat berbagai alasan untuk mencantikkan sifat tamak mereka itu, dan mereka terlupa keadaan umat Islam yang semakin hanyut dalam arus dosa. Mereka biasa beralasan, jika kamu boleh beri wang yang banyak untuk membeli benda sia-sia, mengapa tidak boleh beri wang untuk kuliah agama.

Tidak salah menerima wang hasil dari mengajar agama, tapi dengan syarat bahawa ustaz berkenaan memang tidak punya wang yang cukup untuk sara hidup dan tidak meminta bayaran yang terlalu tinggi sehingga RM100/200 sekali kuliah. Mereka kena ingat bahawa agama bukan untuk didagangkan, tetapi sebagai amanah yang perlu dipikul dan disampaikan kepada orang lain. Jangan kiaskan diri mereka dengan tv atau radio atau penyanyi yang memang sia-sia apabila mengeluarkan duit untuk dibayar kepada mereka. Yang lebih buruk lagi apabila ada sebahagain ustaz yang enggan menerima jemputan ceramah/kuliah di mana-mana surau/masjid kerana bayaran yang murah dan membuat alasan; saya sibuk. Tapi bila AJK masjid/surau berkenaan up dua kali ganda ia akan menjawab: boleh semak jadual saya dulu.

Memang saya pernah mendengar rungutan dari AJK masjid yang serba salah kerana hasil masjid tidak cukup untuk dibayar kepada ustaz yang mata duitan itu. Si mata duitan ini pula bukannya alim sangat pun. Isi kuliah lebih banyak hikayat daripada ilmiah. Memang tidak layak mengajar tafsir ataupun kitab apa-apa pun. Yang lebih saya rasa menyampah ada ustaz yang bercerita kisah Siti Nurhaliza dan Ashwarya Rai dalam masjid ketika mengajar. Masjid ialah tempat cerita akhirat bukan tempat bercerita perkara-perkara batil. Tapi AJK masjid tidak terfikir pula nak pecat ustaz karut ini.

Sikap sebegini akan menyebabkan seluruh umat Islam membenci mereka dan akan semakin jauh dari agama.

Marilah kita BOIKOT USTAZ TAMAK! Ramai lagi ustaz-ustaz yang tidak mengenakan apa-apa bayaran pun di atas kuliah/ceramah mereka dan mereka ini lebih berilmu daripada para mata duitan tadi.

PENDIDIKAN ISLAM YANG SYUMUL

Orang ramai sering berkata: untuk menjadikan remaja orang baik-baik mereka mesti diberikan didikan agama yang cukup. Apakah maksud ‘cukup’ itu? Sehingga sekarang tidak ada takrif mengenainya.

Pada saya pendidikan agama yang cukup ialah: didikan mengenai halal dan haram disertai dengan mengetahui balasan pahala kerana melakukannya, dan azab kerana meninggalkan amalan wajib atau melakukan perbuatan haram.

Semua umat Islam tahu solat lima waktu adalah wajib; diberi pahala jika dilakukan dan akan di azab di akhirat kerana meninggalkannya. Tapi peratus yang meninggalkan solat adalah lebih ramai daripada yang mengerjakannya. Kenapa jadi begini? Jawapanya ialah kerana mereka hanya tahu wajib dan haram sahaja tapi tidak mengetahui balasan-balasan nikmat dan azab mengenai solat dengan lebih terperinci.

Begitu juga puasa, semua orang Islam tahu ianya wajib, tapi ramai yang tidak puasa dan sering berlumba lari dengan pegawai pencegah maksiat kerana diserbu ketika makan pada waktu siang. Ini adalah kerana mereka tidak tahu secara detail pahala dan balasan nikmat di syurga untuk orang yang berpuasa dan jahil azab yang akan menimpa mereka kerana meninggalkannya.

Semua orang Islam tahu zina adalah haram, tapi kerana mereka tidak tahu azab-azab yang menanti mereka samada di dunia, alam kubur atau di akhirat, sebab itulah makin ramai umat Islam di negara melakukan amalan dosa besar itu. Tidak kira tua ataupun muda setiap hari melakukan zina.

Ringkasnya, setiap amalan daripada wudhuk, mandi wajib dan lain dalam bab taharah; solat, zakat, puasa, haji; muamalat, munakahat dan jenayah, mesti diajarkan kepada semua umat Islam lengkap dengan fadhail dan inzar (amaran azab). Dengan ini barulah dipanggil ‘pendidikan agama yang cukup.’ Kerana syariat Allah yang termaktub dalam Al Quran dan As Sunnah datang lengkap dengan kaifiyat melakukan, disertai dengan janji balasan baik di dunia, alam kubur dan alam akhirat; dan janji azab kerana meninggalkan/mengabaikan amalan wajib dan melakukan perkara haram.

Lihatlah dalam wudhuk, ulamak telah menggariskan syarat dan rukun berdasarkan Al Quran dan Sunnah. Di samping itu Quran juga menyebut kebaikan (fadhail) yang akan diperoleh umat Islam yang mengambil wudhuk. Di dalam Sunnah dinyatakan azab-azab kerana mengabaikan wudhuk. Inilah pakej lengkap pendidikan Islam, yang boleh dipanggil: pendidikan yang cukup.

Cuma sekarang ini umat Islam di Malaysia (atau seluruh dunia?) tidak lagi mendapat pendidikan yang syumul ini. Sebabnya kerana para ulama mengabaikan cara ini. Sepatutnya kaedah tarbiah syariat ini dimulakan sejak tahun satu lagi di sekolah rendah sehingga ke peringkart universiti. Pondok-pondok dan sekolah agama rakyat (SMAR) pun tidak mengajar kitab khusus mengenainya. Ertinya kejahilan mengenai balasan nikmat dan azab telah berleluasa di dunia Islam. Ulamak hanya sibuk dengan fiqh dan falsafah dan terlupa mendidik umat. Ada yang mengejar dunia sehingga lupa peranan sebenar mereka. Jika ceramah/kuliah yang diadakan dikenakan bayaran beratus ringgit, memang terbukti mereka menjadikan agama sebagai alat mengejar kemewahan. Sepatutnya ulama/ustaz yang dah bergaji cukup tidak mengenakan apa-apa bayaran untuk penyampaian ilmu mereka. Mari kita boikot ulama/ustaz yang minta duit mengajar walaupun dah punya dapat gaji beribu ringgit dan melebihi daripada tahap cukup. BOIKOT USTAZ TAMAK! Punca kejatuhan Islam ialah ulama/ustaz yang tamak yang tidak menegakkan hukum Islam dan lebih suka mengampu menteri-menteri supaya mendapat habuan lumayan.

Saya cadangkan supaya buku-buku teks pendidkan Islam dari Tahun Satu hingga ke peringkat paling tinggi dimuatkan kaedah tarbiah ini. Pondok-pondok hendaklah menjadikan kitab yang berkaitan dengannya sebagai kitab wajib. Sebagaimana nahu dan sorof dijadikan m/pelajaran wajib. Di masjid/surau juga perlu dibacakan kitab yang mempunyai isi yang telah disebutkan tadi.

Antara kitab yang boleh dijadikan bahan rujukan untuk penulis buku teks, dan digunakan di pondok dan iniversiti ialah Az Zawajir karangan Syaikh Ibnu Hajar Al Haitami, Riyadhus Solihin oleh Imam Nawawi dan Ihya Ulumiddin tulisan Imam Al Ghazzali. Kitab terkini yang lebih lengkap ditulis oleh Syaikhul Hadis Maulana Muhamad Zakariyya bernama Fadhail A’mal. Di dalam kitab-kitab tersebut ditulis ayat Al Quran dan Hadis mengenai balasan-balasan baik dan azab-azab pada semua amalan.

Syarat dan rukun yang dipelajari akan membetulkan amal ibadat. Balasan baik yang diketahui akan melahirkan semangat untuk melakukan amalan dan harapan (ihtisab) terhadap nikmat yang dijanjikan. Balasan azab yang diketahui akan melahirkan rasa takut untuk melakukan maksiat. Inilah tarbiah lengkap.

Sepatutnya semua jamaah Islam menggunakan cara ini untuk menerapkan tarbiah islamiah kepada para ahlinya. Saya pernah mencadangkannya kepada sebahagian ahli sesetengah jamaah Islam di Gerik supaya kaedah ini pakai di dalam program usrah mereka, tapi dijawab ini adalah cara Tabligh. Ini adalah tanda kejahilan mereka yang berkenaan, kerana ia bukan cara Tabligh tapi cara Allah dan semua nabi-nabi. Apabila Al Quran dan hadis menceritakan fadhail bererti itulah cara yang dilakukan oleh Allah taala dan Nabi kita Muhammad saw. Semua nabi-nabi adalalah diutus untuk menceritakan fadhail dan untuk inzar (memberitahu ancaman azab)

Ada pemimpin sesetengah gerakan/jamaah Islam di negara ini pernah berkata bahawa mereka ingin melahirkan ahli/umat yang ‘ruhban fil lail wa fursan fin nahar’ (ahli ibadat pada waktu malam dan tangkas berjuang pada waktu siang). Sekiranya cara yang saya bentangkan ini tidak digunakan, maka apakah cara yang mereka boleh buktikan lebih berkesan.


والله أعلم

SUKATAN PELAJARAN SEKOLAH AGAMA

Pada pandangan saya sukatan pelajaran Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) amat baik dan tepat sebagai sukatan pertengahan untuk melahirkan insan berilmu agama. Mata pelajaran STAM amat lengkap, hanya satu subjek yang amat penting iaitu Usul Fiqh dicicirkan daripada sijil berkenaan padahal mata pelajaran ini diajarkan di Maahad Al Azhar, yang kitab STAM berasal dari sana. Ini telah menjadikan sijil ini pincang dan tidak lengkap. Ilmu Arudh pada saya tidak perlu diajarkan di sini, ia patut diganti dengan Usul Fiqh.

Dan kitab-kitab STAM juga tidak boleh sama sekali dijadikan bahan asas untuk mengajar Nahu dan Sorof. (para pengajar STAM sila ambil perhatian). Kerana ia ditulis khas untuk anak-anak Arab yang bertutur dengan bahasa tersebut. Apabila diajarkan kepada umat Melayu yang tidak tahu cara bercakap dengan bahasa tersebut maka berlakulah pembaziran tenaga dan masa.

Nahu dan Sorof adalah untuk memahami teks bahasa Arab dengan lebih jelas dan mendalam. Maka ia keduanya mesti dimulai dari peringkat paling asas. Tiada asas bererti tiada pertengahan dan peringkat tinggi, sebagaimana lemahnya asas adalah punca lemahnya pertengahan dan tahap tinggi. Kitab nahu dan sorof kelas Peralihan STAM bukan peringkat asas dengan nisbah orang Melayu. Apabila guru yang mengajarnya tidak berfikir panjang, terus saja mengajar kitab berkenaan, maka boleh dilihat berlaku kesilapan dalam sistem pendidikan Islam di Malaysia.

Umat Melayu wajib memulai belajar sorof dahulu dan dimulai dengan tasrif gantinama, iaitu yang dmulai dengan huwa- huma –hum, (ila akhirih.) Kemudian tasrif fe’el madhi, mudhari’ masdar, isim fai;, isim maful, fe’el amar, fe’el nahi, isim tempat dan masa hingga isim alat. Ini mesti dikuasai dulu, barulah dimulai dengan kitab setaraf matan Al Ajurrumiyyah.

Kalau cara seperti ini tidak dilaksanakan kepada umat Melayu saya tidak percaya mereka akan dapat membaca kitab Arab sampai bila-bila pun. Sila baca artikel lain dalam blog ini.

Saya pernah terbaca bahawa Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah berkata: (maksud lebih kurang) “sekolah Arab kena perbaiki bahasa Arab.” Ini menunjukkan bahawa sistem sekolah Arab Malaysia memang LEMAH.

Saya pernah mengajar tuisyen bahasa Arab kepada para pelajar di JKR Base Camp di Gerik, selama hampir sebulan, ketika cuti semester. Apabila saya bertanya kepada seorang pelajar perempuan yang ketika itu belajar di tingkatan tiga di sebuah sekolah agama yang masyhur di Baling, cuba buat ayat: ‘saya telah pergi ke Baling’ dalam bahasa Arab, dia menjawab: Ana zahab ila Balinj/g (yang betul: zahabtu). Saya amat terkejut, kerana sepatutnya ayat begini dia telah boleh membuat dengan betul pada bulan pertama persekolahannya, bukannya pada tahun ke tiga masih tidak betul.

Cara yang saya cadangkan ini, telah membolehkan para pelajar membaca teks Arab seawal tahun kedua. Teks yang dibaca bukannya ayat pendek seperti yang disebut oleh pelajar perempuan tadi, tapi ialah kitab Taudihun Nahwi kelas empat STAM, yang merupakan syarah Alfiyyah Ibni Malik. Kitab ini kemudiannya saya ajarkan mereka bersama Kitab Taudihus Sorfi sampai khatam keempat-empat jilid.

Pelajar yang saya maksudkan ini bukannya pelajar yang terlalu pintar, sederhana sahaja, tetapi kerana cara yang betul, kaedah yang diamalkan secara tradisi oleh pondok-pondok ini telah menunjukkan bukti yang terlalu cemerlang. Anda akan berasa taajub melihat pelajar yang berusia 17 tahun boleh membaca Taudihun Nahwi 99 % betul barisnya. Pelajar berkenaan juga mampu membaca kitab Al Iqna, sebaik itu juga.

Saya tidak percaya ada pelajar yang mampu membaca kitab-kitab STAM, dengan belajar dari kitab STAM sahaja.

Selepas STAM, pelajar yang lulus dengan ‘mumtaz’ akan melanjutkan pelajaran di al Azhar. Selepas mendapar ijazah Sarjana Muda, ramai yang akan balik, samada untuk cari makan ataupun menyambung master di university tempatan. Namun amat diharapkan mereka benar-benar mampu menguasai kitab-kitab Arab, sebelum melanjutkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Saya syorkan kepada lepasan Azhar yang ingin (dan sepatutnya) mendalami ilmu tafsir dan hadis, melanjutkan pelajaran mereka di pusat pengajian yang menghajarkan tafsir secara mendalam, yang membahaskan qaul aimmah dan segala yang berkaitan dengan tafsir. Dan juga yang mengajarkan Sunnan Sittah dengann cara perbahasan yang sama. Kalau belajar ilmu separuh jalan saja akan lebih bahaya daripada orang jahil. Mereka juga sepatutnya mendalami ilmu fiqh. Jangan berpuas hati dengan sijil yang ada sahaja.

Sekarang di Malaysia telah ada madrasah yang mengajarkan sunnan sittah dengan perbahasan mendalam, dalam tempoh yang singkat sahaja, tidak perlu berbelas tahun. Madrasah ini juga mengajar ilmu tafsir dengan cara yang sama. Cara ini telah mulai luput daripada pondok-pondok di Malaysia, dan tiada lagi pondok yang mengajarkan Sunan Enam ini dalam masa singkat.

Di Bukit Mertajam ada madrasah yang mengajarkan kitab Misykah (sebanyak 6 ribu hadis) dengan perbahasan Empat Mazhab dan segala aqwal imam dalam masa dua tahun sahaja. Kitab tafsir Jalalain juga selama dua tahun dengan cara yang sama. Ini menunjukkan kemajuan dalam Ilmu Islam di negara ini. Berbanding dengan sesetengah pondok yang mengajar kitab sahih Bukhari dan Muslim hingga berbelas tahun, dan kitab Jalalain lebih daripada tiga tahun walaupn kitab-kitab ini tidak dihuraikan secara mendalam.

Adalah satu perkara yang amat buruk apabila ada ustaz yang memegang ijazah, master atau PhD yang tidak tahu membaca kitab bahasa Arab. Lebih buruk lagi ada manusia yang tidak mahir fiqh (fekah), usul fiqh dan qawaid fiqhiyyah dilantik menjadi mufti.

Inilah masa menyusun kembali system ilmu Islam di negara ini. Ini hanyalah sebahagian cadangan awal.

Khamis, 23 Julai 2009

POLIGAMI

Di dalam kes poligami, kaum lelaki dan wanita masing-masing mempunyai salah faham. Salah faham lelaki ialah menganggap poligami sebagai satu sunnah penting, yang patut di amalkan oleh semua lelaki. Sebenarnya sebahagian ulama, seperti Syaikh Ibnu Hajar al Haitami, mengatakan tidak perlu bernikah lebih dari seorang melainkan jika ada keperluan yang jelas. Ramai orang Islam di negara ini menganggap poligami adalah berpahala besar dan amat baik dilakukan. Entah darimana fatwa ini diambil. Wanita pula bersalah kerana tidak boleh menerima poligami dan menentangnya seolah-olah satu dosa besar suami apabila beritahu nak kahwin seorang lagi. sehingga ada yang minta cerai, walaupun si isteri itu amat solehah, pakai purdah (tutup muka) lagi. Jika Allah telah membenarkan di dalam Al Quran, maka sepatutnya ia boleh diterima dengan hati yang terbuka. Saya takut penentangan mereka boleh merosakkan aqidah mereka: kerana menentang perkara yang halal.

Rabu, 22 Julai 2009

MASALAH ZAKAT

Pada setiap tahun pihak berkenaan dengan pengurusan zakat setiap negeri di seluruh negara akan mengumumkan jumlah kutipan zakat mereka. Jumlah wang zakat yang diperolehi memang banyak; berpuluh juta. Tapi kenapa masih ramai orang-orang miskin tegar yang diketahui dari akhbar, tv dan sebagainya.?

Saya pernah terbaca dalam sebuah majalah kisah seorang tua miskin yang telah berumur lebih daripada 80 tahun terpaksa bekerja dengan mencari tin-tin buruk untuk dijual dan hanya mendapat sekitar RM120 sebulan. Pusat zakat berkenaan hanya menyumbang sebanyak RM 137.40 sebulan. Apabila diminta peruntukan memperbaiki rumah, ditolak dengan alasan bahawa rumah orang tua itu didirikan di atas tanah yang tidak punyai geran. Maka hiduplah si tua itu dalam rumah yang bocor di sana sini.

Pada edisi lain saya membaca kisah seorang perempuan yang berusia lebih 60 tahun terpaksa menumpang di kilang orang lain sebagai tempat tinggal. Kerena kemiskinannya anak-anaknya tidak mendapat pendidikan sewajarnya.

Kalau disalim di sini segala kisah kemiskinan umat Islam maka laman blog akan jadi berpuluh jilid jika dijadikan buku.

Punca semua ini ialah samada zakat tidak diagihkan secara sebenarnya, sebaliknya wang zakat terbiar disimpan dalam bank, dan tidak semua fakir miskin diberikan wang berkenaan kerana pihak yang berkenaan malas mencari fakir miskin ke seluruh negeri terbabit. Pusat urus zakat hanya tahu berbangga dengan jumlah perolehan mereka, tapi amat tidak pandai membahagikan zakat kepada yang berhak menerima.

Punca lain ialah kerana wang zakat itu diselewengkan oleh pihak pengurusannya. Ini mungkin tidak berlaku, dan kita bersangka baik kepada mereka. Tapi sekiranya berlaku, sila bertaubat dan kembalikan wang yang telah dicuri sebelum ajal menjemput dan akan diazab dengan sepedih-pedihnya di neraka kelak.

Sebab lain ialah cara pengagihan zakat yang sangat tidak munasabah, contohnya seorang miskin hanya diberi RM137.40 sebulan. Dari manakah kaedah pembahagian ini diambil oleh pihak berkenaan? Hanya orang bodoh sahaja yang merasa wang sebanyak itu cukup untuk sebulan.

Menurut mazhab Imam Syafii, zakat yang diberikan kepada fakir miskin hendaklah mencukupi selama setahun. Pendapat lain dalam mazhab ini mengatakan bahawa diberi untuk cukup selama umur kebiasaannya (60 tahun) dan dengan wang itu fakir miskin boleh membeli perlatan untuk bekerja sendiri samada berniaga atau bertukang.

Sekiranya zakat diagihkan mengikut cara yang digariskan oleh para ulamak, dengan adil dan dan penuh kejujuran pastilah nasib orang miskin akan berubah. Setiap orang yang bekerja di mana-mana pusat urus zakat sama ada orang atas atau orang bawah wajib menunaikan amanah mengagihkan zakat. Orang yang memberikan zakat mengharapkan pahala dan agar zakat mereka sampai kepada orang yang berhak. Kalau tak mampu laksanakan dengan tugas baik cari kerja lain. Kalau teringin nak sapu duit orang lain kuatkanlah iman dan banyaklah bersabar, kalau tak mampu melawan keinginan tersebut, sila kerja di tempat lain. Sesiapa yang bekerja di sana tapi tidak menunaikan tanggungjawab dengan sempurna, maka ia telah menyebabkan orang miskin makin miskin, dan orang yang membayar zakat tidak mendapat pahala penuh kerana zakatnya tidak sampai kepada mereka,.ini adalah dosa besar yang mengundang azab berat di akhirat.

Telah banyak diketahui daripada akhbar dan lain-lain bagaimana orang yang berhak zakat tidak dilayan dengan sebaik-baiknya, malah pegawai yang bertugas terlalu cerewet dan banyak soal tapi akhirnya zakat tidak diberi juga. Akhirnya ada yang melakukan jenayah untuk memenuhi keperluan hidup seharian.

Penyelewengan lain ialah wang zakat dilaburkan pada tempat yang salah. Contohnya ia digunakan untuk didirikan bangunan kemudian bangunan itu disewakan dan wang hasilnya diberikan kepada faqir miskin. Ada penulis dahulu yang mengesyorkan cara ini. Cara ini adalah amat merugikan orang miskin. Kerana keuntungannya pelaburan tersebut belum tentu diperoleh dan sampai kepada orang miskin. Kenapa cadangan ‘bodoh’ ini disokong pula oleh orang yang juga tidak nertanggungjawab?

Kerana kelemahan pembahagaian zakat inilah ramai umat Islam yang tidak mahu memberikan zakat kepada pusat zakat, sebaliknya menghulurknnya terus kepada orang berhak. Tidak ada gunanya berkempen menyuruh umat Islam membayar zakat kepada pusat berkenaan sekiranya wang zakat tidak sampai kepada faqir/miskin.

Punca lain ialah ada orang-orang kaya yang tidak mahu membayar zakat. Mereka terus menjadi kaya, dan membiarkan si miskin terus miskin. Jenayah akan bertambah, dan akan menyusahkan orang kaya juga akhirnya.

Tidak perlu difikirkan pinjaman dengan skala kecil kepada orang susah, hanya uruskan zakat dengan adil, maka tidak akan timbul masalah ah long mendera peminjam. Kerajaan akan dianggap bijak dan amanah jika berjaya menyelesaikan masalah kemiskinan. Jangan hanya kecoh di akhbar nak basmi kemiskinan supaya rakyat pangkah dalam pilihanraya. Tunjukkan bukti bahawa para menteri memang bijak. Dan jangan sampai pembangkang menuduh menteri kurang cerdik dan tidak amanah.

Khamis, 28 Mei 2009

SIKAP UMAT ISLAM MALAYSIA TERHADAP SEKOLAH AGAMA

Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) atau disebut juga Sekolah Arab, adalah dipinggirkan oleh umat Islam Malaysia. Maksud saya dipimggirkan oleh majoriti umat Islam. Sedangkan sebahagian kecil mereka masih menghantar anak merekabelajar di sana.

Pada beberapa tahun sebelum ini Mahathir telah menghentikan bantuan perkapita kepada SMAR seluruh negara. Orang yang mula-mula tersentak tentulah para gurunya dan kemudian orang-orang PAS mulai melahirkan rasa marah mereka dengan tindakan jahil mantan Perdana Menteri itu. Ketika itu saya tidak lagi mengajar di SMAR.

Kemudian diadakan debat antara Salahuddin Ayub yang ketika itu adalah ketua Pemuda PAS, dengan Nazri Aziz. Saya menyokong Salahuddin kerana dia di pihak yang memepertahankan SMAR. Tapi saya rasa hujah Nazri Aziz ada juga benarnya. Katanya (maksudnya lebih kurang): ini adalah sekolah agama rakyat, rakyatlah yang kena tolong mereka.

Kata-kata Nazri itu membuka satu pemikiran: Rakyat kena tolong, dan kerajaan tak payah tolong SMAR. PAS menyokong SMAR, kerana itu mereka mengadakan ceramah untuk membantah dan solat hajat untuk menyelamatkan SMAR daripada kejahilan Mahathir. Tapi saya rasa itu belum cukup. Sekiranya kerajaan dah sekat bantuan apakah PAS tidak boleh wujudkan bantuan untuk SMAR? Sepatutnya PAS kerahkan semua ahlinya untuk membantu mana-mana SMAR yang mereka kuasai dengan sumbangan tetap setiap bulan. Ketika saya mengajar di sebuah SMAR di Gerik, semua AJKnya adalah ahli PAS, kecuali seorang saja UMNO. Kalau PAS benar nak berjuang, mereka sepatutnya tidak payah melenting kalau UMNO tamatkan bantuan, kerana mereka ada hampir sejuta ahli yang sekiranya setiap seorang menyumbang RM5 sahaja sudah cukup untuk memajukan dan memewahkan sekolah yang mereka kuasai.

Perbuatan Mahathir itu telah membuka satu fakta bahawa orang-orang PAS yang mengaku berjuang utnuk Islam masih bingung untuk memperjuangkan sesuatu yang amat penting. SMAR adalah aset berharga umat Islam di Malaysia yang mesti diperbaiki dan dimajukan.

Ini berbeza sekali dengan madrasah-madrasah di sebahagian negara Arab, contohnya Syria, India, Pakistan, dan barangkali di Bangladesh. Di sana madrasah hidup dan maju hanya dengan bantuan orang ramai samada kaya ataupun miskin. Saya dengar daripada ramai kawan-kawan yang pernah belajar di sana bahawa semua madrasah tidak meminta yuran apa-apa pun, malah memberikan makan percuma kepada semua pelajar dan ada madrasah yang memberikan wang saku setiap bulan kepada pelajarnya. Madrasah ini dibiayai oleh kilang yang berhampiran mereka, zakat pun diberikan kepada mereka. Ini sumbangan orang kaya. Saya dengar di India orang miskin sanggup menyara walaupun hanya roti, kepada seorang pelajar setiap hari. Ada yang tidak mampu memberi wang, tapi mereka menyumbang makanan kepada pelajar madrasah. Ada kawan saya ketika belajar di Syria mendapat wang zakat sampai beribu-ribu ringgit.

Inilah perjuangan sebenar untuk menegakkan Islam. SMAR yang menyediakan pendidikan Islam peringkat awal sebelum mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, wajib dibantu oleh semua umat Islam samada mereka UMNO atau PAS. Dengan ini SMAR tidak perlu menagih apa-apa dari kerajaan kerana kerajaan memang tidak berhasrat menolong SMAR. Contoh umat Islam di negara-negara Arab, India dan Pakistan amat perlu dicontohi oleh orang Islam di negara ini.

Sekarang ini telah ada sebahagian umat Islam yang mulai mengambil contoh dari saudara mereka dari luar negara tersebut. Telah banyak madrasah yang didirikan yang hanya dibiayai oleh orang tempatan dan tidak menerima sesen pun bantuan perkapita dari kerajaan. Tetapi yang membiayai secara tetap adalah orang Jamaah Tabligh sahaja, sedangkan orang kampung berdekatan samada PAS ataupun UMNO hanya bagi sekali- sekala saja.

Di negara ini umat Islam, walaupun kaya, ramai yang masih kedekut untuk meyumbang kepada pusat pengajian Islam. Sebahagian mereka lebih suka memberi sumbangan untuk menyelamatkan orang utan daripada meyelamatkan institusi pengajian Islam. Kesiannya mereka.

Para ustaz yang telah berkorban untuk mendidik anak-anak orang Islam sepatutnya diberikan sara hidup yang cukup. Sekarang ini guru-guru di SMAR dan juga madrasah-madrasah tidak diberikan gaji yang cukup untuk makan minum dan kehidupan sosial mereka. Tugas ini adalah tugas asal kerajaan, tapi diabaikan. Sebaliknya bantuan dan sokongan dilebihkan kepada atlit dan artis, walaupun sebenarnya atlet dan artis tidak menyumbang apa-apa pun untuk kerohanian umat Islam. Bahkan mereka adalah berjuang untuk mencari kekayaan. Dan artis adalah perosak masyarakat samada tua ataupun muda.
Apabila kerajaan mengabaikan maka tugas menjaga kebajikan para guru agama (yang berkelayakan sahaja) adalah wajib dilaksanakn oleh seluruh rakyat yang beragama Islam. Setiap orang yang mampu adalah berdosa kerana membiarkan para ustaz hidup dalam kesempitan. Dan berdosa juga kerana membazirkan wang menolong atlet dan artis yang tidak menyumbang apa-apa untuk keabaikan agama.

ALAHAI SEKOLAH ARAB

Ketika masih remaja saya amat kagum kepada orang yang mempunyai sijil Empat Sanawi. Saya anggap mereka mempunyai banyak ilmu. Dan saya rasa itulah juga pandangan masyarakat semuanya.

Tetapi setelah saya mulai belajar agama, dan beberapa tahun selepas saya berhenti daripada pengajian, saya dapati rupanya Sijil Empat Sanawi hanyalah asas yang amat lemah dalam pengajian Islam.

Sebab saya berkata begini ialah kerana saya telah temui ramai ustaz-ustaz lepasan sijil ini yang tidak pandai baca kitab Arab yang tidak berbaris. Ertinya mereka tidak mengetahui I’rab (sebab perubahan baris) pada setiap perkataan di dalam teks bahasa Arab. Apabila mereka tidak boleh membaca teks tidak berbaris, ertinya mereka tidak akan tahu maksud teks yang berbaris dengan sebenarnya. Saya telah temui mereka di merata tempat di Malaysia; di Gerik Perak, Kelantan, Johor, Kedah, Pulau Pinang, dan saya kira di tempat lain pun akan sama seperti ini.

Pada tahun 90 an, sekolah agama rakyat tempat saya mengajar ketika itu telah memilih saya mengikuti kursus yang dinamakan ‘Kursus Kitab Turath’ di Ipoh. Kursus yang dianjurkan Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Perak itu diadakan selama lima hari setiap bulan sehingga setahun. Kursus berkenaan adalah untuk memantapkan penguasaan kitab Arab di kalangan para guru yang mengajar di sekolah agama rakyat seluruh negeri Perak. Di dalam kursus/pengajian ini para peserta diminta membaca kitab dihadapan guru yang terdiri daripada ahli Majlis Fatwa Perak, termasuk Dato’ Mufti.. Kursus ini memang baik. Kerana ternyata para peserta yang terdiri daripada ustaz-ustaz lepasan Empat Sanawi memang tidak boleh membaca kitab Arab yang tidak ada baris! Yang boleh membaca, kalau tidak silap saya, lima enam orang sahaja, tak sampai sepuluh orang pun. Itupun yang pernah belajar di pondok. Sedangkan yang semata-mata belajar di sekolah arab sahaja, terkial-kial macam tadika arab. Jika ustaz yang mengajar tidak pandai baca kitab, macamana mereka nak ajar murid mereka jadi pandai? Macam ketam la.

Selepas itu barulah boleh difahami kenapa ustaz-ustaz Empat Sanawi yang saya temui di Gerik sama macam mereka juga. Macamana guru, begitulah muridnya.

Ada seorang ustaz lepasan sekolah arab yang terkenal di Baling, Kedah datang memohon mengajar di sekolah tempat saya mengajar, ketika itu saya masih muda, 20 an, hensem lagi. Sebab kami tak cukup guru, pengetua terima saja, dan maklumlah, Empat Sanawi. Tetapi bila dia mula mengajar, barulah saya tahu rupanya ustaz ini perkara yang amat asas pun ada yang dia tak tahu. Ketika ini sekolah kami dah mulakan pengajian STAM. Sekejap saja selepas itu, ustaz itupun berhenti. Tak lepas pi nak ngajar kot.

Saya mengajar selama lima tahun di sekolah ini, pelajar tingatan lima, semuanya, tidak boleh baca kitab Arab yang tidak berbaris.

Saya pernah pergi ke Kelantan dan bertemu seorang ustaz yang mengajar di sekolah menengah kerajaan. Beliau adalah lepasan sebuah maahad yang terkenal di sana, mengakui bahawa dia memang tidak pandai/mahir membaca teks bahasa Arab. Katanya, hanya pelajar pondok yang boleh membaca dengan baik.

Ketika berkunjung ke Batu Pahat, Johor saya temui seorang peguam yang pernah belajar di sekolah Darjah Khas Negari Johor. Apabila ditanya: anta boleh baca kitab yang tak berbaris? Dia menjawab boleh sikit-sikit. Tapi bila dia baca, rupanya dia tidak reti langsung.

Di Pulau Pinang, seorang bekas pelajar sekolah agama yang kini jadi sekolah cluster (kalau salah sila betulkan), yang mendapat SPM gred Satu, datang memohon belajar di sebuah madrasah yang mengajarkan kitab-kitab yang sama dengan kitab pondok. Ketika ditemuduga, pelajar ini rupanya hanya layak masuk kelas satu. Tetapi kerana dia dah tua, ustaz di madrasah itu kesian kat dia, bagi masuk kelas dua. Dan ketika di kelas dua, apabila ustaz menyuruhnya membaca kitab arab dalam waktu kelas, bacaannya adalah yang terburuk dalam kelas tersebut. Satu pun tak betul! Tak sampai enam bula dia pun berhenti.

Yang paling mengejutka, saya dengar ada lepasan PhD yang tidak boleh membaca kitab Arab. Ma sya Allah! Tapi syukur orang itu sekarang belajar balik bahasa Arab dengan kitab yang paling rendah. Ini menunjukkan bahawa selepas atau ketika mengambil SPM ia juga ambil Empat Sanawi, kemudian masuk universiti sampai PhD. Maka penguasaan Arabnya yang telah lemah berlarutan sampai ke PhD. Ini PhD, kalau setakat ijazah BA, memang bersepah yang tak boleh baca kitab Arab.

Kenapa Jadi Begini? Nama saja Sekolah Arab ataupun Sekolah Agama Rakyat, tapi baca teks Arab tak boleh pula. Ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena pada sistem pengajian mereka.

Ada pihak mendakwa punca pelajar sekolah arab tak boleh menguasai teks bahasa Arab ialah kerana mereka terpaksa belajar terlalu banyak mata pelajaran, iaitu pelajaran-pelajaran STAM dan SPM, sebab itu mereka lemah.

Dakwaan ini boleh diterima pada pelajar yang terlibat dengan Empat Sanawi atau STAM dan SPM serentak. Tapi sekiranya semasa STAM belum ada lagi alasan ini tidak boleh diterima. Ustaz-ustaz yang saya temui di atas ada sebahagian mereka yang hanya belajar subjek Empat Sanawi sahaja selepas mengambil SPM, tapi masih tak mahir teks bahasa Arab.

Selepas lima tahun mengajar di sekolah arab di Gerik, saya dapati punca bagi semua kelemahan itu ialah kesilapan sukatan pelajaran yang dipraktikkan di sekolah Arab. Sekolah-sekolah Arab tidak mengajar bahasa Arab pada peringkat permulaan pada yang betul-betul asas. Buku bahasa Arab yang paling asas terbaik ialah yang bernama “Dhammun.” Namun ada sekolah yang tidak memulai dari kitab ini tapi terus ke peringkat yang lebih tinggi. Dan untuk STAM pula Bahasa Arab yang diajarkan ialah berdasarkan buku teks yang diambil dari Maahad Al Azhar. Bayangkan orang Melayu belajar bahasa Arab dengan teks yang khusus untuk orang Arab. Tentu amat sukar mereka memahaminya jauh untuk jadi mahir bahasa Arab.

Saya yakin mereka semua akan mahir bahasa arab jika mereka bermula dengan buku Bahasa Arab seperti “Dhammun.” Ini terbukti di pondok-pondok, walaupun pelajarnya, sebelum masuk pondok hanya lulus SPM dengan pangkat 3, tapi amat baik penguasaan terhadap kitab-kitab Arab yang agak tinggi juga seperti Fathul Muin, Al Iqna dan seumpamanya. Pelajar yang SPMnya lebih baik dari itu, mereka lebih baik lagi dari segi penguasaan kitab. Paling lama hanya tiga tahun sahaja mereka boleh mahir bahasa Arab.

Kitab Dhammun dimulakan dengan tasrif ganti nama dan kata perbuatan. Ertinya semua pelajar Melayu mesti mahir dengan tasrif dengan baik, kemudian belajar nahu arab dengan asas yang baik barulah mereka akan mahir. Jika tidak akan lahirlah ulamak penipu yang tidak banyak ilmu. Saya pernah lihat sendiri ada mufti (tidak disebutkan mufti negeri mana) yang bila ia mengajar dan membaca kitab Arab apabila ditanya : kenapa berbaris depan? Ia menjawab dengan selamba: tak tahu.

Untuk menjadi mufti , seseorang itu mesti mahir ilmu fiqh (fekah), usul fiqh dan qawaid fiqhiyyah. Kitab yang terbaik untuk ilmu-ilmu itu hanya di dalam bahasa Arab, jika mufti tak mahir kitab arab maka itulah mufti palsu. Dengar kata ada mufti yang belajar ilmu asbabul wurudil hadith sahaja, fiqh tak setara mana pun. Mufti apa ni?

Pada pandangan saya sebab lain pelajar tidak mahir teks Arab ialah kerana niat untuk mendapatkan keduniaan dengan belajar agama. Niat seperti itu adalah haram, maka orang yang buat dosa tidak akan diberi taufik untuk mendapat ilmu. Syaikh Ibnu Hajar al Haitami, menulis di dalam kitabnya Az Zawajir: bahawa antara punca ulama tidak menghukum dengan syariat ialah kerana niat mereka yang salah ketika belajar dulu.

Cara kedua untuk mereka memahirkan bahasa/teks Arab ialah dengan belajar asas Bahasa Arab dahulu. Ilmu-ilmu lain yang bukan teras dalam pengajian Islam hanya dipelajari selepas benar-benar faham asas bahasa Arab.

Cara lain ialah dengan membuat syarat untuk naik kelas dengan kemahiran bahasa Arab. Contohnya untuk naik ke kelas tiga, pelajar diwajibkan boleh membaca teks Arab dengan betul 80 peratus (contoh) pada akhir sessi pengajian kelas dua.

Wallahu a’lam bissowab.

Selasa, 26 Mei 2009

AZAB-AZAB ZINA

Allah taala telah berfirman, ertinya: “dan jangan kamu hampiri zina, kerana sesungguhnya zina adalah keji (fahisyah), dan jalan yang buruk.” (al-Isra’, 32)

Kata Ibnu Hajar al-Haitami: fahisyah adalah maksiat yang paling buruk. Fahisyah adalah merujuk kepada buruk pada pandangan akal, dan ‘jalan yang buruk’ merujuk kepada keburukan pada adat kebiasaan manusia.

Firman-Nya lagi, ertinya: “dan orang-orang yang tidak menyeru tuhan selain daripada Allah, dan tidak membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan hak, dan tidak berzina. Sesiapa yang melakukan perkara tersebut akan menemui ‘atham’ dan digandakan azab untuknya pada hari kiamat, dan kekal dalam keadaan hina di dalamnya, melainkan orang yang bertaubat dan beramal soleh, maka merekalah yang digantikan keburukan mereka dengan kebaikan, dan Allah maha pengampun, lagi maha mengasihani. (al-Furqan, 68-70)

Sebahagia ulama berkata, maksud ‘atham’ ialah satu daripada nama-nama neraka jahannam, sebahagian ulama mengatakan maknanya ialah satu lembah di dalam jahannam, ada ulama mengatakan itu ialah nama sebuah perigi di dalamnya.

Firman Allah lagi, ertinya: “penzina lelaki dan perempuan hendaklah disebat tiap seorang daripada mereka seratus sebatan. Dan jangan kamu merasa belas kasihan di dalam melaksanakan hukuman agama Allah jika kamu benar-benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Dan hendaklah hukuman yang dijalankan itu dilihat oleh sebahagian orang-orang Islam. (an-Nur, 52)

Larangan berbelas kasihan kepada mereka kerana mereka melakukan dosa yang paling besar selepas membunuh. Kerana itulah Allah telah menyebut zina seiring dengan syirik dan bunuh di dalam ayat di atas. (al-Furqan, 68-70)

Allah memerintahkan supaya hukuman sebat dijalankan di hadapan khlayak ramai supaya orang lain akan merasa takut disebat dan tidak akan melakukan zina.

Kata para ulama: barangsiapa yang berzina kemudian mati tanpa dihukum sebat dan tidak bertaubat, akan di azab dengan cemeti yang dibuat daripada api, sebagaiman ditulis di dalam kitab Zabur bahawa para penzina akan digantung dengan kemaluan mereka di dalam neraka dan dipukul kemaluan mereka dengan cemeti besi. Apabila mereka minta tolong dihentikan pukulan itu, malaikat akan berkata, “di manakah suara ini, sedangkan kamu dulu ketawa dan gembira. tidak merasakan Allah melihat kamu dan tidak malu kepada-Nya.”

Firman Allah taala di dalam surah al-Mu’minun, ertinya: “Sesungguhnya telah berjaya orang-orang yang beriman (1), (mereka ialah) orang yang khusyuk di dalam solat mereka (2), orang yang meninggalkan perkara sia-sia (3), orang yang menunaikan zakat (4), orang yang memelihara kemaluan mereka (5), kecuali terhadap isteri-isteri mereka dan hamba-hamba mereka, maka sesungguhnya mereka tidak dicela, (6) maka sesiapa yang mencari selain itu (isteri dan hamba perempuan), merekalah orang yang melampaui batas. (7)

Maksud “selain itu” ialah zina, liwat, dan megeluarkan mani dengan tangan.

Sambungan ayat di atas ialah: “dan orang yang menjaga amanah mereka (8), dan orang yang menjaga solat mereka (9), mereka ialah para pewaris (10), yang akan mewarisi syurga firdaus, mereka kekal di dalamnya (11).

Sabda Nabi sallallahu alaihi wa sallam, ertinya: “tiga golongan yang Allah tidak akan bercakap dengan mereka pada hari qiamat, dan tidak membersihkan mereka, dan tidak memandang kepada mereka: orang yang tua yang berzina, pemerintah yang menipu dan orang miskin yang sombong.” (Muslim, Ahmad, Nasai)

“Tidak akan masuk syurga orang miskin yang sombong, orang tua yang berzina dan orang yang mengungkit-ungkit amalan baiknya kepada Allah.” (At-Tabarani)

“Sesungguhnya para penzina akan menyala api di mukanya.” (At-Thbarani)

“Nabi (saw) bercerita bahawa beliau melihat di dalam mimpinya lelaki dan perempuan yang telanjang berada di dalam tempat yang seperti dapur yang sempit bahagian atasnya dan luas bahagian bawahnya. Api datang dari bawah mereka lalu mereka menjerit kesakitan. Apabila ditanya mengenai mereka dua lelaki yang bersamanya menjawab bahawa mereka ialah para penzina. (Al-Bukhari)

“Zina akan meyebabkan kemiskinan.” (Baihaqi)

“Umatku sentiasa berada di dalam kebaikan selagi tidak berleluasa perbuatan zina, apabila banyak berlaku zina hampirlah Allah akan mengumumkan (menyebarkan) mereka dengan azab.” (Ahmad)

“Selepas syirik, tidak ada dosa yang lebih besar daripada memasukkan air mani ke dalam rahim yang tidak halal.’ (Ibnu Abid Dunya))

“Umatku sentiasa dalam keadaan baik, urusan mereka tenteram selagi tidak ramainya anak zina.” (Abu Ya’la)

“Apabila nyata perbuatan zina, akan nyatalah kefakiran dan kemiskinan.” (al-Bazzar)

“Tidaklah zahir fahisyah (zina) di dalam satu kaum melainkan Allah akan menjadikan kematian menguasai mereka (banyak berlaku kematian).” (al-Hakim)

“Tidaklah zahir fahisyah (zina) di dalam satu kaum sekali-kali sehingga mereka dilaknat, melainkan akan tersebar penyakit taun di kalangan mereka, dan penyakit-penyakit yang tidak pernah ada pada umat sebelum mereka.” (Ibnu Majah)

“Di dalam jahannam terdapat sebuah lembah yang terdapat banyak ular. Setiap ekor ular adalah sebesar leher unta. Ia mematuk orang yang meninggalkan solat sehingga mendidih bisanya di dalam badan orang itu selama tujuh puluh tahun, kemudia akan gugur dagingnya. Dan sesungguhnya di dalam neraka jahannam ada sebuah lembah bernama ‘Lubang Kesedihan’ yang mengandungi ular-ular dan kala jengking. Kala jengkingnya sebesar baghal yang mempunyai tujuh puluh sengat. Pada setiap sengat ada racun. Ia menyengat penzina dan melepaskan bisanya di dalam tubuh penzina tersebut yang ia dapat merasakan kesakitan bisa itu seribu tahun, kemudian bercerai-berai dagingnya, dan mengalir nanah dan danur daripada kemaluannya.” (Zawajir)




“Sesiapa yang meletakkan tangannya dengan bernafsu pada seorang perempuan yang tidak halal baginya akan diikat dua tangannya ke lehernya pada hari kiamat. Jika ia menciumnya akan dipotong bibir mulutnya di dalam neraka. Jika ia berzina dengannya pahanya akan bercakap dan menjadi saksi perzinaannya pada hari kiamat. Pahanya akan berkata: aku melakukan perkara yang haram. Lalu Allah akann memandang kepadanya dengan murka maka gugurlah daging mukanya. Ia menafikannya dan berkata: aku tidak berzina. Lidahnya akan berkata aku berkata dengan perkara yang haram. Tangannya berkata: aku memegang perkara yang haram, matanya berkata: aku memandang perkara yang haram. Kakinya berkata: aku berjalan kepada yang haram. Kemaluannya berkata: aku melakukannya (zina). Kata malaikat hafazah: aku melihat. Kata malaikat yang lain: aku menulis. Firman Allah: Aku melihat dan aku sembunyikan. Firman Allah: Wahai malaikat-Ku tangkaplah dia, rasakan kepadanya azab-Ku. Aku amat murka kepada orang yang kurang merasa malu kepada-Ku.” (Zawajir)

“Sesiapa yang berzina denga isteri orang lain, kedua-duanya akan diazab di dalam kubur dengan setengah azab keseluruhan umat ini. Pada hari kiamat pahala si penzina itu akan diberikan kepada suami wanita itu. Ini sekiranya suaminya tidak mengetahui perbuatan zinanya. Sekiranya ia tahu dan mendiamkan diri, Allah akan mengharamkan syurga kepadanya suaminya, kerana di atas pintu syurga ditulis ‘kamu haram dimasuki dayus’” (Zawajir)

Dayus ialah suami yang mengetahui isterinya melakukan zina tetapi ia mendiamkannya dan tidak merasa cemburu.

“Jika seorang lelaki berzina dengan sepuluh orang perempuan lebih ringan daripada ia berzina dengan isteri jirannya.” (Ahmad)

“Orang yang berzina dengan isteri jirannya, Allah tidak akan memandang kepadanya pada hari kiamat, dan tidak akan membersihkannya. Allah akan berfirman kepadanya: masuklah neraka bersama orang lain yang masuk.” (Ibnu Abid Dunya)

“Sesiapa yang duduk di atas tempat tidur perempuan yang suaminya tiada di rumah Allah akan melepaskan seekor ular kepadanya pada hari kiamat.”(Tabarani)

Kata Syaikh Ibnu Hajar di dalam kitab Az-Zawajir aniqtirafil Kaba’ir: Zina mempunyai beberapa peringkat: Zina dengan perempuan asing yang tidak bersuami adalah dosa besar. Lebih besar dari itu ialah zina dengan perempuan asing yang bersuami. Lebih besar dari itu ialah zina dengan perempuan mahram. Zina orang yang telah berkahwin adalah lebih besar dosanya dariapada zina orang yang belum berkahwin. Zina orang tua adalah lebih besar dosanya daripada zina orang muda.

Segala dosa akan digandakan mengikut tempat dan waktu digandakan pahala, seperti hari Jumaat, bulan Ramadhan dan di Tanah Haram Makkah. Zina pada waktu dan tempat ini juga akan digandakan azab melebihi selainnya.

Jumaat, 30 Januari 2009

Kata Hikmah

tiada manusia yang jatuh ke darjat rendah melainkan mereka yang meninggalkan rasa hormat.