Dari Abu Hurairah, sabda Nabi Muhammad, selawat dan salam ke atas baginda, ertinya:
“Sekiranya aku boleh menyuruh seseorang sujud kepada seseorang manusia, nescaya aku akan suruh perempuan sujud kepada suaminya.” (riwayat Imam Tirmizi, hasan sahih, Ibnu Hibban, sahih)
Dalam riwayat Abu Daud, dari Qais bin Saad:
“Sekiranya dibenarkan aku menyuruh seseorang sujud kepada orang lain aku akan menyuruh para wanita sujud kepada suaminya kerana hak yang Allah berikan kepada suami mereka.”
Dalam riwayat lain: “tidak boleh seorang manusia sujud kepada seorang manusia, kalaulah dibenarkan aku akan suruh perempuan sujud kepada suaminya kerana besar haknya ke atas isterinya.” (Mirqatul Mafatih, 6/378)
Dalam sebuah hadis, Aisyah bertanya Rasulullah, selawat dan salam ke atas baginda: apakah hak yang paling besar ke atas seorang perempuan? Jawab baginda: Hak suaminya. (Al Bazzar, dengan sanad hasan)
“Seorang perempuan telah berkata: wahai Rasulullah, saya adalah wakil orang-orang perempuan untuk menemui tuan, kemudian perempuan itu menyebutkan pahala yang orang lelaki dapat di dalam jihad pada jalan Allah bersama harta rampasan perang,ia berkata: apakah habuan untuk kami pula? (kerana kami tak boleh turut berjuang). Jawab baginda: Sampaikanlah kepada perempuan yang kamu temui, bahawa sesungguhnya taat kepada suami dan mengakui dengan hak mereka adalah menyamai pahala jihad, dan tidak ramai dari kalangan kamu yang dapat melakukannya. (taat dan mengetahui hak suami) (Al Bazzar dan Tabarani, Az Zawajir, 2/64)
Rasulullah (selawat dan salam kea tas baginda) bertanya kepada seorang perempuan, “apakah kamu mempunyai suami? Jawabnya; Ya. Sabda Rasulullah, maka bagaimana kamu berkhidmat kepadanya? Jawab wanita itu, saya tidak cuai melainkan perkara yang saya tidak mampu sahaja. Sabda nabi, bagaimana kamu lakukan, sedangkan ia adalah syurga dan neraka kamu. (Ahmad dan Nasaie)
Ertinya dia adalah sebab untuk kamu masuk syurga kalau kamu berkhidmat dengan baik kepadanya dan sebab masuk neraka kalau kamu cuai berkhidmat kepadanya.
Dalam riwayat Al Bazzar dan Ibnu Hibban, dinyatakan bahawa seorang lelaki membawa anak perempuannya kepada Rasulullah, selawat dan salam ke atasnya, lalu ia berkata bahawa anak perempuanya itu enggan berkahwin. Sabda Rasulullah, taatilah bapamu. Kata anak perempuannya: demi Allah yang mengutuskan kamu dengan haq, aku tidak akan berkahwin sehingga kamu beritahuku apakah hak suami yang isteri mesti tunaikan? Sabda Rasulullah: hak suami ke atas isteri ialah sekiranya ada pada suami kudis maka isteri menjilatnya, ataupun keluar darah atau nanah dari lubang hidungnya kemudian perempuan itu menelannya, belumlah ia menunaikan hak suaminya. Kata anak perempuan itu: Demi Allah yang mengutuskanmu dengan haq, aku tidak akan berkahwin selama-lamanya. Sabda Rasulullah: janganlah kamu nikahkan dia melainkan dengan izinnya.”
Dari Ibnu Abi Aufa, sabda Rasulullah:
“demi tuhan yang mengutuskanku dengan haq, belumlah seorang perempuan menunaikan hak tuhannya sehinggalah dia menunaikan hak suaminya.” (Ibnu Hibban, Az Zawajir, 2/65)
Dari Muaz, erti hadis:
“seseorang perempuan tidak akan merasakan kemanisan iman sehinggalah ia menunaikan hak suaminya, sekiranya suaminya meminta melakukan jimak walaupun di atas belakang unta. (riwayat Hakim, Az Zawajir, 2/64)
Sabda Rasulullah, selawat dan salam ke atas baginda selama-lamanya, ertinya:
“apabila seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya, tetapi isterinya enggan, sehingga suaminya bermalam dalam keadaan marah, para malaikat melaknatnya sehingga pagi.” (Bukhari dan Muslim)
Sabda Rasulullah, selawat dan salam ke atas baginda, ertinya: Mahukah aku beritahu kamu isteri-isteri yang akan bersama kamu di dalam syurga? Kata shabat, bahkan beritahulah. Sabda baginda: iaitu setiap yang menyayangi suaminya, yang banyak anaknya; apabila ia marah atau diperlakukan dengan tidak baik kepadanya, atau suaminya merasa marah, ia akan berkata kepada suaminya: ini tangan aku ada pada tangan kamu, aku tidak akan tidur selagi kamu belum redha kepadaku.”
(Mukjam Tabrani Saghir, hadis nombor 118. Kata Ibnu Hajar al Haitami: Sanad hadis ini sahih kecuali seorang perawi; kata al Munziri saya tidak tahu kedaannya thiqah atau tidak)
Dalam riwayat lain: “apabila ia dizalimi (oleh suaminya, seperti suaminya cuai pada nafkah atau giliran)ini tangan (tubuh) aku pada tangan kamu (ertinya buatlah apa saja yang kamu mahu). (Jamius soghir, Sirajul Munir. 2/96)
Sabda Rasulullah, selawat dan salam ke atas baginda, ertinya:
“sekiranya aku dibenarkan menyuruh seseorang manusia sujud kepada manusia, nescaya aku akan menyuruh seorang isteri sujud kepada suaminya. Sekiranya suaminya menyuruhnya memindahka batu dari sebuah bukit berwarna kuning ke bukit berwarna hitam, atau dari bukit hitam ke bukit putih adalah sepatutnya isteri melakukannya. (Riwayat Ahmad, Mirqat syarah Misykat, 6/377, juga diriwayatkan oleh Ibnu majah, no 1852)
Ertinya walaupun perkara itu meletihkan dan tidak ada apa-apa faedah tetapi kerana besarnya hak suami ke atas isteri maka isteri masih patut melakukannya, apatah lagi perkara lain yang tidak seperti itu. Warna bukit disebut untuk menunjukkan jauh jarak antara bukit tersebut, kerana bukit yang berbeza warna tidak berdekatan antara satu dengan yang lain.
Dari Ummu Salamah, semoga Allah redha kepadanya, Nabi Muhamad, selawat dan salam ke atas baginda, telah bersabda, ertinya:
“Mana-mana perempuan yang mati sedangkan suaminya redha/suka kepadanya, pasti ia masuk syurga.” (Riwayat Imam Tirmizi, hadis hasan)
Dalam riwayat Ibnu Hibban: apabila seorang perempuan mengerjakan solat lima waktu, menjaga kemaluannya (dari zina) dan ia taat kepada suaminya, ia akan masuk syurga melalui mana-mana pintu yang ia kehendaki.”
Dari Abu Umamah, semoga Allah redha kepadanya, Rasulullah, selawat dan salam ke atas baginda telah bersabda, ertinya:
“ Tiga golongan yang solat mereka tidak melepasi telinga mereka (tidak diterima) : hamba yang lari dari tuannya sehingga ia kembali; seorang perempuan yang bermalam dalam keadaan suaminya merasa marah kepadanya; imam kepada satu kaum sedangkan mereka tidak suka kepadanya.” (Imam Tirmizi)
Dari Ibnu Abbas, semoga Allah redha kepada mereka berdua, sabda Rasulullah, selawat dan salam ke atas baginda, ertinya:
“Tiga golongan yang solat mereka tidak diangkat walaupun sejengkal dari kepala mereka: seorang lelaki yang menjadi imam kepada satu kaum sedangkan mereka tidak suka kepadanya; seorang perempuan yang bermalam sedangkan suaminya merasa marah kepadanya; dua orang saudara yang bersengketa.” (Ibnu Majah, hasan)
Dari Jabir, semoga Allah redha kepadanya, sabda Rasullullah, selawat dan salam ke atas baginda, ertinya: “tiga golongan yang Allah tida menerima solat mereka dan tidak diangkat ke langit kebaikan mereka: hamba yang lari dari tuannya sehingga ia kembali kepadanya; perempuan yang suaminya marah kepadanya sehingga ia redha/suka kepadanya; orang yang mabuk sehingga ia pulih dari mabuknya.” (Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, Baihaqi)
Dari Ibnu Abbas, semoga Allah redha kepada beliau dan bapanya, bersabda Rasulullah, selawat dan salam ke atasnya, ertinya:
“Diperlihatkan neraka kepadaku, maka aku lihat paling ramai penghuninya ialah para wanita. Mereka kufur.” Ditanya kepada baginda: apakah mereka kufur kepada Allah? Jawab baginda: “mereka kufur kepada suami mereka, kufur kepada kebaikan suami mereka; kalau kamu buat baik kepada salah seorang daripada mereka (perempuan) sepanjang umur kamu, kemudian ia lihat sesuatu dari kamu (yang tidak sesuai dengan keinginannya atau ia tidak sukai) ia akan berkata: akau tidak pernah lihat apa-apa kebaikan dari kamu sekali-kali.” (Imam Al Bukhari dan Imam Muslim, Irsyadus Sari, 1/157)
Dalam riwayat Nasaie dan lain-lain dinyatakan bahawa Rasulullah, selawat dan salam ke atas baginda, telah bersabda, ertinya: “Allah tidak memandang kepada perempuan yang tidak mensyukuri suaminya, dan ia merasa bebas dan tidak perlu kepada suaminya.” (Zawajir, 2/66)
Sabda Rasulullah, selawat dan salam ke atasnya selama-lamanya, ertinya:
“tidaklah seorang isteri menyakiti suaminya di dunia ini, melainkan berkatalah isterinya dari kalangan al hurul ain (bidadari): janganlah kamu sakitinya, Allah melaknati kamu, suamimu hanyalah tetamumu, tak lama lagi ia akan meninggalkan kamu dan datang kepada kami.” (Ahmad, Tirmizi dan Ibnu Majah, Mirqat, 6/370)