Khamis, 28 Mei 2009

SIKAP UMAT ISLAM MALAYSIA TERHADAP SEKOLAH AGAMA

Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) atau disebut juga Sekolah Arab, adalah dipinggirkan oleh umat Islam Malaysia. Maksud saya dipimggirkan oleh majoriti umat Islam. Sedangkan sebahagian kecil mereka masih menghantar anak merekabelajar di sana.

Pada beberapa tahun sebelum ini Mahathir telah menghentikan bantuan perkapita kepada SMAR seluruh negara. Orang yang mula-mula tersentak tentulah para gurunya dan kemudian orang-orang PAS mulai melahirkan rasa marah mereka dengan tindakan jahil mantan Perdana Menteri itu. Ketika itu saya tidak lagi mengajar di SMAR.

Kemudian diadakan debat antara Salahuddin Ayub yang ketika itu adalah ketua Pemuda PAS, dengan Nazri Aziz. Saya menyokong Salahuddin kerana dia di pihak yang memepertahankan SMAR. Tapi saya rasa hujah Nazri Aziz ada juga benarnya. Katanya (maksudnya lebih kurang): ini adalah sekolah agama rakyat, rakyatlah yang kena tolong mereka.

Kata-kata Nazri itu membuka satu pemikiran: Rakyat kena tolong, dan kerajaan tak payah tolong SMAR. PAS menyokong SMAR, kerana itu mereka mengadakan ceramah untuk membantah dan solat hajat untuk menyelamatkan SMAR daripada kejahilan Mahathir. Tapi saya rasa itu belum cukup. Sekiranya kerajaan dah sekat bantuan apakah PAS tidak boleh wujudkan bantuan untuk SMAR? Sepatutnya PAS kerahkan semua ahlinya untuk membantu mana-mana SMAR yang mereka kuasai dengan sumbangan tetap setiap bulan. Ketika saya mengajar di sebuah SMAR di Gerik, semua AJKnya adalah ahli PAS, kecuali seorang saja UMNO. Kalau PAS benar nak berjuang, mereka sepatutnya tidak payah melenting kalau UMNO tamatkan bantuan, kerana mereka ada hampir sejuta ahli yang sekiranya setiap seorang menyumbang RM5 sahaja sudah cukup untuk memajukan dan memewahkan sekolah yang mereka kuasai.

Perbuatan Mahathir itu telah membuka satu fakta bahawa orang-orang PAS yang mengaku berjuang utnuk Islam masih bingung untuk memperjuangkan sesuatu yang amat penting. SMAR adalah aset berharga umat Islam di Malaysia yang mesti diperbaiki dan dimajukan.

Ini berbeza sekali dengan madrasah-madrasah di sebahagian negara Arab, contohnya Syria, India, Pakistan, dan barangkali di Bangladesh. Di sana madrasah hidup dan maju hanya dengan bantuan orang ramai samada kaya ataupun miskin. Saya dengar daripada ramai kawan-kawan yang pernah belajar di sana bahawa semua madrasah tidak meminta yuran apa-apa pun, malah memberikan makan percuma kepada semua pelajar dan ada madrasah yang memberikan wang saku setiap bulan kepada pelajarnya. Madrasah ini dibiayai oleh kilang yang berhampiran mereka, zakat pun diberikan kepada mereka. Ini sumbangan orang kaya. Saya dengar di India orang miskin sanggup menyara walaupun hanya roti, kepada seorang pelajar setiap hari. Ada yang tidak mampu memberi wang, tapi mereka menyumbang makanan kepada pelajar madrasah. Ada kawan saya ketika belajar di Syria mendapat wang zakat sampai beribu-ribu ringgit.

Inilah perjuangan sebenar untuk menegakkan Islam. SMAR yang menyediakan pendidikan Islam peringkat awal sebelum mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, wajib dibantu oleh semua umat Islam samada mereka UMNO atau PAS. Dengan ini SMAR tidak perlu menagih apa-apa dari kerajaan kerana kerajaan memang tidak berhasrat menolong SMAR. Contoh umat Islam di negara-negara Arab, India dan Pakistan amat perlu dicontohi oleh orang Islam di negara ini.

Sekarang ini telah ada sebahagian umat Islam yang mulai mengambil contoh dari saudara mereka dari luar negara tersebut. Telah banyak madrasah yang didirikan yang hanya dibiayai oleh orang tempatan dan tidak menerima sesen pun bantuan perkapita dari kerajaan. Tetapi yang membiayai secara tetap adalah orang Jamaah Tabligh sahaja, sedangkan orang kampung berdekatan samada PAS ataupun UMNO hanya bagi sekali- sekala saja.

Di negara ini umat Islam, walaupun kaya, ramai yang masih kedekut untuk meyumbang kepada pusat pengajian Islam. Sebahagian mereka lebih suka memberi sumbangan untuk menyelamatkan orang utan daripada meyelamatkan institusi pengajian Islam. Kesiannya mereka.

Para ustaz yang telah berkorban untuk mendidik anak-anak orang Islam sepatutnya diberikan sara hidup yang cukup. Sekarang ini guru-guru di SMAR dan juga madrasah-madrasah tidak diberikan gaji yang cukup untuk makan minum dan kehidupan sosial mereka. Tugas ini adalah tugas asal kerajaan, tapi diabaikan. Sebaliknya bantuan dan sokongan dilebihkan kepada atlit dan artis, walaupun sebenarnya atlet dan artis tidak menyumbang apa-apa pun untuk kerohanian umat Islam. Bahkan mereka adalah berjuang untuk mencari kekayaan. Dan artis adalah perosak masyarakat samada tua ataupun muda.
Apabila kerajaan mengabaikan maka tugas menjaga kebajikan para guru agama (yang berkelayakan sahaja) adalah wajib dilaksanakn oleh seluruh rakyat yang beragama Islam. Setiap orang yang mampu adalah berdosa kerana membiarkan para ustaz hidup dalam kesempitan. Dan berdosa juga kerana membazirkan wang menolong atlet dan artis yang tidak menyumbang apa-apa untuk keabaikan agama.

ALAHAI SEKOLAH ARAB

Ketika masih remaja saya amat kagum kepada orang yang mempunyai sijil Empat Sanawi. Saya anggap mereka mempunyai banyak ilmu. Dan saya rasa itulah juga pandangan masyarakat semuanya.

Tetapi setelah saya mulai belajar agama, dan beberapa tahun selepas saya berhenti daripada pengajian, saya dapati rupanya Sijil Empat Sanawi hanyalah asas yang amat lemah dalam pengajian Islam.

Sebab saya berkata begini ialah kerana saya telah temui ramai ustaz-ustaz lepasan sijil ini yang tidak pandai baca kitab Arab yang tidak berbaris. Ertinya mereka tidak mengetahui I’rab (sebab perubahan baris) pada setiap perkataan di dalam teks bahasa Arab. Apabila mereka tidak boleh membaca teks tidak berbaris, ertinya mereka tidak akan tahu maksud teks yang berbaris dengan sebenarnya. Saya telah temui mereka di merata tempat di Malaysia; di Gerik Perak, Kelantan, Johor, Kedah, Pulau Pinang, dan saya kira di tempat lain pun akan sama seperti ini.

Pada tahun 90 an, sekolah agama rakyat tempat saya mengajar ketika itu telah memilih saya mengikuti kursus yang dinamakan ‘Kursus Kitab Turath’ di Ipoh. Kursus yang dianjurkan Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Perak itu diadakan selama lima hari setiap bulan sehingga setahun. Kursus berkenaan adalah untuk memantapkan penguasaan kitab Arab di kalangan para guru yang mengajar di sekolah agama rakyat seluruh negeri Perak. Di dalam kursus/pengajian ini para peserta diminta membaca kitab dihadapan guru yang terdiri daripada ahli Majlis Fatwa Perak, termasuk Dato’ Mufti.. Kursus ini memang baik. Kerana ternyata para peserta yang terdiri daripada ustaz-ustaz lepasan Empat Sanawi memang tidak boleh membaca kitab Arab yang tidak ada baris! Yang boleh membaca, kalau tidak silap saya, lima enam orang sahaja, tak sampai sepuluh orang pun. Itupun yang pernah belajar di pondok. Sedangkan yang semata-mata belajar di sekolah arab sahaja, terkial-kial macam tadika arab. Jika ustaz yang mengajar tidak pandai baca kitab, macamana mereka nak ajar murid mereka jadi pandai? Macam ketam la.

Selepas itu barulah boleh difahami kenapa ustaz-ustaz Empat Sanawi yang saya temui di Gerik sama macam mereka juga. Macamana guru, begitulah muridnya.

Ada seorang ustaz lepasan sekolah arab yang terkenal di Baling, Kedah datang memohon mengajar di sekolah tempat saya mengajar, ketika itu saya masih muda, 20 an, hensem lagi. Sebab kami tak cukup guru, pengetua terima saja, dan maklumlah, Empat Sanawi. Tetapi bila dia mula mengajar, barulah saya tahu rupanya ustaz ini perkara yang amat asas pun ada yang dia tak tahu. Ketika ini sekolah kami dah mulakan pengajian STAM. Sekejap saja selepas itu, ustaz itupun berhenti. Tak lepas pi nak ngajar kot.

Saya mengajar selama lima tahun di sekolah ini, pelajar tingatan lima, semuanya, tidak boleh baca kitab Arab yang tidak berbaris.

Saya pernah pergi ke Kelantan dan bertemu seorang ustaz yang mengajar di sekolah menengah kerajaan. Beliau adalah lepasan sebuah maahad yang terkenal di sana, mengakui bahawa dia memang tidak pandai/mahir membaca teks bahasa Arab. Katanya, hanya pelajar pondok yang boleh membaca dengan baik.

Ketika berkunjung ke Batu Pahat, Johor saya temui seorang peguam yang pernah belajar di sekolah Darjah Khas Negari Johor. Apabila ditanya: anta boleh baca kitab yang tak berbaris? Dia menjawab boleh sikit-sikit. Tapi bila dia baca, rupanya dia tidak reti langsung.

Di Pulau Pinang, seorang bekas pelajar sekolah agama yang kini jadi sekolah cluster (kalau salah sila betulkan), yang mendapat SPM gred Satu, datang memohon belajar di sebuah madrasah yang mengajarkan kitab-kitab yang sama dengan kitab pondok. Ketika ditemuduga, pelajar ini rupanya hanya layak masuk kelas satu. Tetapi kerana dia dah tua, ustaz di madrasah itu kesian kat dia, bagi masuk kelas dua. Dan ketika di kelas dua, apabila ustaz menyuruhnya membaca kitab arab dalam waktu kelas, bacaannya adalah yang terburuk dalam kelas tersebut. Satu pun tak betul! Tak sampai enam bula dia pun berhenti.

Yang paling mengejutka, saya dengar ada lepasan PhD yang tidak boleh membaca kitab Arab. Ma sya Allah! Tapi syukur orang itu sekarang belajar balik bahasa Arab dengan kitab yang paling rendah. Ini menunjukkan bahawa selepas atau ketika mengambil SPM ia juga ambil Empat Sanawi, kemudian masuk universiti sampai PhD. Maka penguasaan Arabnya yang telah lemah berlarutan sampai ke PhD. Ini PhD, kalau setakat ijazah BA, memang bersepah yang tak boleh baca kitab Arab.

Kenapa Jadi Begini? Nama saja Sekolah Arab ataupun Sekolah Agama Rakyat, tapi baca teks Arab tak boleh pula. Ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena pada sistem pengajian mereka.

Ada pihak mendakwa punca pelajar sekolah arab tak boleh menguasai teks bahasa Arab ialah kerana mereka terpaksa belajar terlalu banyak mata pelajaran, iaitu pelajaran-pelajaran STAM dan SPM, sebab itu mereka lemah.

Dakwaan ini boleh diterima pada pelajar yang terlibat dengan Empat Sanawi atau STAM dan SPM serentak. Tapi sekiranya semasa STAM belum ada lagi alasan ini tidak boleh diterima. Ustaz-ustaz yang saya temui di atas ada sebahagian mereka yang hanya belajar subjek Empat Sanawi sahaja selepas mengambil SPM, tapi masih tak mahir teks bahasa Arab.

Selepas lima tahun mengajar di sekolah arab di Gerik, saya dapati punca bagi semua kelemahan itu ialah kesilapan sukatan pelajaran yang dipraktikkan di sekolah Arab. Sekolah-sekolah Arab tidak mengajar bahasa Arab pada peringkat permulaan pada yang betul-betul asas. Buku bahasa Arab yang paling asas terbaik ialah yang bernama “Dhammun.” Namun ada sekolah yang tidak memulai dari kitab ini tapi terus ke peringkat yang lebih tinggi. Dan untuk STAM pula Bahasa Arab yang diajarkan ialah berdasarkan buku teks yang diambil dari Maahad Al Azhar. Bayangkan orang Melayu belajar bahasa Arab dengan teks yang khusus untuk orang Arab. Tentu amat sukar mereka memahaminya jauh untuk jadi mahir bahasa Arab.

Saya yakin mereka semua akan mahir bahasa arab jika mereka bermula dengan buku Bahasa Arab seperti “Dhammun.” Ini terbukti di pondok-pondok, walaupun pelajarnya, sebelum masuk pondok hanya lulus SPM dengan pangkat 3, tapi amat baik penguasaan terhadap kitab-kitab Arab yang agak tinggi juga seperti Fathul Muin, Al Iqna dan seumpamanya. Pelajar yang SPMnya lebih baik dari itu, mereka lebih baik lagi dari segi penguasaan kitab. Paling lama hanya tiga tahun sahaja mereka boleh mahir bahasa Arab.

Kitab Dhammun dimulakan dengan tasrif ganti nama dan kata perbuatan. Ertinya semua pelajar Melayu mesti mahir dengan tasrif dengan baik, kemudian belajar nahu arab dengan asas yang baik barulah mereka akan mahir. Jika tidak akan lahirlah ulamak penipu yang tidak banyak ilmu. Saya pernah lihat sendiri ada mufti (tidak disebutkan mufti negeri mana) yang bila ia mengajar dan membaca kitab Arab apabila ditanya : kenapa berbaris depan? Ia menjawab dengan selamba: tak tahu.

Untuk menjadi mufti , seseorang itu mesti mahir ilmu fiqh (fekah), usul fiqh dan qawaid fiqhiyyah. Kitab yang terbaik untuk ilmu-ilmu itu hanya di dalam bahasa Arab, jika mufti tak mahir kitab arab maka itulah mufti palsu. Dengar kata ada mufti yang belajar ilmu asbabul wurudil hadith sahaja, fiqh tak setara mana pun. Mufti apa ni?

Pada pandangan saya sebab lain pelajar tidak mahir teks Arab ialah kerana niat untuk mendapatkan keduniaan dengan belajar agama. Niat seperti itu adalah haram, maka orang yang buat dosa tidak akan diberi taufik untuk mendapat ilmu. Syaikh Ibnu Hajar al Haitami, menulis di dalam kitabnya Az Zawajir: bahawa antara punca ulama tidak menghukum dengan syariat ialah kerana niat mereka yang salah ketika belajar dulu.

Cara kedua untuk mereka memahirkan bahasa/teks Arab ialah dengan belajar asas Bahasa Arab dahulu. Ilmu-ilmu lain yang bukan teras dalam pengajian Islam hanya dipelajari selepas benar-benar faham asas bahasa Arab.

Cara lain ialah dengan membuat syarat untuk naik kelas dengan kemahiran bahasa Arab. Contohnya untuk naik ke kelas tiga, pelajar diwajibkan boleh membaca teks Arab dengan betul 80 peratus (contoh) pada akhir sessi pengajian kelas dua.

Wallahu a’lam bissowab.

Selasa, 26 Mei 2009

AZAB-AZAB ZINA

Allah taala telah berfirman, ertinya: “dan jangan kamu hampiri zina, kerana sesungguhnya zina adalah keji (fahisyah), dan jalan yang buruk.” (al-Isra’, 32)

Kata Ibnu Hajar al-Haitami: fahisyah adalah maksiat yang paling buruk. Fahisyah adalah merujuk kepada buruk pada pandangan akal, dan ‘jalan yang buruk’ merujuk kepada keburukan pada adat kebiasaan manusia.

Firman-Nya lagi, ertinya: “dan orang-orang yang tidak menyeru tuhan selain daripada Allah, dan tidak membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan hak, dan tidak berzina. Sesiapa yang melakukan perkara tersebut akan menemui ‘atham’ dan digandakan azab untuknya pada hari kiamat, dan kekal dalam keadaan hina di dalamnya, melainkan orang yang bertaubat dan beramal soleh, maka merekalah yang digantikan keburukan mereka dengan kebaikan, dan Allah maha pengampun, lagi maha mengasihani. (al-Furqan, 68-70)

Sebahagia ulama berkata, maksud ‘atham’ ialah satu daripada nama-nama neraka jahannam, sebahagian ulama mengatakan maknanya ialah satu lembah di dalam jahannam, ada ulama mengatakan itu ialah nama sebuah perigi di dalamnya.

Firman Allah lagi, ertinya: “penzina lelaki dan perempuan hendaklah disebat tiap seorang daripada mereka seratus sebatan. Dan jangan kamu merasa belas kasihan di dalam melaksanakan hukuman agama Allah jika kamu benar-benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Dan hendaklah hukuman yang dijalankan itu dilihat oleh sebahagian orang-orang Islam. (an-Nur, 52)

Larangan berbelas kasihan kepada mereka kerana mereka melakukan dosa yang paling besar selepas membunuh. Kerana itulah Allah telah menyebut zina seiring dengan syirik dan bunuh di dalam ayat di atas. (al-Furqan, 68-70)

Allah memerintahkan supaya hukuman sebat dijalankan di hadapan khlayak ramai supaya orang lain akan merasa takut disebat dan tidak akan melakukan zina.

Kata para ulama: barangsiapa yang berzina kemudian mati tanpa dihukum sebat dan tidak bertaubat, akan di azab dengan cemeti yang dibuat daripada api, sebagaiman ditulis di dalam kitab Zabur bahawa para penzina akan digantung dengan kemaluan mereka di dalam neraka dan dipukul kemaluan mereka dengan cemeti besi. Apabila mereka minta tolong dihentikan pukulan itu, malaikat akan berkata, “di manakah suara ini, sedangkan kamu dulu ketawa dan gembira. tidak merasakan Allah melihat kamu dan tidak malu kepada-Nya.”

Firman Allah taala di dalam surah al-Mu’minun, ertinya: “Sesungguhnya telah berjaya orang-orang yang beriman (1), (mereka ialah) orang yang khusyuk di dalam solat mereka (2), orang yang meninggalkan perkara sia-sia (3), orang yang menunaikan zakat (4), orang yang memelihara kemaluan mereka (5), kecuali terhadap isteri-isteri mereka dan hamba-hamba mereka, maka sesungguhnya mereka tidak dicela, (6) maka sesiapa yang mencari selain itu (isteri dan hamba perempuan), merekalah orang yang melampaui batas. (7)

Maksud “selain itu” ialah zina, liwat, dan megeluarkan mani dengan tangan.

Sambungan ayat di atas ialah: “dan orang yang menjaga amanah mereka (8), dan orang yang menjaga solat mereka (9), mereka ialah para pewaris (10), yang akan mewarisi syurga firdaus, mereka kekal di dalamnya (11).

Sabda Nabi sallallahu alaihi wa sallam, ertinya: “tiga golongan yang Allah tidak akan bercakap dengan mereka pada hari qiamat, dan tidak membersihkan mereka, dan tidak memandang kepada mereka: orang yang tua yang berzina, pemerintah yang menipu dan orang miskin yang sombong.” (Muslim, Ahmad, Nasai)

“Tidak akan masuk syurga orang miskin yang sombong, orang tua yang berzina dan orang yang mengungkit-ungkit amalan baiknya kepada Allah.” (At-Tabarani)

“Sesungguhnya para penzina akan menyala api di mukanya.” (At-Thbarani)

“Nabi (saw) bercerita bahawa beliau melihat di dalam mimpinya lelaki dan perempuan yang telanjang berada di dalam tempat yang seperti dapur yang sempit bahagian atasnya dan luas bahagian bawahnya. Api datang dari bawah mereka lalu mereka menjerit kesakitan. Apabila ditanya mengenai mereka dua lelaki yang bersamanya menjawab bahawa mereka ialah para penzina. (Al-Bukhari)

“Zina akan meyebabkan kemiskinan.” (Baihaqi)

“Umatku sentiasa berada di dalam kebaikan selagi tidak berleluasa perbuatan zina, apabila banyak berlaku zina hampirlah Allah akan mengumumkan (menyebarkan) mereka dengan azab.” (Ahmad)

“Selepas syirik, tidak ada dosa yang lebih besar daripada memasukkan air mani ke dalam rahim yang tidak halal.’ (Ibnu Abid Dunya))

“Umatku sentiasa dalam keadaan baik, urusan mereka tenteram selagi tidak ramainya anak zina.” (Abu Ya’la)

“Apabila nyata perbuatan zina, akan nyatalah kefakiran dan kemiskinan.” (al-Bazzar)

“Tidaklah zahir fahisyah (zina) di dalam satu kaum melainkan Allah akan menjadikan kematian menguasai mereka (banyak berlaku kematian).” (al-Hakim)

“Tidaklah zahir fahisyah (zina) di dalam satu kaum sekali-kali sehingga mereka dilaknat, melainkan akan tersebar penyakit taun di kalangan mereka, dan penyakit-penyakit yang tidak pernah ada pada umat sebelum mereka.” (Ibnu Majah)

“Di dalam jahannam terdapat sebuah lembah yang terdapat banyak ular. Setiap ekor ular adalah sebesar leher unta. Ia mematuk orang yang meninggalkan solat sehingga mendidih bisanya di dalam badan orang itu selama tujuh puluh tahun, kemudia akan gugur dagingnya. Dan sesungguhnya di dalam neraka jahannam ada sebuah lembah bernama ‘Lubang Kesedihan’ yang mengandungi ular-ular dan kala jengking. Kala jengkingnya sebesar baghal yang mempunyai tujuh puluh sengat. Pada setiap sengat ada racun. Ia menyengat penzina dan melepaskan bisanya di dalam tubuh penzina tersebut yang ia dapat merasakan kesakitan bisa itu seribu tahun, kemudian bercerai-berai dagingnya, dan mengalir nanah dan danur daripada kemaluannya.” (Zawajir)




“Sesiapa yang meletakkan tangannya dengan bernafsu pada seorang perempuan yang tidak halal baginya akan diikat dua tangannya ke lehernya pada hari kiamat. Jika ia menciumnya akan dipotong bibir mulutnya di dalam neraka. Jika ia berzina dengannya pahanya akan bercakap dan menjadi saksi perzinaannya pada hari kiamat. Pahanya akan berkata: aku melakukan perkara yang haram. Lalu Allah akann memandang kepadanya dengan murka maka gugurlah daging mukanya. Ia menafikannya dan berkata: aku tidak berzina. Lidahnya akan berkata aku berkata dengan perkara yang haram. Tangannya berkata: aku memegang perkara yang haram, matanya berkata: aku memandang perkara yang haram. Kakinya berkata: aku berjalan kepada yang haram. Kemaluannya berkata: aku melakukannya (zina). Kata malaikat hafazah: aku melihat. Kata malaikat yang lain: aku menulis. Firman Allah: Aku melihat dan aku sembunyikan. Firman Allah: Wahai malaikat-Ku tangkaplah dia, rasakan kepadanya azab-Ku. Aku amat murka kepada orang yang kurang merasa malu kepada-Ku.” (Zawajir)

“Sesiapa yang berzina denga isteri orang lain, kedua-duanya akan diazab di dalam kubur dengan setengah azab keseluruhan umat ini. Pada hari kiamat pahala si penzina itu akan diberikan kepada suami wanita itu. Ini sekiranya suaminya tidak mengetahui perbuatan zinanya. Sekiranya ia tahu dan mendiamkan diri, Allah akan mengharamkan syurga kepadanya suaminya, kerana di atas pintu syurga ditulis ‘kamu haram dimasuki dayus’” (Zawajir)

Dayus ialah suami yang mengetahui isterinya melakukan zina tetapi ia mendiamkannya dan tidak merasa cemburu.

“Jika seorang lelaki berzina dengan sepuluh orang perempuan lebih ringan daripada ia berzina dengan isteri jirannya.” (Ahmad)

“Orang yang berzina dengan isteri jirannya, Allah tidak akan memandang kepadanya pada hari kiamat, dan tidak akan membersihkannya. Allah akan berfirman kepadanya: masuklah neraka bersama orang lain yang masuk.” (Ibnu Abid Dunya)

“Sesiapa yang duduk di atas tempat tidur perempuan yang suaminya tiada di rumah Allah akan melepaskan seekor ular kepadanya pada hari kiamat.”(Tabarani)

Kata Syaikh Ibnu Hajar di dalam kitab Az-Zawajir aniqtirafil Kaba’ir: Zina mempunyai beberapa peringkat: Zina dengan perempuan asing yang tidak bersuami adalah dosa besar. Lebih besar dari itu ialah zina dengan perempuan asing yang bersuami. Lebih besar dari itu ialah zina dengan perempuan mahram. Zina orang yang telah berkahwin adalah lebih besar dosanya dariapada zina orang yang belum berkahwin. Zina orang tua adalah lebih besar dosanya daripada zina orang muda.

Segala dosa akan digandakan mengikut tempat dan waktu digandakan pahala, seperti hari Jumaat, bulan Ramadhan dan di Tanah Haram Makkah. Zina pada waktu dan tempat ini juga akan digandakan azab melebihi selainnya.