Orang ramai sering berkata: untuk menjadikan remaja orang baik-baik mereka mesti diberikan didikan agama yang cukup. Apakah maksud ‘cukup’ itu? Sehingga sekarang tidak ada takrif mengenainya.
Pada saya pendidikan agama yang cukup ialah: didikan mengenai halal dan haram disertai dengan mengetahui balasan pahala kerana melakukannya, dan azab kerana meninggalkan amalan wajib atau melakukan perbuatan haram.
Semua umat Islam tahu solat lima waktu adalah wajib; diberi pahala jika dilakukan dan akan di azab di akhirat kerana meninggalkannya. Tapi peratus yang meninggalkan solat adalah lebih ramai daripada yang mengerjakannya. Kenapa jadi begini? Jawapanya ialah kerana mereka hanya tahu wajib dan haram sahaja tapi tidak mengetahui balasan-balasan nikmat dan azab mengenai solat dengan lebih terperinci.
Begitu juga puasa, semua orang Islam tahu ianya wajib, tapi ramai yang tidak puasa dan sering berlumba lari dengan pegawai pencegah maksiat kerana diserbu ketika makan pada waktu siang. Ini adalah kerana mereka tidak tahu secara detail pahala dan balasan nikmat di syurga untuk orang yang berpuasa dan jahil azab yang akan menimpa mereka kerana meninggalkannya.
Semua orang Islam tahu zina adalah haram, tapi kerana mereka tidak tahu azab-azab yang menanti mereka samada di dunia, alam kubur atau di akhirat, sebab itulah makin ramai umat Islam di negara melakukan amalan dosa besar itu. Tidak kira tua ataupun muda setiap hari melakukan zina.
Ringkasnya, setiap amalan daripada wudhuk, mandi wajib dan lain dalam bab taharah; solat, zakat, puasa, haji; muamalat, munakahat dan jenayah, mesti diajarkan kepada semua umat Islam lengkap dengan fadhail dan inzar (amaran azab). Dengan ini barulah dipanggil ‘pendidikan agama yang cukup.’ Kerana syariat Allah yang termaktub dalam Al Quran dan As Sunnah datang lengkap dengan kaifiyat melakukan, disertai dengan janji balasan baik di dunia, alam kubur dan alam akhirat; dan janji azab kerana meninggalkan/mengabaikan amalan wajib dan melakukan perkara haram.
Lihatlah dalam wudhuk, ulamak telah menggariskan syarat dan rukun berdasarkan Al Quran dan Sunnah. Di samping itu Quran juga menyebut kebaikan (fadhail) yang akan diperoleh umat Islam yang mengambil wudhuk. Di dalam Sunnah dinyatakan azab-azab kerana mengabaikan wudhuk. Inilah pakej lengkap pendidikan Islam, yang boleh dipanggil: pendidikan yang cukup.
Cuma sekarang ini umat Islam di Malaysia (atau seluruh dunia?) tidak lagi mendapat pendidikan yang syumul ini. Sebabnya kerana para ulama mengabaikan cara ini. Sepatutnya kaedah tarbiah syariat ini dimulakan sejak tahun satu lagi di sekolah rendah sehingga ke peringkart universiti. Pondok-pondok dan sekolah agama rakyat (SMAR) pun tidak mengajar kitab khusus mengenainya. Ertinya kejahilan mengenai balasan nikmat dan azab telah berleluasa di dunia Islam. Ulamak hanya sibuk dengan fiqh dan falsafah dan terlupa mendidik umat. Ada yang mengejar dunia sehingga lupa peranan sebenar mereka. Jika ceramah/kuliah yang diadakan dikenakan bayaran beratus ringgit, memang terbukti mereka menjadikan agama sebagai alat mengejar kemewahan. Sepatutnya ulama/ustaz yang dah bergaji cukup tidak mengenakan apa-apa bayaran untuk penyampaian ilmu mereka. Mari kita boikot ulama/ustaz yang minta duit mengajar walaupun dah punya dapat gaji beribu ringgit dan melebihi daripada tahap cukup. BOIKOT USTAZ TAMAK! Punca kejatuhan Islam ialah ulama/ustaz yang tamak yang tidak menegakkan hukum Islam dan lebih suka mengampu menteri-menteri supaya mendapat habuan lumayan.
Saya cadangkan supaya buku-buku teks pendidkan Islam dari Tahun Satu hingga ke peringkat paling tinggi dimuatkan kaedah tarbiah ini. Pondok-pondok hendaklah menjadikan kitab yang berkaitan dengannya sebagai kitab wajib. Sebagaimana nahu dan sorof dijadikan m/pelajaran wajib. Di masjid/surau juga perlu dibacakan kitab yang mempunyai isi yang telah disebutkan tadi.
Antara kitab yang boleh dijadikan bahan rujukan untuk penulis buku teks, dan digunakan di pondok dan iniversiti ialah Az Zawajir karangan Syaikh Ibnu Hajar Al Haitami, Riyadhus Solihin oleh Imam Nawawi dan Ihya Ulumiddin tulisan Imam Al Ghazzali. Kitab terkini yang lebih lengkap ditulis oleh Syaikhul Hadis Maulana Muhamad Zakariyya bernama Fadhail A’mal. Di dalam kitab-kitab tersebut ditulis ayat Al Quran dan Hadis mengenai balasan-balasan baik dan azab-azab pada semua amalan.
Syarat dan rukun yang dipelajari akan membetulkan amal ibadat. Balasan baik yang diketahui akan melahirkan semangat untuk melakukan amalan dan harapan (ihtisab) terhadap nikmat yang dijanjikan. Balasan azab yang diketahui akan melahirkan rasa takut untuk melakukan maksiat. Inilah tarbiah lengkap.
Sepatutnya semua jamaah Islam menggunakan cara ini untuk menerapkan tarbiah islamiah kepada para ahlinya. Saya pernah mencadangkannya kepada sebahagian ahli sesetengah jamaah Islam di Gerik supaya kaedah ini pakai di dalam program usrah mereka, tapi dijawab ini adalah cara Tabligh. Ini adalah tanda kejahilan mereka yang berkenaan, kerana ia bukan cara Tabligh tapi cara Allah dan semua nabi-nabi. Apabila Al Quran dan hadis menceritakan fadhail bererti itulah cara yang dilakukan oleh Allah taala dan Nabi kita Muhammad saw. Semua nabi-nabi adalalah diutus untuk menceritakan fadhail dan untuk inzar (memberitahu ancaman azab)
Ada pemimpin sesetengah gerakan/jamaah Islam di negara ini pernah berkata bahawa mereka ingin melahirkan ahli/umat yang ‘ruhban fil lail wa fursan fin nahar’ (ahli ibadat pada waktu malam dan tangkas berjuang pada waktu siang). Sekiranya cara yang saya bentangkan ini tidak digunakan, maka apakah cara yang mereka boleh buktikan lebih berkesan.
والله أعلم
Tiada ulasan:
Catat Ulasan