Rabu, 29 Julai 2009

SUKATAN PELAJARAN SEKOLAH AGAMA

Pada pandangan saya sukatan pelajaran Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) amat baik dan tepat sebagai sukatan pertengahan untuk melahirkan insan berilmu agama. Mata pelajaran STAM amat lengkap, hanya satu subjek yang amat penting iaitu Usul Fiqh dicicirkan daripada sijil berkenaan padahal mata pelajaran ini diajarkan di Maahad Al Azhar, yang kitab STAM berasal dari sana. Ini telah menjadikan sijil ini pincang dan tidak lengkap. Ilmu Arudh pada saya tidak perlu diajarkan di sini, ia patut diganti dengan Usul Fiqh.

Dan kitab-kitab STAM juga tidak boleh sama sekali dijadikan bahan asas untuk mengajar Nahu dan Sorof. (para pengajar STAM sila ambil perhatian). Kerana ia ditulis khas untuk anak-anak Arab yang bertutur dengan bahasa tersebut. Apabila diajarkan kepada umat Melayu yang tidak tahu cara bercakap dengan bahasa tersebut maka berlakulah pembaziran tenaga dan masa.

Nahu dan Sorof adalah untuk memahami teks bahasa Arab dengan lebih jelas dan mendalam. Maka ia keduanya mesti dimulai dari peringkat paling asas. Tiada asas bererti tiada pertengahan dan peringkat tinggi, sebagaimana lemahnya asas adalah punca lemahnya pertengahan dan tahap tinggi. Kitab nahu dan sorof kelas Peralihan STAM bukan peringkat asas dengan nisbah orang Melayu. Apabila guru yang mengajarnya tidak berfikir panjang, terus saja mengajar kitab berkenaan, maka boleh dilihat berlaku kesilapan dalam sistem pendidikan Islam di Malaysia.

Umat Melayu wajib memulai belajar sorof dahulu dan dimulai dengan tasrif gantinama, iaitu yang dmulai dengan huwa- huma –hum, (ila akhirih.) Kemudian tasrif fe’el madhi, mudhari’ masdar, isim fai;, isim maful, fe’el amar, fe’el nahi, isim tempat dan masa hingga isim alat. Ini mesti dikuasai dulu, barulah dimulai dengan kitab setaraf matan Al Ajurrumiyyah.

Kalau cara seperti ini tidak dilaksanakan kepada umat Melayu saya tidak percaya mereka akan dapat membaca kitab Arab sampai bila-bila pun. Sila baca artikel lain dalam blog ini.

Saya pernah terbaca bahawa Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah berkata: (maksud lebih kurang) “sekolah Arab kena perbaiki bahasa Arab.” Ini menunjukkan bahawa sistem sekolah Arab Malaysia memang LEMAH.

Saya pernah mengajar tuisyen bahasa Arab kepada para pelajar di JKR Base Camp di Gerik, selama hampir sebulan, ketika cuti semester. Apabila saya bertanya kepada seorang pelajar perempuan yang ketika itu belajar di tingkatan tiga di sebuah sekolah agama yang masyhur di Baling, cuba buat ayat: ‘saya telah pergi ke Baling’ dalam bahasa Arab, dia menjawab: Ana zahab ila Balinj/g (yang betul: zahabtu). Saya amat terkejut, kerana sepatutnya ayat begini dia telah boleh membuat dengan betul pada bulan pertama persekolahannya, bukannya pada tahun ke tiga masih tidak betul.

Cara yang saya cadangkan ini, telah membolehkan para pelajar membaca teks Arab seawal tahun kedua. Teks yang dibaca bukannya ayat pendek seperti yang disebut oleh pelajar perempuan tadi, tapi ialah kitab Taudihun Nahwi kelas empat STAM, yang merupakan syarah Alfiyyah Ibni Malik. Kitab ini kemudiannya saya ajarkan mereka bersama Kitab Taudihus Sorfi sampai khatam keempat-empat jilid.

Pelajar yang saya maksudkan ini bukannya pelajar yang terlalu pintar, sederhana sahaja, tetapi kerana cara yang betul, kaedah yang diamalkan secara tradisi oleh pondok-pondok ini telah menunjukkan bukti yang terlalu cemerlang. Anda akan berasa taajub melihat pelajar yang berusia 17 tahun boleh membaca Taudihun Nahwi 99 % betul barisnya. Pelajar berkenaan juga mampu membaca kitab Al Iqna, sebaik itu juga.

Saya tidak percaya ada pelajar yang mampu membaca kitab-kitab STAM, dengan belajar dari kitab STAM sahaja.

Selepas STAM, pelajar yang lulus dengan ‘mumtaz’ akan melanjutkan pelajaran di al Azhar. Selepas mendapar ijazah Sarjana Muda, ramai yang akan balik, samada untuk cari makan ataupun menyambung master di university tempatan. Namun amat diharapkan mereka benar-benar mampu menguasai kitab-kitab Arab, sebelum melanjutkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Saya syorkan kepada lepasan Azhar yang ingin (dan sepatutnya) mendalami ilmu tafsir dan hadis, melanjutkan pelajaran mereka di pusat pengajian yang menghajarkan tafsir secara mendalam, yang membahaskan qaul aimmah dan segala yang berkaitan dengan tafsir. Dan juga yang mengajarkan Sunnan Sittah dengann cara perbahasan yang sama. Kalau belajar ilmu separuh jalan saja akan lebih bahaya daripada orang jahil. Mereka juga sepatutnya mendalami ilmu fiqh. Jangan berpuas hati dengan sijil yang ada sahaja.

Sekarang di Malaysia telah ada madrasah yang mengajarkan sunnan sittah dengan perbahasan mendalam, dalam tempoh yang singkat sahaja, tidak perlu berbelas tahun. Madrasah ini juga mengajar ilmu tafsir dengan cara yang sama. Cara ini telah mulai luput daripada pondok-pondok di Malaysia, dan tiada lagi pondok yang mengajarkan Sunan Enam ini dalam masa singkat.

Di Bukit Mertajam ada madrasah yang mengajarkan kitab Misykah (sebanyak 6 ribu hadis) dengan perbahasan Empat Mazhab dan segala aqwal imam dalam masa dua tahun sahaja. Kitab tafsir Jalalain juga selama dua tahun dengan cara yang sama. Ini menunjukkan kemajuan dalam Ilmu Islam di negara ini. Berbanding dengan sesetengah pondok yang mengajar kitab sahih Bukhari dan Muslim hingga berbelas tahun, dan kitab Jalalain lebih daripada tiga tahun walaupn kitab-kitab ini tidak dihuraikan secara mendalam.

Adalah satu perkara yang amat buruk apabila ada ustaz yang memegang ijazah, master atau PhD yang tidak tahu membaca kitab bahasa Arab. Lebih buruk lagi ada manusia yang tidak mahir fiqh (fekah), usul fiqh dan qawaid fiqhiyyah dilantik menjadi mufti.

Inilah masa menyusun kembali system ilmu Islam di negara ini. Ini hanyalah sebahagian cadangan awal.

7 ulasan:

  1. ye...ana setuju subjek arudh digantikan dgn usul fiqh.tp alhamdulillah STAP ada subjek usul fiqh.bljar usul fiqh lbh seronok berbanding arudh

    BalasPadam
  2. sy hrp stam thn dpn ada le sbjek usul fiqh.... nnt anta tlong la usulkan cdngan nk masukkan usul feqh dlm stam thn 2012 dkt lmbg pprksaan...insya allah diorng prtmbngkn

    BalasPadam
  3. Ust,boleh ana tau nama tmpat di bukit mertajam yang ajar kitab misykah tu?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Madrasah Tahfiz al Quran Penanti, Kg Mengkuang Titi.

      Padam
  4. Assallamualaikum,
    Ibu P.Gudang. Anak saya baru masuk sekolah menengah agama.Dimanakah saya boleh hantar anak saya mengikuti Kem untuk belajar Bahasa Arab dengan mudah,betul dan cepat seperti cara yg ustaz ceritakan di atas.

    BalasPadam
  5. Assalam bagaimana Dan dimana orang awam dapat mengikuti pelajaran agama Islam berpandukan sukatan pelajaran yang di luluskan Jakim.cuma mengikuti ceramah di surau Dan masjid Kita Tak dapat pengajaran yang tersusun .

    BalasPadam