Isnin, 27 Ogos 2012

KENAPA UMAT ISLAM TIDAK DITOLONG?




Allah telah berjanji untuk menjadikan umat Islam lebih tinggi daripada orang bukan Islam. ini telah tertera di dalam firman-Nya, ertinya:

“dan Allah tidak akan menjadikan orang-orang kafir berkuasa ke atas orang Islam” (an Nisa, 141)

dalam surah Ali Imran, friman-Nya, yang bererti:

“Janganlah kamu menjadi lemah dan bersedih, sedangkan kamulah yang paling tinggi jika kamu beriman” (ayat 139)

dalam surah Taubah, ayat 36, ertinya:

“sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertaqwa.”

Di dalam tafsir Syaukani: maksudnya  dengan membantu mereka dan menetapkan mereka. Dan sesiapa yang Allah bersamanya adalah orang yang menang. (571)

Tetapi apa yang berlaku sekarang ialah umat Islam dihina dan ditindas oleh orang bukan Islam di banyak tempat di dunia ini.

Soalnya sekarang di manakah bantuan Allah untuk umat Islam di seluruh dunia?

Di dalam surah Muhammad ayat 7, Allah berfirman, ertinya: “wahai orang-orang beriman, jika kamu bantu Allah nescaya Ia akan bantu kamu.”

Di dalam ayat di atas kita lihat syarat asas untuk umat Islam mendapat nusrah (bantuan) Allah ialah beriman, bertaqwa dan membantu agama Allah.

IMAN

Iman yang dimaksudkan di dalam ayat ialah iman yang sebenarnya, ertinya umat Islam akan ditolong jika iman mereka telah mencapai tahap yang tinggi yang menjadikan mereka layak mencapai nusrah.

MEMBANTU AGAMA ALLAH

Membantu agama Allah adalah syarat untuk mencapai nusrah daripada Allah, tapi apakah cara membantu agama Allah yang melayakkan umat Islam menerima nusrah dan bantuan Allah?

AYAT-AYAT AL QURAN MENGENAI MEMBANTU AGAMA ALLAH

Firman Allah, ertinya:

“Wahai orang-orang beriman jadilah kamu pembantu-pembantu Allah, seperti mana berkata Isa ibnu Maryam kepada Hawariyyun: siapakah yang akan menolongku bersama Allah? Berkata Hawariyyun: kamilah penolong-penolong Allah; maka telah beriman sekumpulan daripada Bani Israil dan telah kufur satu kumpulan; maka Kami telah menguatkan orang-orang yang telah beriman ke atas musuh mereka, maka mereka telah menang.” (Saff, 14)

Firman-Nya lagi, ertinya:

“Wahai orang-orang beriman jika kamu tolong Allah nescaya Allah akan bantu kamu dan menetapkan tapak kami kamu.” (Muhammad, 7)

Firman-Nya, dalam ayat 40 surah Hajj, ertinya:

“Dan sesungguhnya Allah akan membantu  orang yang membantu-Nya.”


APAKAH ERTI MEMBANTU AGAMA ALLAH?

Di dalam surah  Saff ayat 14 yang dinyatakan di atas Allah telah memerintahkan umat Islam membantu agama Allah seperti yang telah dilakukan oleh Hawariyyun kepada Nabi Isa (alaihis salam). Ertinya Allah memerintahkan kita mengambil contoh daripada mereka dalam membantu agama Allah.


SIAPAKAH HAWARIYYUN?

Di dalam surah Ali Imran ayat 52, disebut Hawariyyun, firman-Nya:

“Maka ketika Nabi Isa (alahissalam) merasakan bahawa mereka (Kuffar Bani Israil) akan kekal dalam kekafiran, maka ia berkata siapakah yang akan menolongku kepada Allah? Berkata Hawariyyun: kamilah pembantu-pembantu agama Allah, kami beriman kepada Allah, maka bersaksilah bahawa kami adalah muslim. Wahai tuhan kami, kami telah beriman dengan apa yang Kau turunkan (Injil), dan kami telah ikuti Rasul ini (Isa), dan tuliskanlah kami bersama orang-orang yang menyaksikan.

Firman Allah, ertinya:

“Wahai orang-orang beriman jadilah kamu pembantu-pembantu Allah, seperti mana berkata Isa ibnu Maryam kepada Hawariyyun: siapakah yang akan menolongku bersama Allah? Berkata Hawariyyun: kamilah penolong-penolong Allah; maka telah beriman sekumpulan daripada Bani Israil dan telah kufur satu kumpulan; maka Kami telah menguatkan orang-orang yang telah beriman ke atas musuh mereka, maka mereka telah menang.” (Saff, 14)

Firman Allah dalam surah al Maidah, ayat 112, ertinya:

“(ingatlah wahai Muhammad) ketika Hawariyun berkata: wahai Isa bin Maryam, adakah mampu tuhan kita menurunkan kepada kita hidangan dari langit? Berkata Isa bertaqwalah kepada Allah jika kamu beriman.”

Disebut di dalam kitab-kitab tafsir hawariyun adalah 12 orang lelaki pertama yang beriman dengan Nabi Isa (alaihis salam). Baginda telah mengutuskan mereka ke beberapa tempat antaranya ia ke Babil, Afrika, ke kampung Ashabul Kahfi,  Baitul Maqdis, Hijaz dan Barbar.

Di dalam surah Ya sin, dinyatakan kisah Hawariyyun bersama Habib an Najjar, ertinya:

“dan wahai Muhammad buatkanlah perumpamaan kepada mereka mengenai penduduk kampung itu (Antokiah), ketika datang kepada mereka para utusan; (13)

ketika Kami utuskan kepada mereka dua orang, lalu mereka mendustai, kemudian kami perkuatkan dengan yang ketiga, maka mereka berkata sesungguhnya kami diutuskan kepada kamu; (14)

mereka berkata tidaklah kamu melainkan seperti kami, dan tuhan yang rahman tidak menurunkan sesuatu pun,  tidaklah kamu melainkan berdusta sahaja; (15)

(para utusan menjawab) tuhan kami mengetahui bahwa kami adalah utusan kepada kamu; (16)

tidak wajib kepada kami selain menyampaikan dengan jelas; (17)

(penduduk Antokiah) berkata: kami mendapat malang kerana kamu; sekiranya kami tidak berhenti daripada dakwah ini kami akan rejam kamu dengan batu dan akan mengenai kamu azab yang pedih dari kami; (18)

(Utusan) menjawab: nasib malang kamu adalah bersama kamu (sebab kekafiran kamu),  adakah selepas kamu didakwah dan diberi peringatan kamu masih bernasib malang? Bahkan kamu kaum yang melampaui batas. (19)

Dan datanglah dari hujung kampung seorang lalaki (Habib) dengan tergesa-gesa, ia berkata: wahai kaumku ikutilah para utusan ini. (20)

Ikutilah orang yang tidak meminta upah daripada kamu, sedangkan mereka mendapat hidayat. (21)

Tidak ada yang menghalang daripada aku menyembah tuhan yang telah menciptaku, dan kepada-Nya kamu akan dikembalikan. (21)

Dalam ayat 26-27, surah Yasin dinyatakan (ertinya):

“dikatakan kepada Habib (ketika matinya) masuklah ke dalam syurga; berkata (Habib): wahai, kalaulah kaumku mengetahui pengampunan tuhanku untukku, dan bahawa  Ia menjadikanku dalam golongan orang yang dimuliakan.”


MEMBANTU ALLAH YANG DILAKUKAN OLEH HAWARIYUN

Tersebut di dalam tafsir Ibnu Katheer: halaman 1870 (cetakan Daru Ibn Hazm) mengenai tafsiran ayat 14 surah Saff:

Allah Taala berfirman memerintahkan hamba-hamba-Nya menjadi penolong-penolong-Nya pada semua keadaan; dengan kata-kata, perbuatan, diri dan harta mereka. dan Ia memerintahkan mereka supaya menerima perintah Allah dan Rasul-Nya, sebagaimana Hawariyun telah menerima kata-kata Nabi Isa ketika ia berkata kepada mereka “siapakah pembantu-pembantu-Ku kepada Allah?” ertinya: ialah siapakah yang akan menolongku untuk BERDAKWAH KEPADA ALLAH? … Dan kerana itulah Isa (alaihis salam) telah mengutuskan mereka sebagai pendakwah ke negeri Syam kepada bangsa Israil dan Yunanis.

Seperti inilah juga bersabda Nabi Muhammad (selawat dan salam ke atas baginda selama-lamanya) pada musim-musim haji: “siapakah yang akan membantuku supaya aku dapat menyampaikan risalah tuhanku, kerana Qurasy telah menahanku daripada menyampaikan risalah tuhanku.”

Sehinga Allah menguatkan baginda dengan Aus dan Khazraj daripada Madinah, lalu mereka berbaiat dengan baginda dan berjanji akan mempertahankan baginda sekiranya berhijrah ke tempat mereka. Dan ketika baginda berhijrah  bersama sahabat-sahabatnya mereka telah menunaikan janji mereka tersebut, dan sebab itulah Allah telah menamakan mereka dengan nama ANSAR.(PARA PEMBANTU). Dan ia telah menjadi nama khas mereka.

Riwayat mengenai perkara di atas boleh dilihat di dalam kitab-kitab: Jame’Tarmizi no: 2925; Abu Daud, 4738; Ibnu Majah 201;  dan Tuhfatul Ahwazi syarah Tarmizi, j 8/242

Ketika menafsirkan ayat 52 surah Ali Imran, Ibnu Katheer berkata:

Yang zahir ertinya Nabi Isa bermaksud “siapakah yang akan membantuku untuk BERDAKWAH KEPADA ALLAH.?” (Tafsir Ibni Katheer, hal 367)

Erti ‘yang zahir’ ialah tafsiran yang paling kuat.

Tafsiran ayat 52 Ali Imran dan ayat 14 surah Saff, adalah sama penerangannya oleh Ibnu Katheer.

Jadi kesimpulannya maksud membantu agama Allah yang diperintahkan di dalam surah Saff ayat 14 ialah ‘DAKWAH ILALLAH.’

Daripada ayat-ayat di atas disimpulkan bahawa dengan membantu agama Allah umat Islam akan mendapat:

1. Bantuan dari Allah

2. Keampunan dan masuk syurga


REALITI DAKWAH PADA MASA KINI

Jelasnya umat Islam kini amat mengabaikan dakwah di mana-mana saja – di seluruh dunia. Boleh dilihat di setiap kampung dan bandar amat sedikit yang melakukan dakwah. Sebaliknya ramai yang berdiam diri malah ada yang menentang.

Dakwah yang sempurna dan menyeluruh sekarang ini hanya ada pada Jamaah Tabligh. Saya kata lengkap dan menyeluruh kerana mereka melakukan dakwah setiap hari (2 ½ jam), dua kali setiap minggu jaulah (gasyt) pertama dan jaulah kedua; 3 hari setiap bulan, 40 hari setiap tahun dan lain-lain. Mereka juga sering mengadakan ijtima’ pada tiap-tiap tahun. Contohnya Ijtima Sedunia di Tongi, Bangladesh.

Dan juga kerana mereka melakukan dakwah tanpa sempadan, iaitu kepada seluruh umat Islam di mana sahaja mereka berada, hatta kepada Orang Asli di hutan pun mereka akan pergi berdakwah.

Maksud mereka ialah untuk mengembalikan umat islam kepada amalan Islam yang lengkap. Supaya umat Islam kembali melakukan semua perintah Allah, dan meninggal-kan segala larangan Allah.

Dan ini memang terbukti daripada pengalaman. Ramai yang dahulunya hidup bergelu-mang dengan maksiat tetapi setelah keluar 3 hari maka berubah sama sekali daripada keadaannya sebelum itu.

Inilah amar makruf dan cegah mungkar sebenarnya. Kalau kita membakar sebuah kedai menjual nombor ekor (4D) di sesebuah negeri, maka akan berlaku beberapa keadaan. Antaranya ialah penagih ekor akan membelinya di negeri lain berdekatan. Keduanya mereka akan merasa marah kerana terasa hak mereka dirampas.

Tetapi sekiranya seorang penagih ekor dibawa keluar 3 hari dan insaf, maka ia pasti akan menjauhi kedai  ekor selama-lamanya dengan penuh ketaqwaan dan keikhlasan.

Jadi difahami bahawa mencegah mungkar dengan hanya memusnahkan tempat maksiat sahaja bukanlah perkara yang terbaik. Tapi ia mesti diiringi dengan tarbiah yang menim-bulkan keinsafan yang mendalam yang melahirkan ketaqwaan.

Disebabkan pengabaian kepada dakwah amat ketara sekarang maka maksiat makin bertambah. Dan ini tak perlu dibuktikan lagi di sini. Apabila maksiat makin berleluasa maka bencana akan datang menimpa uumat Islam. Dan hari ini bencana yang menimpa umat Islam tidak perlu disebut lagi, kerana meraka lebih mengetahui keadaan mereka. Puncanya ialah mengabaikan dakwah, mengabaikan dakwah menyebabkan umat menjadi lalai dan melakukan maksiat, maksiat mengundang berbagai azab dan bencana di dunia dan akhirat.


DAKWAH YANG DILAKUKAN OLEH PUSAT PENGAJIAN ISLAM.

Apakah ada mana-mana sebuah pondok, sebagai contoh, yang menghantar jemaah dakwah untuk membawa peringatan tabsyir dan inzar kepada penduduk kampung berdekatan? Jawapannya sudah tentu tidak! Jawapan yang barangkali akan dikemukakan oleh para guru-guru pondok ialah orang kampunglah yang wajib datang ke pondok belajar agama, dan kami dah terlepas tanggungjawab dakwah.

Adakah in yang dilakukan oleh para rasul? Jawapan para tok guru pondok tersebut sudah tentulah salah.  Salah kerana para rasul termasuk baginda Muhammad (selawat dan salam ke atas baginda) telah menghantar amat banyak jemaah ke tempat berdekatan Madinah untuk melakukan dakwah di samping jemaah untuk qital.

Dan kerana jawapan yang tidak diasaskan di atas dalil itulah maka semakin ramai umat Islam sekitar pondok dan sekolah-sekolah agama yang semakin lagha dan semakin kuat menentang Islam. Kenapa jadi begitu? Kerana mereka tidak pernah dengar sedikitpun berita akhirat  dan hidup mengikut hawa nafsu.

Memang terdapat ramai umat Islam jahil yang berada di luar pondok, di kampung berdekatan, tapi sayangnya para tok guru pondok tak pernah terlintas  untuk menghantar anak-anak murid mereka ke kampung berkenaan dan membawa berita-berita akhirat kepada mereka. Jadi tidak hairanlah makin ramai yang hidup mengikut nafsu, bergelumang dengan dosa, dan merekalah yang akan mula-mula menyokong parti yang menggalakkan maksiat dan menentang parti yang ingin menegakkan Islam. Jangankan hudud, suruh pakai tudung pun melawan. Nak bercakap tentang hudud, basuh kencing pun  masih tak pandai-pandai.

Jadi, keadaan umat islam sekarang yang adalah hasil daripada pengabaian oleh para ulama terhadap dakwah kepada seluruh umat Islam. Tiada siapa yang boleh nafikan ini. Lebih buruk lagi apabila para ilmuan mula mengejar ribuan RM, sehingga orang-orang soleh pun dah mula meluat dengan para ustaz tamak yang hanya terbayang RM di matanya. Malah ada yang masih belajar dah terbayang untuk mengejar RM 4k-5k setiap bulan dengan ilmu yang akan diajarkan.

Lihat kembali surah Ya sin ayat 21:

“Ikutilah orang yang tidak meminta upah daripada kamu, sedangkan mereka mendapat hidayat.”

Ustaz tamak ini juga adalah antara makhluk perosak yang membina kesenangan di atas beban orang lain. Tanyalah mana-mana AJK masjid memang mereka merasa bosan dengan ustaz seperti ini yang merasa merekalah pejuang Islam.

Saya pernah mendengar bahawa permulaaan kejatuhan Chechen ialah sikap ulamak yang mementingkan dunia, yang mana Russia telah menghasut orang-orang awam membunuh mereka. Kata mereka: apa gunanya ulama kamu, mereka hanya menghabiskan duit kamu, lebih baik kamu bunuh mereka.

Ada ustaz yang mendakwa dia telah melakukan dakwah yang terbaik kerana setiap minggu mengajar di dalam radio. Agaknya ustaz tersebut percaya bahawa semua orang-orang fasik yang ada di negerinya akan mendengar siaran tersebut dengan penuh khusyuk. Dia terlupa yang puak-puak ni awal-awal lagi dah tukar stesen lain, sebelum siarannya bermula.


KEPERLUAN DAKWAH MASA KINI

Yang paling penting dilakukan ialah semua Islam berpadu tenaga melakukan dakwah kepada seluruh umat Islam, tua  muda, lelaki dan wanita.

Semua umat Islam tahu maksiat yang berleluasa sekarang; zina antara yang paling banyak berlaku, maka adalah amat menghairankan para pejuang Islam (atau yang perasan dia memperjuangkan Islam lebih banyak menumpukan perkara lain dan amat sedikit masa yang digunakan untuk berdakwah kepada orang-orang muda di negara ini.

Daripada mengadakan konvoi motosikal beramai-ramai atau berakit di sungai, adalah lebih baik menemui seluruh para orang muda di setiap pelusuk kampung dan memberikan tazkirah mengenai bahaya zina dan segala yang berkaitan agama seperti solat, puasa, dan lain-lain.

Setiap tindakan dalam agama adalah mengikut keutamaan (awlawiyyah) jadi pada masa ini yang paling penting dilakukan ialah berdakwah kepad orang muda. Tapi nampaknya kerja dakwah untuk mereka telah terabai dengan begitu ketara. Para pejuang lebih tumpukan kepada kerja yang kurang penting berbanding yang lebih penting. Malah yang paling buruk kerja dakwah menyeluruh kepada semua umat Islam tidak pernah menjadi agenda utama, sebaliknya yang dikejar ialah kuasa memerintah. Tanpa mereka sedari orang muda yang bergelumang maksiat inilah yang akan mewakili parti yang akan menentang mereka yang sudah pasti akan merugikan mereka.

Hairan sungguh sebuah parti politik yang memerlukan majoriti undi untuk memerintah amat lemah melakukan dakwah sedangkan dakwah itulah menjadi sebab untuk meramaikan orang yang soleh. Dan orang yang soleh inilah yang paling ramai akan mengundi mereka. Dan dakwah jugalah manjadi punca mereka mendapat bantuan Allah, tapi dakwah diabaikan maka sebab itulah masih tidak dibantu untuk memerintah walaupun selepas lebih daripada 50 tahun.

Sebaliknya Jamaah tabligh yang tidak pernah mengharap apa-apa majoriti, merekalah yang paling aktif melakukan dakwah, siang dan malam.  Saya percaya sekiranya PAS melakukan dakwah lebih aktif daripada Tabligh, sudah pasti ramai orang akan jadi soleh, dan orang soleh inilah yang akan memangkah mereka, dan rasanya mereka sudah dapat memerintah 30 tahun dulu.

Berbagai usaha telah dijalankan untuk memusnahkan iman umat Islam, dan sekarang usaha itu telah berhasil dengan lahirnya beratus ribu anak haram. Namun apa yang telah PAS telah lakukan untuk menghasilkan anak-anak soleh? Sekiranya PAS lebih kuat melakukan dakwah dan mengatasi usaha meruntuhkan iman umat Islam, maka anak haram tidak akan seramai itu.

Pada masa saya remaja tidak ada seorang pun orang PAS yang berdakwah kepada saya. Dan tidak pernah diketahui PAS melakukan dakwah secara umum, sebaliknya dilakukan secara senyap-senyap. PAS lebih banyak membelasah orang yang jauh dari Islam dengan maki hamun. Sebaliknya orang-orang Tabligh lebih berjaya kerana pendekatan memujuk mereka, jauh untuk memaki. PAS lebihh lebih banyak megucapkan kafir dan munafik. Tetapi Tabligh lebih banyak mengarapkan hidayat.

Apabila ada seseorang pemuda yang ikut Jemaah Tabligh, maka orang-orang PAS akan mula mengacau dengan hujah bahawa Tabligh tidak mengajak orang belajar ilmu. Setelah termakan hujah begitu pemuda itupun mulai renggang dari tabligh dan akhirnya terus menjauhi Tabligh. Kerana PAS kosong dari targhib dan tarhib, maka pemuda itupun mulai rasa jemu mengaji dan akhirnya juga renggang dan menjauhi PAS. Namun orang-orang PAS membiarkannya terus bersendirian. Nak dakwah tak pandai, sebab dah terlatih menuduh orang munafik dan sebagainya, maka pemuda itu tidak berdaya dipujuk juga.

Ada yang ikut Tabligh, namun selepas balik dari 3 hari, abangnya  juga mempertikaikan bahawa Tabligh tidak pernah ajak ahlinya mengaji. Maka adikanya itupun tidak berani ikut Jemaah tabligh lagi. Lama kelamaan selepas itu si adik itu pun pakai seluar pendek balik seperti sebelum keluar tabligh. Tapi abangnya, tak buat apa-apa pun untuk suruh adiknya pakai kopiah semula sepeti selepas keluar 3 hari bersama Tabligh.

Ini adalah dua contoh daripada beberpa peristiwa yang pernah saya dengar yang membuktikan bahwa orang PAS amat lemah melakukan dakwah.

Memang semua  orang yang berfikrah Islamiah amat mengharap PAS akan memenangi pilihanraya dan memerintah negara ini supaya tertegaknya sebuah kerajaan yang melaksanakn seluruh sistem Islam. Tetapi kerana kelemahan ketara yang ada pada PAS ini maka harapan ini dirasakan sukar untuk dicapai.


KESIMPULAN

Dakwah ialah membantu agama Allah, dengan membantu agama Allah umat Islam akan dibantu oleh Allah.

Meninggalkan dakwah bererti tidak membantu agama Allah. Itulah punca umat Islam dihina dan ditindas oleh musuh mereka sekarang. Dengan meninggalkan dakwah bererti umat Islam tidak mempunyai kelayakan untuk mendapat bantuan dari Allah.

Wallahu a’lam.