Dalam Mazhab Imam Shafie hukumnya adalah HARAM.
Begitu juga 3 Mazhab yang lain. Tapi sekadar lintas sahaja dan tidak berulang
alik adalah tidak haram kecuali ditakuti akan menitik darah haidnya ke dalam
masjid, pada pandangan Shafiiyah dan Hanabilah.
Dalilnya:
"Aku tidak
menghalalkan masjid bagi wanita yang berhaid dan tidak juga bagi orang yang
junub." (Abu Daud)
Ulama berbeza pendapat mengenai hadis ini ada
yg kata daif, hasan dan sahih.
Selain itu ada lagi dalil Al Quran, tetapi
kerana tujuan saya ialah nak tolak hujah hadis yang digunakan oleh orang
Malaysia yang mengharuskannya sebab mereka telah silap dalan penghujahan, - Saya
tidak layak untuk pertikai hujah imam-imam Mazahib- maka saya terus kepada
jawapan terhadapnya.
Orang yg berhujah dengan harus duduk dalam
masjid ketika haid, antaranya tentulah Wahhabi, menggunakan hadis Bukhari (no: 439 dan 3835) sebagai dalil, iaitu:
Sesungguhnya seorang hamba wanita berkulit hitam milik
satu kaum bangsa Arab yang mereka bebaskan dan dia tinggal bersama mereka. Hamba
itu berkata: Satu ketika anak perempuan
mereka keluar dengan memakai selendang merah yang dibuat dari kulit dan dihiasi
dengan batu permata. Dia meletakkannya, atau terjatuh, sehingga terbanglah
seekor burung sedangkan selendang tersebut terletak di atas tanah. Burung itu
menganggap selendang tersebut adalah seketul daging lalu ia menyambarnya. Lalu
mereka mencari selendang tersebut namun tidak menemuinya. Akhirnya mereka
menuduh aku yang mengambilnya. Mereka mulai mencarinya sehingga memeriksa
kemaluannya. Demi Allah! Sungguh aku masih berdiri di kalangan mereka sehingga
tiba-tiba terbanglah burung itu dan melemparkan selendang tersebut. Selendang
tersebut jatuh tepat di antara mereka. Lalu aku berkata: “Inilah selendang yang
kalian tuduh aku mengambilnya padahal aku bersih dari semua tuduhan itu dan
inilah selendang tersebut.”
Maka aku
datang kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan masuk Islam. ‘Aisyah
berkata: Sejak itu dia mendapat tempat tinggal berupa kemah atau bilik kecil
berbumbung rendah di dalam masjid....
KETERANGAN
HADIS:
Kisah ia dituduh mencuri itu berlaku semasa dia
belum Islam, perbuatan memeriksa sehingga di kemaluannya dilakukan oleh orang
bukan Islam di tempatnya sebelum ia berpindah ke Madinah dan memeluk Islam di
sana.
HUJAH MEREKA YANG MENGHALALKAN PEREMPUAN HAID
DUDUK DALAM MASJJID MENGGUNAKAN HADIS INI:
“Menjadi perhatian
kita adalah keterangan ‘Aisyah radhiallahu 'anha bahawa: “Sejak itu dia mendapat tempat tinggal berupa
kemah atau bilik kecil berbumbung rendah di dalam masjid. Keterangan ini
menunjukkan wanita tersebut duduk lama di dalam masjid sehingga dibangunkan
kemah atau bilik kecil untuknya. Di sinilah terletak petunjuk hukum yang
penting kerana wanita tersebut pasti mengalami putaran haidnya, dan Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam tidak menghalang beliau dari terus tinggal di
dalam masjid.
A’isyah radhiallahu
'anha tidak menerangkan sama ada wanita tersebut adalah seorang budak atau yang
sudah lanjut umurnya, bererti beliau adalah wanita dewasa yang mengalami
putaran haid seperti biasa. Tidak timbul persoalan sama ada beliau adalah
seorang budak yang belum didatangi putaran haid atau seorang yang lanjut umur
yang telah berhenti putaran haid.
Maka di sini kita berhadapan dengan dua hadis
yang kelihatan seolah saling bercanggah. Hadis pertama menerangkan larangan
bagi wanita yang didatangi haid memasuki masjid manakala hadis kedua
menerangkan wanita yang didatangi haid boleh memasuki dan mendiami dalam
masjid.
Para ilmuan Islam telah menggariskan beberapa
kaedah untuk menghilangkan percanggahan yang wujud di antara dua atau lebih
hadis. Kaedah yang pertama adalah, hendaklah hadis-hadis yang bercanggah
tersebut memiliki darjat kekuatan yang sama.
Di sini kita menghadapi dua keadaan:
Seandainya hadis yang melarang darjatnya dha‘if
atau hasan, maka ia tertolak berbanding hadis sahih yang membolehkan wanita
yang didatangi haid memasuki dan mendiami masjid. Maka dengan itu wanita yang
didatangi haid boleh memasuki masjid dan mendiaminya tanpa sebarang halangan.
Seandainya hadis yang melarang darjatnya sahih,
maka diperhatikan adakah salah satu darinya membatalkan yang lain. Setakat ini
tidak ditemui bukti bahawa wujudnya pembatalan. Maka kaedah yang terbaik adalah
menggandingkan kedua-dua hadis, antara yang melarang dan membolehkan wanita
yang didatangi haid memasuki dan mendiami masjid.
Pergandingan ini menunjukkan bahawa hadis
larangan tidak membawa hukum haram, tetapi sekadar makruh. Oleh itu makruh bagi
wanita yang didatangi haid untuk memasuki masjid dan mendiaminya kecuali jika
dia memiliki sesuatu urusan di dalamnya.”
JAWAPAN:
Imam Bukhari telah meletakkan hadis ini di
dalam ‘Bab Tidurnya Perempuan di Dalam Masjid.’
Ertinya beliau tidak jadikan hadis ini sebagai dalil untuk menunjukkan
harus perempuan berhaid duduk di dalm masjid. Kenapa beliau buat begitu? Kerana hadis ini memang tidak boleh
dijadikan dalil perkara tersebut.
Kenapa tidak boleh jadi dalil? Sebab tidak petunjuk
jelas bahawa perempuan itu duduk dalam
Masjid Nabawi dalam keadaan haid. Sebab
bukan perkara luar biasa sebahagian perempuan tiada haid langsung atau datang
haid hanya setahun atau dua tahun
sekali. Al Bajuri menulis dalam Hasyiah ala Fathil Qarib bahawa Saiyyidatina
Fatimah tidak pernah datang haid. Qadi Abu Tayyib berkata, bahawa ada seorang
perempuan pada zamannya datang haid
setahun sekali (sehari semalam) dan nifasnya 40 hari. Kata Syaikh Khatib
Syirbini, seorang yang aku percayai telah memberitahu aku bahawa ibuku tidak
datang haid langsung seumur hidupnya, dan saudara perempuanku sebelah ibuku itu
hanya datang haid dua tahun sekali, nifasnya adalah tiga hari. (Mughni, 1/172).
Saya juga ada seorang kawan yang haid
isterinya adalah 2 tahun sekali. Mungkin
juga hamba perempuan itu tinggal dalam keadaan suci dan belum datang putaran
waktu haid.
Jadi andaian bahawa pasti hamba perempuan tersebut
tinggal dalam masjid dalam keadaan berhaid adalah andaian dan kebarangkalian
yang jauh, malah tidak ada dalil kecuali barangkali, barangkali bukannya dalil.
Dalil yang ada ihtimal (kebarangkalian) tidak boleh dibuat dalil.
Al Hafiz Ibnu Hajar al Asqalani, tidak
menyentuh langsung mengenai hukum haid (1/637), juga Ibnu Battal ketika
menyebut istinbat daripada hadis ini tidak menyentuh langsung berkaitan dengan
haid. Iaitu tidak berkata hadis ini sebagai dalil menunjukkan harus perempuan
haid duduk di dalam masjid.
Jadi macam mana ada orang boleh jadikan hadis
ini sebagai dalil sedangkan tidak ada ulama muktabar yang istidlal dengannya
berkenaan hukum haid. Orang yang belajar Sahih Bukhari akan faham bagaimana
tajam pemikiran Imam Bukhari istinbat hukum daripada hadis. Nampaknya ada orang
yang lebih tajam fikirannya daripada Imam Bukhari atau pun sebenarnya tak faham
langsung cara istinbat hukum.
Kata Maulana Zakariyya dlam kitab Kanzul
Mutawari: pada pandngan saya, yang lebih tepat (aujah) bahawa Imam Bukhari
berpandangan harus tidur dalam masjid, dan ia mengasingkan menyebut berkenaan
wanita dan menyebutnya dahulu (daripada lelaki) kerana ada kebarangkalian
terbuka aurat dan datangnya haid, yang menyebabkan jauh untuk menjadi harus
(tidur dalam masjid). Tetapi beliau tetapkan harus juga dengan hadis ini.
(4/152)
Maksudnya harus perempuan tidur
dalam masjid walaupun barangkali akan terbuka aurat dan datang haid. Hadis ini
dalam bab “Tidur Wanita dalam Masjid” selepas itu diletakkan Bab Tidur Lelaki
Dalam Masjid” ertinya harus lelaki tidur
dalam masjid walaupun ada kebarangkalian ia akan mimpi basah.
Ertinya kebarangkalian tidak boleh dijadikan
dalil hukum. Yang ajaibnya mereka tidak dapat beza antara barangkali dan
pasti. Haid wanita itu hanya barangkali,
tapi dikatanya pasti. Celarunya mereka. Kebarangkalian datang perkara tersebut
bererti ia akan ada dan mungkin juga tidak ada. Bukannya pasti ada.
Sekiranya lelaki keluar rumah dan ada kebarangkalian dia akan melihat kepada perempuan ajnabi, bolehkah kita kata: hukum memandang kepada perempuan ajnabi adalah harus tidak haram kerana lelaki pada zaman Rasulullah sentiasa keluar rumah dan mereka pasti akan melihat kepada perempuan ajnabi? bolehkah digunakan hujah dengan andaian seperti ini? Kalau tidak boleh, pasti andaian di atas juga adalah salah.
KATA
MEREKA:
“Keterangan
ini menunjukkan wanita tersebut duduk lama di dalam masjid sehingga dibangunkan
kemah atau bilik kecil untuknya.”
JAWAPAN:
INI juga adalah dakwaan tanpa dalil. Mana dalil dan riwayat yang menunjukkan
perempuan itu tinggal lama dalam masjid. Tak ada, hanya sangkaan sahaja. Kalau
betul dia tinggal lebih daripada sebulan di dalam masjid, pasti kisahnya akan
jadi masyhur pada kalangan para sahabat. Hafiz Ibnu Hajar dan ulama2 hadis lain
tidak tahu pun nama wanita itu. Jadi lebih dekat kepada kebenaran ialah dia
hanya tinggal beberapa hari sahaja yang belum tiba pusingan haidnya, jika ia
adalah perempuan yang masih datang haid. Keterangan yang mengatakan “pasti ia mengalami putaran haidnya, “ adalah bukan
pasti, malah hanya khayalan yang tidak berasas. Dalil mana, dalil?
KATA
MEREKA:
“A’isyah radhiallahu 'anha tidak menerangkan
sama ada wanita tersebut adalah seorang budak atau yang sudah lanjut umurnya,
bererti beliau adalah wanita dewasa yang mengalami putaran haid seperti biasa dan
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak menghalang beliau dari terus
tinggal di dalam masjid. Tidak timbul persoalan sama ada beliau adalah seorang
budak yang belum didatangi putaran haid atau seorang yang lanjut umur yang
telah berhenti putaran haid.”
JAWAPAN:
Logik apa yang digunakan? Kesimpulan bahawa
wanita itu adalah bukan budak dan bukan tua, malah wanita dewasa, diambil dari mana? Mana dalilnya? Ada tak
kalimah dalam hadis itu yang mengisyaratkan kepada kesimpulan itu?
Apabila tidak ada dalil menerangkan umur wanita
itu, maka tiada siapa berhak menentukan samada ia budak, dewasa atau telah tua.
Maka ertinya, kebarangkalian bahawa ia adalah perempuan yg telah tua yang telah
putus haid masih tetap ada, dan kebarangkalian dia belum datang haid adalah jauh dari
kebenaran kerana nyata ia telah dewasa dan telah mula datang haid. Macam mana
boleh nafikan kebarangkalian (persoalan) ini, sedangkan kepastian umurnya tidak
ditemui? Dalam kaedah usulliah, dalil yang ada ihtimal tidak boleh diguna buat
istidlal. Hadis ini tidak boleh dibuat dalil umur wanita itu samada muda atau
pun tua, sebab tiada sepatah kalimah pun yang menunjukkan kepada perkara itu.
Malah apabila baginda tidak melarang dia tinggal di situ itulah dalil bahawa
dia tidak datang haid ketika tinggal dalam masjid. Ini disokong oleh hadis awal
tadi dan hadis akan datang.
KATA
MEREKA:
“Maka di sini kita berhadapan dengan dua hadis
yang kelihatan seolah saling bercanggah. Hadis pertama menerangkan larangan
bagi wanita yang didatangi haid memasuki masjid manakala hadis kedua
menerangkan wanita yang didatangi haid boleh memasuki dan mendiami dalam
masjid.”
JAWAPAN:
Ini adalah dusta semata. Tidak ada dilalah
samada soreh (jelas) ataupun isyarat di dalam hadis hamba perempuan itu tinggal
dalam masjid dalam keadaan berhaid. Hadis kedua tidak menerangkan perkara itu,
malah masih belum terang dia duduk dalam masjid ketika datang haid. Maka tidak ada
pertentangan seperti yang mereka dakwa. Apabila ada hadis yang soreh (hadis
pertama), dan hadis yang hanya ada
kebarangkalian yang terlalu jauh (hadis hamba perempuan) maka terbatallah
istidlal dengan hadis kedua dari sudut hukum haid.
KATA
MEREKA:
“Pergandingan ini menunjukkan bahawa hadis
larangan tidak membawa hukum haram, tetapi sekadar makruh. Oleh itu makruh bagi
wanita yang didatangi haid untuk memasuki masjid dan mendiaminya kecuali jika
dia memiliki sesuatu urusan di dalamnya.”
JAWAPAN.
Jumhur ulama berpendapat bahawa asal setiap
larangan adalah menunjukkan keharaman kecuali apabila ditemui perkara yang
merubahnya (sorif) menjadi makruh atau harus. Mana sorif dalam hadis hamba
kulit hitam itu terhadap hadis pertama tadi? Apabila tidak ada sorif maka
keharamannya adalah kekal. Sorifnya tidak ada seperti yang telah nyatakan di
atas. Tiada dalil yang menunjukkan
bahawa hamba perempuan itu duduk dalam masjid dalam keadaan berhaid, hanya
andaian lemah, maka tidak ada sorif. Oleh kerana itu kekal haramnya. Macam mana jadi makruh pula? Dalil
mana, dalil?
HADIS LAIN YANG
MENUNJUKKAN HARAM DUDUK DALAM MASJID KETIKA HAID
Hadis ‘Aisyah, bahawa Rasulullah sallallaahu
‘alaihi wa sallam telah bersabda kepadanya: “Ambilkan aku al-khumrah (sajadah)
dari masjid. Lalu ‘Aisyah berkata: Saya sedang haid. Baginda bersabda: sesungguhnya
haid kamu tidak di tanganmu”
(Muslim no
298, Tirmizi, no. 134, dan Abu Dawud,
no. 261, dan an-Nasaie, no. 272, dan Ibnu Majah, no. 632).
KETERANGAN
MEREKA:
Hadits tersebut di atas tidak menerangkan bahawa
Rasulullah SAW memerintahkan Aisyah mesti segera keluar dari masjid, atau boleh
masuk masjid tapi sekedar mengambil al-khumrah saja. Beliau SAW hanya
menerangkan haid tidak di tanganmu, sehingga selama aman dan tidak akan
mengotori masjid, maka diperbolehkan wanita untuk berada di dalam masjid tanpa
batas waktu dan syarat2 tertentu.
JAWAPAN
Hadis itu menyatakan bahawa Nabi menyuruh
Aishah mengambil khumrah yang berada di dalam masjid. Aishah berada di dalam
rumahnya dan hanya menghulur tangan untuk mengambilnya, bukan menyuruh beliau
masuk ke dalam masjid. Perkataan ‘nawala’ bererti memberi dengan menghulur
tangan. Ini kerana bilik Aishah hanya sebelah masjid, boleh jadi ia hanya mengambilnya dari tingkap
ataupun pintu biliknya. Jadi tidak timbul kewajipan keluar segera dari masjid.
Sebenarnya hadis ini ialah dalil larangan
perempuan haid duduk dalam masjid kerana
Aishah menjawab bahawa dia sedang berhaid yang membawa maksud bahawa hukum
tersebut telah maklum kepada Aishah dari Nabi sendiri. Nabi menyebut bahawa
darah haid bukannya berada di tangannya, jadi tidak mengapa sekadar menghulur
tangan ke dalam masjid. Tiada petunjuk harus duduk dalam masjid bagi perempuan
haid dalam hadis ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan