Khamis, 30 Julai 2009

KETURUNAN HAJI HASAN BIN AWANG BESAR

IBU saya adalah anak kepada Al Marhum Haji Hasan bin Haji Awang Besar, seorang yang sangat disegani dan berpengaruh di Kampung Ulu Mengkuang, Selama, Perak. Haji Hasan adalah pengasas Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang. Pada tahun 1952 semasa beliau menjadi ketua kampung. Beliau lebih dikenali dengan nama Haji Ahmad di Daerah Selama.

Saya telah diberitahu oleh Al Marhum Haji Syafii bin Hashim bahawa keturunan Haji Hasan adalah seperti berikut:

HAJI HASAN bin Awang Besar, bin Abu, bin Ismail, bin Pedu


Kata Haji Syafii bahwa Pedu ialah asal bagi nama Daerah Pedu yang terkenal dengan Tasik Pedu. Pedu berasal dari Negeri Patani Darus Salam. Namun ada setengah penulis mengatakan bahawa Pedu adalah sempena nama seorang raja keturunan Kedah Siam. Nama baginda ialah Sultan Madzafar Shah III ibnu Khalifah Syarif Abu Bakar Shah, atau di gelar Tuanku Sulong atau Koya Long. Dalam bahasa Siam Pedu bererti abang atau abang sulong. Baginda pernah menjadi Raja di Kemboja Cempakasari pada tahun 1758 Masihi, juga pernah menjadi raja di Kuala kangsar Perak.

Perkara ini tidak semestinya bercanggah, kerana Patani dulu adalah daerah/negeri di bawah naungan Kerajaan Islam Kedah Siam dan terletak hampir dengan Kemboja.. Barangkali itu adalah orang yang sama. Jika perkara ini benar maka ertinya Haji Hasan adalah keturunan raja Kerajaan Islam Kedah Siam yang memerintah Patani atau Kemboja. Ini diperkuatkan oleh dakwaan ibu penulis bahawa kami adalah keturunan Long Jaafar. Mungkin dia orang yang sama dengan Tuanku syed Long Jaafar. Baginda ialah anak Panglima Bukit Gantang (1824-1862) cucu kepada Pedu (Tuanku Sulong). Ditambah lagi adanya anak Pedu yang bernama Syed Long Ismail, barangkali orang yang sama dengan Ismail, adinda Panglima Bukit Gantang (Syed Alang Alauddin). Kemudian dengan adanya Abu dalam silsilah yang diterangkan Haji Syafii yang mungkin adalah Abu Toha yang menjadi Raja Selama/Bagan Serai, dan digelar Keramat Perang, adinda Long Jaafar.

Namun perkara ini perlukan kajian dan bukti yang tepat.. Sesiapa mempunyai maklumat lanjut mengenai Pedu, saudara mara dan zuriatnya sila catatkan dalam blog ini.

Haji Hashim, Saerah dan Sabariah adalah saudara Haji Hasan. Nenda Sabariah saudaranya  yang masih hidup, berada di Batu Kurau, Perak. Semoga Allah memanjangkan usianya dengan kesihatan yang baik..

Anak-anak Haji Hasan ialah (Paklong) Badruzzaman kini tinggal di Taman Menteri, Changkat Jering, Taiping; (Pakngah) Azzahari, telah meninggal; (Maklang) Halimah, ibu penulis; (Maktih) Aishah tinggal di Kuala Lumpur; (Pakandak) Muhammad Nor, tinggal di Ulu Mengkuang, Selama. Sekarang ketua kampung di sana, mewarisi bakat bapanya. (Makcik) Badariah tinggal di Guar Petai, Selama; (Makanjang) Zaharah tinggal di Taiping.


silarujuk: www.sejarahnagarakedah.blogspot.com

Rabu, 29 Julai 2009

KENAPA PONDOK MATI SATU DEMI SATU?

Semua umat Islam tahu bahawa university Al Azhar telah dibuka sejak beratus tahun yang lalu. Begitu juga Nadwatul Ulama di Lucknow dan Darul Ulum Deoband di India. Di Pakistan ada pula Madrasah Al Binuriah yang kekal hingga sekarang.

Kita pernah mendengar nama-nama besar ulama di Malaysia yang telah membuka pondok di merata tempat, yang mengajarkan kitab-kitab besar yang cukup untuk menjadikan lepasan pondok mereka sebagai ulamak yang mahir/pakar dengan ilmu-ilmu Islam.

Tapi sekarang nama-nama besar tersebut hanya tinggal sejarah yang hanya dikenang dalam buku-buku dan lisan masyarakat. Kini kitab-kitab besar tidak lagi diajarkan dan makin mengecilkan ruang ilmu umat Malaysia.

Apa yang menyedihkan umat Islam Malaysia terpaksa berkiblatkan Mesir dan lain-lain negara Arab untuk menghantar anak-anak mereka belajar ilmu agama. Tetapi bagi umat Islam India dan Pakistan mereka boleh berdiri setanding dengan negara-negara Arab yang lain dalam menghasil ulama dan tidak perlu mengharap Mesir dan lain-lain untuk mencipta ulama. Bahkan mereka terkenal dengan pengajian Dauratul Hadith yang mengajarkan Kitab Hadis Enam (Sunan/Sihah Sittah) dan Kelas Takhassus dalam berbagai bidang (fiqh, tafsir atau hadis) yang tidak ada di negara Islam yang lain. Bangladesh juga mempunyai pengajian seperti itu. Pengajian ini telah lama berjalan di sana. Dan ilmu mereka diimpot dari Mekah juga oleh para ulama yang termasuk Shah Wliullah Ad Dahlawi.

Soalnya sekarang kenapa ulama/umat Islam Malaysia tidak boleh jadi seperti umat Islam India dan Pakistan? Sedangkan telah berpuluh ribu orang yang belajar di Mekah, Al Azhar dan universiti lain di tanah Arab. Kenapa umat Islam di sini tidak sudah-sudah berkiblatkan Mesir dan lain-lain negara Arab untuk pelajaran Islam, dan tidak mampu mewujudkan sistem pengajian sendiri yang setaraf dengan dunia Islam yang lain. Kenapa Bangladesh yang amat mundur ekonomi lebih baik daripada Malaysia dalam sistem pengajian Islam mereka. Di sana amat banyak madrasah tahfiz dan madrasah yang mengajar kitab Sunan Sittah dalam masa yang singkat sahaja.

Jawapannya ialah kerana ulama kita tidak mampu untuk mendirikan madrasah/universiti sehebat Nadwah dan Darul Ulum ataupun Buniriah dan madrasah-madrasah lain di Bangladesh. Ini jawapan yang paling tepat saya kira.

Kenapa mereka tidak mampu? Jawapannya mungkin seperti di bawah:

1. Mereka belajar untuk kerja dengan kerajaan dan mendapat gaji lumayan, dan mereka tidak berniat untuk memperbaiki sistem pengajian yang ada ke peringkat yang lebih baik. Kalau dah niat begitu dia tidak akan belajar sehingga alim, cukup lulus dan boleh kerja. Orang berilmu tahap ini memang tak mampu mengajar kitab Sunan.

2. Mereka tidak sanggup berkorban untuk agama. Kerana orang yang mengajar kitab Sunan terpaksa bekerja keras dan dan tidak punyai banyak masa lapang kerana perlu untuk memberikan huraian teperinci kepada para pelajarnya. Dia lebih berminat buat ceramah/forum yang memberikan pulangan lumayan. Atau pergi memburu rusa di Hutan Belum di Gerik. Ataupun main golf.


3. Ulama pakar yang belajar sehingga lebih dari lima belas tahun di Mekah pada zaman dahulu lebih suka buka pondok bersendirian dan menjadi guru berseorangan. Apabila dia meninggal dunia maka pondoknya pun turut mati. Sekiranya mereka berpakat membuka sebuah pondok yang mempunyai ramai pengajar sudah tentu masalah ini tidak berlaku. Sekiranya Al Azhar, Nadwah dan Darul Ulum mengikut cara orang Malaysia ini, maka universiti ini akan tingggal nama juga seperti kebanyakan pondok-pondok di Malaysia. Kerana usia madrasah yang tua akan menambah pengalaman para pengajarnya, pengalaman itu akan melahirkan kaedah pengajian yang tebaik.

4. Tiada sokongan daripada umat Islam yang lain. Di Malaysia umat Islam amat kedekut untuk memberI sumbangan kepada madrasah/pondok, walaupun institusi itu mengajar agama. Agama mereka sendiri. Berbeza dengan negara Arab dan India/Pakistan/Bangladesh. Sila baca artikel berkenaan dalam blog ini.


Inilah antara punca-punca sistem pengajian agama Malaysia tidak boleh berdiri setanding dengan negara-negara lain.

Namun amat disyukuri telah ada sebahagian umat Islam yang telah mendirikan madrasah yang mempunyai Dauratul Hadith dan mengajarkan kitab-kitab yang bermutu tinggi. Usaha ini wajib disokong oleh semua umat Islam di negara ini.

PENDIDIKAN ISLAM YANG SYUMUL

Orang ramai sering berkata: untuk menjadikan remaja orang baik-baik mereka mesti diberikan didikan agama yang cukup. Apakah maksud ‘cukup’ itu? Sehingga sekarang tidak ada takrif mengenainya.

Pada saya pendidikan agama yang cukup ialah: didikan mengenai halal dan haram disertai dengan mengetahui balasan pahala kerana melakukannya, dan azab kerana meninggalkan amalan wajib atau melakukan perbuatan haram.

Semua umat Islam tahu solat lima waktu adalah wajib; diberi pahala jika dilakukan dan akan di azab di akhirat kerana meninggalkannya. Tapi peratus yang meninggalkan solat adalah lebih ramai daripada yang mengerjakannya. Kenapa jadi begini? Jawapanya ialah kerana mereka hanya tahu wajib dan haram sahaja tapi tidak mengetahui balasan-balasan nikmat dan azab mengenai solat dengan lebih terperinci.

Begitu juga puasa, semua orang Islam tahu ianya wajib, tapi ramai yang tidak puasa dan sering berlumba lari dengan pegawai pencegah maksiat kerana diserbu ketika makan pada waktu siang. Ini adalah kerana mereka tidak tahu secara detail pahala dan balasan nikmat di syurga untuk orang yang berpuasa dan jahil azab yang akan menimpa mereka kerana meninggalkannya.

Semua orang Islam tahu zina adalah haram, tapi kerana mereka tidak tahu azab-azab yang menanti mereka samada di dunia, alam kubur atau di akhirat, sebab itulah makin ramai umat Islam di negara melakukan amalan dosa besar itu. Tidak kira tua ataupun muda setiap hari melakukan zina.

Ringkasnya, setiap amalan daripada wudhuk, mandi wajib dan lain dalam bab taharah; solat, zakat, puasa, haji; muamalat, munakahat dan jenayah, mesti diajarkan kepada semua umat Islam lengkap dengan fadhail dan inzar (amaran azab). Dengan ini barulah dipanggil ‘pendidikan agama yang cukup.’ Kerana syariat Allah yang termaktub dalam Al Quran dan As Sunnah datang lengkap dengan kaifiyat melakukan, disertai dengan janji balasan baik di dunia, alam kubur dan alam akhirat; dan janji azab kerana meninggalkan/mengabaikan amalan wajib dan melakukan perkara haram.

Lihatlah dalam wudhuk, ulamak telah menggariskan syarat dan rukun berdasarkan Al Quran dan Sunnah. Di samping itu Quran juga menyebut kebaikan (fadhail) yang akan diperoleh umat Islam yang mengambil wudhuk. Di dalam Sunnah dinyatakan azab-azab kerana mengabaikan wudhuk. Inilah pakej lengkap pendidikan Islam, yang boleh dipanggil: pendidikan yang cukup.

Cuma sekarang ini umat Islam di Malaysia (atau seluruh dunia?) tidak lagi mendapat pendidikan yang syumul ini. Sebabnya kerana para ulama mengabaikan cara ini. Sepatutnya kaedah tarbiah syariat ini dimulakan sejak tahun satu lagi di sekolah rendah sehingga ke peringkart universiti. Pondok-pondok dan sekolah agama rakyat (SMAR) pun tidak mengajar kitab khusus mengenainya. Ertinya kejahilan mengenai balasan nikmat dan azab telah berleluasa di dunia Islam. Ulamak hanya sibuk dengan fiqh dan falsafah dan terlupa mendidik umat. Ada yang mengejar dunia sehingga lupa peranan sebenar mereka. Jika ceramah/kuliah yang diadakan dikenakan bayaran beratus ringgit, memang terbukti mereka menjadikan agama sebagai alat mengejar kemewahan. Sepatutnya ulama/ustaz yang dah bergaji cukup tidak mengenakan apa-apa bayaran untuk penyampaian ilmu mereka. Mari kita boikot ulama/ustaz yang minta duit mengajar walaupun dah punya dapat gaji beribu ringgit dan melebihi daripada tahap cukup. BOIKOT USTAZ TAMAK! Punca kejatuhan Islam ialah ulama/ustaz yang tamak yang tidak menegakkan hukum Islam dan lebih suka mengampu menteri-menteri supaya mendapat habuan lumayan.

Saya cadangkan supaya buku-buku teks pendidkan Islam dari Tahun Satu hingga ke peringkat paling tinggi dimuatkan kaedah tarbiah ini. Pondok-pondok hendaklah menjadikan kitab yang berkaitan dengannya sebagai kitab wajib. Sebagaimana nahu dan sorof dijadikan m/pelajaran wajib. Di masjid/surau juga perlu dibacakan kitab yang mempunyai isi yang telah disebutkan tadi.

Antara kitab yang boleh dijadikan bahan rujukan untuk penulis buku teks, dan digunakan di pondok dan iniversiti ialah Az Zawajir karangan Syaikh Ibnu Hajar Al Haitami, Riyadhus Solihin oleh Imam Nawawi dan Ihya Ulumiddin tulisan Imam Al Ghazzali. Kitab terkini yang lebih lengkap ditulis oleh Syaikhul Hadis Maulana Muhamad Zakariyya bernama Fadhail A’mal. Di dalam kitab-kitab tersebut ditulis ayat Al Quran dan Hadis mengenai balasan-balasan baik dan azab-azab pada semua amalan.

Syarat dan rukun yang dipelajari akan membetulkan amal ibadat. Balasan baik yang diketahui akan melahirkan semangat untuk melakukan amalan dan harapan (ihtisab) terhadap nikmat yang dijanjikan. Balasan azab yang diketahui akan melahirkan rasa takut untuk melakukan maksiat. Inilah tarbiah lengkap.

Sepatutnya semua jamaah Islam menggunakan cara ini untuk menerapkan tarbiah islamiah kepada para ahlinya. Saya pernah mencadangkannya kepada sebahagian ahli sesetengah jamaah Islam di Gerik supaya kaedah ini pakai di dalam program usrah mereka, tapi dijawab ini adalah cara Tabligh. Ini adalah tanda kejahilan mereka yang berkenaan, kerana ia bukan cara Tabligh tapi cara Allah dan semua nabi-nabi. Apabila Al Quran dan hadis menceritakan fadhail bererti itulah cara yang dilakukan oleh Allah taala dan Nabi kita Muhammad saw. Semua nabi-nabi adalalah diutus untuk menceritakan fadhail dan untuk inzar (memberitahu ancaman azab)

Ada pemimpin sesetengah gerakan/jamaah Islam di negara ini pernah berkata bahawa mereka ingin melahirkan ahli/umat yang ‘ruhban fil lail wa fursan fin nahar’ (ahli ibadat pada waktu malam dan tangkas berjuang pada waktu siang). Sekiranya cara yang saya bentangkan ini tidak digunakan, maka apakah cara yang mereka boleh buktikan lebih berkesan.


والله أعلم

SUKATAN PELAJARAN SEKOLAH AGAMA

Pada pandangan saya sukatan pelajaran Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) amat baik dan tepat sebagai sukatan pertengahan untuk melahirkan insan berilmu agama. Mata pelajaran STAM amat lengkap, hanya satu subjek yang amat penting iaitu Usul Fiqh dicicirkan daripada sijil berkenaan padahal mata pelajaran ini diajarkan di Maahad Al Azhar, yang kitab STAM berasal dari sana. Ini telah menjadikan sijil ini pincang dan tidak lengkap. Ilmu Arudh pada saya tidak perlu diajarkan di sini, ia patut diganti dengan Usul Fiqh.

Dan kitab-kitab STAM juga tidak boleh sama sekali dijadikan bahan asas untuk mengajar Nahu dan Sorof. (para pengajar STAM sila ambil perhatian). Kerana ia ditulis khas untuk anak-anak Arab yang bertutur dengan bahasa tersebut. Apabila diajarkan kepada umat Melayu yang tidak tahu cara bercakap dengan bahasa tersebut maka berlakulah pembaziran tenaga dan masa.

Nahu dan Sorof adalah untuk memahami teks bahasa Arab dengan lebih jelas dan mendalam. Maka ia keduanya mesti dimulai dari peringkat paling asas. Tiada asas bererti tiada pertengahan dan peringkat tinggi, sebagaimana lemahnya asas adalah punca lemahnya pertengahan dan tahap tinggi. Kitab nahu dan sorof kelas Peralihan STAM bukan peringkat asas dengan nisbah orang Melayu. Apabila guru yang mengajarnya tidak berfikir panjang, terus saja mengajar kitab berkenaan, maka boleh dilihat berlaku kesilapan dalam sistem pendidikan Islam di Malaysia.

Umat Melayu wajib memulai belajar sorof dahulu dan dimulai dengan tasrif gantinama, iaitu yang dmulai dengan huwa- huma –hum, (ila akhirih.) Kemudian tasrif fe’el madhi, mudhari’ masdar, isim fai;, isim maful, fe’el amar, fe’el nahi, isim tempat dan masa hingga isim alat. Ini mesti dikuasai dulu, barulah dimulai dengan kitab setaraf matan Al Ajurrumiyyah.

Kalau cara seperti ini tidak dilaksanakan kepada umat Melayu saya tidak percaya mereka akan dapat membaca kitab Arab sampai bila-bila pun. Sila baca artikel lain dalam blog ini.

Saya pernah terbaca bahawa Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah berkata: (maksud lebih kurang) “sekolah Arab kena perbaiki bahasa Arab.” Ini menunjukkan bahawa sistem sekolah Arab Malaysia memang LEMAH.

Saya pernah mengajar tuisyen bahasa Arab kepada para pelajar di JKR Base Camp di Gerik, selama hampir sebulan, ketika cuti semester. Apabila saya bertanya kepada seorang pelajar perempuan yang ketika itu belajar di tingkatan tiga di sebuah sekolah agama yang masyhur di Baling, cuba buat ayat: ‘saya telah pergi ke Baling’ dalam bahasa Arab, dia menjawab: Ana zahab ila Balinj/g (yang betul: zahabtu). Saya amat terkejut, kerana sepatutnya ayat begini dia telah boleh membuat dengan betul pada bulan pertama persekolahannya, bukannya pada tahun ke tiga masih tidak betul.

Cara yang saya cadangkan ini, telah membolehkan para pelajar membaca teks Arab seawal tahun kedua. Teks yang dibaca bukannya ayat pendek seperti yang disebut oleh pelajar perempuan tadi, tapi ialah kitab Taudihun Nahwi kelas empat STAM, yang merupakan syarah Alfiyyah Ibni Malik. Kitab ini kemudiannya saya ajarkan mereka bersama Kitab Taudihus Sorfi sampai khatam keempat-empat jilid.

Pelajar yang saya maksudkan ini bukannya pelajar yang terlalu pintar, sederhana sahaja, tetapi kerana cara yang betul, kaedah yang diamalkan secara tradisi oleh pondok-pondok ini telah menunjukkan bukti yang terlalu cemerlang. Anda akan berasa taajub melihat pelajar yang berusia 17 tahun boleh membaca Taudihun Nahwi 99 % betul barisnya. Pelajar berkenaan juga mampu membaca kitab Al Iqna, sebaik itu juga.

Saya tidak percaya ada pelajar yang mampu membaca kitab-kitab STAM, dengan belajar dari kitab STAM sahaja.

Selepas STAM, pelajar yang lulus dengan ‘mumtaz’ akan melanjutkan pelajaran di al Azhar. Selepas mendapar ijazah Sarjana Muda, ramai yang akan balik, samada untuk cari makan ataupun menyambung master di university tempatan. Namun amat diharapkan mereka benar-benar mampu menguasai kitab-kitab Arab, sebelum melanjutkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Saya syorkan kepada lepasan Azhar yang ingin (dan sepatutnya) mendalami ilmu tafsir dan hadis, melanjutkan pelajaran mereka di pusat pengajian yang menghajarkan tafsir secara mendalam, yang membahaskan qaul aimmah dan segala yang berkaitan dengan tafsir. Dan juga yang mengajarkan Sunnan Sittah dengann cara perbahasan yang sama. Kalau belajar ilmu separuh jalan saja akan lebih bahaya daripada orang jahil. Mereka juga sepatutnya mendalami ilmu fiqh. Jangan berpuas hati dengan sijil yang ada sahaja.

Sekarang di Malaysia telah ada madrasah yang mengajarkan sunnan sittah dengan perbahasan mendalam, dalam tempoh yang singkat sahaja, tidak perlu berbelas tahun. Madrasah ini juga mengajar ilmu tafsir dengan cara yang sama. Cara ini telah mulai luput daripada pondok-pondok di Malaysia, dan tiada lagi pondok yang mengajarkan Sunan Enam ini dalam masa singkat.

Di Bukit Mertajam ada madrasah yang mengajarkan kitab Misykah (sebanyak 6 ribu hadis) dengan perbahasan Empat Mazhab dan segala aqwal imam dalam masa dua tahun sahaja. Kitab tafsir Jalalain juga selama dua tahun dengan cara yang sama. Ini menunjukkan kemajuan dalam Ilmu Islam di negara ini. Berbanding dengan sesetengah pondok yang mengajar kitab sahih Bukhari dan Muslim hingga berbelas tahun, dan kitab Jalalain lebih daripada tiga tahun walaupn kitab-kitab ini tidak dihuraikan secara mendalam.

Adalah satu perkara yang amat buruk apabila ada ustaz yang memegang ijazah, master atau PhD yang tidak tahu membaca kitab bahasa Arab. Lebih buruk lagi ada manusia yang tidak mahir fiqh (fekah), usul fiqh dan qawaid fiqhiyyah dilantik menjadi mufti.

Inilah masa menyusun kembali system ilmu Islam di negara ini. Ini hanyalah sebahagian cadangan awal.