Setiap orang yang mempunyai perasaan akan rasa kasihan kepada orang-orang miskin. Apatah lagi setelah melihat keadaan tempat tinggal mereka yang kadang-kadang lebih buruk daripada reban ayam, dan mengetahui keadaan hidup mereka yang tidak punya makanan yang cukup dan anak-anak mereka yang tidak dapat meneruskan persekolahan kerana kemiskinan.
Di sini bukan tempat untuk membuat rayuan kepada orang orang kaya supaya memberikan zakat yang mencukupi untuk keperluan mereka seperti yang telah saya jelaskan dalam atikel mengenai zakat sebelum ini. Sebaliknya ruangan ini ingin berkongsi ilmu dan maklumat mengenai amalan-amalan yang boleh dijadikan sebagai sebab untuk memurahkan rezeki khususnya kepada orang-orang miskin supaya dapat berusaha keluar daripada penjara kefakiran.
Allah telah menurunkan agama yang lengkap sebagai penyelamat manusia dan membawa kebahagiaan kepada mereka di dunia dan ahkirat. Di dalam Al Quran dan Hadis terdapat banyak nas-nas yang menyatakan bahawa amal ibadat adalah penyelamat manusia daripada segala kesusahan termasuk kemiskinan. Maka cara yang terbaik bagi para penyumbang bantuan kepada fakir miskin ialah memberi wang beserta dengan mengajar amalan berkenaan.
TAQWA DAN TAWAKKAL
Antara amalan yang boleh menambah rezeki ialah taqwa. Ini dinyatakan oleh Allah taala dalam surah at Talaq, ayat 2-3: ertinya:
“Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan menjadikan untuknya jalan keluar (dari kesusahan), dan memberikan rezeki kepadanya dari tempat yang ia tidak sangka, dan sesiapa yang bertawakkal kepada Allah maka Ia mencukupi untuknya, sesungguhnya Allah akan melaksanakan segala kehendaknya..”
Maksud ‘jalan keluar’:
Kata Ibnu Abbas “jalan keluar” bermaksud: Allah akan menyelamatkannya dari kesusahan di dunia dan akhirat.
Kata Rabi’: keluar dari segala kesempitan yang menimpa manusia,
Kata Qatadah: dari segala perkara yang meragukan dan kesusahan ketika kematian dan ketakutan hari kiamat. Maka lazimkanlah taqwa kepada Allah kerana darinya datang rezeki dari Allah di dunia dan pahala di akhirat. Dan maksud “dari tempat yang tidak disangka” ialah dari tempat yang ia tidak harapkan.
Sabda Nabi Muhamad, ertinya: “Sesungguhnya seorang hamba diharamkan (dihalang) daripada rezeki sebab dosa yang dilakukannya.” (Ahmad, Nasaie, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Al Hakim, hadis sahih)
“Jauhilah zina kerana terdapat empat keburukan padanya: menghilangkan seri wajah, memutuskan rezeki, membuatkan Ar Rahman (Allah) murka, dan kekal di dalam neraka.” (Tabrani, Ibnu Adi, dhaif)
“Zina mewariskan kefakiran” (Al Qudhaie, Baihaqi, daif)
“Berbuat baik kepada ibu bapa menambah panjang umur, dan berdusta mengurangkan rezeki.” (Abu Syaikh)
“Sekiranya kamu bertawakkal ke atas Allah sebenar-benar tawakkal Ia akan berikan kamu rezeki seperti mana ia berikan rezeki kepada burung: pada waktu pagi perutnya kosong dan kembali pada waktu petang dengan perutnya penuh kekenyangan” (Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah, Hakim. Kata Tirmizi hasan sahih, kata Hakim sahih dan Zahabi mengakuinya)
“Sesiapa suka menjadi orang yang paling kuat hendaklah ia bertawakkal kepada Allah” (Ibnu Abid Dunya, hasan)
MENUNTUT ILMU
“Nabi Sulaiman diberi pilihan antara harta, kerajaan dan ilmu, maka ia memilih ilmu, maka diberikan kepadanya kerajaan dan harta kerana memilih ilmu.” (Ibnu Asakir, dhaif)
Ilmu yang dipilih oleh Nabi Sulaiman ialah ilmu mengenali Allah dan hukum-hukam-Nya.
“Sesiapa yang menuntut ilmu Allah akan menjamin rezekinya” (Khatib, dhaif)
SOLAT
Firman allah taalaa dalam surah Toha, ayat 132, ertinya:
“Dan perintahkanlah ahlimu mengerjakan solat dan bersabarlah melakukannya, kami tidak minta rezeki darimu, Kami (Allah) yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat yang baik (di dunia dan akhirat) adalah untuk orang yang taqwa.”
Kata Ibnu Kathir: apabila kamu mendirikan solat , akan datang rezeki kepadamu dari tempat yang kamu tidak sangka, seperti yang Allah firmankan: “dan sesiapa bertaqwa kepada Allah, Dia akan menjadikan untuknya jalan keluar, dan memberinya rezeki dari tempat yang ia tidak sangka” (At Talaq). Sebab itulah Allah berfirman: “Kami tidak meminta rezeki darimu..” Kata Thauri: Kami tidak membebankan kamu mencari rezeki.
Kata Ibnu Abi Hatim dari Thabit: Adalah Nabi Muhammad, selawat dan salam Allah ke atasnya selama-selamanya, apabila ditimpa kesusahan, ia kan memanggil keluarganya dan bersabda: wahai keluargaku, solatlah. Kata Thabit: adalah para nabi apabila berlaku sesuatu perkara susah akan segera melakukan solat.
Sabda Nabi Muhammad selawat dan salam ke atasnya, semoga Allah menambahkah cinta kita kepadanya, ertinya: Allah taala berfirman: Wahai anak Adam lapangkanlah masa untuk menyembah-Ku (beribadat), nescaya Aku akan penuhkan dadamu dengan kaya dan aku tutupkan kefakiranmu, dan jika kamu tidak lakukan, aku akan penuhkan dadamu dengan kesibukan dan Aku tidak tutup kemiskinanmu. (Riwayat Termizi dan Ibnu majah dari Abu Hurairah, hadis hasan.)
BERSIFAT AMANAH
“Amanah menarik (memberi) rezeki, khianat menarik kefakiran.” (Dailami, hasan)
ISTIGHFAR
Allah taala berfirman dalam surah Hud, ayat 52, ertinya:
“(Nabi Hud berkata: wahai kaumku, minta ampun kepada tuhanmu dan bertaubatlah kepada-Nya, nescaya ia akan menghantar kepada kamu air hujan yang lebat dan menambahkan kekuatan kamu, dan jangan kamu kembali menjadi orang-orang yang berdosa.”
Air ialah punca bagi segala kemudahan dan akan menyuburkan tanaman yang menjadi sumber makanan.
Sabda Nabi, selawat dan salam ke atasnya, ertinya: “sesiapa yang sentiasa beristighfar Allah akan menjadikan kemudahan bagi kesusahannya, dan jalan keluar dari segala kesempitan, dan memberinya rezeki dari tempat yang ia tidak sangka.” (Abu Daud, Nasaie, dhaif)
MEMBACA AL QURAN
Sabda Nabi selawat dan salam ke atasnya, ertinya: “surah Al Waqiah adalah surah kekayaan, maka bacalah ia dan ajarkanlah anak-anak kamu membacanya.” (Ibnu Mardawaih)
Ajarkanlah ister-isteri kamu surah Al Waqiah kerana ia adalah surah kekayaan. (Dailami)
Walaupun hadis-hadis mengenai fadhilat surah Al Waqi’ah adalah dhaif kesemuanya, namun pengalaman-pengalaman yang pernah dialami oleh ramai umat Islam menunjukkan bahawa surah ini terbukti sebagai sebab kepada kemurahan rezeki kepada pembacanya.
Saya pernah diceritakan oleh kawan saya bahawa kawannya ketika berada di UK, setelah habis pengajiannya dan ingin pulang ke Malaysia, tetapi tidak ada wang yang cukup untuk membeli tiket. Dia telah bertemu seorang ustaz yang mencadangkannya membaca surah ini sebanyak 40 kali. Setelah melakukan apa yang dicadangkan, ada seorang lelaki yang tidak dikenali telah datang memberinya duit (ataupun tiket, saya terlupa mana satu yang sebenarnya.)
Seorang sahabat saya yang lain memberitahu kawannya telah membaca surah ini dengan niat supaya mudah baginya membeli motosikal, setelah membacanya dia akhirnya dapat membeli motosikal yang diingininya walaupun ada awalnya tidak ada duit yang cukup.
Ada orang yang kehabisan wang lalu membacanya maka pada waktu petang hari itu ada orang datang membayar hutangnya yang lama tidak dibayar.
Sabda Nabi: “Perbanyakkanlah membaca Al Quran di dalam rumah kamu, kerana sesungguhnya rumah yang tidak dibacakan Al Quran di dalamnya sedikit kebaikannya dan banyak keburukannya, dan disempitkan rezeki ahli rumah itu. (Daruqutni)
MENCARI REZEKI PADA AWAL PAGI
Sabda Nabi, selawat dan salam ke atasnya, ertinya: “Apabila kamu telah selesai solat subuh janganlah kamu tidur tanpa mencari rezeki.” (Tabrani)
Waktu yang terbaik ialah mencari rezeki selepas naik matahari kerana sebelumnya disunatkan duduk berzikir dan istighfar sehingga terbit matahari, sebagaimana yang dilakukan Nabi Muhammad.
“Pergilah awal pagi untuk mencari rezeki dan keperluan kerana pagi membawa keberkatan dan kejayaan.”(Tabrani, Ibnu Adi)
“Sesungguhnya tidur pada waktu pagi menghalang sebahgian rezeki” Abu Nuaim.
SEDEKAH
Sabda Nabi: “mintalah bantuan untuk mendapat rezeki dengan memberi sedekah.” (Dailami)
“Turunkanlah rezeki dengan melakukan sedekah.” (Baihaqi, Ibnu Adi, Abu Syaikh)
“Seringlah saling memberi hadiah makanan kerana itu akan melapangkan rezeki kamu” (Ibnu Adi)
“Rezeki menuju ke rumah orang yang pemurah lebih cepat daripada pisau membelah bonggol unta” (Ibnu Asakir, daif)
“Tetamu tiba dengan rezekinya (untuk orang yang dikunjungi), dan berangkat pergi dengan dosa orang (yang menerima mereka) dan membersihkan dosa daripada mereka” (Ibnu Hibban, dhaif dan mempunyai penyokong – shahid)
“Nafkahkanlah, aku akan nafkahkan ke atasmu” (Ahmad, Bukhari, Muslim)
Maksudnya: nafkahkanlah ke atas hamba-hamba-Ku. Aku akan nafkahkan ke atasmu bermaksud: aku akan gantikan apa yang telah kau belanjakan malah lebih banyak lagi.
TUAN/PUAN boleh merujuk kitab Fadhilat Sedekah karangan Maulana Zakariyya untuk maklumat lebih lanjut.
SILATUR RAHIM
“Ditulis di dalam Taurat: sesiapa yang suka umurnya panjang dan ditambah rezekinya maka hendaklah ia hubungkan silatur rahimnya.” (Hakim, sahih)
Barangsiapa suka diluaskan rezekinya dan dipanjangkan usianya, hendaklah ia hubungkan silaturrahimnya ” Bukhari, Muslim, Abu Daud, Nasaie dari Anas; Ahmad dan Bukhari dari Abu Hurairah)
HAJI
“Perikutkanlah antara haji dan umrah kerana di dalam memperikutkan antara keduanya menambah panjang umur dan menambah rezeki” (Ahmad, Ibnu Majah, Daruqutni, Tabrani)
“Orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah tetamu Allah, mereka berdoa akan diterima, mereka meminta akan diberi-Nya. Bazzar, hadis hasan)
NIKAH
Allah taala berfirman: “dan nikahkanlah orang-orang bujang dari kalangan kamu, dan orang-orang soleh dari hamba lelaki dan hamba perempuan kamu. Dan jika mereka orang-orang yang fakir nescaya Allah kan menjadikan mereka kaya, dan Allah sangat luas dan sangat mengetahui.” (surah An-Nur 32,)
Sabda Kekasih, selawat dan salam ke atasnya, ertinya: tiga golongan yang Allah mesti menolong mereka: orang yang bernikah untuk membersihkan diri daripada zina; orang yang berjanji merdeka hamba dan berniat menunaikannya, dan orang yang berperang pada jalan Allah.” (riwayat Imam Ahmad, Termizi dan Nasaie)
Sabda Nabi, selawat dan salam ke atasnya, ertinya: nikahilah perempuan kerana mereka akan membawa harta kepada kamu. (riwayat Bazzar, Daruqutni dan Hakim, hadis hasan)
Kata Ibnu Masud, semoga Allah redha kepada beliau, ertinya: carilah kekayaan dalam perkahwinan. (Riwayat Jarir)
Kata Sayyidina Umar ibnu Al-Khattab, ertinya: carilah kekayaan di dalam nikah. (riwayat Abdur Razzaq dalam Musannaf)
MEMBANTU ORANG-ORANG LEMAH
Sabda Nabi, selawat dan salam ke atasnya, ertinya: “carilah untukku orang-orang lemah kerana hanya kita diberi rezeki dan dibantu sebab orang-orang lemah dari kalangan kamu.” (Ahmad, Muslim, Ibnu Hibban, Al Hakim)
Maksudnya membantu mereka dan menunaikan keperluan mereka. Diberi rezeki bermaksud dapat mengambil manfaat daripada apa yang dikeluarkan oleh Allah.Apa yang tidak dapat digunakan tidak dinamakan rezeki. Dibantu bermaksud dibantu terhadap musuh dan menolak bala bencana. Sebab orang lemah bermakna sebab adanya mereka di kalangan kamu, atau kerana kamu memelihara hak mereka, atau kerana doa mereka.
Sabda Nabi: “Adakah kamu suka hatimu menjadi lembut, dan kamu memperolehi hajat keperluanmu? Kasihanilah anak yatim, usaplah kepalanya, dan berikanlah dia daripada makananmu, nescaya lembutlah hatimu dan kamu akan memeperoleh hajatmu.” (Tabrani)
Sabda Nabi, selawat dan salam ke atasnya, ertinya: “Allah taala membantu umat ini hanyalah sebab orang-orang lemah mereka, sebab doa mereka, solat mereka dan ikhlas mereka.”(Nasaie, sahih)
Sebab doa mereka meminta bantuan daripada Allah, dan kerana ikhlas mereka pada semua amalan mereka.
MENJAUHI ZINA
zina adalah salah satu dosa besar yang menyebabkan kemiskinan dunia dan akhirat. sila lihat artikel berjudul AZAB ZINA dalam blog ini.
Wallahu a'lam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan