Jumaat, 18 Disember 2009
DOSA MENGUMPAT
Kita akan dapat melihat umat Islam sering melakukan dosa ini di mana-mana sahaja malah di dalam masjid pun kadang-kadang ada majlis mengumpat, dan para pengumpatnya pula ialah ustaz ataupun orang-orang agama. Ada juga ustaz yang mengajar di madrasah tahfiz yang tidak pernah miss melakukannya sehingga orang-orang sekeliling naik meluat dan meyampah dengan perangainya. Barangkali umat Islam termasuk juga para ustaz, masih belum benar-benar mengetahui dan faham maksud mengumpat. Saya pernah menegur beberapa orang tua yang sedang enak mengumpat dengan kepuasan yang tak terhingga (barangkali), di dalam sebuah surau di Gerik, tapi mereka segera menjawab: ini buka mengumpat, ini cerita hal dia yang sebenar. Jawapan begini juga pernah saya dengar daripada orang lain.
Ini bukti bahawa amat jahilnya orang-orang Islam hari ini, kalau para ustaz dan orang yang pergi ke masjid setiap hari masih berfahaman salah begitu, maka yang duduk di rumah kemudian berangan akan masuk syurga, walaupun tidak pernah pijak tangga masjid dan surau, akan lebih tidak tahu dan tidak faham perkara yang berkaitan dengan mengumpat.
Takrif Mengumpat
Mengumpat ditakrifkan oleh kekasih kita Nabi Muhammad, semoga Allah mencurahkan rahmat ke atasnya selama-lamanya, dengan sabdaannya: mengumpat ialah kamu menceritakan hal saudara kamu yang ia membencinya. Sahabat bertanya: sekiranya perkara itu memang ada pada dirinya? Nabi bersabda: jika ada pada dirinya apa yang kamu katakan, maka kamu telah mengumpatnya. Sekiranya ia tidak lakukan seperti yang kamu katakan, maka kamu telah memfitnahnya (mereka-reka). (Hadis riwayat Imam Muslim, Dalilul Falihin, jld 4, ms 357)
Dari hadis ini para ulama telah menjelaskan bahawa mengumpat boleh terjadi kepada segala perkara yang kita ceritakan berkaitan saudara kita, samada mengenai tubuh badannya yang ada sebarang kekurangan dan kecacatan; atau kekurangan dalam agamanya yang berkaitan ibadat dan maksiatnya; atau mengenai kehidupan dunianya yang ada kekuranga dari segi harta; atau mengenai anak-anaknya yang tidak taat pada perintah Allah,; atau mengenai ibu-bapanya yang juga begitu; isterinya yang buruk perangainya; orang gajinya yang banyak melakukan masaalah; jawatan/pangkatnya yang rendah; kenderaannya; pakaiannya dan apa sahaja yang ia tidak suka orang lain mengatanya. (sila lihat kitab Tuhfatul Murid syarah Jauharah Tauhid, ms 121; juga kitab Az zawajir an Iqtirafil Kaba’ir, 2, 19.)
Syaikh Ibrahim al Baijuri menyebut dalam Tuhfatul Murid: sebahagian daripada kesesatan ialah kata-kata orang awam: ini bukan mengumpat, tapi ini menceritakan perkara yang sebenar berlaku. Kadang-kadang ini membawa kepada kekafiran kerana menghalalkan perkara yang haram. (ms 121) Kerana keharaman mengumpat adalah berdasarkan ijma ulama.
Mengumpat tidak hanya khusus dengan kata-kata sahaja malah setiap perkara yang kamu boleh memahamkan kelemahan seseorang Islam kepada orang lain. Samada dengan tulisan, atau isyarat dengan mata, tangan, kepala dan lain-lain.
Mengumpat adalah diharamkan apabila dilakukan terhadap seseorang atau kumpulan yang tertentu yang diketahui oleh orang ditujukan umpatan. Dan menjadi haram juga jika orang yang ditujukan umpatan mengetahui orang yang dimaksudkan walaupun digunakan bahasa yang tidak jelas.
Pendapat yang muktamad dalam Mazhab Syafie ialah mengumpat menjadi dosa besar jika orang diumpat adalah orang yang berilmu agama dan para hafiz Al Quran. Manakala mengumpat selain mereka dalah dosa kecil.
Saya berpendapat hikmah dihukumkan dengan dosa besar mengumpat orang alim dan hafiz ialah kerana mereka adalah tonggak kepada umat Islam. Segala perbuatan mereka adalah untuk dicontohi dan diikuti, setelah aib dan kelemahan mereka disebarkan, orang-orang akan memandang rendah kepada mereka dan tidak akan mencontohi mereka lagi walaupun kebaikan yang mereka lakukan adalah berdasarkan ajaran Islam sebenar. Apabila umat Islam tidak mengikuti ajaran Islam sebenar mereka akan sesat.
Sebagaimana haram melakukan ghibah (mengumpat) haram juga mendengarnya dan berdiam diri ke atas orang yang mengumpat. Maka wajib ke atas setiap orang yang mendengar melarang orang lain yang sedang mengumpat selagi ia tidak takut berlaku bahaya ke atas dirinya. Jika ia tidak mampu melarangnya maka wajib ia menjauhkan dirinya daripada orang yang sedang mengumpat.
Nas-nas yang melarang perbuatan mengumpat:
Al Quran:
”Dan janganlah sebahagian daripada kamu mengumpat sebahagian yang lain; adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging mayat saudaranya yang telah mati. Maka kamu tidak akan meyukainya (makan daging itu). Dan takutlah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah amat menerima taubat dan amat mengasihani”
Ayat ini mengandungi perkara yang menunjukkan beratnya dosa mengumpat yang sepatutnya tidak dilakukan oleh orang Islam kerana ia seumpama memakan daging saudara sendiri yang telah mati dalam keadaan mentah
Hadis:
”Setiap muslim ke atas setiap muslim adalah haram darahnya, nama baiknya dan hartanya” (Muslim)
Maksudnya haram membunuhnya dan mencederakannya, membuka aibnya kepada orang ramai, dan haram mengambil hartanya tanpa izinnya walaupun dengan bergurau.
”Riba yang paling buruk ialah menceroboh nama baik saudara seislamnya” (Al Bazzar, dengan sanad kuat)
Kata Aisyah kepada Rasulullah, selawat dalam salam Allah ke atasnya: cukuplah kepadamu dari Sofiyyah begini-begini (dia seorang yang rendah). Maka sabda Baginda: Kamu telah berkata satu perkataan yang jika dicampur dengan air laut dia akan bercampur (dan menyebabkan berubah baunya kerana busuk dan kejinya.) Aku (Aisyah) meniru perbuatan seseorang. Baginda bersabda: Aku tidak suka meniru perbuatan seseorang (untuk menghinanya) walaupun aku akan mendapat habuan dunia yang banyak. (Abu Daud, Tirmizi berkata hasan sahih)
”Ketika aku dinaikkan ke langit (mikraj) aku lalu berhampiran kaum yang mempunyai kuku daripada tembaga, mereka mencakar muka dan dada mereka dengannya. Aku berkata: siapakah mereka wahai Jibril. Ia menjawab: merekalah orang yang memakan daging manusia (mengumpat mereka) dan menceroboh nama baik mereka.” (Abu Daud, sahih)
”Dari Jabir bin Abdullah, katanya: Adalah kami bersama dengan Nabi, tiba-tiba datang suatu bau busuk. Maka Nabi bersabda: tahukan kamu ini bau apa? Inilah bau orang mengumpat orang-orang Islam” (Ahmad, sanad sahih)
Kata Abu Hurairah: kami sedang berada bersama Nabi (saw), maka berdiri seorang lelaki. Para sahabat berkata: Wahai Rasulullah, lemahnya dia. Nabi bersabda: ”Kamu telah mengumpat saudara kamu, kamu telah makan dagingnya.” (Abu Yaala)
Diceritakan kepada Nabi saw seorang lelaki yang tidak akan makan sehingga diberi makan. Maka bagibda bersabda: ”Kamu telah mengumpat saudara kamu.” (Asbahani, sanad hasan)
”Nabi saw lalu berhampiran sebuah kubur yang penghuninya sedang diazab. Maka baginda bersabda: sesungguhnya orang ini mengumpat manusia. Kemudian baginda meminta sebatang pelepah tamar, lalu meletakkannya di atas kubur itu, dan bersabda: Semoga diringankan azabnya selagi pelepah tamar ini masih basah. (Ahmad)
”Tahu kah kamu sipakah muflis. Sahabat menjawab: orang tidak mempunyai dirham dan harta. Sabda baginda: Muflis ialah orang yang datang pada hari kiamat dengan pahala solat, puasa, zakat, dia telah memaki orang ini, menuduh orang ini, dan makan harta orang ini, dan menumpahkan darah orang ini, dan memukul orang ini. Maka diberikan kepada orang ini pahalanya dan kepada orang ini pahalanya. Jika habis pahalanya diambil dosa mereka dicampakkan ke atasnya kemudian ia dihumban ke dalam neraka. (Muslim)
”Sesungguhnya seorang lelaki diberikan catatan amalannya. Maka ia berkata: wahai tuhan, di manakah amalan-malan baikku yang telah aku lakukan, ia tiada dalam buku amalanku. Allah menjawab: ia dihapus dengan umpatan engkau terhadap manusia.” (Asfahani)
”Sesiapa menuduh seseorang melakukan perkara yang ia tidak melakukannya, kerana ingin memalukannya, Allah akan menahannya dalam jahannam sehingga ia menunjukkan buktinya.” Tabrani, sanad baik)
MENGUMPAT YANG DIBENARKAN
Walaupun ghibah adalah haram namun ada beberapa sebab yang membolehkan kita melakukannya dan kadang-kadang menjadi wajib.
Pertama: Mengadukan kezaliman seseorang supaya kepada pihak yang mampu melepaskan diri daripadanya.
Kedua: Meminta bantuan untuk menghentikan kemungkaran. Seperti dia berkata: si fulan melakukan kemungkaran sila tolong saya menghentikan kemungkarannya. Dengan syarat tujuannya adalah untuk mencegah kemungkaran, jika tidak hukumnya adalah haram.
Ketiga: Meminta fatwa; seperti di berkata kepada mufti: dia melakukan kezaliman terhadap saya, adakah harus perbuatannya itu? Apakah cara untuk melepaskan diri daripadanya? Dan apakah cara saya mendapatkan hak saya? Yang paling baik ialah ia tidak menyebut nama orang yang menzaliminya secara jelas. Hanya dibolehkan menyebut nama secara jelas supaya mufti dapat mengetahui dengan lebih mendalam hal ehwal orang berkenaan dan dapat mengeluarkan fatwa dengan lebih tepat, juga berdasarkan hadis berkenaan Hindun isteri Abu Sufyan.
Keempat: Memberi peringatan/amaran. Seperti dia menyebutkan keburukan seseorang yang ingin dijadikan rakan kongsi dalam sesuatu perniagaan dan lain-lainnya, supaya ia tidak tertipu dan mendapat mudharat daripadanya. Termasuk dalam kes ini juga seseorang yang ingin mengahwini seseorang yang diketahui bahawa pasangannya mempunyai keburukan yang boleh menjejaskan kebahagiaan hidup pasangannya. Orang yang mengetahuinya wajib memberitahu pasangannya supaya tidak berkahwin dengannya. Sekiranya mereka masih ingin meneruskan juga wajib diberitahu keburukannya.
Sama seperti ini juga boleh menceritakan kelemahan/kekurangan seseorang guru agama kepada orang yang ingin belajar dengannya bahawa ia tidak mempunyai ilmu yang secukupnya untuk mengajar.
Termasuk dalam perkara ini juga sekiranya diketahui mana-mana pemimpin yang fasiq dan cuai/lalai boleh diceritakan keburukan mereka kepada pihak yang mempunyai kuasa untuk menasihatinya atau memecatnya dan menggantikan dengan orang lain yang taat melaksanakan perintah Allah.
Disyaratkan untuk mengharus/mewajibkan ghibah di sini bahawa niat seseorang itu hanyalah semata-mata kerana Allah untujk menyelamatkan umat Islam daripada kemudharatan, jika kerana niat yang lain maka tidak dibenarkan.
Kelima: Untuk memperkenalkan. Seperti katanya: Ahmad yang tempang, Ahmad yang berpanau dan seumpamnya. Tetapi dengan syarat untuk membolehkan orang mengenalinya, jika dengan niat untuk merendah-rendahkannya hukumnya adalah haram.
Keenam: Orang yang melakukan maksiat secara terang-terangan. Seperti dia minum arak di hadapan khalayak ramai. Maka harus diceritakan maksiat yang berkenaan sahaja. Dan haram menyebut maksiat lain yang dilakukan secara sembunyi.
Sila rujuk kitab Az Zawajir ’aniqtirafil Kabair tulisan Syaikh Ibnu Hajar Al Haitami, jld 2, ms 24, untuk keterangan lebih lanjut.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan