Sabtu, 15 Januari 2011

WAHAI PARA MUDIR SEKOLAH-SEKOLAH MENENGAH AGAMA !!!


Wahai para mudir sekolah-sekolah menengah agama, samada tuan dari SMKA, SMAR atau mana-mana institusi agama, saya nak pesan, atau cadang, satu perkara: iaitu: sila pastikan para pelajar di sekolah tuan-tuan DAPAT MEMBACA KITAB ARAB YANG TIDAK BERBARIS setelah tiga tahun belajar di sekolah anda, atau selewat-lewatnya ketika di Tingkatan Lima.

Jangan jadikan sekolah menengah agama sekolah yang melahirkan pelajar yang tidak tahu membaca kitab arab setelah tamat Tingkatan Lima. Atau lebih buruk lagi semasa menduduki peperiksaan STAM masih buta teks-teks Arab.

Jika itu yang berlaku bererti para ustaz termasuk anda – wahai para MUDIR - adalah para penipu yang menipu ibubapa kononnya sekolah anda sekolah terbaik. Telah banyak dan terbukti bahawa ramai para pelajar yang walaupun dapat pangkat satu SPM dari sekolah arab, tetapi baca kitab Arab satu kalimah pun tak betul. Yang Empat Senawi pun sama saja, maka ini adalah penipuan yang dilakukan oleh tuan-tuan wahai ustaz-ustazah termasuk para pengetua di sana!

Adalah amat memalukan sekiranya para pelajar yang cerdas, yang mendapat sekurang-kuranya 4A UPSR, kemudian setelah belajar selama lima tahun di sekolah tuan-tuan, masih buta ibarat kitab-kitab Arab. Ini menunjukkan betapa lemahnya para pendidik mereka yang membimbing mata pejaran NAHU dan SOROF di sekolah berkenaan.
Tuan-tuan perlu tahu bahawa ada madrasah dan pondok yang boleh melahirkan pelajar yang sangat mahir membaca kitab Arab walaupun hanya mendapat 4B UPSR. Oleh kerana itu dapat dilihat betapa lemahnya guru-guru yang walaupun mempunyai pelajar yang berotak cemerlang tapi masih tidak mempunyai kaedah pendidikan BAHASA ARAB yang tepat.

Sebenarnya jika bahasa Arab dimulakan dengan asas yang paling bahwah yang sesuai untuk umat MELAYU maka mereka akan dapat membaca kitab Arab yang tidak berbaris walau sepatah kalimah, seawal dua tahun. Yang nyatanya guru-guru sekolah agama hanya pak turut kitab-kitab STAM dan tidak pernah fikir kaedah yang terbaik untuk anak Melayu. Sebelum wujudnya STAM juga mereka masih teraba-raba kitab asas sehingga akhirnya murid-murid mereka turut teraba-raba ketika membaca kitab Arab.

Tetapi ini tidak berlaku kepada pondok-pondok dan sebahgaian madrasah yang peringkat tertinggi mereka ialah Sunan Sittah. Mereka mempunyai kaedah wajib yang dilaksanakn secara tetap yang mampu mendidik pelajar memahami Nahu dan Sorof dan mengarang Bahasa Arab dengan baik. Pelajar mereka telah mampu membaca Ibnu Aqil syarah Alfiah dan Iqna’ syara Abi Syuja seawal tahun ke tiga.

Kemampuan membaca kitab Arab tidak berbaris adalah kemahiran ASAS, yang mana seorang pelajar sekolah agama adalah MESTI menguasainya, dan bukannya kepakaran. Adalah amat BURUK sekiranya pelajar dan para USTAZ tidak reti membaca kitab-kitab Arab tida berbaris. Ini sama dengan kemampuan membaca buku rumi semasa berumur tujuh tahun ketika darjah satu sekolah rendah.

Sekarang FIKIRKANLAH apakah kaedah terbaik asas bahasa Arab untuk anak-anak kita, jangan hanya datang sekolah kemudian balik, dan cukup bulan ingat gaji sahaja. Telah ada ratusan pelajar yang punya Sijil Empat Sanawi yang buta kitab Arab tanpa baris sejak puluhan tahun sehingga hari ini. Dan para pelajar STAM juga mengalami nasib yang sama. Itu bukti jelas bahawa tuan-tuan – wahai pengetua sekolah-sekolah agama dan semua uastaz yang terlibat - tidak pernah mengetahui kaedah sebenarnya. Walaupun pelajar tuan-tuan adalah yang punya 4-5A UPSR mereka. Kalau UPSR mereka hanya 2-3 B, dan mereka tidak mahir membacanya, maka tuan-tuan boleh jadikan itu sebagai alasan.

Tidakkah tuan-tuan sekalian -wahai para pengetua dan ustaz-ustazah sekolah agama - merasa malu kerana murid-murid antum semua tak pandai baca kitab Arab yang tidak berbaris. Walaupun sekolah tuan-tuan telah tetapkan syarat kemasukan sekurang-kurangnya 3-4 A UPSR? Salah siapa? Sudah tentu dan pasti ialah salah para pengajar! Sudah tentu dan pasti ia SALAH TUAN-TUAN!

MARI LIHAT KAEDAH YANG TERBAIK UNTUK UMAT MELAYU.

Lihatlah kepada kitab Nahu dan Sorof STAM. Apakah ia sesuai untuk orang Malaysia yang berbasa Melayu? Jawapannya sudah tentu TIDAK! Kerana kitab-kitab tersebut ditulis oleh orang Arab untuk anak-anak Arab. Kitab itu sesai untuk mereka kerana mereka telah berfikir dan bercakap dalam Bahasa Arab sejak kecil lagi. Inilah punca ramai pelajar lulusan STAM teraba-raba ketika baca kitab Taudihun Nahwi untuk matapelajaran Nahu mereka,padahal kitab itu telah dimudahkan isi kandungannya.

Sebelum datangnya STAM kitab yang pernah digunakan ialah Nahu Wadhih yang sebenarnya tidak wadhih (tidak jelas) untuk pelajar Melayu, dan juga kitab yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Kelantan (Qawaid Lughah Arabiyyah). Kitab ini digunakan oleh sekolah-sekolah arab di Perak. Saya tidak tahu kitab yang digunakan di negeri-negeri lain. Tetapi pelajar-pelajar yang menggunakan kitab-kitab inilah yang sebenarnya generasi yang buta kitab arab, yang terkial-kial nak membacanya. SEPATAH PUN TAK BETUL!

KAEDAH YANG TERBAIK ialah yang digunakan di pondok-pondok dan sebahagian madrasah yang menggunakan kitab paling tua pernah ditulis, yang amat sesuai dan amat serasi untuk pelajar Melayu. Kaedah tersebut ialah memulakan pengajian Bahasa Arab dengan isim domir (gantinama) iaitu: huwa-huma-hum, dan seterusnya. Kemudian disambung dengan: faala, faalaa, faalu..dan seterusnya. Inilah kaedah yang terbukti dan dapat dibuktikan sebagi kaedah paling berkesan sebagai asas bahasa Arab. Dengannya pelajar dapat membaca kitab tanpa baris seawal dua tahun. Dan setelah lima tahun mereka menjadi pakar dalam pembacaan semua kitab. Tuan-tuan –wahai semua pengetua sekolah arab seluruh Malaysia – boleh lihat bukti ini di Bahagian Pengajian Kitab di Madrasah Tahfiz Al Quran, Penanti.dan boleh lihat juga di semua pondok dan madraash yang menggunakan kaedah tersebut.

Sungguh dihairankan bahawa sekolah-sekolah Arab menggunakan kaedah selain yang tersebut tadi dan akhirnya hanya merugikan mereka, dan yang paling rugi ialah pelajar mereka. Siapakah yang cuba memandai-mandai mencari cara yag terburuk itu. Pondok dari dahulu sampai sekarang menggunakan kaedah tesebut. Sejak timbulnya sekolah-sekolah arab maka lahirlah kaedah yang membuang masa itu. Siapakah pengasas kaedah yang paling lemah itu? Sudah tentulah orang yang membenci sistem pondok. Mereka tidak lain dan tidak bukan ialah KAUM MUDA. Mereka ialah manusia yang terpengaruh dengan ajaran antaranya Muhammad Abduh, mufti Mesir yag dilantik oleh British.

Dari merekalah lahirnya sekolah-sekolah Arab yang pelajarnya tidak tahu membaca teks Arab, dan hanya pandai menghafal jawapan dalam peperiksaan. Namun bukanlah semua sekolah arab ini anak Kaum Muda.

Suatu ketika dulu ada seorang pelajar sekolah agama yang terkenal di Pulau Pinang, yang diasaskan oleh seorang tokoh (betul ke tokoh ni) KAUM MUDA yang memang tak suka sistem pondok, datang untuk temuduga memasuki Kelas Pengajian Kitab di Madrasah Tahfiz Penanti. Pelajar ini telah lulus pangkat Satu SPMnya dan saya tidak ingat berapa agregatnya. Sewaktu ditemuduga rupanya pelajar ini tidak boleh membaca sedikitpun kitab yang digunakan ketika temuduga. Saya yang menemuduganya bercadang memasukkanny ke kelas satu, kerana pembacaannya sedikit pun tidak membayangkan dia adalah pelajar sekolah agama yang masyhur di Pulau Mutiara ini. MEMANG TERUK!! Tetapi kerana kesian kepadanya saya meletakkannya di kelas dua. Kerana di kelas satu pelajarnya adalah kecil dan muda-muda belaka. Ketika dalam kelas, saya mengajar kitab Mulakkhas Qawaid Arabiyyah, sebuah kitab yang digunakan untuk pelajar yang lemah kefahaman bahasa Arab. Ketika disuruh membacanya, sebagaimana kebiasaan kami menyuruh pelajar membaca dalam kelas, maka bacaan pelajar yang telah lima tahun belajar bahasa Arab di sekolah arab yang masyhur itu, rupanya lebih teruk daripada pelajar yang paling lemah dalam kelas dua. Itulah hasil dan akibat dari orang yang berlagak pandai dalam sistem pendidikan.

“Kitab Mulakkhas Qawaid Arabiyyah digunakan untuk pelajar yang lemah kefahaman bahasa Arab” bermaksud ianya adalah kitab alternatif bagi kitab Qatrun Nada yang digunakan di tahun tiga di madrasah ini jika semua pelajarnya mempunyai kefahaman yang baik.

Ketika mengajar di Gerik, ada seorang lepasan sekolah agama yang terkenal di Kupang, Baling Kedah, datang memohon mengajar di sekolah saya SMATSGJ, kerana ia mempunyai Siji Empat Sanawi maka ia diterima mengajar, dan saya menghormatinya kerana sijilnya. Tetapi beberapa hari kemudian dia datang bertemu saya dan bertanya di tajuk: “Bab Toharah, bifathi to (yang bermaksud, toharah dibaca dengan fathah to). Dia tak faham rupanya. Saya terkejut kenapa sampai begitu sekali kejahilannya dalam kitab Arab.

Saya ada seorang kawan yang kini menjadi ustaz dan mengajar di merata masjid di Gerik. Dia belajar di sebuah sekolah arab di Perak. Katanya: kitab Arab aku boleh baca tapi makna aku tak tahu. Itulah jawapan orang yang punya Empat Sanawi. Kesian kat orang Gerik, ustaz yang mereka sangka hebat tu rupanya tak reti baca kitab Arab.

Ada juga seorang ustaz yang belajar sampai Tujuh Sanawi (mak oi banyaknya senawi dia), tapi tak tahu nak ikrab perkataan: “rajulun dimasyqiyy” padahal benda itu diajarkan di kelas dua di madrasah kami. Dalam kitab Mutammimah dah ada pun. Tujuh senawi bermakna tujuh tahun dia belajar agaknya. Dia yang kata begitu.

Saya pernah pergi ke Kelantan dan bertemu dengan seorang ustaz lepasan sebuah mahaad yang masyhur juga di Kelantan. Dia kata:”saya tak boleh baca kitab arab, orang pondok bolehla.” Dia mengajar di sekolah menengah.

Semasa berada di Batu Pahat saya bertemu dngan seorang lepasan Darjah Khas di Johor, saya tanya dia: “anta boleh baca kitab Arab yang tak berbaris?” dia kata: “boleh sikit-sikit.” Kemudian saya ambil sebuah kitab dan suruh dia baca. Ternyata bukan boleh sikit-sikit, tapi tak boleh langsung.

Di Pulau Pinang saya bertemu dengan pelajar sebuah sekolah arab yang terletak di SP Utara. Dia belajar kitab macam-macam, sampai ke Iqna’ , Ibnu Aqil dan Tafsir Jalalain. Tapi kerana asas arabnya yang salah, maka semua kitab tu dia tak faham isinya, walaupun belajar selama tujuh tahun di sekolah arabnya. Nama sekolah tu bukan main gah di Pulau Pinang, tapi rupanya sistem mereka hampeh, sebab meninggalkan sistem pondok yang mungkin mereka anggap kolot dan ketinggalan zaman. Alahai, syeikh, kalau kolot dan ketinggalan zaman sekalipun tapi kalau itu yang memajukan, itu lebih baih daripada sistem hangpa yang hampeh tu. Memang itulah perangai Kaum Muda, nak moden konon tapi sistem tak berguna tu tak dak pekdah langsung. Nak cerdik sangat terus jadi bongok. Alim konon, maju konon. Akai ada ka?

Seorang sahabat saya pernah memberitahu bahawa ada pensyarah yang ber ’PhD’tapi masih tak pandai baca kitab Arab dan terpaksa belajar Matan Ajurrumiyah, dan kitab ini adalah kitab untuk kelas satu di pondok dan madrasah-madrasah sistem tua. Saya pernah jumpa pensyarah UIA yang berasal dari Sudan memberitahu bahwa dia juga belajar matan Ajurrumiah masa muda dulu. Ini barangkali lepasan madrasah Kaum Muda tu.

Memang itulah kerja Kaum Muda nak merosak sistem pendidikan Islam. Sistem pendidikan Bahasa Arab yang digunapakai di pondok telah terbutkti amat baik dan berkesan, tapi dibuang oleh puak perosak ini akhirnya merugikan semua umat Islam.

Ketika mengajar di SMA Tan Sri Ghazali Jawi, saya telah mengikuti kursus pengajian kitab Turath (entah pada tahun bila, lupa la plak). Kursus lima hari ini diadakan setiap bulan selama setahun. Ketika kursus para pesertanya yang terdiri daripada para ustaz dari setiap sebuah SMA Negeri Perak telah diuji oleh para pengajar yang terdiri daripada Al Marhum Tuan Guru Haji Abdul Latif, Almarhum TG Mat Saman Kati, Dato; Mufti Negeri Perak Harussani Zakaria dan lain-lain yang saya lupa nama penuh mereka. Dari kesemua ustaz-ustaz yang seramai lebih 30 orang itu hanya 6-7 orang sahaja yang boleh membaca dengan baik di antara mereka ialah Al Marhum Al Fadhil Ustaz Ghazali dari Lenggong, Ustaz Qasim Hamid lepasan Pondok Pakteh (saya belajar tasrif domir dengan beliau ketika mula masuk Al Latifiyyah). Manakala ustaz-ustaz yang lain masih teraba-raba membaca kitab seperti Mukhtasar Syarah Ajurrumiah. Malah ada yang satu kalimah pun tak betul baris. INNA LILLAH WA INNA ILAIHI RAJI’UN.

Sekarang mari kita tinggalkan kesalahan kita dalam mendidik para pelajar. Tinggalkan cara yang tak berguna, dan KEMBALI KEPADA SISTEM LAMA yang sangat berkesan. Ini adalah kewajipa tuan-tuan sekalian. Apabila telah terbukti cara lama adalah yang paling berkesan untuk umat Melayu, maka tunggu apa lagi. Mempertahankan sistem salah menambah lagi kebodohan kita.

KITAB ASAS NAHU SOROF

KELAS SATU

Perkara yang paling awal mesti dipelajari oleh seorang manusia Melayu untuk memahami kitab arab ialah: tasrif domir (14 domir), kemudian tasrif fiil madhi (14), mudori’, masdar, isim fa’il, isim maf’ul, fiil amr, fiil nahi, isim zaman,isim makan, isim alat, kemudian tasrif fiil mabni lil majhul.

Inilah peringkat yang maha penting untuk mendidik mereka benar-benar faham Bahasa Arab. Kalau perkara ini diabakan maka kita akan temui ustaz dan ustazah lepasan Empat Sanawi dan seumpamanya yang meraba-raba membaca dan bercakap bahasa Arab.

Saya pernah mengajar kelas tambahan Bahasa Arab kepada beberapa orang pelajar sekolah-sekolah menengah agama, bertempat di JKR Base Camp Gerik pada tahun 1998 (kalau tak silap saya). Seorang pelajar tingkatan tiga dari sekolah yang sama dengan ustaz yang tak faham maksud: ‘bi fathi to’ tadi, bila disuruh buat ayat ‘saya telah pegi ke Baling,’ dia berkata: ana zahaba ila Balinj. Yang betul ialah: ‘zahabtu ila Balinj.’ Ini berlaku kerana dia tidak belajar tasrif fiil madhi padahal itu adalah asas yang paling awal. Di Madrasah Tahfiz Al Quran Penanti (Bahagian Pengajian Ilmu-ilmu Islam) ia diajarkan dalam kelas satu dan pelajar telah hafaz dan faham fiil madhi sebelum sebulan. Begitu juga di pondok-pondok.

Seorang pelajar lain, bapanya beritahu saya bahawa anaknya sebelum belajar dengan saya tidak pernah lulus ujian karangan Bahasa Arabnya, tetapi selepas dibimbing dengan tasrif seperti yang tersebut di atas, ia telah mampu mendapat 70 markah dalam karangannya. Mungkin kerana belum mahir seratus peratus tasrif, atau kerana ia bukan seorang yang berotak gemilang terbilang, ia belum mampu mendapat markah 90 ke atas.

Kemudian setelah mereka benar-benar faham perkara di atas bolehlah dimulakan pengajian kitab Matan Al Ajurrumiyyah (nahu) bersama matan Al Bina wal Asas (sorof) juga kitab sorof Al ‘Izzi.

Kemudian dipelajari syarah matan Al Ajurrumiyah yang ringkas dan jelas contohnya Mukhtasar, atau Tuhfatul Hasaniyyah.

KELAS DUA

Kitab nahu yang digunakan ialah kitab yang setaraf dengan Mutammimah Al Ajurrumiyyah. Kitab sorof pula ialah matan Al Maqsud dan syarah matan Izzi iaitu Al Kailani. Kitab tasrif tambahan perlu digunakan bagi panduan tasrif untuk semua bab. Semasa peringkat ini pelajar hendaklah dilatih membuat I’rab secara tetap.

Pada penghujung kelas dua, pelajar yang sekurang-kurang mempunyai UPSR 4B, mereka telah mampu membaca kitab Taudihun Nahwi syara Alfiah Ibni Malik, (kelas empat STAM) ini berlaku di madrasah tempat saya mengajar.

Tapi pelajar yang tidak bernasib baik belajar tasrif, mereka tidak akan mampu membaca dengan baik (betul seratus peratus) mana-mana kitab Arab pun sampai mati. Ini yang paling banyak berlaku kepada sekolah-sekolah Arab yang kononnya nak eksperimen sistem moden. Memang moden, tapi hampeh. Inilah kerja Kaum Muda yang merosakkan sistem pengajian Islam di Malaysia dan seluruh dunia.

Sistem Pondok memang kolot dan lama, tapi yang kolot dan lama itulah yang terbaik dan terbukti berkesan melahirkan para ulama.

Setelah seorang pelajar faham dan menguasai kitab-kitab tersebut, inilah masanya yang paling baik untuk dia memahami kitab-kitab fiqh seperti fathul Qarib dan seumpanya. Dan sebaiknya ia melanjutkan lagi ilmu nahunya dengan kitab seperti Qatrun Nada, kemudian diteruskan dengan kitab Ibnu Aqil syarah Alfiyyah Ibni Malik. Maka sampai di sini ia sudah boleh dianggap ulama nahu dan sorof.

Dengan kemahiran nahu dan sorof seperti itu sahaja ia akan mampu mengusai ilmu-ilmu lain seperti tafsir, hadis, fiqh, usul fiqh, qawai fiqhiyyah dan lain-lain. Dan dengan penguasaan setaraf Ibnu Aqil maka ia akan mampu membaca kitab-kitab yang besar berpuluh-puluh jilid seperti Majmu’ syarah Muhazzab, Fathul Bari dan seumpamanya. Tanpa ilmu nahu dan sorof ia tak akan sampai ke mana.