Selasa, 12 April 2011

MURTAD TANPA SEDAR

(DITUJUKAN KHAS KEPADA KAKITANGAN JABATAN YANG BERKENAAN, DAN UMUM KEPADA SEMUA UMAT ISLAM)













Ditulis dalam kitab Al Iqna huraian Matan Al Ghayah wat Taqrib, karangan Syaikh Al Khatib Syirbini:

Mandi sunat yang kelapan ialah mandi orang kafir, walaupun murtad, apabila telah masuk Islam, ini untuk memuliakan agama Islam. Kerana sesungguhnya Nabi Muhammad (selawat dan salam ke atas baginda) telah menyuruh Qais ibn Asim mandi selepas beliau memeluk Islam. Mandi ini tidak diwajibkan kerana pernah ada sekumpulan orang memeluk Islam tetapi Nabi Muhammad (selawat dan salam ke atas baginda selama-lamanya) tidak menyuruh mereka mandi…

…Peringatan: diketahui daripada kata-katanya (Syaikh Abu Syuja’, pengarang matan Al Ghayah wat Taqrib), bahawa waktu mandi ini ialah selepas memeluk Islam supaya sah niat mandinya, dan juga kerana tiada jalan menangguhkan masuk Islam selepas mandi. Bahkan jelas kata-kata ulama MENGKAFIRKAN orang yang menyuruh seorang kafir yang ingin masuk Islam mandi dahulu sebelum masuk Islam. (mengucap dua kalimah syahadah) Alasannya kerana ia suka dengan kekalnya orang kafir itu dalam kekafirannya dalam waktu yang diambil untuk mandi itu. (Suka dengan kufur adalah kufur).

Kaya Syaikh Al Bujairimi semasa menghuraikan kata-kata Syaikh Syirbini: wajib ke atas orang Islam tadi menghentikan solat fardhu yang ia sedang lakukan sekiranya orang kafir itu memintanya mengajar dua kalimah syahadah, berdasarkan qiyas kepada menyelamatkan orang yang sedang tenggelam di dalam air. Bahkan mengajar kalimah syahadah lebih penting kerana ini akan menyelamatkannya dari kekal dalam azab neraka, seperti yang diterangkan oleh guru kami Syaikh al ‘Azizi.

dipetik dari kitab Hasyiah Al Bujairimi alal Iqna’, jilid 2, ms 254)

Dalam Az Zawajir karya Syaikh Ibnu Hajar Al Haitami: antara perkara yang menjadikan seseorang kafir ialah ia suka (redha) dengan kekafiran, walaupun secara tidak langsung, seperti ia mencadangkan kepada orang bukan Islam supaya tidak memeluk Islam, walaupun orang kafir itu tidak meminta syornya. Ataupun ia menyuruhnya mengajarkan kalimah syahadah tetapi ia melewatkannya, contohnya seperti seorang khatib (orang yang berceramah) berkata: tunggu sehingga saya sudahkan ceramah saya.(baru saya ajarkan kalimah syahadah kepada kamu) (jilid 1, ms 33)

Lihatlah keterangan para ulama di atas. Tapi saya pernah dengar ada ustaz berfatwa menyuruh orang yang ingin masuk Islam mandi dahulu. Dan ada juga kakitangan jabatan yang menyuruh orang yang ingin masuk Islam balik berfikir betul-betul dan datang semula selepas beberapa hari. Mungkin ia terasa bijak menyuruhnya balik dan berfikir secara mendalam untuk masuk Islam padahal itulah tanda kejahilan yang sangat jelas. Inilah akibat urusan agama dipegang oleh orang yang tidak cukup ilmu..