Isnin, 18 Mac 2013

PASTI YANG TIDAK BEGITU PASTI



Muslimat PAS pernah meminta supaya gaji guru-guru PASTI dinaikkan. Permintaan ini adalah amat wajar kerana ada di antara mereka yang hanya menerima gaji sebanyak RM200.00 sebulan. Bagi guru yang berkhidmat di PASTI yang membayar gaji yang mencukupi (adakah yang mencukupi?) mereka patut bersyukur dan semakin bersemangat memberikan khidmat terbaik untuk mendidik anak-anak kita mengenal agama sejak kecil.

Bagi yang masih menerima hanya RM 200 sebulan, maka semua ahli PAS di kawasannya adalah dipertanggungjawabkan menaikkan gaji mereka untuk menikmati kehidupan yang selesa. Adalah amat jumud berkata mereka telah berkhidmat dengan ikhlas maka Allah telah mencukupkan mereka. Kerana itu ialah tugas guru untuk terus berkhidmat dengan ikhlas walau bergaji 200 sebulan. Tapi kewajipan orang lain  ialah membantu mereka yang di dalam kesusahan. Tidakkah gaji RM 200 itu memang gaji orang susah?

Setiap pihak mesti bertindak mengikut tugas dan tanggungjawab masing-masing. Tidak menaikkan gaji dan menyuruh pekerja zuhud dan ikhlas ialah tindakan di luar bidang tugas masing-masing. Tugas pekerja ialah memberikan khidmat terbaik, dan tugas majikan ialah memberikan upah yang terbaik.

Adalah menghairankan di sebuah kawasan yang mempunyai ahli yang begitu ramai, misalnya di Gerik, setahu saya yang mengundi PAS pada PRU 12 ialah hampir seramai 7 ribu orang. Jadi kalau sesebuah kawasan guru PASTInya masih menerima gaji RM200. bermakna ahli-ahli PAS sangat lemah dalam menyumbang kepada PASTI.

Kalau setiap ahli meyumbang RM5 sebulan secara tetap maka PASTI di kawasan yang punya ahli seramai 7 ribu akan mempunyai pendapatan sebanyak RM 35,000.00, dan kalau RM10 ia akan memperoleh sebanyak RM70,000.00. sekiranya di sana mempunyai 5 buah pasti maka setiap satunya memperoleh RM7000.00 ke RM 14,000.00.

Sekiranya setiap PASTI mempunyai 5 orang guru mereka akan mendapat gaji RM 1,400.00 sebulan. Dan yang kawasan yang menyumbang RM10 gurunya boleh dibayar sehingga RM2,800.00 sebulan. Bersama itu PASTI boleh mengenakn yuran yang rendah kerana mempunyai pendapatan yang mencukupi. Mungkin mereka tidak perlu dibayar sehinga RM2,800. 00, wang serlebihnya boleh digunakan untuk membeli alat bantu mengajar, atau lebih baik lagi memberikan pendidikan PASTI percuma!

Apakah RM5-10 ringgit terlalu banyak untuk seorang manusia yang mengaku sebagai pejuang Islam yang bercita2 untuk menegakkan sistem Islam di negara ini? Tidak, malah terlalu ramai yang mampu menyumbang sehingga RM 20-50 sebulan. Jangan hanya garang bertakbir dan menghentam musuh politik, tapi apabila diminta menyumbang kepada pusat pengajian pra sekolah yang terbaik kita berikan seribu alasan yang kelihatan macam amat cerdik, tetapi sebaliknya adalah amat bodoh dan jahil.

Dan tidak perlu menyalahkan kerajaan sekiranya ia tidak memberi peruntukan, tetapi pernahkan kita bertanya: apakah yang telah aku berikan untuk memajukan PASTI.

Pemerintah yang tidak memberikan peruntukan mungkin bersalah, apakah kita yang amat kedekut untuk menyumbang walaupun sesedikit RM5 tidak bersalah? Apabila kerajaan menarik atau gagal memberi bantuan, maka inilah masanya kita untuk mendapat pahala. Sebab kalau semuanya kerajaan beri maka semua kita akan terlepas pandang masalah-msalah dalam PASTI, dan terlepas untuk buat pahala di sana.

PASTI adalah tadika yang terbaik yang kita ada buat masa ini, maka ia perlu, malah wajib diperkasakan. Antara caranya ialah dengan memberikan pendapatan yang cukup kepada guru2 supaya dengannya mereka dapat memberikan tumpuan yang lebih baik dan lebih bertenaga, dan tidak perlu mencari kerja lain yang akan meyebabkan mereka menjadi tidak bermaya kerana memikul dua tugas sekaligus. Dengan suasana kehidupan sekarang, gaji sebanyak RM 1000 belum tentu mencukupi.

Ada madrasah yang telah begitu maju kerana mampu menyara makan minum, bil elektrik, bil air, sewa rumah dan kadang-kadang memberi elaun memperbaiki kenderaan kepada guru-gurunya, walaupun tidak pernah menerima sesen pun dari kerajaan. Ini adalah kerana orang-orang sekeliling mereka telah dijadikan mempunyai semangat infaq yang tinggi yang tidak pernah berkata ‘para ustaz kena zuhud dan ikhlas walaupun bergaji RM600.00.'