Sabtu, 14 November 2015

DALIL HARAM DUDUK DALAM MASJID BAGI PEREMPUAN HAID.



Dalam Mazhab Imam Shafie hukumnya adalah HARAM. Begitu juga 3 Mazhab yang lain. Tapi sekadar lintas sahaja dan tidak berulang alik adalah tidak haram kecuali ditakuti akan menitik darah haidnya ke dalam masjid, pada pandangan Shafiiyah dan Hanabilah.
 
Dalilnya: 

"Aku tidak menghalalkan masjid bagi wanita yang berhaid dan tidak juga bagi orang yang junub." (Abu Daud)
Ulama berbeza pendapat mengenai hadis ini ada yg kata daif, hasan dan sahih.
Selain itu ada lagi dalil Al Quran, tetapi kerana tujuan saya ialah nak tolak hujah hadis yang digunakan oleh orang Malaysia yang mengharuskannya sebab mereka telah silap dalan penghujahan, - Saya tidak layak untuk pertikai hujah imam-imam Mazahib- maka saya terus kepada jawapan terhadapnya.
Orang yg berhujah dengan harus duduk dalam masjid ketika haid, antaranya tentulah Wahhabi, menggunakan hadis Bukhari  (no: 439 dan 3835) sebagai dalil, iaitu:
Sesungguhnya  seorang hamba wanita berkulit hitam milik satu kaum bangsa Arab yang mereka bebaskan dan dia tinggal bersama mereka. Hamba itu berkata:  Satu ketika anak perempuan mereka keluar dengan memakai selendang merah yang dibuat dari kulit dan dihiasi dengan batu permata. Dia meletakkannya, atau terjatuh, sehingga terbanglah seekor burung sedangkan selendang tersebut terletak di atas tanah. Burung itu menganggap selendang tersebut adalah seketul daging lalu ia menyambarnya. Lalu mereka mencari selendang tersebut namun tidak menemuinya. Akhirnya mereka menuduh aku yang mengambilnya. Mereka mulai mencarinya sehingga memeriksa kemaluannya. Demi Allah! Sungguh aku masih berdiri di kalangan mereka sehingga tiba-tiba terbanglah burung itu dan melemparkan selendang tersebut. Selendang tersebut jatuh tepat di antara mereka. Lalu aku berkata: “Inilah selendang yang kalian tuduh aku mengambilnya padahal aku bersih dari semua tuduhan itu dan inilah selendang tersebut.”
Maka aku datang kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan masuk Islam. ‘Aisyah berkata: Sejak itu dia mendapat tempat tinggal berupa kemah atau bilik kecil berbumbung rendah di dalam masjid....

KETERANGAN HADIS:
Kisah ia dituduh mencuri itu berlaku semasa dia belum Islam, perbuatan memeriksa sehingga di kemaluannya dilakukan oleh orang bukan Islam di tempatnya sebelum ia berpindah ke Madinah dan memeluk Islam di sana. 

HUJAH MEREKA YANG MENGHALALKAN PEREMPUAN HAID DUDUK DALAM MASJJID MENGGUNAKAN HADIS INI:
“Menjadi perhatian kita adalah keterangan ‘Aisyah radhiallahu 'anha bahawa:  “Sejak itu dia mendapat tempat tinggal berupa kemah atau bilik kecil berbumbung rendah di dalam masjid. Keterangan ini menunjukkan wanita tersebut duduk lama di dalam masjid sehingga dibangunkan kemah atau bilik kecil untuknya. Di sinilah terletak petunjuk hukum yang penting kerana wanita tersebut pasti mengalami putaran haidnya, dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak menghalang beliau dari terus tinggal di dalam masjid.
A’isyah radhiallahu 'anha tidak menerangkan sama ada wanita tersebut adalah seorang budak atau yang sudah lanjut umurnya, bererti beliau adalah wanita dewasa yang mengalami putaran haid seperti biasa. Tidak timbul persoalan sama ada beliau adalah seorang budak yang belum didatangi putaran haid atau seorang yang lanjut umur yang telah berhenti putaran haid.
Maka di sini kita berhadapan dengan dua hadis yang kelihatan seolah saling bercanggah. Hadis pertama menerangkan larangan bagi wanita yang didatangi haid memasuki masjid manakala hadis kedua menerangkan wanita yang didatangi haid boleh memasuki dan mendiami dalam masjid.
Para ilmuan Islam telah menggariskan beberapa kaedah untuk menghilangkan percanggahan yang wujud di antara dua atau lebih hadis. Kaedah yang pertama adalah, hendaklah hadis-hadis yang bercanggah tersebut memiliki darjat kekuatan yang sama.
Di sini kita menghadapi dua keadaan:
Seandainya hadis yang melarang darjatnya dha‘if atau hasan, maka ia tertolak berbanding hadis sahih yang membolehkan wanita yang didatangi haid memasuki dan mendiami masjid. Maka dengan itu wanita yang didatangi haid boleh memasuki masjid dan mendiaminya tanpa sebarang halangan.
Seandainya hadis yang melarang darjatnya sahih, maka diperhatikan adakah salah satu darinya membatalkan yang lain. Setakat ini tidak ditemui bukti bahawa wujudnya pembatalan. Maka kaedah yang terbaik adalah menggandingkan kedua-dua hadis, antara yang melarang dan membolehkan wanita yang didatangi haid memasuki dan mendiami masjid.
Pergandingan ini menunjukkan bahawa hadis larangan tidak membawa hukum haram, tetapi sekadar makruh. Oleh itu makruh bagi wanita yang didatangi haid untuk memasuki masjid dan mendiaminya kecuali jika dia memiliki sesuatu urusan di dalamnya.”

JAWAPAN:
Imam Bukhari telah meletakkan hadis ini di dalam ‘Bab Tidurnya Perempuan di Dalam Masjid.’  Ertinya beliau tidak jadikan hadis ini sebagai dalil untuk menunjukkan harus perempuan berhaid duduk di dalm masjid. Kenapa beliau buat  begitu? Kerana hadis ini memang tidak boleh dijadikan dalil perkara tersebut.
Kenapa tidak boleh jadi dalil? Sebab tidak petunjuk jelas  bahawa perempuan itu duduk dalam Masjid  Nabawi dalam keadaan haid. Sebab bukan perkara luar biasa sebahagian perempuan tiada haid langsung atau datang haid hanya  setahun atau dua tahun sekali. Al Bajuri menulis dalam Hasyiah ala Fathil Qarib bahawa Saiyyidatina Fatimah tidak pernah datang haid. Qadi Abu Tayyib berkata, bahawa ada seorang perempuan pada zamannya  datang haid setahun sekali (sehari semalam) dan nifasnya 40 hari. Kata Syaikh Khatib Syirbini, seorang yang aku percayai telah memberitahu aku bahawa ibuku tidak datang haid langsung seumur hidupnya, dan saudara perempuanku sebelah ibuku itu hanya datang haid dua tahun sekali, nifasnya adalah tiga hari. (Mughni, 1/172).  Saya juga ada seorang kawan yang haid isterinya adalah 2 tahun sekali.  Mungkin juga hamba perempuan itu tinggal dalam keadaan suci dan belum datang putaran waktu haid.
Jadi andaian bahawa pasti hamba perempuan tersebut tinggal dalam masjid dalam keadaan berhaid adalah andaian dan kebarangkalian yang jauh, malah tidak ada dalil kecuali barangkali, barangkali bukannya dalil. Dalil yang ada ihtimal (kebarangkalian) tidak boleh dibuat dalil.
Al Hafiz Ibnu Hajar al Asqalani, tidak menyentuh langsung mengenai hukum haid (1/637), juga Ibnu Battal ketika menyebut istinbat daripada hadis ini tidak menyentuh langsung berkaitan dengan haid. Iaitu tidak berkata hadis ini sebagai dalil menunjukkan harus perempuan haid duduk di dalam masjid.
Jadi macam mana ada orang boleh jadikan hadis ini sebagai dalil sedangkan tidak ada ulama muktabar yang istidlal dengannya berkenaan hukum haid. Orang yang belajar Sahih Bukhari akan faham bagaimana tajam pemikiran Imam Bukhari istinbat hukum daripada hadis. Nampaknya ada orang yang lebih tajam fikirannya daripada Imam Bukhari atau pun sebenarnya tak faham langsung cara istinbat hukum.
Kata Maulana Zakariyya dlam kitab Kanzul Mutawari: pada pandngan saya, yang lebih tepat (aujah) bahawa Imam Bukhari berpandangan harus tidur dalam masjid, dan ia mengasingkan menyebut berkenaan wanita dan menyebutnya dahulu (daripada lelaki) kerana ada kebarangkalian terbuka aurat dan datangnya haid, yang menyebabkan jauh untuk menjadi harus (tidur dalam masjid). Tetapi beliau tetapkan harus juga dengan hadis ini. (4/152)
                Maksudnya harus perempuan tidur dalam masjid walaupun barangkali akan terbuka aurat dan datang haid. Hadis ini dalam bab “Tidur Wanita dalam Masjid” selepas itu diletakkan Bab Tidur Lelaki Dalam Masjid”  ertinya harus lelaki tidur dalam masjid walaupun ada kebarangkalian ia akan mimpi basah.
Ertinya kebarangkalian tidak boleh dijadikan dalil hukum. Yang ajaibnya mereka tidak dapat beza antara barangkali dan pasti.  Haid wanita itu hanya barangkali, tapi dikatanya pasti. Celarunya mereka. Kebarangkalian datang perkara tersebut bererti ia akan ada dan mungkin juga tidak ada. Bukannya pasti ada.
Sekiranya lelaki keluar rumah  dan ada kebarangkalian dia akan melihat  kepada perempuan ajnabi, bolehkah kita kata: hukum memandang kepada perempuan ajnabi adalah harus tidak haram kerana lelaki pada zaman Rasulullah sentiasa keluar rumah dan mereka pasti akan melihat kepada perempuan ajnabi? bolehkah digunakan hujah dengan andaian seperti ini? Kalau tidak boleh, pasti andaian di atas juga adalah salah.

KATA MEREKA:
“Keterangan ini menunjukkan wanita tersebut duduk lama di dalam masjid sehingga dibangunkan kemah atau bilik kecil untuknya.”

JAWAPAN:
INI juga adalah dakwaan tanpa dalil.  Mana dalil dan riwayat yang menunjukkan perempuan itu tinggal lama dalam masjid. Tak ada, hanya sangkaan sahaja. Kalau betul dia tinggal lebih daripada sebulan di dalam masjid, pasti kisahnya akan jadi masyhur pada kalangan para sahabat. Hafiz Ibnu Hajar dan ulama2 hadis lain tidak tahu pun nama wanita itu. Jadi lebih dekat kepada kebenaran ialah dia hanya tinggal beberapa hari sahaja yang belum tiba pusingan haidnya, jika ia adalah perempuan yang masih datang haid. Keterangan yang mengatakan “pasti ia  mengalami putaran haidnya, “ adalah bukan pasti, malah hanya khayalan yang tidak berasas. Dalil mana, dalil?

KATA MEREKA:
“A’isyah radhiallahu 'anha tidak menerangkan sama ada wanita tersebut adalah seorang budak atau yang sudah lanjut umurnya, bererti beliau adalah wanita dewasa yang mengalami putaran haid seperti biasa dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak menghalang beliau dari terus tinggal di dalam masjid. Tidak timbul persoalan sama ada beliau adalah seorang budak yang belum didatangi putaran haid atau seorang yang lanjut umur yang telah berhenti putaran haid.”

JAWAPAN:
Logik apa yang digunakan? Kesimpulan bahawa wanita itu adalah bukan budak dan bukan tua, malah wanita dewasa,  diambil dari mana? Mana dalilnya? Ada tak kalimah dalam hadis itu yang mengisyaratkan kepada kesimpulan itu?
Apabila tidak ada dalil menerangkan umur wanita itu, maka tiada siapa berhak menentukan samada ia budak, dewasa atau telah tua. Maka ertinya, kebarangkalian bahawa ia adalah perempuan yg telah tua yang telah putus haid masih tetap ada, dan kebarangkalian  dia belum datang haid adalah jauh dari kebenaran kerana nyata ia telah dewasa dan telah mula datang haid. Macam mana boleh nafikan kebarangkalian (persoalan) ini, sedangkan kepastian umurnya tidak ditemui? Dalam kaedah usulliah, dalil yang ada ihtimal tidak boleh diguna buat istidlal. Hadis ini tidak boleh dibuat dalil umur wanita itu samada muda atau pun tua, sebab tiada sepatah kalimah pun yang menunjukkan kepada perkara itu. Malah apabila baginda tidak melarang dia tinggal di situ itulah dalil bahawa dia tidak datang haid ketika tinggal dalam masjid. Ini disokong oleh hadis awal tadi dan hadis akan datang.

KATA MEREKA:
“Maka di sini kita berhadapan dengan dua hadis yang kelihatan seolah saling bercanggah. Hadis pertama menerangkan larangan bagi wanita yang didatangi haid memasuki masjid manakala hadis kedua menerangkan wanita yang didatangi haid boleh memasuki dan mendiami dalam masjid.”

JAWAPAN:

Ini adalah dusta semata. Tidak ada dilalah samada soreh (jelas) ataupun isyarat di dalam hadis hamba perempuan itu tinggal dalam masjid dalam keadaan berhaid. Hadis kedua tidak menerangkan perkara itu, malah masih belum terang dia duduk dalam masjid ketika datang haid. Maka tidak ada pertentangan seperti yang mereka dakwa. Apabila ada hadis yang soreh (hadis pertama), dan hadis yang  hanya ada kebarangkalian yang terlalu jauh (hadis hamba perempuan) maka terbatallah istidlal dengan hadis kedua dari sudut hukum haid.

KATA MEREKA:
“Pergandingan ini menunjukkan bahawa hadis larangan tidak membawa hukum haram, tetapi sekadar makruh. Oleh itu makruh bagi wanita yang didatangi haid untuk memasuki masjid dan mendiaminya kecuali jika dia memiliki sesuatu urusan di dalamnya.”

JAWAPAN.
Jumhur ulama berpendapat bahawa asal setiap larangan adalah menunjukkan keharaman kecuali apabila ditemui perkara yang merubahnya (sorif) menjadi makruh atau harus. Mana sorif dalam hadis hamba kulit hitam itu terhadap hadis pertama tadi? Apabila tidak ada sorif maka keharamannya adalah kekal. Sorifnya tidak ada seperti yang telah nyatakan di atas.  Tiada dalil yang menunjukkan bahawa hamba perempuan itu duduk dalam masjid dalam keadaan berhaid, hanya andaian lemah, maka tidak ada sorif. Oleh kerana itu kekal  haramnya. Macam mana jadi makruh pula? Dalil mana, dalil?

HADIS LAIN YANG MENUNJUKKAN HARAM DUDUK DALAM MASJID KETIKA HAID

Hadis ‘Aisyah, bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda kepadanya: “Ambilkan aku al-khumrah (sajadah) dari masjid. Lalu ‘Aisyah berkata: Saya sedang haid. Baginda bersabda: sesungguhnya haid kamu tidak di tanganmu”
(Muslim no 298,  Tirmizi, no. 134, dan Abu Dawud, no. 261, dan an-Nasaie, no. 272, dan Ibnu Majah, no. 632).

KETERANGAN MEREKA:
Hadits tersebut di atas tidak menerangkan bahawa Rasulullah SAW memerintahkan Aisyah mesti segera keluar dari masjid, atau boleh masuk masjid tapi sekedar mengambil al-khumrah saja. Beliau SAW hanya menerangkan haid tidak di tanganmu, sehingga selama aman dan tidak akan mengotori masjid, maka diperbolehkan wanita untuk berada di dalam masjid tanpa batas waktu dan syarat2 tertentu.

JAWAPAN
Hadis itu menyatakan bahawa Nabi menyuruh Aishah mengambil khumrah yang berada di dalam masjid. Aishah berada di dalam rumahnya dan hanya menghulur tangan untuk mengambilnya, bukan menyuruh beliau masuk ke dalam masjid. Perkataan ‘nawala’ bererti memberi dengan menghulur tangan. Ini kerana bilik Aishah hanya sebelah masjid,  boleh jadi ia hanya mengambilnya dari tingkap ataupun pintu biliknya. Jadi tidak timbul kewajipan keluar segera dari masjid.
Sebenarnya hadis ini ialah dalil larangan perempuan haid duduk dalam masjid kerana  Aishah menjawab bahawa dia sedang berhaid yang membawa maksud bahawa hukum tersebut telah maklum kepada Aishah dari Nabi sendiri. Nabi menyebut bahawa darah haid bukannya berada di tangannya, jadi tidak mengapa sekadar menghulur tangan ke dalam masjid. Tiada petunjuk harus duduk dalam masjid bagi perempuan haid dalam hadis ini.

TAHFIZ DAN PANCAROBANYA



Ada seorang pakcik yang sedang berusaha mencari mudir untuk sekolah tahfiz yang baru dibina di Tasek Gelugor, Kepala Batas, PP, datang ke rumah. Usaha yang baik namun mereka perlu menyedari  bahawa  menguruskan sebuah madrasah tahfiz amat banyak pancarobanya, terutama apabila semua yang terlibat amat suka  untuk buat kerja orang lain di samping kerjanya sendiri.
Sukatan pelajaran adalah tugas mutlak mudir dan guru-guru, namun sekiranya pengerusi yang tidak pernah belajar tahfiz turut teringin memberi pandangan dan rasa pandangannya benar maka bermulalah kesukaran. Mudir amat tahu berapa hari cuti yang sesuai untuk pelajar, orang lain tidak ada hak membantahnya.  Mudir mengambilkira semua keadaan yang akan berlaku kepada pelajar selepas cuti. Ada pelajar yang terpaksa mengulang hafazannya hampir seminggu sekiranya diberi cuti yang panjang, sebab itu cuti hanya diberikan 3 hari. Tetapi pernah berlaku pengerusi dan seangkatan dengannya membantah, kata mereka cuti pendek sangat, berilah  lebih lagi. Bantahan ini hanyalah berdasarkan rasa kasihan kepada pelajar yang tidak dapat cuti lebih lama dan tidak sempat berehat bersama keluarga. Mudir berpendapat cuti lama selalunya akan menjejaskan pelajaran. Selepas pulang dari cuti, ramai pelajar yang lupa hafalan mereka yang terbaru, dan terpaksa diulang semula. Ini menyebabkan masa yang diambil untuk mengkhatamkan 30 juzuk menjadi telalu lama. Apabila terlalu lama berada di madrasah, kadang2 ada yang jemu dan berhenti di tengah jalan. AJK madrasah tidak pernah terfikir perkara ini dan tidak pernah bertanya kepada mudir kenapa mudir kedekut cuti. Walaupun nampak kecil, tapi apabila nama sebuah sekolah tahfiz, dia mesti memperjuangkannya, untuk melahirkan hafiz Quran sebenarnya, kalau tidak bubuhlah nama sekolah rendah saja.
Ini hanya cuti, belum masuk makanan dan peraturan disiplin para palajar. Yang menjadi lebih parah apabila ada juga tuan tanah madrasah yang rasa setaraf mudir sehingga berani merotan pelajar malah sampai membelasah mereka. Kerana jahil hukum hakam, itulah yang terjadi, dan tanpa disedarinya dia telah melakukan dosa besar hampir setiap hari. Memukul seorang Islam adalah dosa besar, hanya guru diberi kebenaran memukul tapi sekiranya mencederakan pelajar wajib bayar ganti rugi. Tanah yang diwakafkan kepada madrasah telah putus hubungan dengan tuan tanah, maka dia tiada hak sedikit pun ke atas tanah atau madrasah, tetapi tuan tanah yang jahil rasa lebih berkuasa daripada mudir. Akhirnya ramai pelajar yang berhenti kerana tidak tahan diazab oleh tuan tanah yang sama perangainya macam penyamun. Akhirnya para ustaz terpaksa jadi gangster juga untuk menyekat kezaliman tuan tanah yang merugikan madrasah. Ada ustaz kata, demi madrasah bermasam muka dengan tuan tanah pun saya sanggup. Demi madrasah ada ustaz yang terpaksa menengking tuan tanah yang bermasalalah itu. Ustaz bertindak dengan ilmu, orang yang tak tau tak ada hak untuk  komen dengan kejahilan.
Kawan saya lepasan tahfiz di India pernah bercerita bahawa di sana ada ustaz yang diberikan tanah untuk buat madrasah. Dengan segera ustaz tu berkata, syarat pertama  tuan tanah kena pindah jauh dari sini. Rupanya, masalah tuan tanah tahfiz telah berlaku sekian lama. Tuan tanah kedaung.
Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Pulau Pinang, Ustaz Rosli Osman berkata: saya tak boleh terima mudir madrasah tahfiz bukan hafiz al Quran. Saya amat setuju kerana memang ramai pentadbir madrasah tahfiz yang kabur arah tujuan madrasah mereka, kekaburan ini kerana ia ditubuhkan oleh bukan ulama yang lebih memahami arah tujuan sebenar umat Islam. Seorang kerani pejabat pos tidak akan tahu tugas kerani pejabat tanah. Ada madrasah yang mewujudkan tahfiz supaya nanti pelajar mereka boleh jadi doktor atau engineer yang hafiz Quran. Tidak salah, tapi bukankah lebih baik jadi hafiz Quran yang juga ulama. Ulama yang hafaz Al Quran akan mampu untuk menjadi ulama yang lebih baik penguasaan ilmu terutama tafsir al Quran dan fekah yang amat bergantung kepada ingatan kepada dalil dari Quran dan hadis.
Seorang doktor atau jurutera yang hafiz Quran  sebenarnya tidak punya masa yang begitu banyak untuk ulang hafazan mereka yang menyebabkan amat sukar untuk mengekalkan Quran di dada mereka. Tetapi kalau mereka jadi ulama  yang berkhidmat untuk ilmu, masa untuk itu pasti amat banyak kerana hidup bersama Quran. Sepatutnya selepas hafiz, belajar kelas alim sampai Dauratul Hadith dan disambung dengan kelas Mufti, dan boleh sambung PhD kepada sesiapa yang berminat. Tetapi sayangnya perkara ini tidak terlintas di fikiran sesetangah mudir madrasah tahfiz, sebaliknya lebih berbangga dengan doktor hafiz, dan tidak terlintas kemuliaan ulama  yang hafiz. Kita masih kekurangan ulama yang pakar.

Madrasah Tahfizul Quran Penanti.